KAWAN-KAWAN SAYA

Showing posts with label MAKANAN EKSOTIK. Show all posts
Showing posts with label MAKANAN EKSOTIK. Show all posts

24 June 2013

KULAT GELAM AIR ASAM, LEMAK PUCUK UBI DAN IKAN GORENG



Assalamualaikum wbt
Macam ni la kalau dok kat kampung..  Sayur-sayur tak payah nak beli.. Makan sayur kampung yang ada tanam kat keliling rumah aja..Bukan tak suka sayur-sayur lain..  tiap2 hari saya ke pasar.. tiap2 hari nampak kangkung, kobis, sawi, bayam... brocoli dan macam2... tapi tak berkenan di hati.. kalau ada sayur kampung, baru saya beli...


Kulat gelam ni saya beli yang dah siap rebus..  toskan air rebusannya dan gaul dengan sambal belacan, perahkan limau.  Kemudian campurkan potongan bawang besar.. dah siap.. Rasanya?? Lemak2 pahit, pedas dan masam.....tapi sedap...



Pucuk ubi ni saya petik je kat tepi rumah... dah siap rebus, campur dengan santan,  isi ikan, hirisan bawang dan kunyit hidup yang ditumbuk.  Tambah garam secukup rasa.. Masakla macam masak lemak sayur yang lain..
Hmmm.. lauknya......ikan goreng je.... Alhamdulillah, rezeki kami hari ini..


20 May 2013

SAYUR LEMAK BUAH TERRE (GAJUS) DENGAN SOTONG

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah... musim sotong telah tiba... dan pohon terre kembali berbuah... Dapatlah dibuat masak lemak dengan sotong..  Sebelum dimasak, buah gajus atau terre ni kena celur dulu, kemudian diperah airnya, baru dibuat masak lemak.. Gunakan santan pekat, hiriskan bawang besar dan lada hidup.. tambah garam secukup rasa.... Masaklah seperti masak lemak sayur yang lain...In Shaa Allah, ada lauk ikan goreng dan sambal belacan.... habis la diet.. huhu
Buah gajus @ terre (sebutan dalam loghat Kelantan), saya beli kat pasar borong Kuala Besut.. bijinya dah takde, sebab nenek dan ambik bijinya untuk disemai.. hmmm.. asik dok beli je.. cuba tanam sendiri pulak ye.. Kalau tak berbuah, dapat makan pucuk buat ulam pun jadi lah....
Buah terre yang tak begitu masak... telah siap dicelur, untuk dibuat masak lemak.. nk hidang terus macam ni pun boleh.. cecah budu atau sambal belacan...

Okey.. kepada kawan2 di luar sana.. jangan terperanjat ye.. sayur lemak buah terre kegemaran keluarga saya... tapi kalau kawan2 dan mencuba masakan eksotik ini.. tetapi allergic dengan sotong, boleh gantikan isi ikan, atau gunakan isi ikan bakar atau ikan bilis je... yang pasti, sekali makan, pasti nak lagi..

Alhamdulillah.. walaupun ringkas, cuma lauk singgang, sayur lemak sotong ulam dan budu... itulah rezeki kami... terima kasih Ya Allah..

Selamat mencuba..

10 November 2012

MANDAI

Assalamualaikum wbt..

Kalau di Kelantan terkenal dengan nasi kerabu dengan budunya, Terengganu dengan keropok lekor...Pahang dengan gulai  asam rom, atau patin sungai masak tempoyak... manakala Johor dengan masakan asam pedasnya, Negeri Sembilan pula popular dengan masak lomak cili api... , Penang dengan nasi kandar  atau Char Koay Teow...Kedah pun tak kurang hebat.. ikan pekasam, laksa asam... Perak dengan gulai tempoyak ikan sungai...Melaka pula terkenal dengan belacan dan cencaluk...

Hmmm...pendek kata, Malaysia ni memang unik, belum termasuk dengan Sabah dan Sarawak yang terkenal dengan suku kaum yang pelbagai.. dengan makanan yang pelbagai gaya dan rupa....semuanya sedap dan punya keunikan tersendiri.. memang semuanya hebat!! Memang tak larat  nak tulis kat sini, tujuh hari tujuh malam memang tak habis lagi....Sebagai penutup cerita, kalau kita dicampakkan ke mana2 tempat sekalipun di dalam Malaysia ni, jangan risau  pasal nak cari makan.. kat mana2 je, memang macam2 ada... dan yang penting sekali...HALALAN TOYYIBA....

