KAWAN-KAWAN SAYA

30 September 2010

MEE REBUS JOHOR


Kalau berkunjung ke Johor, tidak lengkap sekiranya tidak menjamah mee rebus johor dan mee jawa. Kedua-dua hidangan mee ini berlainan nama tetapi ramuan yang digunakan tidak banyak perbezaan. Boleh dimakan dikala sarapan, dijadikan hidangan tengahari, petang dan juga malam.. Salah satu yang istimewa ialah mee rebus tulang.. (di dalam gambar ialah mee rebus tulang gearbox kambing, tetapi tidak menggunakan keropok rangup)

Di sini saya sertakan resipi mee rebus yang diolah sendiri, mengikut citarasa sendiri.. setelah mencuba beberapa kali maka terhasillah resipi mee rebus ini..
MEE REBUS TULANG

Bahan-bahan
1kg mee kuning, direndam di dalam air mendidih hingga lembut dan toskan (lalukan di bawah air paip untuk mengelakkan mee melekat)
4 - 5 biji telur rebus atau telur pindang
5 keping tauhu, digoreng dan potong nipis
5 biji telur ayam, direbus dan dibelah 2 (pilihan)
daun sup dan daun bawang, dihiris halus
5 biji cili hijau, dipotong nipis
5 biji limau kasturi, dibelah 2
RM1.00 bawang goreng
RM1.00 taugeh, buang ekor dan celur dalam air panas
keropok rangup (adunan keropok sepertimana membuat rempeyek atau tumpi, tetapi tidak menggunakan kacang dan digoreng menjadi keropok. Hancurkan ke dalam mee apabila hendak dimakan)

Bahan-bahan untuk kuah
500gm - 1kg tulang gearbox kambing (dicuci bersih dan rebus dengan 1.5 liter air + serai dan halia yang diketuk dan rempah sup bunjut selama 2 jam atau hingga empuk)
500 gm tetel/daging, direbus bersama tulang gearbox kambing
500 gm keledek oren, dikupas, potong dadu dan direbus sampai lembut, kemudian dikisar lumat
garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa
4 sudu besar rempah kari (pilihan sendiri) + air panas
3 sudu besar asam jawa, perah ambil air
1 cawan minyak untuk menumis

bahan-bahan kisar (anggaran, boleh dilebihkan atau dikurangkan ikut citarasa sendiri)
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
2 batang serai
1 senduk taucu (dicuci dan toskan airnya)
1 cm halia
1 cm lengkuas
10 biji cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas

Cara menyediakan kuahnya
Panaskan minyak dan tumiskan bahan2 kisar sampai garing dan pecah minyak. Masukkan rempah kari, air asam jawa, garam, gula dan serbuk perasa. Kacau sebati, masukkan keledek yang dikisar, tetelan atau hirisan daging yang telah direbus dan juga tulang kambing yang direbus beserta air rebusannya.. Masak sampai mendidih dan renehkan setengah jam sebelum sedia dihidangkan. Kuah jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Sesuaikan rasa masam manis dan pedas mengikut citarasa sendiri. Hidangkan dengan mee dan bahan2 lain. Selamat mencuba.

nota :
Kuah mee rebus ini juga sedap jika menggunakan udang kering atau udang geragau kering dengan cara mengisar udang kering atau udang geragau kering dan dimasukkan sebaik sahaja bahan-bahan tumisan telah garing.

Selamat mencuba

26 September 2010

MEE BANDUNG

Jauh berjalan, luas pandangan..juga banyak ilmu saya perolehi.. dari utara ke selatan, macam2 dah saya belajar, memasak dan juga adat resam sesuatu tempat.. tapi saya tak nak bercerita pasal adat resam, sebab blog saya ialah blog resipi masakan... Ke mana saja saya pergi, saya mesti dapatkan satu resipi untuk saya kumpul jadikan koleksi..jika berkesempatan, pasti saya akan cuba memasak resipi tersebut.
Saya belajar memasak mee bandung dengan Kak Ana, iaitu kakak ipar adik saya, orang Muar, Johor.. Resipi yang ringkas dan cukup mudah disediakan, sesuai dihidangkan pada bila-bila masa sahaja.. Nama aje resipi ringkas, tapi sebenarnya banyak persediaan perlu dibuat... tak mengapa, asalkan berbaloi.. Resipi ini boleh diubah suai ikut selera sendiri..

