KAWAN-KAWAN SAYA

24 October 2011

IKAN AYA SINGGANG



Resipi sihat dan berkhasiat. Mmmm memang maveles...Seisi keluarga saya suka, terutamanya sikecil saya..

Kali ini, masak singgang ikan aya hitam.. Isinya lembut dan sedap. Masak singgang ni mudah je, cuma hiriskan lengkuas, sedikit kunyit hidup dan bawang putih. Rebuskan bahan-bahan hiris dengan asam keping dan sedikit ketumbar biji. Bila mendidih, masukkan ikan, garam secukup dan sedikit serbuk perasa. Akhir sekali campakkan cili padi dan lada hidup. Kecilkan api, renehkan beberapa ketika sebelum dihidangkan. Mudah bukan??

Kalau makan lauk singgang ni, pelengkap hidangan ialah sambal belacan atau budu dan juga ulam-ulaman. Tak kiralah, ulam-ulam yang dimakan mentah ataupun direbus. Pendek kata, makan nasi pun tak sedar bertambah tiga pinggan.. Jadi kalau makan tu, berpada2 lah ya.. Habis diet nanti!!

JERING, TERUNG MANGGO, PUCUK UBI DAN BUDU



Kalau ada ulam-ulaman begini ni, makan nasi gerenti bertambah.. Tapi tak boleh diamalkan selalu, nanti "OBES".. lepas tu ramai le kawan2 datang ketuk pintu bagi salam..Oh tidak!!

Kata orang tua2, makan ulam-ulaman dan sayur kampung ni bagus untuk kesihatan dan awet muda.. Lagipun ulam-ulaman dan sayur-sayuran kampung ni banyak khasiat..Huhu, bagus banget nih!! Jadi kepada anda yang tak gemarkan ulam-ulam dan sayur-sayur kampung, tunggu apa lagi..

Sebenarnya ulam-ulaman ni, tak bermodal pun.. Buah jering tu, Mak Cik Mashitoh (kawan Umi yang sama2 berniaga kat pasar malam) yang bagi.. Terung manggo (terung pipit) dan pucuk ubi, saya petik je kat keliling rumah ni. Biasalah, kat kampung, banyak tumbuh pokok2 ni..

Selamat Mencuba!!

JANTUNG PISANG REBUS



Jantung pisang fresh, baru dicantas dari pokok..terus direbus buat cecah sambal belacan. Makan dengan nasi panas2 bersama lauk asam pedas ikan campur terung. Ada pulak ikan goreng panas2.. Kalau makan macam ni hari2... ermmm... tak tau nak kata..

TELUR PAPRIK


Resipi mudah, cuma gorengkan telur mata lembu dan ketepikan. Kemudian, tumiskan bawang putih yang diketuk bersama lada kisar. Tambah sedikit air, garam gula secukup rasa. Campurkan sos cili dan sos tomato untuk pekatkan kuah. Akhir sekali, potongan bawang besar, lada hidup dan tomato. Kacau sebentar, siramkan ke atas telur mata lembu yang digoreng. Hidangkan panas2 dengan nasi.

NASI BERLAUK GULAI IKAN AYA @ TONGKOL


Nasi berlauk ni biasanya dibuat sarapan pagi.. Sama juga dengan nasi lemak.. tapi nasi berlauk ni menggunakan nasi putih, lauk gulai ikan aya, sambal belacan dan ulam timun..


Gulai ikan aya @ tongkol untuk nasi berlauk ataupun nasi dagang..

SAMBAL IKAN BUAH KECUPU


Satu lagi hidangan tradisional orang-orang Kelantan. Rasanya generasi sekarang dah tak kenal buah kecupu atau "Woh Ccuppu" (dalam loghat Kelantan). Buah ni kalau dah masak sedap dimakan dengan garam, masam-masam manis rasanya.. Rupanya seakan2 buah pisang kaki, tapi lebih kecil saiznya berbanding pisang kaki..

Cara nak buat sambal ikan ni senang jer. Mula2 tumbukkan cili padi, garam dan buah kecupu. Masukkan isi ikan rebus atau ikan bakar, dan tumbuk lagi sampai sebati. Sedia dihidangkan dengan nasi panas, ulam-ulaman seperti timun, kacang panjang, kemangi, petai, jering atau kerdas. Selain ikan, boleh juga guna udang baring atau udang geragau kering yang telah dibasuh dan ditoskan airnya.