Di sini, saya nak kongsikan satu lagi  hidangan unik yang ada di dalam negara kita.. iaitu Mandai....  Mandai ialah kulit cempedak atau kulit nangka yang dibuat jeruk.  Hanya orang jawa keturunan Banjar sahaja yang tahu membuat dan makan mandai ni..  Saya tahu dan pandai makan mandai ni sebab ada salah seorang ahli keluarga saya yang berkahwin dengan orang Banjar... pernah belajar buat mandai ni, tapi masa tu tak berapa menjadi...
Untuk pengetahuan kawan2... mandai ni lebihkurang macam lobak asin, tapi mandai ada keunikan sendiri, dari segi rasa.. ada rasa masin dan manis aroma cempedak..  Saya buat mandai minggu lepas, kebetulan makcik saya datang dan bawak buah  cempedak.. Isinya digoreng dan kulitnya saya kupas, untuk dibuat mandai.
 
Terima kasih kepada rakan facebook saya Waheeda Wagiran, yang beri tunjuk ajar cara2 buat mandai ni.   Jeruk kulit cempedak atau mandai ni sedap digoreng begitu aje, campur dengan hirisan bawang besar, cili merah... (saya guna cili padi) dan ikan bilis atau udang kering.  Goreng kering2 dengan minyak sedikit.  Kemudian makan dengan nasi panas..  Mandai ni juga boleh dicampur ke dalam masak lemak cili api ikan, biasanya ikan darat atau ikan sungai..

Cara2 Membuat Mandai
Kulit cempedak, dibuang kulit luar dan dipotong kecil.  Kemudian dicuci dan toskan. Masukkan ke dalam balang.   Sediakan air dan garam secukupnya dan dimasak hingga mendidih.  Apabila dah suam2 kuku, masukkan ke dalam balang yang diisi dengan kulit cempedak tadi.  Tutup balang dan peram sehingga seminggu, baru boleh digunakan. Selepas seminggu, kulit cempedak dah jadi keras dan agak masin.  Jadi, jika hendak dimasak, perlu direndam di dalam air dan perah kering2 untuk membuang masinnya.  

Selamat mencuba.

07 June 2012

KULAT GELAM AIR ASAM

Assalamualaikum wbt Kulat gelam rebus dengan air asam air asam untuk kulat gelam.. cuma tumbuk cili padi, garam, belacan dan sedikit gula.. campurkan air perahan limau nipis dan cuka secukup kegunaan.. Kulat gelam dalam loghat Kelantan ialah sejenis cendawan yang hanya tumbuh dalam musim angin monsun barat laut...dipanggil nama kulat gelam sebab ianya banyak diperolehi dikawasan berpasir yang banyak pokok-pokok gelam dan hanya tumbuh selepas hujan... Nama pun cendawan kan?? mesti la tumbuh selepas hujan.. hihi.. Walaubagaimanapun, tidak semua orang yang tahu dan pandai mencari kulat ni.. Saya lebih suka beli je kat pasar, sama ada yang belum direbus ataupun dah siap rebus. Selain dibuat cecah air asam, kulat gelam ni juga sedap dibuat kerabu campur bacang muda atau mangga muda... kulat gelam yang siap direbus.. Bahan2 untuk membuat kerabu (anggaran sendiri - ikut kuantiti bahan yang hendak digunakan) kulat gelam yang telah siap direbus bacang/kuini muda (dikupas, diparut halus dan direndam dalam air garam.. kemudian dibilas beberapa kali dan diperah buang airnya - untuk buang getah), jika guna mangga muda, tak perlu direndam air garam. bawang merah, sedikit halia, lada hitam ditumbuk (boleh tambah cili padi jika suka lebih pedas) isi ikan bakar, juga ditumbuk.. belacan bakar - jika suka kerisik kelapa, garam, gula secukup rasa, jus limau nipis - jika suka pati santan (perah kelapa guna air suam) Cara-cara : tumbuk bawang merah, halia, lada hitam dan isi ikan bakar hingga halus. campurkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian campurkan dengan kulat gelam dan mangga/bacang atau kuini yang telah diparut. Akhir sekali campurkan pati santan. Jika suka, boleh tambah jus limau nipis. Sesuaikan rasa dan hidangkan. Selamat mencuba..

