KAWAN-KAWAN SAYA

Showing posts with label PENGAT DAN MANISAN. Show all posts
Showing posts with label PENGAT DAN MANISAN. Show all posts

20 May 2013

BUBUR BIJI DELIMA DENGAN MANGGA

Assalamualaikum wbt

 Hmm.. tekak teringin nak makan yang manis... Ada mangga masak tapi...nak buat pulut mangga,  pulut pulak tak ada.., nak ke kedai malam2 gini... malas la pulak... teringat kat Kak Ani, pernah ajar saya bagaimana nak buat bubur delima. Kebetulan selongkar kat almari, ada sepaket  lagi tepung ubi yang belum digunakan.. apalagi, saya pun mulakan operasi kat dapur..
CAranya mudah aje.. Masak santan pekat cmpur secubit garam dan sedikit gula.. Dah mendidih, masukkan hirisan mangga masak.. Dah siap masak, masukkan biji delima.. Yummy.. time panas2 tu la saya makan..

Cara Membuat Butir Delima

1 paket tepung ubi, dibahagi dua
sedikit pewarna merah

Mula2, ambil sedikit tepung ubi dan tabur atas papan pencanai.. Ambil sebahagian tepung ubi dan dibancuh dengan air secukupnya...Tuangkan  ke atas papan pencanai yang telah ditabur tepung ubi tadi.  Ratakan dan biarkan kering sedikit..  Bancuh satu bahagian lagi dan warnakan merah.  Tuang ke atas lapisan putih.  Biar kering dan mengeras.  Setelah itu, bolehlah dipotong kecil2 dan direbus ke dalam air mendidih hingga kelihatan jernih.  Toskan dan siram dibawah aliran air paip.  Selepas itu, direndam ke dalam air sejuk.  Apabila hendak menghidang, toska airnya dan masukkan ke dalam bubur tadi.   Siap untuk disajikan.

nota : biji delima ni boleh dicampur dengan nangka, selasih, cendol dan lain2 untuk menghasilkan minuman yang sedap.. boleh dicampur gula merah dan santan..

Selamat mencuba.





19 July 2012

PENGAT KELADI CAMPUR MEE SANGGUL

Assalamualaikum wbt..
Mee sanggul atau mee siput... dibuat pengat!! korang mesti pelik kan?? selalunya mee siput digoreng dan dimakan begitu aje, cicah sambal kicap atau sambal tumis... Ataupun, direbus dan dijadikan mee goreng atau mee sup..
Sebenarnya saya teringin sangat nak makan pengat mee sanggul campur pisang nangka.. tapi, pisang nangka tak ada.. Ummi cakap, kalau campur keladi pun sedap juga.. jadi saya pun mulakan operasi menggali isi keladi yang saya tanam beberapa bulan lepas.. dapatlah dua ketul keladi yang agak besar... Maka menjadilah pengat keladi campur mee sanggul.. Mudah saja cara memasaknya... Masak pengat macam biasa, cuma mee sanggul tu taruk diakhir masakan.. Sebelum tu, mee sanggul kena celur dalam air panas mendidih untuk melembutkannya.. Selamat mencuba...

13 May 2012

BUBUR SOM-SOM

Assalamualaikum wbt.
Ummi saya memang sukakan hidangan lemak manis seperti bubur, pengat dan kuih-kuih lain yang seangkatan dengannya. Tak kira siang atau malam.. kadangkala, risau gak... takut mengundang penyakit... Bubut som-som ni Ummi buat malam tadi..masa tengah sibuk2 perisi ikan nak masak serunding ikan.. dan ada pulak lebihan santan... Pada mulanya Ummi nak masak kuih lompat tikam...tapi memandangkan hari dah malam.. daun pandan pulak tak ada.... Jadi, saya cakap kat Ummi, apa kata buat bubur som-som je.. Lagipun mudah aje membuatnya.. Cuma leburkan santan, tepung beras dan secubit garam. Kacau atas api sederhana hingga masak dan pekat. Tuangkan dalam acuan dan tunggu hingga sejuk, barulah dipotong2 dan dimakan dengan air gula melaka.. Selamat mencuba.

21 March 2012

CENDOL


Cendol ni sedap dimakan waktu cuaca panas atau bulan puasa.. Kat daerah saya ni, cendol mudah diperolehi.. Kat pasar tani, pasar besar atau pekan sehari.. ada je yang menjual cendol. semuanya Melayu dan dipelopori oleh kaum wanita!! memang tak akan rasa was2 la kalau nak beli cendol.

Cendol ni sedap dimakan dengan pati santan campur air nissae (gula melaka atau gula merah). Kalau nak tambah pulut, jagung, cincau, kacang merah, buah kabung atau sagu.. terpulang.. ikut ler selera masing2 ye...Kalau kena ramuan dan lemak manisnya, memang sedap.. Nak hidangkan sejuk, kena tambah kiub ais... Makan gitu saja pun sedap juga..

Alkisah cendol ni diperbuat daripada tepung beras, air daun pandan dan air kapur.. Dikacau atas api sederhana hingga betul2 masak baru boleh dimasukkan ke dalam acuan cendol dan di"teran" ke dalam bekas berisi air sejuk.

22 October 2011

BUBUR KACANG HIJAU BERTELOR.



Sangat biasa bagi orang-orang Terengganu, tapi mungkin tidak bagi orang yang tidak biasa sebabnya, mereka takut akan rasa hanyir bila bubur yang manis dicampurkan telur. Mana tidaknya, kalau campur durian, logik lah juga kan.. Tapi itulah realitinya, bubur kacang ini memang sedap.. kalau kena lemak manisnya..

26 March 2011

PENGAT DURIAN + PULUT



Dalam perjalanan balik dari Tanjung Piai.. ada banyak gerai jual buah2an... Saya cuma tertarik pada pisang tanduk...Along & Angah sibuk mintak durian.. mau tak mau singgahla juga beli durian, pisang tanduk, ubi kayu dan petai..

Isi durian, saya buatkan pengat dan makan dengan pulut.. Lepas tu, saya buatkan sedikit sambal tempoyak + belacan yang Mai bagi... sedap.. Gara-gara makan pengat durian, saya cuti makan ubat hari ni..

14 March 2011

BUBUR CACA MARBA


Yum...yum... sedia untuk dimakan... Mangkuk ni kecik aje tau... tapi ambik gambar dekat2.. tu yang nampak macam besarrr....hehe

Ini kes teringin benar, orang pregnant pun kalah... Mau taknya.. dah jam 10.30 malam, tapi masih kelentang kelentung kat dapur.. Masak bubur caca.. Saja jer saya namakan caca marba.. sebab bahan2nya yang macam2...

Sebenarnya nak masak bubur ni malam semalam, tapi dah penat sangat.. Dah seminggu hubby beli keladi ni.. kalau simpan lama2 nanti, kan rosak pulak keladi tu.. Tapi yang spoilnya.. bahan2 semua dah siap, santan pulak wat hal... bila teringat balik.. geram betul kat penjual santan tu...dah ler harga cekik darah.. santan pulak banyak hitam2 hampas tempurung kelapa.. huhu...geramnya... Nasib baik ada susu cair, boleh la tambah buat pekatkan kuah.. Jom layan resipinya...


Yum...yum... sedia untuk dimakan... Mangkuk ni kecik aje tau... tapi ambik gambar dekat2.. tu yang nampak macam besarrr....hehe

BUBUR CACA MARBA

1/2 biji keladi, kupas kulit potong dadu
1 biji keledek saiz sedang, kupas kulit, potong dadu
2 sudu sagu biji
1/2 cawan caca kering
2 keret nissae atau gula melaka secukup manis
santan 1 paket
susu cair 1/2 tin
2 helai daun pandan
secubit garam

Cara2
Keladi dengan keledek dikukus sebentar. Dalam periuk lain, campurkan gula merah, santan, secubit garam dan daun pandan. Didihkan. Masukkan sagu dan caca. Kacau sampai sagu jernih. Kemudian, tambahkan susu cair. Kacau selalu supaya tidak pecah minyak. Akhir sekali, masukkan keledek dengan keladi yang telah dikukus. Biar mendidih sekali lagi, bolehla diangkat dan dihidangkan.

