KAWAN-KAWAN SAYA

Showing posts with label MAKANAN TRADISI. Show all posts
Showing posts with label MAKANAN TRADISI. Show all posts

10 November 2012

PULUT KUNING, BUBUR PUTIH BUBUR MERAH

Assalamualaikum wbt

Semalam buat pulut kuning, siap bunga telur dan telur merah lagi.. Untuk meraikan sibujang sulung yang akan masuk jawi (berkhatan) minggu depan.  
Di Kelantan/Terengganu, pulut kuning atau lebih dikenali dengan nama pulut semangat dan bunga telur adalah penting di dalam setiap majlis... sama ada bertunang, nikah, berkatan dan juga katam Al Quran.  Ianya merupakan simbol adat dalam majlis dan juga sebagai tanda kesyukuran.
 Telur merah pun tak merah sangat, sebab takde pencelup merah..
Kepada kawan2 yang masih belum tahu cara2 menyediakan pulut kuning, disini saya kongsikan resipi dan cara2 membuatnyanya...

PULUT KUNING atau PULUT SEMANGAT
Bahan-bahan
1kg beras pulut
1 cawan pati santan drp 2 biji kelapa + 1 sudu kecil garam
Serbuk kunyit
2 keping asam gelugur

Cara2
Beras pulut dicuci dan direndam selama sekurang2nya 4 jam.  Jika menggunakan beras pulut usang, seelok2nya satu malam.   Dalam air rendaman, campurkan sekali 2 keping asam gelugur dan serbuk kunyit.  Seteleh cukup tempoh rendaman, toskan.

Kukus pulut dalam periuk mengukus selama 45 minit atau sehingga naik wap.  Pada masa ni, pulut baru tiga suku masak)  Keluarkan pulut dari periuk mengukus dan tuangkan ke dalam besen.  Semasa masih panas berasap2 tu, masukkan santan yang telah dicampurkan dengan garam.  Kacau cepat2 hingga rata dan keluar minyak.

Masukkan kembali ke dalam periuk mengukus dan kukus sekali lagi selama 30 minit.  Setelah masak, boleh dikeluarkan dari periuk mengukus dan karih2kan supaya berderai cantik. Setelah itu bolehlah dihidangkan.  Kalau nak buat pulut kuning untuk gubahan, pulut kena tekan padat ke dalam bekas semasa masih panas.  Hiaskan dengan bunga telur atau telur dadar.

Pulut kuning yang telah masak boleh dihidangkan dengan kari atau rendang. 

Untuk telur dadar, saya pecahkan 5 biji telur ayam, satu labu bawang besar, setengah inci halia dan satu sudu kecil lada hitam.  Tambah sedikit garam dan kisar dalam blender sampai lumat.  Kemudian dadarkan nipis2 dalam kuali leper.  Dah masak, gulung2kan telur dadar.. Kemudian dipotong nipis untuk ditaburkan di atas pulut kuning sebagai hiasan.

Bubur putih bubur merah, ikut adat sebelah suami, orang jawa.. sebagai tanda kesyukuran.  Bubur ni saya masak dan bahagikan kepada jiran2 dan kawan2 anak...Alhamdulillah, dah selesai semuanya.

Untuk memasak bubur putih bubur merah, bahan2 yang diperlukan adalah :
4 cawan beras
6 air secukupnya
4 cawan santan pekat
secubit garam
2 helai daun pandan
2 cawan gula merah (saya guna 4 keping gula kerek/nisan)

Cara2
Bersihkan beras dan masak dengan air secukupnya sampai lembut.  kemudian asingkan sedikit untuk bahagian putihnya.  Tambahkan gula merah, garam dan santan.  Masak sampai pekat.  Untuk bahagian putihnya, cuma tambahkan garam dan santan sahaja.  Masak sampai pekat.  Ketika menghidang, sendukkan bubur merah ke dalam mangkuk, kemudian tambahkan sedikit bubur putih.  Sedia untuk disajikan.

Selamat mencuba.