03 May 2012

COLLEK PAUH

Assalamualaikum wbt.. Bagi penggemar asam atau jeruk, bila tengok ni tentu kecur liur kan?? Kalau nak tahu, keluarga kami cukup gemar makan colek pauh atau mangga muda ni. Colek atau dalam sebutan kami ialah "collek"...iaitu ramuan cecahan dari gula atau gula melaka yang ditumbuk bersama belacan, cili padi dan cuka ataupun kicap bergantung kepada jenis buah yang hendak dimakan. Yang selalu jadi pilihan ialah mangga muda yang dipanggil pauh "reknge". Reknge dalam loghat kami bermaksud ringan.
collek cuka.. Sebenarnya selain pauh atau mangga, macam-macam jenis buah-buahan yang boleh dimakan dengan colek iaitu jambu batu dan segala macam jenis jambu seperti jambu bol, jambu arang, jambu air, nenas, betik, baba nangka, buah rambutan, buah ketereh/gajus/jambu golok, cermai dan sentol dan lain-lain. Malah mumbang kelapa yang biasa dicampurkan ke dalam gulai kawah pun boleh dijadikan colek. Untuk buah-buahan ini, kami menggunakan collek cuka iaitu campuran gula pasir, cili padi, sedikit garam, belacan dan sedikit cuka. Ramuan ini tak perlu ditumbuk, cuma campurkan semua sekali dalam mangkuk dan penyetkan cili padi dan juga belacan apabila hendak dimakan. Cecahlah buah-buah ini satu persatu dan suapkan ke dalam mulut. Pastinya segala macam rasa ada, masam, manis pedas, masin dan kelat atau manis bergantung jenis buah yang digunakan.
Untuk resipi colek seperti dalam gambar di atas, saya cuma tumbukkan gula melaka (gula kerek/nisan) bersama sedikit belacan, cili padi dan garam. Keluarkan dari lesung, tambahkan sedikit air asam jawa untuk mencairkannya. Collek ini sesuai untuk dimakan bersama buah mangga muda. Selain itu, collek kicap juga sesuai dimakan dengan mangga muda atau buah2 jenis masam yang lain iaitu dengan mencampurkan kicap manis, gula, belacan dan cili padi dan penyetkan cili padi dengan belacan apabila hendak dicecah dengan buah-buah asam yang telah dihiris nipis.
Satu lagi jenis collek yang tidak ramai yang tahu akan kehebatan rasaya iaitu collek budu dan dimakan dengan celagi (buah asam jawa muda). Rasanya yang pedas2, manis, masam dan masin cukup membuatkan siapa yang mencubanya kali pertama akan terus mencollek celagi sehingga habis..Collek budu disediakan menggunakan budu, belacan, nisan tumbuk, pasir atau gula melaka dan juga cili padi. Pastikan campuranya pekat, baru sedap dicecah buah celagi yang telah dibelah dan dibuang bijinya. Tapi awas, bagi mereka yang menghidap penyakit darah tinggi, ADALAH DILARANG SAMA SEKALI untuk mencuba collek budu ini...
buah gajus ni, kena potong2 dan perah dulu airnya.. baru sedap dicecah dengan collek.. Selamat mencuba...

26 April 2012

JERUK BUNGA DALA


bunga dala segar, pemberian seorang customer yang baik hati... erm..mcm tau2 aje saya penggemar jeruk ni.. Resipi dah pernah saya post kat entry sebelum ni. Tapi takpe, saya tulis sekali lagi...Tak susah pun membuatnya. Cuma cuci bersih bunga dala ni (mana tau kan, kot ada ulat ke..habuk..ranting..).. Toskan dan masukkan dalam balang kaca..(plastik pun bolehlah).. Dalam blender, kisar sedikit nasi putih Tapiskan dan masukkan ke dalam balang yang berisi bunga dala ni dan tambahkan garam secukup rasa. Bubuh juga sedikit gula melaka. Peram selama 3 hari, baru boleh dihidangkan. Ketika menghidang, patahkan cili padi dan cecahkan dengan ikan bakar tawar. Sedap dimakan dengan nasi semasa masih panas.
macam ni la rupanya jeruk bunga dala.. kalau kat pasar, selalunya dibungkus dalam plastik..

01 November 2011

JERING REBUS


Jering rebus cecah kelapa ni mungkin pelik bagi sesetengah orang, tapi tidak di negeri Kelantan. Kalau di daerah kelahiran suami saya di Johor, selain dibuat ulam, jering atau dalam loghat jawa disebut "Jengkol" dimasak sambal tumis campur ikan bilis.

Untuk membuat jering rebus biasanya jering yang telah tua menjadi pilihan, manakala jering muda yang masih lembut isinya dibuat ulam. Banyak pantang larang dalam penyediaan jering rebus dan banyak pula bahan2 pelik dicampurkan bertujuan untuk mengelakkan "kena kapit jering", kata orang tua2. Kena kapit jering ialah satu masalah di mana seseorang yang makan jering rebus secara berlebihan akan menyebabkan mereka tidak dapat membuang air kecil ataupun merasa sakit apabila membuang air. Dan penawarnya ialah dengan meminum air batu kosong. Itu petua orang dulu2 lah..

Di sini, saya kongsikan petua memasak jering rebus sepertimana yang Ummi saya ajarkan kepada saya.. Dah ingat2 lupa nih.. tapi takpe, kalau dah dapat refresh balik, saya edit balik...