Selamat mencuba....

27 February 2011

BOKO UBI NISAE A.K.A GULA MELAKA


kalau bab nak deco makanan biar jadi cantik.. memang saya fail...cuma ceduk dan tuang kuah santan.. snap gambar dan makan....

Kuih ni dibuat pada minggu lepas.. tp baru teringat nak upload kat sini.. Kalau sebelum ni, guna perahan pandan dan gula pasir, kali ni aroma pandan, tp guna nisae.. Resipi dan cara membuatnya, sama jer.. Cuma tukar, gula kepada gula melaka.. Kedua-duanya sedap, kalau kena lemak manisnya..


yang ini, encik suami yang punya...

Selamat mencuba..

08 February 2011

BUAH KABUNG



Buah kabung ni biasanya dicampurkan ke dalam air batu campur (ABC) atau cikung. Tapi saya suka makan begitu saja. Sedap.....

22 January 2011

HOME MADE KAYA GULA HANGUS


siap untuk disajikan

Resipi ni agak2 jer sebab resipi asal dah hilang.. Cuma ingat bahan-bahan aje dan pernah buat beberapa kali. Hari ini, macam teringin nak buat sendiri, sebab kalau beli yang readymix punya tersangatlah manis..

Bahan-bahan
2 cawan gula pasir
5 biji telur gred A
1 sudu makan tepung gandum (digoreng tanpa minyak hingga kuning dan sejukkan)
1/2 cawan gula hangus
secubit garam
pati santan satu biji kelapa (beli yang siap perah RM1.30)- saya campur 1/2 tin susu cair
2 helai daun pandan, dikoyak2kan

Cara-cara membuatnya
Campur semua bahan dan tapis. Masukkan ke dalam kuali dan kacau tanpa henti atas api kecil sampai masak dan pekat.

Selamat mencuba.

13 December 2010

BOKO UBI KAYU a.k.a TALAM UBI



Tepung boko ubi kayu adalah salah satu kuih tradisional orang2 Kelantan. BOKO bermaksud talam/dulang bagi rakyat di negeri Kelantan/Terengganu. Sebut saja kuih talam, kita akan terbayang2 keenakan kuih2 lemak manis dan biasanya mempunyai sekurang-kurangnya dua lapisan. Lapisan bawah biasanya manis dan lapisan atas mempunyai rasa lemak santan kelapa.

Kuih ini juga merupakan kuih kegemaran saya dari dulu sampai sekarang. Dan kerana kuih ini juga sikecil saya "Ngecess" (kata orang jawa). Di sini saya kongsikan resipi kuih ini yang saya buat malam tadi.

Bahan-bahan lapisan bawah
3 cawan ubi kayu yang telah diparut dan diperah airnya.
5 cawan air daun pandan (kisar 10 helai daun pandan)
1 1/2 cawan gula atau secukup manis (boleh guna nisae atau gula melaka)

Bahan-bahan lapisan atas
1 cawan santan pekat
2 cawan air
3/4 cawan tepung beras
secubit garam
2 helai daun pandan disimpulkan

Cara-cara membuat lapisan atas.
Masukkan ubi, gula dan air daun pandan ke dalam kuali. Air perahan ubi dimendapkan dan ambil patinya. Airnya hendaklah dibuang. Gaulkan rata2 dan masak atas api sederhana hingga pekat. Angkat dari api dan masukkan ke dalam loyang yang telah disapu minyak dan kukus selama 40 minit atau hingga masak.

Cara-cara membuat lapisan bawah.
Campurkan kesemua bahan dan masak atas api sederhana hingga pekat. Boleh dituangkan ke atas lapisan atas atau dihidangkan berasingan.

Selamat mencuba.