10 July 2012

PULUT DURIAN

Assalamualaikum wbt..
Sekejap saja masa dah berlalu.. Musim durian dah kembali.. atau memang durian sekarang dah tak bermusim..Tapi tak apalah, janji durian dah ada.. boleh makan pulut durian... Bahan-bahan yang perlu ada untuk menyediakan pulut durian, mestilah pulut...sama ada ditanak atau dikukus, terpulang la ya.. Ada orang suka pulut yang ditanak dengan santan.. Tapi saya suka yang ringkas2 aje.. tanak kosong macam masak nasi biasa.. Atau... kalau takde pulut, guna nasi putih pun oklah.. tp jangan panggil pulut doyan ye..
Kalau dah ada pulut, mesti ada buah durian... nama pun pulut durian kan...tapi jangan lupa kopek dan ambil isinya saja.. tak buang biji pun takpe.. masa makan nanti, bijinya dibuanglah..Lepas tu, mesti ada santan.. terpulang la nak pekat ke nak santan cair.. saya suka yang sedang2... tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair.. campur secubit garam.. atau sesedap rasa.. dan sediakan juga nisan atau gula melaka yang diracik2... kalau takde juga.. gula pasir pun bolehlah... Dah lengkap semua, pulut,santan, nisan dan durian..... kalau nak makan tu, ambik lah berapa banyak pulut dan durian yang kita nak dan curahkan santan.. Taruk nisan yang telah diracik halus secukupnya... Lepas tu makan lah puas2.. Selamat mencuba..

24 October 2010

KEROPOK LEKOR LAGI..






Petang tadi, minum petang dengan keropok lekor...buat sendiri, guna ikan tamban.. import tepung sagu dari Terengganu.. hahaha, baru puas hati, keropok dah menjadi... Berbeza dengan entry saya sebelum ini, kali ini saya cuma gunakan sedikit sahaja tepung sagu iaitu cuma lebihkurang 500gm sahaja dengan kuantiti ikan sebanyak 1kg.. itupun sebab isi ikan tu saya kisar guna blender, kena tambah air.. kalau guna isi ikan yang ditumbuk, kuantiti tepung mungkin kurang dan kualiti keropok makin sedap..  Keropok yang telah siap, boleh direbus dulu sebelum digoreng atau terus goreng dan dimakan panas2 dengan air lada (sos cili buatan sendiri, khas untuk keropok lekor).. Lihat entry saya sebelum ini untuk mendapatkan resipinya..

Selamat mencuba..


19 October 2010

LONTONG




Satu lagi hidangan "trademark" Johor iaitu Lontong.. Ada dua variasi lontong iaitu, lontong berkuah dan lontong kering.. Lontong berkuah iaitu set lengkap nasi impit/ketupat dengan sayur lodeh dan sambal tumis dan telur rebus atau lain2, manakala lontong kering ialah set lengkap nasi impit/ketupat, sambal goreng jawa, serunding, sambal tumis atau rendang..

Selain ketupat daun kelapa atau ketupat segera, nasi impit yang biasa digunakan dalam penyediaan lontong yang original adalah dimasak dalam daun pisang, dan banyak dijual di pasar2 basah di sini.

Lontong bukan sahaja menjadi menu wajib bagi setiap rumah di negeri Johor apabila tiba musim perayaan, tetapi juga salah satu menu sarapan pagi di setiap warung2 di negeri ini.

Hari ni, teringin benar nak makan lontong.. Saya sebenarnya kurang gemar lontong berkuah lodeh, saya lebih suka lontong kering.. tapi, hari ini teringin benar.. Mungkin sebab kurang sihat citarasa pun berubah... hehehe.. Walaupun tengah sakit kepala (High BP), saya masuk dapur, terus tanak nasi impit..... siapkan bahan2 untuk kuah lodeh, sambal udang dan sambal kacang.. Ada pulak satay kat freezer, saya keluarkan.. terus call husband, supaya belikan bahan2 untuk masak sayur lodeh.. Walaupun tak complete, ok lah buat lepas kempunan...