Bahan2
Jering, dibuang kulit, ambil isinya sahaja dan belah 2 (pastikan jering tua yang digunakan)
Air secukupnya untuk merebus
1 atau 2 helai daun kunyit
sedikit akar pokok kelapa
1 batang paku
sedikit abu dapur (jika kita memasak menggunakan dapur kayu, akan ada abu yang berwarna putih, yang terhasil dari proses pembakaran kayu api)


Cara2
Masak air secukupnya hingga mendidih, masukkan jering. Rebus hingga isinya lembut. Tukar air rebusan 2 atau 3 kali. Dalam air rebusan terakhir, masukkan daun kunyit, akar pokok kelapa, paku dan abu dapur. Masak lagi hingga mendidih. Ambil sekeping jering rebus dan rasa, jika bau jering dah hilang, dan terasa lunak dan lemak bolehlah diangkat dan toskan. Hidangkan jering rebus dengan kelapa parut yang telah dicampur sedikit garam dan gula.

Selamat mencuba.

12 November 2010

SIRIH KADUK a.k.a MIENG KHAM




Dah lama tak makan sirih kaduk ni.. hari ini baru berkesempatan.. bawa gi ofis, makan beramai- dengan kawan2.. saya cuma prepare bahan-bahan.. Sediakan sos, kacang tanah yang digoreng tanpa minyak, udang kering dan hirisan isi kelapa (sangai sebentar), bawang, limau nipis, halia dan juga cili padi .... kawan saya bawakan daun kaduk, banyak ditanam dirumahnya.. Kali ni, saya cuma tepek gambar aje.. untuk resipi dan cara membuatnya, sila rujuk post saya yang telah lepas...

Selamat Mencuba..

06 November 2010

KERABU SAGHAE LAGI..


Kali ni saya post gambar aje.. saya buat kerabu ni untuk makan tengahari tadi.. resipi ni takde menggunakan kuah tumis.. resipi ummi... untuk rujukan, sila lihat post saya sebelum ni..

13 October 2010

CCOLLEK

Sedari kecil, saya memang suka makan collek... Semua jenis buah saya buat collek. Boleh dikatakan setiap petang, tiada aktiviti lain selain makan collek.. Berkumpul ramai2 di atas gerre (pangkin) di halaman rumah dan mulalah aktiviti makan collek.. Itu cerita masa kecil2 dulu.. Dah jadi nostalgia.. tak boleh selalu makan collek ini, takut memudaratkan kesihatan..

Sebenarnya, banyak resipi dan cara buat ccolek buah2 ni... Bahan-bahan untuk menyediakan collek pun cukup mudah dan senang diperolehi.. Berikut adalah resipi collek yang selalu saya buat..

Collek cuka
Campurkan gula, sedikit garam, belacan, dan cili padi dipatah2kan. Tuangkan cuka sedikit sahaja iaitu cukup dengan membasahkan gula sahaja.. Sesuai dicecah dengan betik muda yang dihiris nipis, jambu batu, jambu air, sengkuang, mumbang kelapa dan lain2.

Collek kicap
Campurkan gula, belacan, cili padi yang dipatah2kan dan tuangkan sedikit kicap. Sesuai untuk buah2 yang agak masam seperti pelam muda, nenas dan lain.

Collek budu
Campurkan budu, gula, belacan, cili padi dan asam jawa. Kena buat pekat2 dan pedas2.. Sesuai dicecah buah asam jawa muda yang telah dibelah dan dibuang bijinya.

Collek nissae/gula
Tumbukkan beberapa biji cili padi, belacan dan garam hingga lumat. Masukkan nissae/gula secukupnya dan terus tumbuk lagi sampai sebati dan berair. Keluarkan dari lesung dan tambahkan sedikit cuka atau air asam jawa. Sedia dihidangkan.

Satu lagi resipi collek yang special, saya pelajari dari arwah Lisa iaitu kawan baik saya, juga bekas jiran saya.. Resipi collek ini selalu sediakan jika ada permintaan kawan2 ofis yang teringin nak makan collek buah.. hehehe

Bahan-bahan (ikut sukatan sendiri, sesuai selera)
1 mangkuk kecil asam jawa, buang biji aje - tak perlu campur air
1 senduk cili boh (mesti guna cili boh, kalau cili kisar tak menjadi..)
1 mangkuk kicap
1 mangkuk gula pasir
1 keping gula melaka, dihancurkan
2 sudu atau lebih belacan
4-5 biji cili padi, dipatah2kan
4 sudu cuka makan
garam jika perlu

Cara :
Campur semua bahan dan kacau rata. Perap agak2 1 jam, baru sedap dicecah buah-buahan.