29 November 2010

PINDANG TAPAI UBI


Kebetulan ada tapai ubi yang saya buat sendiri, jadi teringin pula nak makan pindang tapai. Kali ni baru betul, berbaloi2 sebab tapai ubi yang saya buat besar2 dan tidak hancur bila dimasukkan ke dalam kuah. Untuk resipinya, senang ajer..

Bahan-bahan

Tapai ubi secukupnya
santan secukup kegunaan (saya gantikan dengan susu segar)
secubit garam
daun pandan
1 biji telur - jika suka
Gula ikut manis (jika tapai dah manis, tak perlu taruk gula)

Cara-cara membuatnya
Campurkan santan, secubit garam, gula dan daun pandan yang disimpulkan. Masak hingga mendidih. Telur dipukul hingga kembang. Celupkan tapai ke dalam telur dan masukkan ke dalam kuah yang sedang mendidih. Kacau sebentar dan angkat.

nota : biasanya saya akan celupkan tapai telur dan gorengkan dulu sebelum dimasukkan ke dalam kuah. Pindang tapai ini sedap dimakan sejuk atau suam2.

Selamat mencuba.

26 November 2010

TAPAI UBI


Alhamdulillah, experimen kali pertamaku menjadi... tapai ubi yang sedap dan manis rasanya.. Ubi kayu ini adalah pemberian jiranku orang Sarawak.. katanya ubi ni tak sedap direbus sebab ubi dah tua. Kalau dibuat kuih boleh lah..

Pada mulanya, cuma nak makan boko ubi kayu..tapi terfikir pula, ada ragi apa kata cuba wat tapai... lagipun kalau beli tapai ubi kat sini, RM1.00 satu pek kecil, sekali ngap dah abis...Lalu, malam tu juga, terus telefon ummi, tanya macamana nak wat tapai ubi. boleh ke ubi yang dah tua dibuat tapai.. Ummi cakap, cuba dulu...tapi ada baiknya wat pengat atau kuih boko ubi...mana tau kot2 wat tapai tak menjadi... maklum, kerja tapai menapai ni banyak pantang larangnya..

Tapi keinginan untuk mencuba membuak2 kat dadaku ini.. So malam tu juga kerja2 membuat tapai ini bermula.. Siap tabur ragi dah jam 12.00 mlm.. Fuh, nak tunggu ubi tu sejuk, ngantuk giler...Dan sebelum tabur ragi kat ubi rebus tu, saya baca selawat 3 kali. Ini petua atok saudara supaya tapai cepat menjadi dan manis rasanya. Esoknya, jam 12.00 mlm juga, dgn hati yang berdebar2...saya cuba buka bungkusan kain pembungkus tupperware yang saya guna untuk peram tapai.. bau macam manis.. alhamdulillah, dgn tak sabar2nya.... ambil seketul dan makan... manis!!! yahoo!!! tapaiku menjadi!!

Bahan-bahan
2 ketul ubi kayu - anggaran 1 1/2kg
suku biji ragi tapai (saiz sebesar duit 50 sen)

Cara-cara
Ubi kayu dikupas kulit dan dibersihkan. Kena buang semua kulit, luar dan lapisan dalamnya. Potong2 ikut saiz yang dikehendaki. Kalau nak buat tapai, ubi tu kena cuci betul2. Kena kikis2 dengan pisau supaya hilang semua selaput ubi. Kemudian rendam ubi selama satu jam atau lebih. Didihkan air, masukkan ubi. Rebus sampai masak, tapi jgn sampai lembik macam nak makan ubi rebus. Cucuk dgn garpu dah lembut, bolehlah toskan airnya. Kemudian sejukkan. Kena tunggu ubi tu betul2 sejuk, baru ditabur ragi. Masukkan dalam bekas bertutup rapat. Bungkus dengan kain dan simpan ditempat gelap. Selepas dua atau tiga hari, dah menjadi la tapai ubi. Saya buat tapai ni satu hari setengah dah jadi..

Selamat mencuba...

30 October 2010

BUBUR BARLI CAMPUR PISANG

Hari ini, saya cuba masak bubur barli campur pisang.. Niat awal nak buat hidangan petang, tapi merebus barli ni lambat pula nk kembang.. Maka jadilah hidangan pencuci mulut selepas makan malam..