LONTONG

Bahan-bahan
Nasi impit daun pisang (beli ready mix kat KipMart) atau nasi impit di tanak sendiri..
Sambal tumis ikan bilis / sambal udang (untuk resipi sambal tumis ikan bilis, boleh rujuk resipi saya sebelum ini)
Sambal kacang
Sayur lodeh
Telur rebus - jika suka

Bahan-bahan untuk sayur lodeh
4 batang kacang panjang
2 helai kobis
2 keping tempe, dipotong kecil dan digoreng
2 keping tauhu, dipotong kecil dan digoreng
1/2 batang karot, dipotong bulat2 atau bentuk bunga
1 biji terung bulat
sedikit fucuk dan suhun (direndam)
10 ekor udang basah
1 biji bawang besar
2 biji lada hidup
1 batang serai, diketuk
sedikit minyak untuk menumis
santan secukup kegunaan
garam secukup rasa

bahan-bahan tumbuk
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1cm lengkuas
1cm kunyit hidup

Cara-cara
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk hingga garing, masukkan udang dan serai, kacau sebentar, baru dimasukkan santan dan sayur-sayuran. Kacau selalu supaya tidak pecah minyak. Tambah garam secukup rasa.

Bahan-bahan untuk sambal kacang
1 cawan kacang tanah yang dikisar
1/2 cawan santan pekat
garam dan gula melaka secukup rasa
sedikit air asam jawa
minyak untuk menumis
setengah sudu teh jintan putih + jintan manis

Bahan-bahan kisar
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
2 sudu cili kering yang telah dikisar
2 biji buah keras
1 batang serai
sedikit lengkuas
2 sudu udang kering

Cara Membuatnya
Panaskan minyak, tumiskan jintan hingga naik bau. Masukkan bahan-bahan kisar dan kacau sampai garing. Masukkan garam dan gula dan terus kacau sampai naik minyak merah. Baru dimasukkan kacang, air asam jawa dan santan. Masak sampai pekat. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan.

Bahan-bahan untuk sambal udang
500 gm udang, dikopek kulit dan belah belakang (gaul sedikit garam kunyit)
2 labu bawang besar, dimayang
sedikit air asam jawa
garam, gula secukup rasa
minyak untuk menumis

Bahan-bahan kisar
5 biji bawang putih
10 biji bawang merah
1 senduk cili kisar
1 batang serai
2 biji buah keras
sedikit belacan - jika suka

Cara-cara
Panaskan minyak dan gorengkan udang sehingga masak. Ketepikan. Dalam minyak yang sama, gorengkanbawang besar hingga garing, masukkan bahan-bahan kisar. Kacau hingga garing dan naik minyak, kemudian tambahkan garam, gula dan air asam jawa. Akhir sekali, masukkan udang yang telah digoreng tadi. Kacau sebentar dan angkat. Sedia untuk dihidangkan.

Cara menyediakan lontong
Masukkan secukupnya ke dalam mangkuk, campurkan sayur lodeh, sedikit sambal kacang, sambal tumis dan telur rebus. Sedia untuk dihidangkan.

nota :
sebenarnya kita boleh hidangkan lontong dengan macam-macam jenis lauk yang kita suka seperti ayam masak kicap, masak merah , rendang dan sebagainya.. Tepuk dada tanya selera..
untuk hidangan lontong kering, tambahkan sedikit serunding kelapa dan gantikan sayur lodeh dengan sambal goreng jawa (sila rujuk resipi sambal goreng jawa di dalam resipi nasi ambeng)

Selamat mencuba..

13 October 2010

KEROPOK LEKOR

Bila berjauhan dari kampung halaman, mulalah teringat nak makan benda yang tak ada.... Mula lah nak bereksperimen yang bukan2...maka menjadi lah keropok lekor ni, biarpun tak ori.. coz kat Johor ni susah nak dapat tepung sagu rumbia.. tepung ubi pun jadi le....