Di dalam gambar ialah, buah pelam muda yang dihiris dan digaul dengan kuah sotong kangkung.. Saja nak menyegarkan mata yang mengantuk.., abis juga sepiring.. hehehe
Nanti saya upload gambar collek yang lain pula...OK

09 October 2010

BUDU, SAMBAL TEMPOYAK DAN ULAM-ULAMAN

Hidangan pembuka selera.. Tapi ada juga orang yang tak suka atau tak pandai makan ulam-ulaman dengan budu atau sambal tempoyak.. Mungkin tak biasa makan atau memang tak suka.. Wallahuaklam..

Bagi saya orang Pantai Timur, budu dan ulam-ulaman adalah pembuka selera nombor satu.

Sekiranya tak bekesempatan memasak hidangan lengkap, ada satu lauk (biasanya lauk singgang/gulai lemak), budu dan ulam sudah memadai.. Tetapi tidak boleh diamalkan selalu jika kita menghidap penyakit darah tinggi..

Macam-macam cara untuk menikmati budu, paling simple patahkan lada dan perahkan limau nipis/limau kerat lintang (cuma ada di Kelantan). Ada juga digandingkan dengan tempoyak, ada juga dicampurkan pelam muda yang dicincang, cili dan bawang. Sedap dicecah ikan panggang tawar (ikan bakar) Tidak kurang juga isi buah durian dan dimakan dengan petai, jering atau kacang panjang. Malah isi kelapa muda yang diparut halus, juga boleh dicampur ke dalam budu dicecah dengan ulam kunyit atau temu pauh. Walaupun pelik, tapi itulah hakikatnya.. budu tetap nombor satu!!!

Di sini saya perturunkan resipi budu yang saya perolehi, setelah sekian lama saya peram, baru menjadi.. Kalau diikutkan sebenarnya selepas 44hari diperam, budu sudah boleh dimakan..tapi oleh kerana budu yang saya buat ni terlebih garam, maka ikan bilis tu lambat hancur.. Oleh itu, saya telah mengisar ikan bilis yang saya peram bagi menjadikan budu..

Bahan-bahan
1kg ikan bilis segar, bersihkan
1 gelas garam kasar (boleh tambah atau kurangkan ikut citarasa, kalau kurang masin budu tidak tahan lama)
5 keping asam gelugur
1 keping nissae (gula melaka)

Cara Membuatnya.
Ikan bilis dibersihkan. Kalau ikan bilis yang bersaiz besar, kena buang isi perutnya. Cuci bersih-bersih dan toskan dalam tapis sampai kering airnya. Kemudian gaulkan dengan garam kasar, dan masukkan ke dalam botol kaca yang kering. Peram selama 44 hari. Dalam tempoh memeram budu, sekali sekala hendaklah dikeluarkan dan dijemur di bawah panas matahari, dan buka penutupnya.. Kacau2 supaya budu cepat hancur dan hilang bau hapaknya. Apabila bilis telah hancur, masukkan asam keping dan gula melaka dan peram lagi sampai gula melaka hancur dan sebati dengan ikan bilis. Setelah itu, bolehlah dimakan.

CARA-CARA MEMBUAT SAMBAL TEMPOYAK

Bahan-bahan
2 cawan isi durian
2 sudu kecil garam atau ikut citarasa
10 biji cili padi, boleh tambah atau kurangkan
sedikit serbuk kunyit
Sedikit gula

Cara-cara
Tumbuk garam dengan cili padi. Masukkan durian, serbuk kunyit dan sedikit gula. Sesuaikan rasa dan hidangkan. Jika sambal tempoyak hendak disimpan, hendaklah dimasukkan ke dalam botol dan taburkan gula dipermukaannya. Boleh disimpan di dalam peti ais dan tahan berbulan-bulan jika tidak dimakan.. TETAPI boleh habis sekelip mata, jika dihidangkan dengan nasi, lauk pauk dan ulam-ulam kegemaran.. hehehe

Selamat mencuba..

01 October 2010

SAMBAL HITAM BELIMBING BULUH


Sambal hitam ini adalah satu resipi tradisional orang Pahang.. Sedap dimakan dengan nasi panas2 bersama-sama lauk kegemaran yang lain.. Ramuannya adalah terdiri daripada bawang, cili padi, ikan bilis dan belimbing buluh yang telah direbus dengan garam berjam2 lamanya sehingga menjadi hitam. Saya mengenali sambal itam ini melalui facebook. Setelah mendapat resipi dan petua2 daripada teman2 facebook, saya cuba memasak sendiri sambal hitam ini..

SAMBAL HITAM BELIMBING BULUH..

