KAWAN-KAWAN SAYA

12 January 2011

IKAN TALAPIA MERAH MASAK SAMBAL


talapia merah masak sambal

sayur campur goreng...

Baru mula nak masak, gas habis.. Nasib baik nasi dah masak, tinggal nak masak lauk dan sayur saja... Tunggu punya tunggu, lambat pulak orang hantar gas.. Penyudahnya, nasi tengah hari dibawa untuk makan malam.. Tengahari, makan roti je.. hehehe

Saya sebenarnya tak pernah beli dan tak pernah makan ikan talapia merah.. Tapi, kawan-kawan cakap sedap. Perasaan ingin mencuba, berkobar-kobar... Nasib baik tak pregnant... Kalau tak, ngecess la anak saya.. Kebetulan ada orang datang jual ikan dan ada jual ikan talapia ni, jadi saya pun belilah seekor..besar juga, dalam sekilo beratnya.. Tapi nak masak apa yek???? Yang ada difikiran, cuma gulai lemak cili padi atau masak asam pedas jer.. Tapi suami request goreng jer garing-garing dan masak sambal...

Saya pun mula operasi memasak.. Ikan ni, masa disiang, isinya nampak macam keras.. rupa2nya bila dah digoreng, isinya lembut sesangat... Resipi ikan masak sambal ni, sama je dengan masak sambal yang lain. Tapi kali ini, saya tambah serai, halia dan sedikit lengkuas... Lagipun, ikan ni, spesis ikan air tawar, mana tau kot ada rasa yang pelik2.. Haa.. nasib baik sedap..

IKAN TALAPIA MERAH MASAK SAMBAL

Bahan-bahan
Satu ekor ikan talapia, disiang dan cuci bersih
Bawang besar dan lada hidup dihiris-hiris
Buah tomato dipotong2
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa
Sedikit air asam jawa

Bahan-bahan sambal, dikisar lumat
Segenggam cili kering, direndam air panas
3 biji bawang merah besar
5 biji bawang putih
1 inci halia, kunyit dan lengkuas
1 batang serai

Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar sampai garing, masukkan air asam jawa dan garam secukup rasa. Tambah sedikit air jika terlalu kering. Kemudian masukkan ikan, bawang besar, lada hidup dan bauh tomato. Kacau rata2 dan sesuaikan rasa. Kemudian, bolehlah diangkat dan dihidangkan.

nota
Ikan talapia saya gaulkan dengan garam, kunyit hidup, halia dan bawang putih yang ditumbuk. Perap sebentar baru digoreng.

Selamat mencuba.

10 January 2011

CUCUR KELEDEK MANIS


adunan tepung campur keledek yang dipotong kecil..

kerja-kerja menggoreng

sedia untuk dihidangkan

Hari minggu.. tak berapa sihat, tapi anak2 dah mintak makan... Kebetulan ada keledek, saya kupas dan potong kecil2. Lagi sedap kalau keledek tu diparut tapi jangan terlalu halus. Tapi cari parut tak jumpa, itu sebab saya potong kecil2 je.. hehehe. Kemudian gaulkan sedikit tepung dan air.. Goreng sampai masak.. Sedap dicecah dengan sos atau sambal kicap.

NASI AYAM CLAYPOT



Malam ini, makan malam paling ringkas. Semua dalam satu periuk iaitu nasi ayam claypot. Ada nasi, lauk dan sayur..kira2 makanan seimbang gak ni... cuma takde sup...Idea nak masak nasi ayam ni, sebab nak cepat.. Lagipun dah lama tak makan nasi ayam claypot. Selalu makan kat kedai aje.. Tapi kali ni, kepingin nak buat sendiri.. Lagipun tengok resipi dan cara2 membuat nasi ayam claypot ni kt rancangan TV astro, mcm senang je.. hehehe