Selamat mencuba..

PUCUK BEKO, DAUN KEMANGI



Ini ulam-ulam kegemaran saya. Pucuk beko dan daun kemangi.. Makan dengan nasi panas, ikan rebus goreng dan sambal belacan dah cukup.. Tak payah ada lauk lain...Huhu

SAYUR LEMAK BUAH GAJUS CAMPUR SOTONG


Satu lagi hidangan tradisi orang Terengganu. Sayur lemak buah gajus campur sotong. Saya mula makan hidangan ni masa menetap di Dungun, Terengganu. Memang sedap.

Bahan-bahan
Buah gajus, hiris2 dan celur sebentar, perah airnya
Sotong, dipotong2
Santan secukup kegunaan
Bawang besar dan lada hidup yang dihiris2
Garam gula secukup rasa

Cara:
Campur semua bahan dan masak hingga mendidih. Kacau selalu supaya tak pecah minyak. Hidangkan dengan nasi dan lauk kegemaran yang lain.

Selamat mencuba

IKAN AYA GORENG KUNYIT



Resipinya tak payahlah saya kongsi kat sini.. semua ada cara masing2 nak masak ikan goreng.. Jadi, tengok gambar je lah ya..

SAYUR LEMAK KANGKUNG CAMPUR KELEDEK



Sayur lemak kangkung ni lawannya ikan goreng dan sambal belacan. Barulah syok, makan tak ingat dunia....

22 October 2011

NASI GORENG IKAN REBUS, UBI REBUS DAN SAMBAL TUMIS


nasi goreng, ubi rebus dan sambal tumis


Nasi goreng ikan rebus.


Nasi goreng ni lebih sedap kalau Umi yang masak. Umi masak nasi goreng campur ikan rebus dan perencahnya guna lada kering. Mmm... memang sedap..Lagi2 kalau ada keropok goreng dan juga sambal belacan.

Sebenarnya gambar ni dah lama, masa mula2 saya pindah balik ke sini...tapi oleh kerana sibuk, tak dapat lah nak berblogging hari-hari seperti selalu..

BUBUR LAMBUK TERENGGANU


Bahan-bahan
2 tin susu beras, cuci dan tos
8 - 10 tin air untuk memasak bubur (ikut jenis beras)
garam, serbuk perasa secukupnya
segenggam ikan bilis
2 batang serai
3-4 ekor ikan selayang @ kembung, dibakar, ambil isinya sahaja
3 sudu kerisik
santan satu biji kelapa

Bahan-bahan bumbunya (dikisar halus)
5 biji Bawang putih
10 biji Bawang merah
1 sudu lada hitam atau secukup rasa
sedikit halia

Sayur-sayuran (dihiris-hiris)
2 ikat sayur daun niding
10 helai daun kaduk
5 tangkai daun kesum
1 ikat pucuk ubi
1 helai daun kunyit
2 helai daun cekur
pucuk manis dan lain-lain

Untuk hiasan @ cadangan hidangan
Ikan bilis goreng
Ikan masin goreng
Cili padi jeruk
Sedikit budu

Cara :
Masak nasi sampai jadi bubur bersama serai dan ikan bilis. Bubur jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Campurkan bumbu yang dikisar, santan, garam dan serbuk perasa secukup rasa. Akhir sekali campurkan sayur-sayuran. Kacau sebentar dan angkat. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba

BUBUR KACANG HIJAU BERTELOR.



Sangat biasa bagi orang-orang Terengganu, tapi mungkin tidak bagi orang yang tidak biasa sebabnya, mereka takut akan rasa hanyir bila bubur yang manis dicampurkan telur. Mana tidaknya, kalau campur durian, logik lah juga kan.. Tapi itulah realitinya, bubur kacang ini memang sedap.. kalau kena lemak manisnya..

21 October 2011

GULAI ITIK CHERRY BERRY



Resipi gulai itik ni bukan ada campuran buah cherry ataupun berry, tapi merujuk kepada nama itik iaitu itik Cherry Berry. Saya masak gulai secara ungkep dan tumis darat, kerana daging itik ni agak liat isinya.