Bahan-bahan
1 cawan belimbing buluh yang telah siap direbus
2 cawan ikan bilis (boleh digoreng dulu atau gunakan begitu saja)
10 biji bawang besar bombay (lagi banyak bawang, lagi sedap)
1 labu bawang putih
1 genggam cili padi
1 cawan minyak

Cara membuatnya
Kisar bawang besar, bawang putih dan cili padi. Ikan bilis ditumbuk, tapi jangan terlalu lumat. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan yang dikisar, masukkan ikan bilis dan belimbing buluh. Tambahkan garam jika perlu sahaja kerana belimbing rebus agak masin. Terus mengacau atas api kecil sehingga semua sebati dan belimbing jadi hancur. Apabila telah bertukar warna kecoklatan dan agak kering, bolehlah diangkat dari dapur. Proses memasak lebih kurang 1 jam.

nota : sambal ini tahan lama dan tak perlu disimpan di dalam peti ais.

01 August 2009

KERABU SAGHAE (SARER)

Bagi masyarakat di pantai timur terutamanya negeri Cik Siti Wan Kembang, kerabu saghae adalah hidangan yang sangat popular. Saghae adalah sejenis rumpai laut dari Thailand. Rasanya yang unik menjadikan kerabu saghae ini menjadi pilihan terutamanya pelengkap hidangan kenduri kendara dan majlis perkahwinan selain dari acar, teresek dan solok lada..

Berbagai-bagai versi dan cara penyediaan kerabu saghae.. Berikut adalah resipi kerabu saghae yang Ummi saya selalu sediakan.. Ada satu lagi versi, iaitu resipi kerabu saghae special yang saya pelajari dari almarhumah Lisa, jiran dan juga sahabat baik saya yang berasal dari thailand..

Kerabu Saghae, resipi Ummi

Bahan-bahan
Saghae - dibersihkan dan direndam hingga lembut.. Toskan dan perah sampai kering

Sambal kelapa (dicampur semua bahan dan digaul sebati)
1/4 biji kelapa parut, digoreng tanpa minyak sampai kuning dan ditumbuk lumat
4 biji bawang merah
sedikit halia
garam dan gula secukup rasa
2 ekor ikan selayang, dipanggang tawar dan diambil isinya sahaja..

Tumis kerabu saghae
Santan pekat 1/2 biji kelapa

Bahan2 ditumbuk halus
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
5 tangkai cili kering
1 batang serai
2 keping asam gelugur
sedikit belacan atau budu
garam dan gula melaka secukup rasa

Cara : Masak santan sampai pecah minyak, campurkan bahan2 tumbuk, budu atau belacan, gula melaka dan masak sampai pekat. Sesuaikan rasa dan angkat.

Jika tidak suka tumis kerabu, boleh gantikan air lada. Caranya ialah : tumbuk cili padi sampai lumat dan dicampur cuka, gula dan garam secukup rasa.

Cara menyediakan kerabu : Campurkan saghae, sambal kelapa dan tumis kerabu atau air lada secukup rasa. Siap untuk dihidangkan.


Kerabu saghae, resipi almarhumah Lisa

1/4 biji kelapa parut, digoreng sampai kuning dan tumbuk sampai lumat dan pecah minyak

Bahan-bahan tumbuk
2 batang serai, ambil umbut sahaja
5 biji bawang merah
sedikit halia
beberapa biji cili padi
2-3 ekor ikan panggang, diambil isinya sahaja
sedikit garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan lain
Bunga kantan dihiris halus
Limau nipis, diperah airnya
Sedikit pati santan
Sedikit budu

Caranya
Gaulkan bahan-bahan tumbuk dengan kelapa goreng yang telah ditumbuk tadi. Sesuaikan rasa dan gaulkan dengan saghae. Tambahkan pati santan, air limau, bunga kantan dan budu. Siap untuk dihidangkan dengan nasi putih dan lauk2 pilihan yang lain.. ATau.. Sedap dimakan begitu saja..

24 January 2009

MIENG KHAM (SIRIH KADUK)

Hidangan ini adalah sangat popular bagi orang-orang dari Negara Gajah Putih (Thailand)hailand, namun begitu, tetap juga menjadi kegemaran saya seisi keluarga. Ada yang menyebut sirih kaduk, ada pula colek daun kaduk. Mungkin cara memakannya umpama memakan sirih, maka sirih kaduk ini diberi nama... Mmm.... sedap sangat!!! Mula-mula macam tak percaya, tapi sekali mencuba..wow!!! pantang jumpa daun kaduk, mesti nak kena buat Mieng Kham..Bagi masyarakat thai, mereka menggunakan gula kabung cair yang berwarna putih sebagai sosnya, tapi sekarang, resipi tersebut telah dipelbagaikan. Apa yang saya pelajari dari seorang kawan baik yang berasal dari Takbai, Thailand, beginilah resipinya.. Agak cerewet, tapi berbaloi-baloi..