Sebenarnya dah lama beras barli ni saya beli, selalunya masak untuk buat air sahaja.. tapi selalunya barlinya tak dimakan, jadi kali ni saya cuba masak bubur pula... Resipinya agak2 saja, macam masak bubur lain...

BUBUR BARLI CAMPUR PISANG

Bahan-bahan
1 cawan barli, dicuci bersih
Air secukupnya
2 helai daun pandan, disiat2 dan disimpulkan
5 sudu gula pasir
secubit garam
1 cawan susu cair
3 biji pisang nangka (pisang tanduk atau pisang nipah pun sedap)

Cara Membuatnya
Barli direbus dengan air secukupnya hingga kembang dan lembut. Campurkan secubit garam dan gula secukup rasa. Masukkan juga daun pandan, susu cair dan juga pisang. Apabila pisang telah lembut, bolehlah dipadamkan api. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba

12 October 2010

SIRA ROTI

Teringat juadah yang ummi selalu buat masa kecil-kecil dulu iaitu sira roti.. Biasanya sira roti dibuat menggunakan roti bantal dan dipotong2 tapi saya menggunakan roti perancis yang saya beli kt tesco dua hari lepas.. dah keras sikit, tapi bolehlah .. kalau tak nanti tak pasal-pasal jadi makanan cik tong... tak baik...

Bahan-bahannya :

1 buku roti perancis, dipotong-potong(resipi asal guna roti bantal)
2 cawan santan
1 cawan susu segar (saja tambah sbb santan tak cukup)
secubit garam
3 sudu gula atau secukup manis
sehelai daun pandan
sebiji telur ayam, dipukul

Cara Membuatnya :
Campurkan santan, susu segar, garam, gula dan daun pandan di dalam periuk. Didihkan, sambil itu dikacau selalu supaya tidak meruap.. Masukkan roti dan telur yang dipukul.. Agak2 roti dah lembut, bolehlah dipadamkan api.. Sedia dihidangkan..

Selamat mencuba..

17 January 2009

BUBUR CACA

Nama yang sama, tapi berlainan rupa. Ada caca gandum, ada caca beras. Bagi mereka yang sukakan bubur atau pengat, pasti tahu akan bubur caca.

BUBUR CACA

Bahan-bahan A (kupas, potong dadu dan kukus hingga masak)
1 ketul keledek
1 ketul keladi
1/4 potong labu kuning

Bahan-bahan B
2 cawan santan pekat
4 cawan santan cair
secubit garam
2 helai daun pandan, disimpulkan
3 keping gula melaka

Bahan-bahan C (direbus hingga masak dan toskan)
2 sudu besar sagu mata ikan
1 mangkuk kecil bubur caca kering

Cara membuatnya

Campurkan semua bahan-bahan B dan masak hingga mendidih sambil dikacau selalu supaya tidak pecah minyak. Sesuaikan rasa mengikut manis yang dikehendaki dan campurkan semua bahan. Kacau sebentar dan angkat. Sedia untuk dihidangkan sejuk atau panas.


BUBUR CACA TEPUNG BERAS - VERSI KELANTAN

Bahan-bahan
500 gm tepung beras (boleh gunakan tepung gandum)
Air secukupnya
Acuan cendol

Air secukupnya untuk merebus + daun pandan

Bahan-bahan untuk kuah
Santan pekat satu biji kelapa
secubit garam
Daun pandan, disimpulkan
Gula melaka secukup manis

Cara menyediakan caca
Bancuh tepung dengan air secukupnya, adunan jangan terlalu kental atau terlalu cair. Didihkan air secukupnya. Masukkan ke dalam acuan cendol dan tekan adunan tepung terus ke dalam air mendidih, masak hingga adunan timbul. Toskan. Baru dimasukkan ke dalam kuah yang telah disediakan.