Perencah Mee Bandung (Untuk 1kg Mee Kuning)

20 - 25 tangkai cili kering
1 labu bawang putih
5 biji bawang merah besar
250gm udang kering (boleh ganti udang geragau untuk save budget, maklumlah udang kering, mahal harganya...)
garam secukup rasa
1 cawan minyak untuk menumis atau secukupnya

bahan2 untuk dikisar berasingan
1 cawan kacang tanah goreng, dikisar jangan terlalu halus
5 keping biskut marie/cream crackers, dikisar halus

cara menyediakan perencah
Panaskan minyak, tumiskan bahan2 kisar hingga garing, masukkan kacang tanah dan serbuk biskut marie, tambahkan sedikit air, garam secukup rasa dan masak sampai pekat. Gunakan secukup kegunaan.

AIR REBUSAN UNTUK MEE BANDUNG (boleh juga diguna untuk memasak masakan lain)
1kg tulang / gearbox lembu atau kambing
1 kg daging tanpa lemak
Air secukup kegunaan
2 batang serai, dititik
3 inci halia, dititik
1 labu bawang putih
1 sudu lada sulah

Campurkan semua bahan dalam periuk dan rebus hingga empuk. Daging yang telah empuk dipotong nipis2.

nota : boleh juga gunakan rangka ayam


MEE BANDUNG

Bahan2
Mee kuning secukup kegunaan
Sayur sawi/kobis/bunga kobis dan lain2 dipotong (apa2 sayur yang sesuai)
Buah tomato dan cili merah, dipotong2
air rebusan daging secukup kegunaan
sedikit hirisan daging rebus, kerang, udang hidup, hirisan sotong segar, fish cake, fish ball, ayam dan lain-lain (ikut pilihan sendiri)
bawang putih, diketuk dan minyak untuk menumis
perencah mee bandung secukupnya
Telur secukupnya
garam secukup rasa

Bahan-bahan hiasan
Tauhu digoreng dan dihiris nipis
Daun sup, daun bawang, dihiris halus
Bawang goreng
Hirisan cili merah/hijau atau cili jeruk, jika suka

Cara Membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih hingga naik bau. Masukkan perencah mee bandung, hirisan daging, udang, kerang, sotong, fishball dan fishcake. Kacau hingga udang dan sotong setengah masak, tambahkan air rebusan daging/tulang. Kuah jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Tambahkan garam secukup rasa dan perencah jika perlu. Sesuaikan rasa, baru dimasukkan mee dan juga sayur-sayuran, pecahkan telur sebiji-sebiji tapi jangan dikacau. Bila telur setengah masak, sendukkan ke dalam mangkuk untuk menghidang. Hiaskan dengan tauhu goreng, daun sup, daun bawang, bawang goreng dan hirisan cili. Sedia untuk dihidangkan. Sedap dimakan panas-panas.

Selamat mencuba.. Gambar akan diupload kemudian..

MEE ATAU MIHUN BAKSO



Bebola atau Bakso dalam bahasa Indonesia.. satu lagi juadah yang sangat simple dan sedap.. Sesuai dihidangkan bila-bila masa sahaja.. Boleh dihidangkan dengan mee, mihun atau dimakan dengan nasi.. Juadah ini saya pelajari dari jiran, orang Boyan yang berasal dari Indonesia.. Terima kasih Kak Siah..

MEE /MIHUN BAKSO

1 bungkus bakso sapi (600gm bebola daging)
1 ekor ayam, potong kecil
garam dan serbuk perasa secukup rasa
Air secukupnya untuk kuah
minyak untuk menumis

Bahan-bahan bumbu (dihaluskan)
20 biji bawang merah
2 labu bawang putih
3 inci halia
1 senduk merica bubuk
4-5 biji kemiri

Bahan-bahan hidangan bakso
2 kg mee kuning atau 2 paket mihun
Kubis dihiris halus
Taugeh - jika suka
Daun sup, daun bawang, dihiris halus
Bawang goreng
Limau kasturi, dibelah 2
Sambal cili (cili padi + kacang tanah goreng, ditumbuk halus)

Bahan2 pelengkap bakso (import khas dari Indonesia, kalau susah nak dapat, gunakan aje kicap dan sos kegemaran)
Kicap manis ABC
Sambal cili ABC
Sambal tomat ABC

Cara Menyediakannya
Panaskan minyak dan tumiskan bumbu yang telah dihaluskan sehingga garing dan pecah minyak. Masukkan ayam dan gaul rata.. Tunggu hingga ayam kecut dan separuh masak, baru dimasukkan air secukupnya untuk kuah. Tambahkan garam dan serbuk perasa.. Apabila mendidih, masukkan bebola daging.. Masak hingga bebola timbul, teruskan mereneh selama setengah jam. Sesuaikan rasa dan boleh disajikan dengan mee, mihun atau nasi putih.

nota : kalau nak lagi sedap rasa bakso ni, boleh gunakan air rebusan tulang lembu atau kambing, tambahkan juga udang kering.. terpulang kepada selera dan citarasa masing-masing..


Selamat mencuba.