Bahan-bahan untuk sirih kaduk (Mieng Kham)

Daun kaduk, dibersihkan dan dilap hingga kering, susunkan ke dalam dulang

Bahan-bahan intinya (disediakan berasingan)
Udang kering, cuci bersih dan sangai
Kacang tanah, digoreng tanpa minyak dan buangkan kulitnya
Isi kelapa, dibuangkan kulit arinya dan hiris nipis, kemudian disangai hingga kuning. Boleh juga dibakar dalam oven.
Limau nipis, dihiris nipis dengan kulit-kulitnya
Halia muda, kikis kulitnya dan potong dadu kecil-kecil
Bawang merah, dipotong dadu kecil
Cili padi, dihiris halus-halus

Untuk sosnya :-
2-3 ketul gula melaka, dicairkan dengan 1 cawan air
2 sudu tepung gandum
Sos nampla, jika suka atau boleh ganti dengan udang kering yang dikisar lumat

Cara menyediakan sosnya
Masukkan tepung gandum ke dalam kuali dan goreng tanpa minyak hingga kekuningan. Sejukkan sebentar. Campurkan dengan gula melaka yang dicairkan tadi, sos nampla atau udang kering. Masak kembali atas api kecil hingga pekat. Sejukkan sebelum diguna.

Cara Menyediakannya
Ambil sehelai daun kaduk. Calitkan sedikit manisan cair dan bubuh bahan-bahan intinya mengikut keperluan dan citarasa masing-masing. Lipatkan dan terus dimakan.

Nota :-
Daun kaduk boleh digantikan dengan daun salad, tapi tidaklah sesedap daun kaduk yang unik itu.

PETAI JERUK


Sambal udang petai atau sambal ikan bilis petai. Ada pula sayur lemak nangka atau lemak pucuk ubi, atau apa saja lauk kegemaran, hidangan saambal udang petai boleh membuat perut kenyang jadi keroncong. Tapi ramai yang tidak tahu, petai juga boleh dibuat jeruk. Ini adalah cara orang dulu-dulu menyimpan petai supaya tahan lama. Walaupun baunya kurang menyenangkan, tapi bagi penggemar makanan eksotik (termasuk saya laa...), petai jeruk tetap menjadi pilihan.

Mungkin generasi zaman sekarang, tidak mengenali petai jeruk... belum cuba belum tahu!!  Di sini saya kongsikan cara-cara membuat petai jeruk resipi nenda saya Puan Hajjah Halimah Haji Husain..  

CARA-CARA MEMBUAT PETAI JERUK

Petai secukupnya, pilih yang agak tua (4 cawan isi petai)
Garam (1 cawan garam)
Air secukupnya
beberapa keping asam gelugur

Cara Membuatnya
Didihkan air, celurkan petai. Tapi jangan sampai lembut, cukup sekadar untuk mengeluarkan isinya. Rendamkan ke dalam air sejuk. Asingkan isi dari kulitnya dan cuci bersih. Gaulkan dengan garam secukupnya, agak-agak biar masin sedikit. Masukkan ke dalam botol kaca, tutup dan perap selama dua malam. Selepas itu, masukkan asam gelugur dan air secukupnya. Selepas beberapa hari, bolehlah dihidangkan bersama nasi dan lain-lain lauk pilihan.

Nota :

Kuah jeruk petai hendaklah masin dan masam sedikit untuk mengelakkan jeruk petai cepat rosak. Sekiranya kuah petai jeruk kelihatan jernih dan tidak keruh, menandakan garamnya telah cukup, tetapi sekiranya kuah petai jeruk kelihatan keruh, cepat2 tambahkan garam.

Selamat mencuba.

17 January 2009

JERUK MAMAN


Jeruk Maman (saya guna maman liar berbunga ungu)

Kalau di negeri lain, maman biasanya dibuat masak lemak atau dicampurkan ke dalam gulai. Tetapi di negeri-negeri di Pantai Timur, maman dibuat jeruk. Rasanya yang unik dan tersendiri, berkuah agak masam, memancing selera penggemar ulam-ulaman.

Mungkin ada yang tidak mengetahui apa itu jeruk maman. Tapi bagi orang Pantai Timur, makanan eksotik ini tidak asing lagi bagi mereka. Dihidangkan sebagai pembuka selera sebagai hidangan tambahan, atau pengganti sayur-sayuran. Sedap dimakan dengan ikan bakar dan nasi panas. Selain maman, bunga pokok dala yang pahit juga boleh dijadikan jeruk seperti ini.