NASI AYAM CLAYPOT

Bahan-bahan
2 pot beras, dicuci dan toskan
1 3/4 cawan air atau ikut jenis beras
sedikit cendawan butang
1 biji buah tomato
sedikit sayur sawi, takde pun xpe
1 keping dada ayam, dihiris nipis
sedikit kicap, sos tiram, minyak bijan
serbuk cili kering
halia dan bawang putih, dimayang halus
bawang besar dan lada hidup, dihiris2
sedikit lada sulah
sedikit isi ikan masin tenggiri, digoreng kemudian dihaluskan (boleh gantikan ikan bilis goreng)
daun sup dan daun bawang, dihiris halus
bawang goreng
cili padi hiris, jika suka pedas
minyak untuk menumis


Cara-cara membuatnya
Gaulkan isi ayam dengan kicap, sos tiram, serbuk cili dan minyak bijan. Panaskan minyak dan tumiskan halia dan bawang putih hingga kekuningan. Masukkan ayam,garam, lada hitam dan serbuk perasa. Masak hingga ayam masak. Campurkan cendawan butang, bawang besar,lada hidup dan tomato. Sesuaikan rasa dan bolehlah dipadamkan api. Ketepikan. Dalam periuk claypot, masak nasi sepertimana memasak nasi biasa. Bila airnya kering, masukkan ayam yang telah dimasak tadi dan taburkan ikan masin goreng. Tutup periuk dan kecilkan api. Masak hingga nasi tanak atau sehingga 15 minit. Buka penutup dan masukkan sayur sawi. Biar sawi masak dengan wap periuk. Kemudian bolehlah dihidangkan. Taburkan daun sup,daun bawang dan bawang goreng ketika menghidang. Boleh ditambahkan cili padi hiris jika suka lebih pedas.

Selamat mencuba

IKAN KEMBUNG MASAK PINDANG, TAUHU TELUR SOS TIRAM DAN SAWI PAHIT GORENG


ikan goreng baki semalam, dibuang tulang dan digoreng semula campur bawang dan lada

ikan kembung masak pindang

sawi pahit goreng + karot

tauhu telur sos tiram

Ikan goreng bawang lada tu sebenarnya ikan goreng lebihan semalam. Teringat kat umi kat kampung. Umi akan buat ikan goreng bawang lada ni kalau ada lebihan ikan goreng. Yalah, kalau nak panaskan balik, dah jadi keras.. Jadi umi akan perisi ikan tu dan buangkan tulang. Kemudian baru digoreng semula campur bawang dan lada hiris. Lagi sedap kalau digoreng garing2.

Berbalik kepada lauk malam tadi, saya cuma masak lauk pindang, goreng sayur sawi dan masak tauhu telur sos tiram. Lauk simple tapi sedap dan menyelerakan. Semua family suka termasuk sikecil saya.. Hmm, abis semangkuk dia makan nasi...

IKAN MASAK PINDANG
6 ekor ikan kembung, saya guna kembung batu
sedikit halia, bawang putih dan bawang merah, dimayang halus
sebatang serai, diketuk/hiris
2 biji tomato hijau
2 biji cili hijau
minyak untuk menumis
air asam jawa atau asam keping
air secukupnya untuk kuah
garam dan serbuk perasa

Cara memasak
Panaskan sedikit minyak. Tumiskan halia, bawang putih, bawang merah, lada hijau dan serai hingga naik bau wangi. Masukkan air dan air asam jawa secukupnya. Tunggu hingga mendidih, masukkan ikan, garam dan serbuk perasa. Akhir sekali, masukkan tomato yang dibelah2. Renehkan setengah jam dengan api kecil sebelum dipadamkan api. Sedia untuk dihidangkan.

TAUHU TELUR SOS TIRAM

Bahan2
3 paket tauhu telur, dipotong2 dan digoreng
1 biji telur ayam, dipukul
sedikit minyak untuk menumis
sos tiram, lada sulah dan sedikit kicap pekat
1 sudu kecil tepung jagung, bancuh dengn sedikit air
2 biji bawang putih, dimayang halus
sedikit halia, dimayang halus
cili merah, dimayang

Cara memasak
Panaskan minyak, tumiskan halia dan bawang putih hingga kekuningan. Masukkan sos tiram, lada sulah dan kicap pekat. Kemudian tambahkan air bancuhan tepung jagung. Kacau cepat2 supaya tidak berketul. Bila kelihatan likat, masukkan tauhu telur yang telah digoreng dan tuangkan telur yang telah dipukul sambil terus dikacau perlahan2. Sesuaikan rasa dan angkat. Taburkan hirisan cili merah ketika menghidang.