Bahan-bahan

1 ekor itik, siap dibersihkan dan dipotong2 - berat 1.5kg
3-4 keping asam gelugur
santan satu biji kelapa
3 sudu kerisik
garam secukup rasa

Bahan-bahan rempah (dikisar lumat)
2 sudu rempah gulai/kari
1 sudu besar ketumbar, disangai
1/2 sudu kecil jintan putih, disangai
1/2 sudu kecil jintan manis, disangai
10 biji cili kering, digunting dan direndam
5 ulas bawang putih
20 ulas bawang merah
sedikit halia, lengkuas dan kunyit hidup

Bahan-bahan untuk tumis darat
3 biji bawang merah, dimayang
1 ulas bawang putih, dimayang
1 inci halia, dimayang
2 kelopak bunga lawang
2 biji buah pelaga
2 inci kayu manis
sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara memasak
Itik digaul dengan bahan-bahan rempah dan perap setengah jam. Kemudian masak atas api kecil hingga isinya empuk dan lembut. Proses ini memakan masa hampir satu jam. Dalam masa itu, hendaklah dikacau selalu supaya rempah-rempahnya bergaul sebati. Baru dimasukkan santan, asam keping, garam dan akhir sekali kerisik. Masak sampai kuah agak pekat. Dalam kuali berasingan, panaskan sedikit minyak masak dan tumiskan bahan-bahan untuk tumis darat hingga kekuningan dan wangi. Tuangkan ke dalam periuk gulai dan tutup periuk. Selepas 10 minit, baru boleh dibuka dan dikacau rata2 sebelum dihidangkan.

Selamat mencuba.

19 October 2011

ACAR TIMUN CAMPUR KISMIS HITAM DAN LADA BENGGALA


Sesekali ubah citarasa, kali ini buat acar timun campur kismis hitam. Takde kismis hitam, kismis biasa pun boleh.. Kalau ada kobis dan karot, lagi meriah rasanya. Sedap dimakan dengan nasi dan lauk gulai itik Cherryberry..lauk-lauk lain pun boleh..

Sebenarnya resipi ni, resipi orang lama..Tok Ngah saya selalu buat. saya cuma tambah sikit2 jer. Kalau Tok Ngah saya dulu, dia potong timun tebal2, kemudian dikelar nipis2, sebelum digaul dengan bahan2 lain.

Bahan-bahan
2 biji timun, buang empulur dan potong dadu panjang
1 cawan kismis hitam
1/2 biji lada benggala kuning, dihiris
1/2 biji lada benggala merah, dihiris

2cm halia muda, dimayang halus
1 ulas bawang putih, dimayang halus
1 biji bawang besar, dimayang halus
1 biji cili merah, dimayang halus
1 batang serai, dimayang halus
1 sudu teh garam
3 sudu besar gula
3 sudu besar cuka makan

Cara-cara

Campurkan bahan-bahan yang dimayang dengan cuka, gula dan garam. Kacau rata-rata, dan gaulkan dengan timun, kismis dan lada benggala. Sesuaikan rasa dan perap 15 minit sebelum dihidang.

ACAR PUTIK PISANG "GGALO"


Makan dah nak abis, kuah pun dah kering...baru teringat nak post gambar kat sini.


Tak pasti kat negeri lain dipanggil pisang apa. Yang saya tahu dari kecik sampai sekarang, dipanggil pisang ggalo (sebut dlm loghat Kelantan). Sekali tengok macam rupa pisang nipah atau kepok, tapi banyak biji. Biasanya buah pisang yang masih muda sedap dibuat acar. Acar pisang ggalo dijadikan hidangan sampingan sepertimana acar timun, acar nenas, solok lada dan lain-lain. Biasa dihidangkan di majlis kenduri dan banyak dijual di pasar-pasar di negeri ini.

ACAR PISANG GGALO

Bahan-bahan
1 sisir pisang ggalo (putik @ masih muda) -dibuang juringnya dan dihiris tak putus, kemudian direndam ke dalam air garam sebelum dimasak
Santan pekat secukup kegunaan
Garam, gula, cuka secukup kegunaan
Lada besar, dibelah 2
Bawang besar di belah 4

Bahan-bahan bumbu (kisar)
5 -6 tangkai lada kering (jika suka lebih pedas, boleh ditambah)
5 biji bawang merah
sedikit halia

Cara :
Didihkan santan sampai pecah, campurkan bahan2 kisar dan didihkan lagi sampai bumbunya masak. Campurkan garam, gula dan cuka secukup rasa, kemudian masukkan pisang. Bila pisang telah lembut, baru dimasukkan bawang besar dan lada hidup yang dihiris. Bila bawang setengah layu, padamkan api. Sedia untuk dihidangkan.