Nak tahu resipinya..

2 kg ikan selayang
1 1/2 paket tepung ubi (anggaran)
2 sudu kecil garam
sedikit ajinomoto
Kiub ais secukupnya

Cara Membuatnya
Mula2 ikan disiang dan buangkan tulangnya.. dengan cara potong sirip depan dan belakang dimulai dari bahagian ekor. Kerat dibahagian ekor dan juga kepalanya. Tolak isi ikan guna iby jari dari bahagian ekor ke atas.. Dah siap, gaulkan dengan kiub ais bertujuan untuk membuang lemak ikan. Perap lebih kurang 10 minit, kemudian toskan .. Ini petua supaya keropok tak jadi liat...(kata orang lah... wallahuaklam)
Lepas tu bolehlah ditumbuk lumat atau gunakan pengisar tanpa air. Tambah garam, ajinomoto dan gaul rata. Tambah tepung sedikit2 sampai boleh digentel jadi keropok.. Sapukan sedikit tepung ubi pada papan pencana, gentelkan adunan keropok sebesar mana yang disukai.. Ulangi proses sampai habis...Sementara itu, didihkan air.
Dah siap gentel keropok, rebus dalam air mendidih hingga timbul.. atau terus digoreng dalam minyak panas hingga masak. Bolehlah dihidangkan dengan sos.

04 October 2010

SOTO AYAM

Soto ialah satu hidangan yang popular di negeri Johor.. Satu hidangan yang tidak begitu berat, boleh dimakan pada bila-bila masa sahaja.. Dihidangkan bersama-sama nasi impit, mee atau mihun.. Bahan-bahan dan cara membuat soto adalah seperti berikut:-

Bahan untuk kuah soto
1 ekor ayam, dibelah empat dan dibersihkan
1 liter air
1/2 cawan pati santan
garam dan serbuk perasa secukup rasa
minyak untuk menumis
rempah empat sekawan : kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan cengkih

Bahan-bahan untuk dikisar
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
2 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai
2 sudu ketumbar
1 sudu jintan manis
1 sudu jintan putih
1 sudu lada hitam
2 - 3 biji buah keras
segenggam udang kering

Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan hingga wangi, masukkan bahan-bahan dan tumis hingga garing. Masukkan ayam, santan pekat garam dan serbuk perasa. Tutup periuk dan kecutkan ayam, tunggu hingga ayam berubah warna. Gunakan api yang kecil. Tambahkan air secukupnya dan masak sampai mendidih dan ayam empuk. Keluarkan ayam, siatkan isinya. Tulang2 dimasukkan kembali ke dalam kuah, teruskan mereneh selama 1/2 hingga satu jam. Sesuaikan rasa dan hidangkan.

Bahan-bahan pelengkap soto
Nasi Impit / Mee atau Mihun
Daun sup dan daun bawang yang dimayang halus
kacang tanah goreng
Suhun - digoreng
Bawang goreng
Taugeh atau kobis yang disagat halus
Limau kasturi
Sambal kicap
Bergedil

Cara-cara menyediakan sambal kicap
20 biji cili padi - boleh digunakan mentah atau digoreng dahulu
1 labu bawang putih - boleh digunakan mentah atau goreng dahulu
1/2 botol kicap manis
gula sekiranya perlu

Satukan semua bahan dalam blender, dan kisar hingga lumat.

Bergedil
1/2 kg kentang, kupas kulit dan potong dadu, dan digoreng. ketika panas, lenyekkan hingga halus
450 gm daging kisar, direbus hingga kering airnya
3 biji bawang besar, dimayang halus dan digoreng
2 sudu bawang merah goreng
2 tangkai daun sup dan daun bawang, dimayang halus
2 biji cili merah dan hijau, dimayang halus
1 sudu teh lada sulah
garam dan serbuk perasa
2 sudu tepung jagung

2 biji telur dipukul
minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya
Campurkan semua bahan kecuali telur. Bentukkan bulat dan leperkan. Sejukkan dalam peti ais selama setengah jam sebelum digoreng untuk mengelakkan bergedil hancur ketika digoreng. Panaskan minyak untuk menggoreng. Celupkan bergedil ke dalam telur dan goreng dalam minyak tenggelam hingga kekuningan.

