Ada yang panggil ikan rebus.. ada juga sebut ikan kukus.. Arwah tokmek saya panggil "kkering gare" (kering garam). Kering garam ini merujuk kepada cara memasak ikan iaitu dengan menabur garam selapis selapis dengan asam keping dan ikan. Hanya sedikit air diperlukan dan dimasak atas api kecil sampai kering. Walaubagaimanapun, hasilnya sama saja..tujuannya adalah untuk menyimpan ikan supaya dapat dijadikan lauk keesokan hari. Yalah orang dulu2 mana ada peti ais untuk menyimpan ikan.
Macam-macam jenis masakan boleh dibuat menggunakan ikan rebus tetapi tengok pada jenis ikanlah. Kalau ikan tongkol, lebih sedap dibuat gulai nasi berlauk atau dibuat masak kicap. Ikan ikan lain, seperti selayang, tamban, lolong pula boleh dibuat kuah laksa atau laksam. Malah isi ikan rebus ini boleh dibuat pembuka selera iaitu sambal mangga atau dalam loghat Kelantan disebut sambal ikan putik pauh. Cara membuatnya amat mudah iaitu, cili padi ditumbuk dengan sedikit garam dan isi mangga muda. Kemudian dicampur isi ikan rebus dan digaul sebati. Sedap dibuat cecahan ulam seperti petai, jering, timun dan sebagainya.
Itulah keunikan ikan rebus, sekali rebus...macam2 boleh dibuat. Berikut adalah resipi membuat ikan rebus yang selalu saya sediakan di rumah.
Bahan-bahan
Ikan tongkol / ikan selayang / lolong / kembung dan sebagainya.
Garam kasar secukup kegunaan
Asam keping secukup kegunaan
Sedikit cuka
Gula melaka (nissae)
Bawang putih dimayang nipis2 - jika suka
Sedikit air
Cara Membuatnya
Ikan dibersihkan dan toskan airnya. Susun ikan ke dalam periuk dan taburkan garam, asam keping dan bawang putih. Buat selapis-selapis sampai habis. Taburkan gula melaka dan renjiskan sedikit cuka. Masukkan sedikit air dan jerang atas api sederhana sampai mendidih. Apabila mendidih, kecilkan api dan buka sedikit penutup periuk supaya tidak meruap. Renehkan sampai kering airnya. Setelah masak, bolehlah dibuat gulai atau digoreng.
nota :
Jika merebus ikan dalam kuantiti yang banyak, lebihkan penggunaan air dan masak jangan sampai kering. Kemudian boleh diperangatkan setiap hari supaya tidak basi. Bagi ikan tongkol, lebih lama diperangat, akan lebih sedap rasanya. Boleh dihidang begitu saja tanpa goreng dicecah sambal belacan.
IKAN REBUS GORENG
Bahan-bahan
Ikan rebus
Bawang besar, dihiris
Lada hidup atau cili padi, dihiris
Minyak untuk menggoreng
Cara-cara :
Panaskan minyak dan goreng ikan rebus hingga garing. Kemudian, gorengkan cili dan bawang besar yang dihiris hingga garing dan tabur atas ikan rebus yang telah digoreng tadi. Sedia dihidangkan dengan nasi panas2 dan lauk-lauk kegemaran yang lain.
Selamat mencuba.
No comments:
Post a Comment