KAWAN-KAWAN SAYA

15 October 2010

NASI BERIANI

Saya suka makan nasi beriani, terutamanya beriani kambing.. Selalunya kalau nak makan, saya beli aje, sebab tak pandai masak sendiri.. Tapi kini, saya dah tahu cara2 untuk memasak nasi beriani. Di sini saya kongsikan bahan-bahan dan cara memasak nasi beriani.

Sebenarnya, saya belajar masak nasi beriani ni secara kebetulan saja iaitu, semasa jiran sebelah rumah mengadakan kenduri yasinan dan tahlil dirumahnya. Beliau telah menyediakan nasi beriani dan tukang masak nasi beriani pada hari itu ialah bapanya sendiri yang datang dari kampung (Batu Pahat). Bapa beliau sememang terkenal sebagai tukang masak untuk majlis kenduri kahwin ditempatnya.

Oleh kerana pada hari itu saya tidak bekerja, jadi kesempatan itu saya gunakan untuk belajar cara2 memasak nasi beriani dari awal penyediaannya sehingga siap.. hehehe, bukan senang tau, nak dapatkan ilmu bidan terjun nih.. hehehe

Dari segi kuantiti saya cuma agak2 lah, sebagaimana kita memasak lauk harian, sebab pada masa tu saya tak sempat nak catit bahan2nya...lagipun beliau masak, main campak2 aje.. Apa yang saya ingat pada masa itu ialah :

Beras basmati
Daging lembu
Daging tetel (untuk dalca)
Ayam (untuk lauk masak merah)
rempah kari
Rempah beriani (dibawa khas dari Batu Pahat)
Susu cair
tomato puree
minysk sapi
Saffron / kekuma
Air mawar
Daun ketumbar
Daun pudina
pewarna kuning
Karot/terung/bendir/tomato/kacang panjang/lada hidup
kacang dal
Bawang putih, bawang merah, bawang besar, halia
Bawang bombay (dihiris untuk dibuat bawang goreng)
kismis/badam/gajus
Daun pandan
rempah tumis (kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, cengkih)
limau nipis
kain maslin (untuk memasak nasi)
keropok papadum (digoreng)


Langkah pertama, memasak lauk beriani.

1. Panaskan minyak sapi, gorengkan bawang besar yang dimayang, gajus, badam dan kismis satu persatu dan asingkan. (bahagi 2, sebahagian untuk lauk, sebahagian lagi untuk nasi)

2.Dalam minyak yang sama, tambah sedikit lagi minyak sapi dan minyak masak, tumiskan rempah tumis (kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, cengkih dan daun pandan)hingga wangi. Masukkan bahan-bahan kisar (bawang bombay, halia, bawang putih) dan kacau sampai garing. Masukkan daging dan rempah beriani. Tambah sedikit air, dan tutup periuk (ungkep dulu kata orang jawa & mati awas kata orang kelantan). Kemudian tambah lagi air secukupnya dan masak sampai daging empuk.

3. Masukkan tomato puree dan susu cair (perahkan sebiji limau ke dalamnya), garam, kentang dan bahan2 yang telah digoreng tadi. Campurkan juga daun pudina, daun ketumbar, lada hijau dan buah tomato. Masak hingga mendidih dan kuah pekat. Sesuaikan rasa dan angkat.

4. Dah siap masak lauk, ketepikan dulu.

nota : kuah lauk beriani hendaklah dilebihkan bagi tujuan memasak nasi.

Memasak Nasi : Beras basmati dibersihkan dan direndam sekurang-kurangnya setengah jam.

Panaskan minyak dan tumiskan rempah tumis (kulit kayu manis, cengkih, pelaga dan bunga lawang) hingga wangi. Masukkan air secukupnya, beras yang telah direndam, daun sup dan daun bawang. Kacau selalu hingga mendidih dan beras kembang tiga suku masak. Toskan ke dalam penapis besar.

Dalam periuk lain, ratakan sedikit beras dan alaskan dengan kain jarang. Masukkan sebahagian beras yang telah direbus tadi dan ratakan sedikit lauk dan kuah beriani yang telah siap dimasak tadi. Renjiskan susu cair, minyak sapi, pewarna kuning atau koma-koma yang dicampur dalam air mawar, taburkan gajus, kismis, badam dan bawang goreng tadi. Campakkan juga daun pandan yang disimpulkan dan tutup dengan baki beras. Bahagian atasnya juga dibuat proses yang sama. Tutup dengan kain maslin dan tutupkan periuk. Tindih tudung periuk dengan lesung batu atau batu bata. Masak atas api kecil hingga nasi betul2 tanak. Cara untuk memastikan nasi telah masak ialah dengan melihat wap keluar dari celah2 tudung periuk.

Hidangkan nasi beriani dengan lauk beriani, ayam masak merah, dalca, keropok papadum dan pencok nenas.

Cara memasak dalca

Panaskan minyak dan tumiskan rempah tumis (kulit kayu manis, buah pelaga, cengkih dan bunga lawang). Masukkan bawang putih, bawang merah dan halia yang dikisar, cili kering diikuti dengan rempah kari/dalca. Masukkan daging tetel/tulang/daging, kacang dal dan ungkepkan. Tambahkan air dan masak sampai empuk dan dal hancur. Kemudian dimasukkan santan, susu cair, tomato puree, air asam jawa,garam dan serbuk perasa. Tambahkan kentang dan karot. Bila kentang dan karot telah empuk, baru dimasukkan sayur-sayuran lain seperti kacang panjang, terung, tomato, pisang sayur dan lain2. Bila sayur-sayuran telah masak, sesuaikan rasa dan angkat.

Cara Memasak ayam masak merah
Ayam dipotong2, gaul dengan bawang putih, halia dan serai, kemudian digoreng setengah masak. Keluarkan minyak yang lebih, tinggalkan sedikit minyak untuk menumis. Tumiskan rempah tumis, bawang putih, bawang merah + bawang besar dan cili kisar satu persatu hingga garing. Masukkan rempah masak merah/rempah kari, kacau rata, masukkan garam dan gula secukup rasa, kemudian masukkan ayam goreng tadi. Kacau rata, baru dimasukkan tomato puree, susu cair, daun ketumbar dan daun pudina, badam kisar dan juga kismis. Tambah air secukupnya dan masak sampai pekat. Akhir sekali, masukkan potongan lada hidup, bawang besar dan kacau rata. Sesuaikan rasa dan angkat.

Cara membuat acar nenas dan timun
Nenas dan timun dipotong kecil, gaulkan dengan garam, gula dan sedikit cuka atau perahkan limau ke dalamnya. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan.

Cara membuat paceri nenas
Nenas dipotong kecil dan ketepikan. Hiriskan juga bawang besar dan lada hidup. Ketepikan.
Panaskan minyak dan tumiskan rempah tumis, biji sawi, halia, bawang putih dan bawang merah yang dihiris atau dikisar hingga wangi dan garing. Masukkan nenas, sedikit udang kering yang ditumbuk,garam, gula secukup rasa. Jika suka, tambahkan sedikit air asam jawa atau cuka. Tambah air secukupnya dan masak hingga nenas empuk dan masak. Sedia untuk dihidangkan.

No comments:

Post a Comment