Nota :
Selain pisang ggalo, bendir, kacang panjang, pucuk piai dan putik jagung juga sesuai untuk dimasak acar seperti ini.

Selamat mencuba.

APAM BERKUAH DAN APAM BAKAR


Kuih yang kaler putih tu apam berkuah (kuahnya kt dalam mangkuk), yang bulat kaler coklat tu apam bakar, dimakan dengan kelapa parut)

Dua jenis kuih apam yang juga merupakan kuih tradisional orang-orang Pantai Timur. Kedua-duanya merupakan kuih kegemaran saya. Kalau jumpa kat mana2 ada orang jual, pasti saya akan beli. Bukan saya tak tahu buat, tapi nak menyediakannya makan masa juga.. Jadi lebih baik beli aje.

KUIH APAM
4 cawan tepung beras
2 senduk nasi, dikisar lumat
1 cawan tapai ubi, dikisar lumat bersama nasi (resipi asal guna tapai nasi)
1 senduk tepung gandum
1 paket Mauripan
1 - 1 1/4 cawan gula
Air secukupnya untuk membancuh adunan

Cara :
Campurkan semua bahan dan kacau rata2. Adunan jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Perap adunan hingga naik, selepas itu boleh dibakar atau dikukus hingga masak.

Tips untuk menyediakan apam bakar
Panaskan kuali. Gunakan api sederhana. Titiskan sedikit minyak masak, sapu rata2 kat kuali panas. Tuangkan sedikit adunan dan tutupkan kuali. Agak2 dah masak (nampak naik dan berlubang2 kecil dipermukaan kuih) letakkan sekeping kecil daun pisang, kemudian terbalikkan. Bakar lagi sampai masak dikedua2 belah. Boleh diangkat dan hidangkan panas2 dengan kelapa parut. Daun pisang tu boleh recycle balik. Gunakan untuk buat kuih sampai habis adunan. Tapi kalau dah layu sangat, gantikan yang lain.

Tips untuk apam berkuah : Pastikan air betul2 mendidih semasa mengukus kuih.

APAM BERKUAH
Apam beras atau apam gandum (apam pisang yang tidak terlalu manis pun boleh digunakan)

Kuah apam
Santan satu biji kelapa
4 ekor ikan selayang (dibakar tawar dan ambil isinya, tumbuk lumat)
1 sudu udang kering, rendam dan tumbuk lumat
gula melaka atau gula pasir secukup manis
garam secukup rasa

Bahan-bahan bumbu (ditumbuk lumat)
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit halia, kunyit dan lengkuas
sedikit lada hitam
sedikit ketumbar, jintan manis dan jintan putih

Cara-cara membuatnya
Didihkan santan sampai naik minyak. Masukkan semua bahan bumbu,isi ikan, udang kering, garam dan gula secukup rasa. Masak sampai pekat. Hidangkan dengan apam.

Selamat mencuba

14 October 2011

PUTERI MANDI (TTERI MANDI)



Lebihan adunan bubur butir nako, saya buatkan puteri mandi atau dalam loghat kelantan disebut Tteri Mandi. Bezanya bubur butir nako berkuah, manakala tteri mandi digaulkan ke dalam inti kelapa. Di sini saya kongsikan cara-cara membuat kuih tteri mandi.

Bahan-bahan
tepung pulut
air daun pandan
sedikit air kapur
pewarna ikut kegemaran (jika mahu)

Bahan-bahan inti
Kelapa parut putih (kalau boleh gunakan kelapa kulit hidup (hijau) dan lembut isinya
secubit garam
gula secukup manis (boleh guna gula pasir, gula merah atau gula melaka, apa2 jenis gula asalkan manis)

Lain-lain
Satu periuk air mendidih

Cara membuatnya

Mula-mula sediakan inti kelapa : Kelapa parut putih dicampurkan dengan gula, garam dan daun pandan. Kacau atas api sederhana hingga kering. Sesuaikan rasa dan ketepikan.

nota : sekiranya menggunakan kelapa yang dah tua, tambahkan air secukupnya dan masak hingga kelapa lembut, baru dimasukkan gula.

