KAWAN-KAWAN SAYA

08 December 2010

IKAN KEMBUNG ASAM PEDAS, PUCUK UBI + KUAH KACANG DAN IKAN MASIN BULU AYAM


asam pedas ikan kembung, lauk kegemaran suami..tp versi orang Melaka, taruk daun limau purut..

pucuk ubi dengan kuah kacang

ikan masin bulu ayam.. selalu jumpa ikan ni kalau makan nasi ambeng...

Lauk makan malam ni,ringkas sahaja. Asam pedas ikan kembung + daun limau purut, pucuk ubi rebus dengan kuah kacang dan ikan masin bulu ayam. Walaupun ringkas, tapi menyelerakan.

Kalau dulu, masa dok kat kampung, pucuk ubi biasanya direbus cecah budu, ataupun dibuat gulai dengan ikan pelata kering. Bila tiba di Johor ni, tak sangka pula pucuk ubi ni boleh dipelbagaikan, dibuat masak lemak putih, dimasak secara goreng bercili dan paling popular dibuat urap campur cekor, paling simple direbus dan dimakan dengan sambal asam.. ataupun kuah kacang/pechel. Memang syok betullah pucuk ubi ni..

Untuk resipi asam pedas, saya buat macam biasa saja, cuma diakhir masakan, saya tambahkan beberapa helai daun limau purut. Ikan masin bulu ayam, saya gaulkan sedikit tepung dan goreng garing. Yang saya nak kongsi disini ialah pucuk ubi rebus dan kuah kacang.

Bahan-bahan
1 ikat pucuk ubi, petik daun sahaja, cuci dan toskan
Air untuk merebus
sedikit garam

Cara-cara
Didihkan air secukupnya dan masukkan garam. Kemudian masukkan pucuk ubi dan rebus sampai lembut. Kemudian ditoskan dan lalukan air paip supaya sejuk. Perah sampai kering airnya dan sedia untuk dihidangkan.

Kuah kacang
8 biji cili padi merah
4 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1 sudu besar belacan
1 sudu besar asam jawa, perah airnya guna air masak
garam secukup rasa
3 sudu gula melaka/gula pasir (ikut citarasa sendiri)
1 helai daun limau purut
sedikit minyak untuk menggoreng
1/2 cawan kacang tanah dikisar kering

Cara2
Cili, bawang dan belacan digoreng sebentar. Toskan dan masukkan ke dalam blender, campurkan garam, gula, daun limau purut dan air asam. Kisar sampai lumat. Keluarkan dari blender, campurkan kacang tanah goreng. Kacau rata dan sesuaikan rasa. Jika terlalu pekat, boleh dicampur sedikit air panas. Sedia untuk dihidangkan.

nota : tujuan garam dimasukkan ke dalam air rebusan pucuk ubi ialah supaya warna daun ubi kekal hijau, nampak segar dan berselera untuk dimakan. Takde lah nampak kuning jer...

Untuk lebih sedap, bahan2 untuk kuah kacang tu ditumbuk, barulah terasa keasliannya.. tp zaman sekarang kan dah senang, buat apa nak bersusah payah lentang lentung di waktu malam, semata2 nak tumbuk bahan2 tu.. janji rasanya sesuai tekak dan secukup rasa, oklah tu.. (membebel pulak makcik ni hehehe)

Selamat mencuba

No comments:

Post a Comment