Selamat mencuba..

17 January 2009

POPIAH

Sebut saja popiah, semua orang tahu. Ada yang suka popiah goreng, ada yang menggemari popiah basah. Tidak kurang juga popiah vietnam yang eksotik tapi menyelerakan dan berkhasiat.


POPIAH GORENG

Bahan-bahan
Kulit popiah secukupnya
Sedikit tepung gandum + sedikit air dibancuh untuk dijadikan gam
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan inti (disagat halus)
Sengkuang, lobak merah, kacang panjang atau kacang buncis, taugeh dan kobis
Tauhu goreng, dihiris halus
Udang hidup, buang kulit dan potong kecil
Bawang putih, bawang merah dimayang
Cili merah dimayang
Minyak untuk menumis
Garam dan serbuk perasa secukup rasa

Cara Menyediakan inti
Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih dan bawang merah, masukkan udang, kacau sebentar, campur semua sayur-sayuran. Tambahkan garam dan serbuk perasa secukup rasa dan kacau hingga sayur-sayuran separuh masak. Angkat dan sejukkan. Isikan inti ke dalam kulit popiah, gulung ketat2 dan gamkan dengan bancuhan tepung tadi. Buat hingga habis. Kemudian bolehlah digoreng hingga kuning keemasan. Toskan dan hidangkan panas-panas dengan sos yang digemari.

Cara Membuat Sos Popiah
1 senduk cili kisar atau mengikut citarasa
2 senduk gula melaka
1 senduk gula pasir
1 sudu besar asam jawa + ambil air secukupnya
Garam secukup rasa
1/2 botol sos cili
1/2 botol sos tomato
Sedikit bijan, digoreng tanpa minyak hingga kekuningan


Cara
Campurkan semua bahan kecuali sos cili dan sos tomato. Masak atas api hingga mendidih dan pekat. Sesuaikan rasa, baru dicampurkan sos cili dan sos tomato tadi. Angkat dari api dan sejukkan, taburkan bijan goreng. Sedia untuk dihidangkan bersama popiah goreng atau popiah basah.

POPIAH BASAH

Cara membuat inti, seperti popiah goreng
Kacang tumbuk secukup kegunaan
Daun salad untuk hiasan

Bahan-bahan untuk kulit popiah basah

500 gm tepung gandum
1 biji putih telur
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil cuka makan
2 sudu makan minyak jagung
Air secukupnya

Cara

Campur semua bahan dan kepekatannya adalah sepertimana membuat jemput-jemput. Peram sekurang-kurangnya 4 hingga 8 jam atau adunan kelihatan bertali apabila dicedok. Barulah boleh dileser atas kuali leper yang panas. Buat hingga habis.

Cara menyediakan popiah basah
Ambil sekeping kulit popiah, sapu sedikit sos yang pekat dan taburkan kacang tumbuk. Masukkan inti dan gulung. Hiaskan dengan daun salad dan sedia untuk dihidangkan.


POPIAH VIETNAM

Rice paper secukupnya (boleh didapati dipasaraya)
Air suam

Disediakan berasingan
Udang hidup, buangkan kulitnya dan direbus
Suhun, direbus hingga lembut dan toskan
Daun salad
Telur, dibuat telur dadar dan dihiris nipis
Timun, dibuang empulur dan disagat halus
Sengkuang, dikupas dan disagat halus
Lobak merah, disagat halus
Daun selasih secukupnya, ambil daunnya sehelai-sehelai

Cara Menyediakannya

Celupkan rice paper ke dalam air suam, bentangkan ke atas papan pemotong (boleh digunakan pinggan leper). Letakkan sekeping daun salad ke atasnya, diikuti daun selasih, seekor udang rebus, sedikit hirisan telur dadar, suhun, timun, sengkuang dan lobak merah. Gulung ketat2. Buat sehingga habis. Sedia untuk dihidangkan dengan sos.