Selamat mencuba.

08 January 2011

KUIH CARA MANIS

kuih cara untuk sarapan pagi ini, satu adunan dapat dua piring jer..


Sudah berbelas tahun saya tak buat kuih cara. Kalau nak makan pun beli aje. Pagi ni, teringat pulak kuih cara. Selongkar dalam almari, masih ada rupanya acuan kuih cara yang saya beli entah bila.. So, projek kuih cara ni bermula pagi ni.. Try buat sikit aje, takut tak menjadi.. Alhamdulillah, walaupun tak sempurna sangat sebab masak kuih cara guna dapur gas. Anak2 pun suka makan. Resipi ini agak2 aje sebab dulu pernah tolong umi buat kuih bakar, kira lebihkurang la bahan2 nya..


KUIH CARA MANIS

Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
2 biji telur ayam
1/2 tin susu cair (resipi tradisi guna santan)
secubit garam
sedikit air daun pandan (boleh ganti pes pandan)
air secukupnya

gula secukupnya
minyak masak untuk melenser acuan

Cara-cara membuatnya
Campur semua bahan kecuali minyak dan gula. Adunan jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Panaskan acuan kuih cara, bubuh sedikit minyak. Tuangkan sedikit adunan, masukkan sedikit gula. Kemudian ditutup. Agak2 dah masak, boleh dikeluarkan dari acuan dan ulangi proses hingga habis. Tangkupkan dua keping kuih, menjadi satu. Susunkan ke dalam piring dan sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba.

ROTI NAIK a.k.a ROTI MANIS




Dah lama cuti dari buat roti... semua dah teringin.. Petang tadi, buat roti untuk minum petang.. Resipi kali ini, saya kurangkan penggunaan marjerin dan gula.. alhamdulillah, naik menggebu-gebu.. Plan asal nak bentukkan macam2 tapi disebabkan badan masih kurang sihat, buat roti naik je lah..

SUP BEBOLA IKAN DENGAN IKAN GORENG


hidangan lengkap untuk tengahari ini, sup bebola ikan campur sayur-sayuran, ikan goreng, sambal belacan dan ulam daun salad

ermmm.. sedap

menu wajib, ikan selayang goreng

Cuaca sejuk seperti sekarang ni, tak sesuai sekiranya masak lauk berlemak. Tambah pula, badan tidak berapa sihat. Sebenarnya dah seminggu saya demam, selsema dan batuk. Hari ini pula, kepala ting tong sedikit... bila ke klinik pagi tadi, rupa2nya BP saya naik... Huh.. patut laa...itulah akibatnya, makan ubat tak berjadual.. salah sendiri la.. lagi pula, pagi tadi, saya makan roti omelet... mungkin kandungan telur, susu dan cheese, tambah pula mayonis.. kolestrol tinggi...

Jadi, untuk hidangan tengahari ini, saya cuma masak sup bebola ikan campur sayur-sayuran. Ada ikan selayang goreng, sambal belacan dan ulam-ulaman sebagai pelengkap hidangan. Walaupun tekak berasa pahit, makan rasa tak sedap, tetap dihabiskan juga... nasib baik ada sambal belacan..

SUP BEBOLA IKAN CAMPUR SAYUR-SAYURAN

Bahan-bahan
250 gm bebola ikan
2 pokok sawi
1 batang karot
1 biji kecil petola
1 biji telur, dikocok
4 biji bawang putih, diketuk
minyak untuk menumis
1 biji cili merah, dihiris
sedikit suhun
air secukupnya untuk kuah
garam dan serbuk perasa
sedikit serbuk lada hitam
sedikit daun sup dan daun bawang

Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih,masukkan air dan bebola ikan. Bila mendidih, masukkan karot, garam dan serbuk perasa. Kemudian masukkan telur, diakhiri dengan suhun dan sayur-sayuran. Sesuaikan rasa dan angkat. Hidangkan panas2.

Selamat mencuba.

