KAWAN-KAWAN SAYA

01 November 2010

NASI PARPU a.k. a NASI KACANG DHAL



Teringat zaman sekolah dulu, tinggal di asrama..Makan nasi parpu dengan kari ayam dan acar timun..  Kerana i tu jugalah, malam ni saya masak nasi parpu dengan ayam gulai beriani juga kerabu lobak merah.. Semua tu dah jadi kenangan.. makan di asrama... kalau dulu, mungkin tak sedap bagi sesetengah orang...tp bila dah lepas sekolah, semua tu akan dikenang kembali.. Walaubagaimanapun, nak ulang kembali zaman sekolah dah tak boleh... sekarang zaman anak2 pula bersekolah...


Berbalik pada nasi parpu ni,  kalau tak silap saya menu ini (nasi parpu, kari ayam, acar timun dan buah tembikai) dihidangkan pada hari Ahad, waktu makan tengah hari.... Ramai kawan2 saya pada masa tu tak suka nasi parpu ni, tapi saya cukup gemar... tak taulah kenapa...

Resipi nasi parpu ni saya agak2 aje, kombinasi nasi minyak dan beriani..sebab saya ada campurkan sedikit rempah beriani ke dalam nasi.. 

Bahan-bahannya

3 cawan beras basmathi, cuci dan rendam 1/2 jam

1 cawan kacang dhal, rendam 4 jam dan rebus sampai empuk

4 cawan air

1 sudu kecil esen ros + sedikit pewarna kuning

1 sudu besar rempah beriani

garam secukup rasa

4 sudu minyak utk menumis (lebih sedap guna minyak sapi, sebab nasi jadi lebih wangi..)

Bahan utk menumis : kulit kayu manis, pelaga, cengkih dan bunga lawang, 2 biji bawang putih, dimayang, 1 labu bawang besar, dimayang dan 1.5 cm halia dimayang

Cara Membuatnya

Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan utk menumis hingga garing.  Masukkan air, rempah beriani,  garam, kacang dhal dan juga beras.  Tanak seperti biasa hingga nasi kering.  Titiskan esen ros dan pewarna kuning.  Kecilkan api dan tunggu hingga nasi tanak selama 15 minit.  Hidangkan dengan lauk kegemaran.

AYAM GULAI BERIANI

Saya namakan gulai beriani sebab saya masak lauk ni sama seperti masak gulai yang biasa, cuma saya gantikan rempah kari dengan rempah beriani.  hehehe... Kebetulan ada telur ayam tua (telur belum jadi), jadi saya leburkan sekali ke dalam gulai ni..

Bahan-bahan

1/2 ekor ayam, sederhana besar (dipotong lapan)

10 biji telur ayam belum jadi (jika ada, takde pun tak apa)

50 gm rempah beriani (apa2 brand lah)

2 biji kentang, dibelah 4

2 sudu tomato puree

2 sudu susu pekat manis

santan 1/2 biji kelapa atau secukup kegunaan

1 sudu kerisik

minyak untuk menumis

garam secukup rasa

bahan-bahan kisar : 2 labu bawang merah besar, 5 biji bawang putih, 1 inci halia

rempah tumis : kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bunga cengkih


Cara Membuatnya :

Panaskan minyak dan tumiskan bahan2 rempah tumis diikuti bahan-bahan kisar hingga garing, masukkan ayam, kentang, rempah beriani dan tomato puree.  Tambah garam, susu manis dan sedikit air. Tutup periuk dan kecutkan ayam.  Kemudian masukkan santan dan kerisik.  Masak sampai ayam empuk dan kuah menjadi pekat.  Sesuaikan rasa dan angkat.  Sedia untuk dihidangkan.

KERABU LOBAK MERAH

Oleh kerana kehabisan stok timun di dalam peti ais, tak dapatlah saya buat acar timun..saya sediakan kerabu lobak merah sebagai pelengkap hidangan malam ini.  Resipinya saya olah sendiri, itupun dapat idea kerana lobak merah juga sesuai dimakan mentah..

Bahan-bahan

1 batang lobak merah, dimayang halus2

1 biji tomato, dihiris nipis

1/2 batang celeri, dihiris nipis

1 biji bawang merah dimayang halus

1 biji lada hijau, dimayang halus

2 biji cili padi, dimayang (untuk rasa lebih pedas)

1 sudu udang kering, dimesin halus

1 sudu kacang tanah goreng yang telah ditumbuk 

garam gula secukup rasa

2- 3 biji limau kasturi, ambil airnya sahaja


Cara-cara menyediakannya

Campurkan semua bahan dan gaul sebati.  Perap 1o minit sebelum sedia untuk dihidangkan.


SELAMAT MENCUBA...


No comments:

Post a Comment