KAWAN-KAWAN SAYA

26 January 2011

KUIH HASIDAH

Ini satu lagi resipi yang pernah saya sumbangkan ke Restoran Pak Amir Pak Dollah suatu masa dulu.. Kuih Hasidah yang juga kuih kegemaran. Saya juga telah membuatnya beberapa kali. Resipi asalnya saya ambil dari salah satu buku resipi koleksi saya.. kalau tak silap, buku resipi tu keluaran Alaf 21 tapi tak ingat siapa penulis buku tersebut. Sekarang buku tu pun dah takde, dah habis dimakan anai-anai...

Terima kasih kepada tuan punya blog " from the kitchen to his stomach" kerana masih menyimpan resipi ini. Sebenarnya dulu saya aktif menyumbang resipi di dalam ruangan cyber, terutamanya di Restoran Pak Amir Pak Dollah.. setakat menyumbang resipi, tapi tak buat koleksi pun sebab dulu saya tak ada blog sendiri dan tak begitu pandai nak gunakan kemudahan internet.. sekarang ni, saya dah ada blog sendiri, so apa2 saja resipi lama dan baru, saya akan simpan kat blog saya untuk dikongsi bersama.

KUIH HASIDAH (HIJAU)
Sumber : nonie
Gambar : Kak Madiha

Bahan-bahan
3 cawan tepung gandum
5 biji telur ayam
5 - 7 helai daun pandan (dikisar, ambil patinya)
5 cawan santan (siap campur pati pandan)
secubit garam
2 cawan gula
4 sudu minyak sapi

10 biji bawang merah (jadikan bawang goreng)

Cara :-
Tepung gandum disangai tanpa minyak sehingga kekuningan. Sejukkan. Kemudian campurkan santan, telur dan secubit garam dan kacau rata-rata. Masukkan dalam kuali dan kacau atas api perlahan hingga kental. Masukkan gula. Kacau lagi hingga air gulanya kering. Kemudian masukkan minyak sapi dan kacau lagi hingga betul-betul kental dan keluar minyak. Proses memasak adalah selama 1 1/2 - 2 jam. Kemudian bolehlah dipadamkan api dan dikeluarkan dari kuali. Boleh diratakan dalam loyang dan garis-gariskan dengan garpu. Taburkan bawang goreng ketika menghidang.

Nota :
Asalnya kuih ini berwarna kekuningan dan menggunakan daun pandan yang disiat-siat sahaja. Tetapi untuk lebih aroma, saya suka menggunakan pati pandan. Ada orang menggantikan santan dengan susu cair dan melebihkan kandungan telur dan mengurangkan kuantiti tepung gandum.. Terpulang kepada selera masing-masing..

Kalau tak ada atau tidak suka menggunakan minyak sapi, boleh ganti dengan minyak jagung atau minyak masak. Tapi rasanya tak "kick", macam tak menjadi kuih tu..

Kuih ini asalnya dikepalkan bulat-bulat dan disepit menggunakan sepit kuih untuk dibuat corak ataupun menggunakan gunting untuk dibentuk menjadi bunga teratai. Terpulang kepada citara rasa masing-masing.

KUIH HASIDAH (Resipi asal dari buku masakan)

Bahan-bahan
300gm tepung gandum
2 helai daun pandan
2½ - 3 cawan santan dari satu biji kelapa
1½ cawan gula, atau secukup manis yang diperlukan
5 biji telur ayam, dipukul
4 sudu besar minyak sapi
secubit garam
sedikit pewarna kuning

Untuk hiasan
10 biji bawang merah,dihiris nipis dan gaul sedikit garam, kemudian digoreng hingga kuning.

Cara penyediaan
1. Tepung disangai hingga ia berbau wangi dan kekuningan. Ketepikan dan biarkan ia sejuk sebentar. Kemudian tepung dicampurkan bersama santan, telur, daun pandan, secubit garam dan pewarna kuning, jika suka.
2. Kacau atas api kecil hingga pekat. Barulah dimasukkan gula. Kacau lagi hingga gula sebati dan kering, baru dimasukkan minyak sapi. Kacau lagi hingga keluar minyak.
3. Proses mengacau kira-kira 1½ - 2 jam. Bila telah menjadi seketul adunan yang lembut, bolehlah diangkat. Terapkan dengan acuan bentuk bunga teratai dan taburkan bawang goreng diatasnya. Boleh juga digentel bulat-bulat dan disepit menggunakan penyepit kuih bagi membentuk seperti bunga.

No comments:

Post a Comment