Sedikan adunan tepung. Campurkan semua bahan dan adun jadikan doh yang lembut. Bahagikan kepada beberapa bahagian dan titiskan pewarna. Gentelkan bulat2, kemudian leperkan. Masukkan ke dalam air mendidih. Apabila telah terapung, bolehlah ditoskan dan dimasukkan ke dalam inti kelapa yang telah siap. Kacau sebentar atas api sederhana supaya tidak mudah basi. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba

LOMPAT TIKAM



Satu lagi juadah tradisional orang Kelantan. Juga juadah wajib pada bulan puasa.. Ummi lebih suka buat sendiri daripada membelinya di kedai, lebih berbaloi katanya. Lagipun nak membuatnya tak susah mana, bahan2 pun boleh beli kat kedai. Cuma nak kena rajin lah..

Bahan-bahan A (adunan tepung hijau)
1 mangkuk tepung beras (Ummi guna tepung beras cap Teratai)
2 - 2/2 mangkuk air daun pandan (guna air biasa + pes pandan dan pewarna hijau pun boleh)
1 sudu besar air kapur

Cara : campurkan semua bahan dan kacau atas api sederhana hingga naik wap. Masukkan ke dalam loyang dan kukus selama satu jam. Sejukkan dan dipotong2.

Bahan-bahan B (kepala santan)
Santan satu biji kelapa (anggaran 2 mangkuk)
secubit garam
1 senduk tepung beras

Cara : campurkan semua bahan dan kacau atas api sederhana hingga pekat. Sejukkan

Bahan-bahan C (Pulut merah)
2 cawan pulut, cuci dan rendam selama 2 jam
2 cawan santan
sedikit pewarna merah
secubit garam

Cara : campur semua bahan dan kukus dalam loyang hingga masak. atau lebih senang, masukkan ke dalam "rice cooker" dan masak sepertimana memasak nasi.


Bahan-bahan D (Air gula atau air nissae) - dimasak hingga larut dan disejukkan
4 keping Gula melaka atau 'Nissae' kerek besar
1 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
daun pandan disimpulkan

Cara-cara menghidang kuih lompat tikam.
Adunan A yang telah siap dipotong dimasukkan ke dalam mangkuk. Letakkan sedikit pulut merah dan siramkan adunan B. Tuangkan sedikit air gula dan siap untuk dihidangkan. Sedap dimakan sejuk atau panas.


Selamat mencuba.

BUTIR NAKO (BIJI NANGKA)



Hidangan kegemaran dikala minum petang. Dipanggil butir nako sebab bentuknya seperti biji nangka. Kalau orang dulu2 biasanya menggunakan daun pandan sebagai pewarna, tapi saya sengaja buat berwarni warni bagi menarik minat anakanda2 saya untuk mencuba makanan tradisi ibunda saya. Cara membuatnya pun sangat mudah.

Bahan-bahan
2 paket tepung pulut (500gm/paket)
10 helai daun pandan, kisar ambil air secukupnya
sedikit air kapur
pewarna biru, hijau dan merah

Untuk kuahnya
Santan satu biji kelapa
sedikit halba
secubit garam
daun pandan disimpulkan
gula secukup manis

Cara-cara membuatnya
Sediakan satu periuk air dan didihkan di atas dapur. Gaulkan tepung pulut dengan air daun pandan dan sedikit air kapur. Uli hingga menjadi doh. Bahagi tiga adunan dan warnakan. Gentelkan bulat-bulat kecil kemudian bentukkan bujur sedikit. Masukkan ke dalam air mendidih, apabila terapung, bolehlah diangkat dan toskan.

Cara-cara membuat kuahnya
Campurkan santan, halba, daun pandan, gula dan secubit garam. Masak atas api sederhana hingga mendidih. Kacau selalu supaya tidak pecah minyak. Masukkan adunan yang telah dimasak tadi dan kacau sebentar. Bolehlah diangkat untuk dihidangkan.

Selamat mencuba.