07 January 2011

ROTI OMELET



roti omelet..., tambah timun jeruk, sos cili dan mayonis..


sedia untuk disantap

erm.. sedapnya...tp jaga2 kolestrol...

Dah lama saya tak memasak..sejak anak mula bersekolah, dan badan pula kurang sihat...Pagi ini, saya berkesempatan buat sarapan pagi..Kebetulan hubby tak bekerja dan along pula nak ke sekolah sebab ada aktiviti kokurikulum.. jadi saya masak special la sikit.. Walaupun cuma roti.. Bahan2nya pun senang dan mudah untuk disediakan..

ROTI OMELET

Bahan2 (ikut anggaran sendiri, berapa orang nak makan)
roti - saya guna bonanza gardenia
telor ayam
sedikit lada hitam atau lada sulah
cheese, diparut
susu segar
bawang besar, lada benggala dan tomato, dipotong dadu
daun sup dan daun bawang, dihiris halus
sosej, dipotong nipis - saya tak letak

sos cili dan mayonis
timun jeruk, jika suka (boleh ganti dgn timun segar)

cara2 membuatnya
Campurkan telur, cheese, susu, bawang besar, lada benggala, tomato, daun sup dan daun bawang. Tak perlu campur garam sebab cheese dah cukup lemak masin.. Panaskan kuali leper, tuangkan sedikit adunan telur dan tekap dengan sekeping roti. Ulangi proses sampai habis.. Sedap dimakan begitu saja semasa masih panas atau dihidangkan dengan sos.

01 January 2011

MASAK LEMAK LABU CAMPUR SAWI + ULAM PUCUK KELEDEK REBUS


pucuk keledek rebus, cecah sambal belacan.. pelengkap hidangan hari ini..

sayur lemak labu kuning + sawi hijau

Selamat Tahun Baru 2011. Moga tahun baru ini lebih bermakna dalam hidup. Dan semoga tahun baru ini juga memberi keceriaan kepada kita semua. Moga dikurniakan kesihatan yang baik diperluaskan rezeki oleh Allah swt.

Hari ini, 1/1/2011.. Saya mulakan episod masakan tengah hari ini dengan masakan sayur lemak.. Masak sayur lemak labu kuning + sawi. Pelengkap hidangan, pucuk keledek rebus dan sambal belacan. Lauk pula, biasalah..ikan goreng aje..

SAYUR LEMAK LABU KUNING CAMPUR SAWI

bahan-bahan
1/4 biji labu, dikupas kulit dan potong dadu
1/2 biji bawang besar, dihiris
1 biji lada hijau dan lada merah, dihiris
2 pokok sawi hijau, dipotong2
garam secukup rasa
santan secukup kegunaan (asingkan santan pekat dan santan cair)
10 ekor udang hidup, buang kulit

bahan-bahan tumbuk
segenggam udang kering
2 biji bawang merah
sedikit kunyit hidup

Cara-cara membuatnya
Masukkan labu, santan cair dan bahan2 tumbuk ke dalam periuk. Masak hingga mendidih dan labu empuk. Sambil itu, hendaklah dikacau selalu supaya santan tidak pecah minyak. Tambahkan garam secukup rasa. Akhir sekali, masukkan santan pekat,udang hidup,sawi, bawang besar dan lada hidup. Biar mendidih sekali lagi, barulah boleh diangkat dan dihidangkan.

Nota : selain sawi, boleh campurkan sayur-sayur lain ke dalam sayur lemak labu umpamanya kacang panjang, pucuk manis, putik jagung dan lain-lain sayur yang sesuai dimasak lemak.

Selamat mencuba.

NASI LEMAK SAMBAL UDANG



Gambar nasi lemak ni, saya makan masa sarapan pagi kat ofis pada 30hb Disember 2010. Tapi saja je tepek gambar... lagipun, nasi lemak ni ada vitamin F.O.C...Ada aroma daun pisang dan nasi beras wangi. Tidak terlalu lemak dan sambalnya sesedap rasa...Makan sekali pasti nak lagi... Nasi lemak ni sebenarnya kawan ofis yang belanja sempena............. Thank you very much.. Moga diperluaskan rezeki beliau di tahun 2011 dan seterusnya. Aminnnn....