Bahan-bahan sos
10 biji cili padi
1 labu bawang putih
Gula dan cuka secukup rasa
Garam secuku rasa / Sos nampla secukup kegunaan (jika suka)
Kacang tumbuk, jika suka

Cara Membuatnya

Cili padi dan bawang putih ditumbuk kasar-kasar. Campurkan gula, cuka dan sos nampla. Kacau rata-rata dan sesuaikan rasa. Jika suka, boleh ditaburkan kacang tumbuk.

Selamat mencuba

20 November 2008

PAIS IKAN TERENGGANU & BOTOK-BOTOK JOHOR

Kalau di negeri Johor dipanggil botok-botok, orang Pantai Timur menamakannya Pais. Bezanya, botok-botok dicampur dengan pelbagai jenis ulam dan dikukus dalam daun pisang, manakala pais pula hanya diwangikan dengan daun kesum dan dibakar dalam daun pisang. Kedua-duanya sangat istimewa bagi saya dan menjadi salah satu hidangan favorite saya.

Berikut adalah resipi ikan pais yang sudah lama saya tidak sediakan kerana waktu yang tidak mengizinkan. Tetapi, resipi ibunda saya tetap saya simpan untuk rujukan apabila diperlukan. Di sini saya abadikan untuk tatapan semua. Resipi botok-botok saya dapat dari salah satu rancangan masakan di televisyen... dah lupa apa nama rancangan tu..

PAIS IKAN

Bahan-bahan (anggaran sendiri)
Ikan segar (apa-apa sajalah), dipotong kecil atau dibiar seekor (jika saiznya kecil)
Daun kesum, petik daunnya sahaja
Daun kunyit, dihiris halus
Garam secukup rasa
Sedikit air asam jawa
Kerisik secukup kegunaan
Kelapa parut, ditumbuk
Rempah kari ikan
Garam, gula dan serbuk perasa
Daun pisang untuk membungkus

Bahan-bahan untuk ditumbuk
Bawang merah
Bawang putih
Halia, kunyit, lengkuas, serai
Cili kering

Cara menyediakannya
Gaulkan kelapa parut dengan bahan-bahan yang ditumbuk, air asam jawa, rempah kari, garam, gula, serbuk perasa, kerisik, daun kesum dan daun kunyit.

Bentangkan beberapa lapis daun pisang dan letakkan sedikit ramuan tadi, diikuti ikan dan timbuskan dengan baki ramuan. Bungkus kemas-kemas dan panggang atas bara api sehingga masak. Hidangkan panas-panas.


Nota : Selain ikan, udang dan sotong juga boleh dibuat pais

BOTOK-BOTOK IKAN TENGGIRI

Bahan-bahan anggaran sendiri
Ikan tenggiri (dipotong-potong)
Daun pisang untuk membungkus
Kelapa parut
Rempah kari ikan
Santan pekat
Kerisik
Air asam jawa
Garam secukup rasa

Bahan-bahan ditumbuk halus
Cili kering
Bawang putih
Bawang merah
Halia, kunyit, lengkuas
Serai

Daun-daun ulam, dihiris halus
Pucuk ubi kayu
Pucuk daun mangkuk
Pucuk daun puding
Daun kesum
Bunga kantan
Pucuk bebuas
Daun kunyit
Daun mengkudu
Daun cekur
Kacang panjang
Kacang botor


Cara membuatnya
Campurkan semua bahan kecuali santan, ikan, daun pisang dan ulam-ulaman hingga rata. Bentangkan daun pisang dan letakkan sedikit ramuan tadi, diikuti dengan ulam-ulaman dan ikan. Timbus dengan baki ramuan dan ulam-ulaman. Siramkan santan pekat dan bungkus. Sematkan dengan lidi. Kukus hingga masak.

Selamat mencuba