KAWAN-KAWAN SAYA

15 November 2008

SINGGANG IKAN TONGKOL, SINGGANG PEDAS DAGING, SINGGANG IKAN SELAR KUNING (MAK MENTUA), SINGGANG TUMIS CAMPUR NENAS DAN SINGGANG AYAM


Singgang ikan tongkol @ aya...

Masak singgang ini adalah masakan yang paling senang untuk disediakan. Ramuan yang digunakan pun mudah didapati dan sedia ada di dapur kita. Tetapi, lain tempat lain caranya...kalau orang disebelah pantai timur, bahan utama untuk masak singgang ialah selain bawang ialah lengkuas, kunyit hidup dan asam keping. Ada sesetengah orang tidak menggunakan kunyit langsung... Begitu juga dengan bawang.. Ada yang menggunakan hanya bawang putih yang diketuk sahaja dan ada juga mencampurkan kedua-dua sekali.

Lain pula disebelah selatan tanah air, selain bawang,mereka lebih banyak menggunakan halia, kunyit, serai dan air asam jawa. Walau apapun bahan yang digunakan, yang paling penting ialah penggunaan asam garamnya.. jika seimbang rasa masam masinnya, maka sedaplah lauk singgang tersebut. Tambah pula kalau dihidangkan dengan nasi ketika masih panas dan ada pula sambal belacan dan ulam-ulaman, sudah cukup menyelerakan.

Di sini saya ingin berkongsi beberapa resipi masak singgang yang selalu saya sediakan untuk keluarga saya.. Almaklum satu rumah....dua negeri, juadahnya pun berbeza, ikut permintaan dan selera yang diingini..

SINGGANG IKAN TONGKOL

2 ekor ikan aji-aji atau tongkol saiz sedang, dpotong-potong dan dibersihkan.
3 -5 biji bawang putih, dihiris nipis
5-6 biji bawang merah, dihiris nipis
1-2 inci lengkuas, dihiris nipis
1 inci kunyit hidup, dihiris nipis
1 sudu ketumbar, ditumbuk kasar (untuk ikan tongkol sahaja)
3-4 keping asam gelugur
garam dan serbuk perasa secukup rasa
Air secukupnya untuk tenggelamkan ikan
Beberapa biji cili padi (biar sebiji-sebiji ) dan lada hidup, dibelah 2


Cara menyediakannya
Didihkan air, campur bawang putih, lengkuas, kunyit, ketumbar dan asam keping. Apabila mendidih, masukkan ikan, garam dan serbuk perasa. Masak lagi hingga ikan masak. Kecilkan api dan renehkan setengah jam. Sebelum diangkat, campakkan cili padi dan lada hidup. Tutup periuk dan padamkan api. Selepas 5 minit, baru dibuka tudungnya.

Nota :

1) Bahan-bahan seperti kunyit, lengkuas, bawang putih dan bawang merah boleh juga diketuk-ketuk atau ditumbuk kasar-kasar bergantung kepada selera masing-masing.
2) Boleh juga dicampur sedikit belacan dan gula/gula nira kelapa (nisan) ke dalam singgang (ikut citarasa)
3) Selain ikan aji-aji atau tongkol, ikan tenggiri, parang dan ikan jenis lain pun boleh dimasak singgang.


SINGGANG PEDAS IKAN KERISI

Bahan-bahan
1kg ikan kerisi (dibersihkan)
daun kesum secukupnya
beberapa keping asam keping
1 batang serai, dititik
Air secukupnya untuk kuah

Bahan-bahan tumbuk
5-6 biji bawang merah
3 biji bawang putih
10 biji cili kering
sedikit ketumbar, halia, kunyit dan lengkuas

Cara
Campurkan air dengan bahan-bahan tumbuk, serai dan asam keping. Masak hingga mendidih, masukkan ikan. Apabila ikan masak, masukkan garam dan serbuk perasa. Akhir sekali masukkan daun kesum. Sesuaikan rasa dan angkat. Sedia untuk dihidangkan.


SINGGANG PEDAS DAGING

Bahan-bahan
1kg daging + sedikit tetelan
1kg tulang rusuk
1 inci halia, diketuk
1 labu bawang putih, diketuk
Air secukupnya untuk merebus daging
asam keping secukupnya

Bahan-bahan untuk dikisar
20 biji bawang merah
1 labu bawang putih
2 sudu ketumbar
1 inci halia
2 inci lengkuas
1 inci kunyit
10 biji lada kering (secukup kegunaan)

Garam dan serbuk perasa

Cara Menyediakannya
Rebus daging dan tulang rusuk dengan air, halia dan bawang putih hingga empuk. Masukkan bahan-bahan kisar, asam gelugur, garam dan serbuk perasa secukup rasa. Masak lagi hingga mendidih dan bawang ladanya masak. Kemudian renehkan setengah jam atau lebih sebelum dihidangkan.

SINGGANG MAK MENTUA

1kg ikan selar kuning, dibersihkan
2 inci kunyit hidup
2 inci halia
3 batang serai
1 labu bawang putih
3-4 biji lada merah
1 sudu asam jawa + air secukupnya
garam dan serbuk perasa secukup rasa.

Cara menyediakannya.

Kunyit, halia dan bawang putih ditumbuk kasar-kasar. Serai diketuk-ketuk. Lada merah dibelah-belah. Susun ikan ke dalam periuk. Taburkan kunyit, halia, bawang putih dan serai selapis-selapis. Tuangkan air asam jawa secukupnya dan masukkan garam dan serbuk perasa. Renehkan atas api kecil hingga masak dan kuahnya agak pekat. Hidangkan panas-panas.

SINGGANG TUMIS + NENAS

Bahan-bahan
4-5 ekor ikan kembung
1/4 biji nenas masak
sedikit air asam jawa
garam secukup rasa
air secukupnya untuk kuah
minyak untuk menumis

Bahan-bahan untuk ditumbuk
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
5 biji lada merah (buang biji)
2-3 biji cili padi
1 inci kunyit
1 inci halia
2 batang serai

Cara memasaknya

Panaskan minyak, tumiskan bahan-bahan tumbuk hingga naik bau. Masukkan nenas, kacau sebentar hingga nenas layu. Masukkan air secukupnya dan tunggu hingga mendidih. Baru dimasukkan ikan. Tambah garam dan serbuk perasa secukup rasa. Tunggu hingga ikan masak, sesuaikan rasa dan angkat.

Nota :-

Boleh ditambah sayur kacang bendir dan juga tomato ke dalam singgang tumis ini.

SINGGANG AYAM

1 ekor ayam, bersihkan dan potong-potong
2 batang serai
2 inci lengkuas
1 inci kunyit
1 inci halia
10 biji bawang merah
1 labu bawang putih
4 keping asam gelugur
1 genggam ketumbar
garam dan serbuk secukup rasa
beberapa biji cili padi dan lada hidup
air secukupnya untuk dijadikan kuah

Cara

Lengkuas, kunyit , halia dan serai diketuk-ketuk. Bawang putih, bawang merah dan ketumbar ditumbuk kasar-kasar. Gaulkan dengan ayam dan masukkan ke dalam periuk. Masukkan juga asam keping, garam dan sedikit air. Kemudian tutupkan periuk. Masak hingga ayam kecut. Tambahkan air dan masaklah hingga ayam empuk. Kemudian renehkan di atas api kecil selama 15 minit atau lebih. Akhir sekali, masukkan cili padi dan lada hidup. Sesuaikan rasa dan angkat. Sedia untuk dihidangkan.

No comments:

Post a Comment