Cara membuat jeruk maman/bunga dala (mungkin tempat lain dipanggil lemuni)

Pokok maman/bunga dala secukupnya, diambil daunnya sahaja.
Segenggam beras + Air secukupnya untuk merebus dijadikan air didih nasi (saya guna nasi impit yang dipotong kiub kecil)
Beberapa biji cili padi
Garam secukup rasa

Cara menyediakannya
Bersihkan maman dan jemur sebentar di bawah panas matahari hingga layu. Cuci dan toskan. Masukkan ke dalam botol bersama-sama dengan cili padi. Masukkan air didih nasi yang masih suam ke dalam botol yang berisi daun maman dan campurkan garam secukup rasa. Tutup botol tadi dan simpan selama 3 hari. Selepas 3 hari barulah boleh dimakan. Ketika menghidang, patah2kan cili padi ke dalam kuah jeruk maman dan hidangkan dengan dengan nasi panas2 dan juga ikan bakar tawar.


Nota :
kuah jeruk maman kekal jernih untuk mengekalkan keenakan rasanya. Sekiranya kuahnya bertukar menjadi keruh, menandakan kuahnya kurang garam dan tidak tahan disimpan lama.

Ada beberapa jenis maman iaitu maman pasir (berbunga kuning, bunga warna ungu dan berbunga putih). Maman yang sesuai dibuat jeruk adalah maman berbunga putih, daunnya lembut dan tidak begitu pahit.

Sesetengah orang mencampurkan bayam merah ke dalam jeruk maman

Selamat mencuba

22 November 2008

LAWA IKAN

Satu lagi hidangan tradisi orang Pantai Timur.. tapi tak semua tempat lah. Bagi mereka yang gemarkan ulam-ulaman atau kerabu, inilah dia.. tapi jangan pelik pulak.. Lawa ikan ini diperbuat daripada isi ikan mentah, tak perlu dimasak!! Kalau kat Sabah, diorang namakan hidangan ini umai atau hinava ikan atau udang...

Biasanya lawa ikan diperbuat daripada ikan tamban, tapi saya pernah juga cuba gunakan ikan jenis lain yang segar.. sedap jugalah..

Bahan-bahan
5-6 ekor ikan tamban segar, dibersihkan dan tos
4-5 biji limau nipis, perah airnya
garam secukup rasa

Bahan-bahan untuk dihiris halus
3 batang kacang panjang
1 kuntum bunga kantan
sedikit daun pucuk serai kayu (samak/salam)
10 tangkai daun kesum
10-15 biji cili padi
5-6 biji cili merah
2 batang serai - jika suka

Cara-caranya
Ikan tamban diambil isinya sahaja dan dicincang halus-halus. Perahkan air limau dan campurkan sedikit garam. Kacau rata-rata. Perap sebentar atau sehingga isi ikan berubah menjadi putih. Campurkan bahan-bahan lain, sesuaikan rasa, bolehlah dimakan begitu sahaja atau bersama nasi.

09 November 2008

SAYUR KOKLOK A.K.A SAYUR LEMAK TERENGGANU

Sayur koklok ialah sayur masak lemak cara orang Pantai Timur. Saya pun tak pasti kenapa dipanggil sayur koklok.. Yang saya tahu, masa kecik2 dulu ummi selalu masak sayur lemak ini.. Tapi bahan campurannya berbagai-bagai.. Apa-apa saja..hari ini ada sayur ni + sayur itu.. Esok pulak lain.. Tapi paling best kalau dicampur kulit rambai atau kulit buah sentul dan petai......Nak masak pun senang, campur semua dan lebur dalam periuk. Masak sampai mendidih.. dah siap.. Kuahnya pekat2 gitu.. Ada ikan rebus goreng dan sambal belacan, hidangan dah lengkap dah... Sangat istimewa & tak ada kat negeri lain, cuma kat Pantai Timur je..

Bahan-bahan untuk memasak sayur ini ialah. Sukatan pakai agak2lah.. sayur mana yang nak dilebih atau dikurangkan

Kulit rambai atau kulit buah sentul (dicelur sekejap untuk dibuang masamnya)
Kacang panjang, dipatah-patahkan
Kangkung
Pucuk labu, dibuang selaput luarnya.
Petai, dihiris halus
Sayur pucuk midin + daun kesum + daun ubi (beli siap yang dah campur2)
Keledek- dipotong bulat-bulat
Lada hidup, belah2 buang biji
Bawang besar, dibelah2
Ikan selayang / kembung, panggang tawar & ambil isinya - tumbuk kasar2 (Guna ikan bilis pun boleh juga)
Sedikit lada hitam, tumbuk kasar2
Santan pekat secukup kegunaan
Garam dan gula secukup rasa

Cara Menyediakannya

Campurkan semua bahan dan masak atas api sederhana hingga mendidih. hendaklah dikacau selalu supaya tidak pecah minyak. Sesuaikan rasa dan angkat.