Cara membuat kuahnya

Campur semua bahan dan masak sampai mendidih, pecah minyak dan pekat. Baru dimasukkan adunan tepung caca yang telah dimasak tadi. Masak sekali lagi hingga mendidih, baru dipadamkan api dan sedia untuk dihidangkan sama ada sejuk atau panas.

20 November 2008

KUIH BUTIR NANGKA & ASAM GUPAL

Walaupun dipanggil kuih butir nangka, ia sebenarnya berkuah seperti pengat atau bubur. Hidangan lemak manis dan ringan ini sesuai untuk hidangan di waktu petang... Sangat mudah untuk disediakan.

KUIH BUTIR NANGKA

Bahan-bahan
1 paket tepung beras pulut
1 sudu teh air kapur
10 helai daun pandan, dikisar dan ambil patinya secukup kegunaan
1 biji kelapa, ambil santan pekat secukup kegunaan
Secubit garam
2 - 3 helai daun pandan, disimpulkan
2 - 3 sudu gula pasir
1 sudu besar halba

Cara membuatnya

Untuk kuahnya : Campur santan, garam, daun pandan yang disimpulkan, gula dan halba di dalam periuk. Ketepikan.

Dalam periuk yang lain, didihkan air secukupnya.

Dalam mangkuk lain, campurkan tepung pulut, air kapur dan pati pandan dan uli hingga kental dan tidak melekat ditangan. Gentelkan bulat-bulat kecil, kemudian bujurkan sedikit menjadi seperti biji buah nangka. Masak di dalam air mendidih hingga timbul. Toskan dan masukkan ke dalam kuah yang telah disediakan tadi. Jerang kembali di atas dapur dan tunggu hingga mendidih sebentar tapi jangan sampai pecah minyak. Padamkan api, sambil itu hendaklah dikacau selalu supaya suhunya turun sedikit untuk mengelakkan santan tidak berasingan dengan air. Hidangkan sejuk atau panas.

Nota :

Di dalam adunan pulut, boleh dimasukkan gula melaka sepertimana membuat onde-onde (buah melaka) tetapi di dalam kuahnya tidak perlu dicampur dengan gula.

Selamat mencuba.


Bahan-bahan yang sama untuk dibuat kuah, boleh dijadikan kuah asam gupal. Asam gupal adalah sagu biji yang dibubuh inti kacang hijau dan dimasukkan ke dalam kuah sepertimana kuih biji nangka. Boleh juga dibuat sagu yang kosong. Ada sesetengah orang mencampurkan sedikit hirisan halia di dalam kuah asam gupal, mungkin untuk membuang angin dan memanaskan badan sebab sagu adalah bahan bersifat sejuk kata orang tua-tua.

Walaubagaimanapun, tepuk dada, tanyalah selera..

ASAM GUPAL

Bahan-bahan
2 cawan sagu biji yang halus (mata ikan)
Air panas mendidih secukup kegunaan

Inti kacang hijau : Sangai 1 cawan kacang hijau, kemudian rebus hingga empuk bersama secubit garam dan daun pandan yang disimpulkan. Apabila telah empuk, campurkan gula melaka secukup manis dan masak sampai kering. Sejukkan dan gentelkan bulat-bulat.

Bahan-bahan untuk kuahnya : sama seperti membuat kuih butir nangka.

Cara menyediakannya

Cuci sagu biji di aliran air paip dalam tapis santan. Toskan. Masukkan dalam mangkuk dan tuangkan air panas. Kacau rata-rata agak-agak sehingga adunan boleh dikepal. Semasa masih panas, basahkan tangan dan kepal-kepalkan sagu tadi mengikut saiz yang dikehendaki. Masukkan inti ditengah-tengahnya dan bentukkan bulat. Masukkan ke dalam periuk kukus dan kukus hingga masak (sagu menjadi jernih) baru boleh diangkat. Kemudian masukkan ke dalam kuah dan masak lagi hingga mendidih tapi jangan sampai pecah minyak. Sesuaikan rasa dan angkat. Hidangkan sejuk atau panas.

Nota : Pastikan air untuk mengukus betul-betul mendidih ketika mengukus kuih ini.