NASI AYAM


hidangan lengkap nasi ayam iaitu nasi, ayam goreng bermadu, salad, sup dan sos cili


nasi ayam (nasi dimasak menggunakan air rebusan ayam)


ayam goreng (ayam yang telah direbus diperap dengan madu + kicap, kemudian digoreng garing)


sos cili segar

Hidangan ringkas, mudah dan cepat disediakan. Hidangan ini menjadi pilihan ketika sibuk. Di sini saya kongsikan resipi nasi ayam yang selalu saya sediakan untuk keluarga saya.

Bahan-bahan
1 ekor ayam (berat dlm 1.5kg)- dibersihkan tapi jangan dipotong
2 inci halia, dimayang halus
1 labu bawang putih, dimayang halus
10 gelas air
sedikit kicap pekat dan madu
minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan untuk nasi
2 ulas bawang putih
1 labu bawang besar dimayang
sedikit halia
lemak ayam sekiranya ada (boleh ganti dengan marjerin atau minyak sayur)
4 pot beras, dibersihkan dan tos
4 pot air rebusan ayam atau bergantung pada jenis beras
secubit garam
daun pandan disimpulkan

Bahan-bahan untuk sos (dicampur dan dikisar lumat bersama sedikit air rebusan ayam)
5 biji cili merah segar
10 biji cili padi (jika suka lebih pedas)
1 labu bawang putih
2 biji tomato, buang biji
garam, gula dan serbuk perasa secukupnya
jus limau secukup kegunaan

salad, timun dan tomato
daun sup dan daun bawang, dimayang halus
bawang goreng untuk hiasan

Cara-cara membuatnya
Didihkan air, campurkan halia dan bawang putih yang telah dimayang. Masukkan ayam dan masak selama 30 minit atau hingga ayam empuk. Keluarkan ayam dan ketepikan air rebusan ayam.

Cara menyediakan ayam
Ayam yang telah direbus digaulkan dengan sedikit kicap dan madu. Panaskan minyak dan goreng hingga garing. Kemudian bolehlah dipotong2 untuk dihidangkan.

Cara memasak nasi.
Cairkan lemak ayam atau marjerin, tumiskan daun pandan, bawang putih, bawang besar dan halia hingga kekuningan. Masukkan air rebusan ayam dan juga beras. Tambah garam secukup rasa. Masak seperti memasak nasi biasa hingga masak.

Cara menyediakan sup.
Air rebusan ayam dicampurkan garam dan lada sulah secukup rasa. Ketika menghidang, taburkan daun sup, daun bawang dan juga bawang goreng.

HIdangkan nasi ayam dengan ayam goreng, sup, sos cili dan sayuran iaitu salad, timun dan tomato.

Selamat mencuba.

10 October 2011

LAKSAM


nilah dia rupa laksam yang belum dipotong

kuah laksam (juga digunakan untuk laksa putih Kelantan)


hidangan pelengkap laksam iaitu ulam-ulaman (petik keliling rumah) dan sambal belacan

Salah satu hidangan yang cukup tersohor di negeri Pantai Timur ialah laksam. Adunan tepung beras yang dikukus dan digulung sebelum dipotong, dimakan dengan kuah ikan bersantan, dilengkapi dengan ulam-ulaman dan juga sambal belacan. Kuah ikan ini juga digunakan dalam penyediaan laksa kelantan atau lebih dikenali dengan laksa kuah putih atau kuah lemak.

KERABU KAKI AYAM



kerabu kaki ayam + lada benggala

Kerabu kaki ayam ni mudah je untuk menyediakannya. Cuma bersihkan kaki ayam, potong bahagian kukunya, kemudian direbus sampai empuk. Semasa merebus, campurkan sedikit bawang putih dan halia yang telah diketuk untuk mewangikannya. Setelah itu ditoskan dan dibuang tulang kaki ayam. Sedia untuk dibuat kerabu.


kerabu kaki ayam yang simple (tak cukup bahan...)

Bahan-bahan dihiris halus(kuantiti ikut citarasa sendiri)
Cili padi
Bawang putih
Bawang besar
Serai
Daun limau purut
Buah tomato
Daun ketumbar (boleh diganti dengan daun sup dan daun bawang)


Bahan-bahan perisa
Sos ikan, boleh ganti dengan garam
Jus limau nipis
sedikit gula - jika suka

Cara-cara :
Campurkan semua bahan dan gaulkan dengan kaki ayam yang telah siap direbus dan dibuang tulang. Sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih atau diratah begitu saja.

Selamat mencuba