Saya penggemar ikan air tawar, tapi tak pernah makan ikan mayong. Saya menggemari asam pedas ikan mayong ni sejak mengandungkan anak ke3, Akhmal. Sejak itu, saya suka beli dan masak ikan mayong ni. Resipi kali ini, adalah resipi makcik saya + kawan ofis.. dia taruk buah keras dalam ramuan asam pedas. Selain untuk menambahkan lemak, kuah asam pedas pun nampak cantik dan memikat selera mata memandang..
Bahan-bahan
1kg ikan mayong
daun kesum, dipetik daunnya sahaja
bunga kantan, dibelah 2
1 sudu besar asam jawa, perah ambil airnya
minyak untuk menumis
air secukupnya untuk kuah
garam dan serbuk perasa secukup rasa
bahan-bahan kisar
segenggam cili kering
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
2 biji buah keras
1/2 sudu kecil lada hitam - jika suka
Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar hingga garing, Masukkan ikan diikuti dengan air asam jawa sedikit2. Tutup periuk sebentar, tambahkan air secukupnya untuk kuah. Tambahkan garam dan serbuk perasa. Akhir sekali, masukkan daun kesum dan bunga kantan. Renehkan hingga ikan masak dan sesuaikan rasa.
nota :
Untuk menghilangkan hanyir, ikan mayong hendaklan dicuci dan direndam dengan air asam jawa + tepung gandum. Perap 1/2 jam sebelum dicuci sekali lagi hingga betul2 bersih. Ada orang menggunakan perahan air limau nipis untuk memerap ikan. Terpulang cara mana nak buat, yang penting, bau hanyir ikan mayong boleh dihilangkan dan sedap dimakan.
Dalam masakan asam pedas, boleh ditambah bendi, terung, buah tomato dan juga sawi jeruk. Kali ini, saya taruk terung bulat. Oklah juga rasanya.
nota : terlupa nak snap gambar sebab nak cepat. kebetulan rumah ada tetamu, jadi sebaik saja siap masak, terus dihidangkan..
Selamat mencuba.
No comments:
Post a Comment