KAWAN-KAWAN SAYA

03 October 2010

ACAR

Acar.. satu lagi hidangan pembuka selera selain sambal belacan.. Ada mentah (sesetengah tempat dipanggil pencok atau rojak), acar kuning, acar rampai, acar masak dan tidak kurang juga acar jeruk buah-buahan atau acar rempah. Sesuai dihidangkan di dalam pelbagai majlis, asalkan hidangan nasi disediakan oleh pihak tuan rumah.. Biasanya acar timun + nenas yang sering menjadi pilihan, kerana selain bahan2 tersebut mudah diperolehi, ianya mudah untuk disediakan.

Di dalam penyediaan acar mentah, ramuan utama menyediakan acar ialah cuka, gula dan garam. Tetapi di sesetengah tempat, mereka tidak menggunakan cuka kerana dikhuatiri berasid dan boleh menyebabkan perut meragam. Sebagai pengganti cuka, mereka menggunakan jus perahan limau nipis, limau kasturi dan tak kurang juga jus buah oren. Terpulang kepada cita rasa masing-masing.. Saya tetap menggunakan cuka sebagai ramuan acar kerana cuka menjadi pengawit kepada buah-buahan atau sayur-sayuran yang digunakan selain rasanya yang sedap dan tidak mudah basi. Ada orang menambahkan udang kering yang ditumbuk halus dan juga kacang tanah goreng untuk menambahkan rasa dan dipanggil acar jelatah. Ada sesetengah orang suka makan acar yang sayur-sayurannya masih ranggup, manakala sesetengahnya pula lebih suka acar diperam lebih lama dan berair. Tepuk dada tanya selera.

Di sini saya sediakan resipi acar yang selalu saya buat untuk hidangan keluarga.

ACAR TIMUN MENTAH

2 biji timun susu , dikupas kulit dan dilorek dengan garpu, kemudian dipotong bulat. Jangan terlalu nipis atau terlalu tebal. (Jika menggunakan timun yang banyak empulur, lebih sesuai sekiranya dipotong sepanjang satu inci, keluarkan empulur dan potong dadu panjang)
1 biji bawang besar, dimayang halus
2 biji cili merah/hijau, dimayang halus
1 cm halia muda, dimayang halus (jika suka)
1 batang umbut serai, dimayang halus (jika suka)
1/2 sudu teh garam
3 sudu makan gula
3 - 4 sudu makan cuka

Cara menyediakannya :
Gaul semua bahan perap kira-kira setengah jam sebelum dihidangkan.

Nota : Selain timun, kubis, lobak merah, nenas dan epal hijau juga sesuai dijadikan acar. Malah buah gajus yang masak pun sedap dijadikan acar yang dicampur udang geragau kering. Caranya ialah dengan cara memotong nipis buah gajus, nenas dipotong dadu. Tambahkan hirisan bawang besar dan cili merah/hijau. Tambahkan udang geragau kering, garam gula dan cuka secukup rasa. Gaul rata-rata dan sedia untuk dihidangkan.

ACAR KUNING SIMPLE

Bahan-bahan
2 biji timun, potong satu inci, buang empulur dan didadu panjang.
10 biji bawang merah kecil (biarkan sebiji-sebiji)
3-5 biji bawang putih kecil (biarkan sebiji-sebiji)
2-3 biji cili merah, dibelah 2
1 inci halia, dimayang halus
1/2 sudu teh kunyit serbuk
1 sudu teh biji sawi
2 sudu minyak untuk menumis
3 biji bawang merah, dihiris halus
2 biji bawang putih, dihiris halus
1/2 sudu teh garam
3-4 sudu gula
3-4 sudu cuka atau secukup kegunaan

Caranya
Panaskan minyak dan tumiskan biji sawi dan bahan-bahan hiris hingga kekuningan, masukkan serbuk kunyit, cuka, gula dan garam. Masak sampai pekat, Masukkan timun, bawang-bawang dan cili. Bila separuh masak, padamkan api.

nota : tak perlu ditambah air kerana acar ini akan mengeluarkan airnya sendiri. Penggunaan garam, gula dan cuka adalah mengikut citarasa sendiri.

Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment