KAWAN-KAWAN SAYA

09 October 2010

ROJAK PETIS

Kalau ke pasar2 malam di Johor ni, yang paling saya suka beli ialah rojak petis. Selepas mencicipnya beberapa kali, terus jadi kegemaran..

Jom kita korek, apa isi kandung rojak petis.. Gambar nanti upload kemudian ya..

Bahan-bahan rojak..(dipotong kecil)
4 keping tauhu goreng
1 ikat kangkung, dicelur
1 mangkuk kecil taugeh, dicelur
1/2 biji nenas
1 biji sengkuang
1 biji timun
1 biji buah mangga muda
1 biji kedondong
Kacang tanah goreng, ditumbuk halus (ikut citarasa)

Bahan-bahan kuah rojak
2 ketul gula melaka
1/2 cawan gula
1/2 botol kicap pekat manis
1/2 botol petis
2 sudu belacan
10 biji cili kering
10 biji cili padi
1 labu bawang putih
garam secukup rasa
1 cawan air asam jawa pekat

Cara-cara membuatnya
Cili kering, cili padi dan bawang putih dikisar dengan kicap. Masukkan ke dalam periuk bersama-sama bahan lain dan masak sampai pekat. Ambil sedikit kuah rojak dan campurkan dengan bahan-bahan rojak. Gaul rata dan taburkan kacang tanah goreng. Sedap dimakan begitu saja.

04 October 2010

SOTO AYAM

Soto ialah satu hidangan yang popular di negeri Johor.. Satu hidangan yang tidak begitu berat, boleh dimakan pada bila-bila masa sahaja.. Dihidangkan bersama-sama nasi impit, mee atau mihun.. Bahan-bahan dan cara membuat soto adalah seperti berikut:-

Bahan untuk kuah soto
1 ekor ayam, dibelah empat dan dibersihkan
1 liter air
1/2 cawan pati santan
garam dan serbuk perasa secukup rasa
minyak untuk menumis
rempah empat sekawan : kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan cengkih

Bahan-bahan untuk dikisar
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
2 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai
2 sudu ketumbar
1 sudu jintan manis
1 sudu jintan putih
1 sudu lada hitam
2 - 3 biji buah keras
segenggam udang kering

Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan hingga wangi, masukkan bahan-bahan dan tumis hingga garing. Masukkan ayam, santan pekat garam dan serbuk perasa. Tutup periuk dan kecutkan ayam, tunggu hingga ayam berubah warna. Gunakan api yang kecil. Tambahkan air secukupnya dan masak sampai mendidih dan ayam empuk. Keluarkan ayam, siatkan isinya. Tulang2 dimasukkan kembali ke dalam kuah, teruskan mereneh selama 1/2 hingga satu jam. Sesuaikan rasa dan hidangkan.

Bahan-bahan pelengkap soto
Nasi Impit / Mee atau Mihun
Daun sup dan daun bawang yang dimayang halus
kacang tanah goreng
Suhun - digoreng
Bawang goreng
Taugeh atau kobis yang disagat halus
Limau kasturi
Sambal kicap
Bergedil

Cara-cara menyediakan sambal kicap
20 biji cili padi - boleh digunakan mentah atau digoreng dahulu
1 labu bawang putih - boleh digunakan mentah atau goreng dahulu
1/2 botol kicap manis
gula sekiranya perlu

Satukan semua bahan dalam blender, dan kisar hingga lumat.

Bergedil
1/2 kg kentang, kupas kulit dan potong dadu, dan digoreng. ketika panas, lenyekkan hingga halus
450 gm daging kisar, direbus hingga kering airnya
3 biji bawang besar, dimayang halus dan digoreng
2 sudu bawang merah goreng
2 tangkai daun sup dan daun bawang, dimayang halus
2 biji cili merah dan hijau, dimayang halus
1 sudu teh lada sulah
garam dan serbuk perasa
2 sudu tepung jagung

2 biji telur dipukul
minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya
Campurkan semua bahan kecuali telur. Bentukkan bulat dan leperkan. Sejukkan dalam peti ais selama setengah jam sebelum digoreng untuk mengelakkan bergedil hancur ketika digoreng. Panaskan minyak untuk menggoreng. Celupkan bergedil ke dalam telur dan goreng dalam minyak tenggelam hingga kekuningan.

Selamat mencuba..

03 October 2010

KANGKUNG GORENG

Teringat zaman sekolah dulu.. Hari-hari makan nasi berlaukkan sayur kangkung.. Memang sedap sayur kangkung, dibuat masak lemak, goreng, dimasak tumis campur daging dengan mihun, dibuat ulam mentah cicah budu dan dicampur dalam jemput2 bilis..

Macam2 cara orang masak kangkung goreng, tp resipi yang paling simple yang selalu saya buat ialah :
1 ikat kangkung, dibersihkan dan dipotong2.
segenggam udang kering (boleh ganti dengan ikan bilis)
sedikit belacan
3 biji bawang putih
3 biji bawang merah
5-6 biji cili padi - tambahkan jika suka lebih pedas
bawang besar dan lada merah, dihiris
minyak untuk menumis
garam dan serbuk perasa secukup rasa

Cara Membuatnya

Tumbukkan udang kering, belacan, bawang2 dan cili. Panaskan minyak, tumiskan sampai garing, masukkan garam, serbuk perasa dan kangkung. Tutupkan kuali sebentar. Agak2 kangkung dah layu, masukkan lada merah dan bawang besar, kacau rata dan sendukkan ke dalam mangkuk atau piring untuk menghidang.

nota : untuk lebih sedap lagi, tambahkan hirisan sotong dan udang hidup ke dalam gorengan kangkung.

ACAR

Acar.. satu lagi hidangan pembuka selera selain sambal belacan.. Ada mentah (sesetengah tempat dipanggil pencok atau rojak), acar kuning, acar rampai, acar masak dan tidak kurang juga acar jeruk buah-buahan atau acar rempah. Sesuai dihidangkan di dalam pelbagai majlis, asalkan hidangan nasi disediakan oleh pihak tuan rumah.. Biasanya acar timun + nenas yang sering menjadi pilihan, kerana selain bahan2 tersebut mudah diperolehi, ianya mudah untuk disediakan.

Di dalam penyediaan acar mentah, ramuan utama menyediakan acar ialah cuka, gula dan garam. Tetapi di sesetengah tempat, mereka tidak menggunakan cuka kerana dikhuatiri berasid dan boleh menyebabkan perut meragam. Sebagai pengganti cuka, mereka menggunakan jus perahan limau nipis, limau kasturi dan tak kurang juga jus buah oren. Terpulang kepada cita rasa masing-masing.. Saya tetap menggunakan cuka sebagai ramuan acar kerana cuka menjadi pengawit kepada buah-buahan atau sayur-sayuran yang digunakan selain rasanya yang sedap dan tidak mudah basi. Ada orang menambahkan udang kering yang ditumbuk halus dan juga kacang tanah goreng untuk menambahkan rasa dan dipanggil acar jelatah. Ada sesetengah orang suka makan acar yang sayur-sayurannya masih ranggup, manakala sesetengahnya pula lebih suka acar diperam lebih lama dan berair. Tepuk dada tanya selera.

Di sini saya sediakan resipi acar yang selalu saya buat untuk hidangan keluarga.

ACAR TIMUN MENTAH

2 biji timun susu , dikupas kulit dan dilorek dengan garpu, kemudian dipotong bulat. Jangan terlalu nipis atau terlalu tebal. (Jika menggunakan timun yang banyak empulur, lebih sesuai sekiranya dipotong sepanjang satu inci, keluarkan empulur dan potong dadu panjang)
1 biji bawang besar, dimayang halus
2 biji cili merah/hijau, dimayang halus
1 cm halia muda, dimayang halus (jika suka)
1 batang umbut serai, dimayang halus (jika suka)
1/2 sudu teh garam
3 sudu makan gula
3 - 4 sudu makan cuka

Cara menyediakannya :
Gaul semua bahan perap kira-kira setengah jam sebelum dihidangkan.

Nota : Selain timun, kubis, lobak merah, nenas dan epal hijau juga sesuai dijadikan acar. Malah buah gajus yang masak pun sedap dijadikan acar yang dicampur udang geragau kering. Caranya ialah dengan cara memotong nipis buah gajus, nenas dipotong dadu. Tambahkan hirisan bawang besar dan cili merah/hijau. Tambahkan udang geragau kering, garam gula dan cuka secukup rasa. Gaul rata-rata dan sedia untuk dihidangkan.

ACAR KUNING SIMPLE

Bahan-bahan
2 biji timun, potong satu inci, buang empulur dan didadu panjang.
10 biji bawang merah kecil (biarkan sebiji-sebiji)
3-5 biji bawang putih kecil (biarkan sebiji-sebiji)
2-3 biji cili merah, dibelah 2
1 inci halia, dimayang halus
1/2 sudu teh kunyit serbuk
1 sudu teh biji sawi
2 sudu minyak untuk menumis
3 biji bawang merah, dihiris halus
2 biji bawang putih, dihiris halus
1/2 sudu teh garam
3-4 sudu gula
3-4 sudu cuka atau secukup kegunaan

Caranya
Panaskan minyak dan tumiskan biji sawi dan bahan-bahan hiris hingga kekuningan, masukkan serbuk kunyit, cuka, gula dan garam. Masak sampai pekat, Masukkan timun, bawang-bawang dan cili. Bila separuh masak, padamkan api.

nota : tak perlu ditambah air kerana acar ini akan mengeluarkan airnya sendiri. Penggunaan garam, gula dan cuka adalah mengikut citarasa sendiri.

Selamat mencuba.

02 October 2010

SIRA LABU

SIRA LABU

Salah satu pemanis mulut yang wajib ada dalam hidangan kenduri orang-orang Kelantan... Sira labu diperbuat daripada labu punggi (loghat kelantan) atau labu kuning (pumpkin)

Bahan-bahannya

1 biji labu kuning
1/4 cawan pati santan
2-3 kerek nisse (bergantung kpd saiz labu) + gula jika kurang manis
secubit garam
3-4 helai daun pandan, disimpulkan

cara membuatnya :
Labu dikupas kulitnya dan dipotong2. rendam ke dalam air kapur beberapa jam, kemudian cuci dan toskan.Masukkan ke dalam periuk bersama-sama daun pandan, nisse, pati santan dan secubit garam. Tutup periuk dan masak atas api kecil sampai labu empuk dan kuah pekat.

Nota : selain labu kuning, keledek atau kundur juga sedap dibuat sira sebegini.

01 October 2010

SAMBAL HITAM BELIMBING BULUH


Sambal hitam ini adalah satu resipi tradisional orang Pahang.. Sedap dimakan dengan nasi panas2 bersama-sama lauk kegemaran yang lain.. Ramuannya adalah terdiri daripada bawang, cili padi, ikan bilis dan belimbing buluh yang telah direbus dengan garam berjam2 lamanya sehingga menjadi hitam. Saya mengenali sambal itam ini melalui facebook. Setelah mendapat resipi dan petua2 daripada teman2 facebook, saya cuba memasak sendiri sambal hitam ini..

SAMBAL HITAM BELIMBING BULUH..

Bahan-bahan
1 cawan belimbing buluh yang telah siap direbus
2 cawan ikan bilis (boleh digoreng dulu atau gunakan begitu saja)
10 biji bawang besar bombay (lagi banyak bawang, lagi sedap)
1 labu bawang putih
1 genggam cili padi
1 cawan minyak

Cara membuatnya
Kisar bawang besar, bawang putih dan cili padi. Ikan bilis ditumbuk, tapi jangan terlalu lumat. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan yang dikisar, masukkan ikan bilis dan belimbing buluh. Tambahkan garam jika perlu sahaja kerana belimbing rebus agak masin. Terus mengacau atas api kecil sehingga semua sebati dan belimbing jadi hancur. Apabila telah bertukar warna kecoklatan dan agak kering, bolehlah diangkat dari dapur. Proses memasak lebih kurang 1 jam.

nota : sambal ini tahan lama dan tak perlu disimpan di dalam peti ais.

STEW AYAM

Pagi ni saya dan anak2 bersarapan ala-ala Inggeris... stew ayam dgn roti perancis bakar, minuman lak air kopi...

Stew ayam ni saya belajar dgn rakan sekerja.. tp bahan-bahan ikut olahan sendiri, taruk apa yang ada kat dapur.. Nak tahu resipinya....

STEW AYAM KACANG PANGGANG

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam, dipotong kecil
3 ulas bawang putih, ditumbuk lumat
1 1/2 inci halia, ditumbuk lumat

Cara : Gaulkan ayam dengan bawang putih, halia dan perap 20 minit.

bahan-bahan lain
3 sudu mentega (resipi asal guna olive oil, tapi stok yang ada dah expired)
2 biji bawang besar holland, dipotong dadu
1 batang karot, potong 1 inci panjang dan belah 2 atau 4
100 gm brocoli, dipotong (resipi asal guna bunga kobis, tp malas nk beli sbb brocoli dah ada)
2 biji tomato besar, potong kiub
1/2 biji capsikum, potong dadu
sedikit oregano kering (resipi asal tak guna, tp saja nak taruk)
2 senduk tomato puree
1 senduk sos tomato
1 sudu besar serbuk lada hitam (saja taruk lebih sbb suka pedas2 gitu)
garam dan serbuk perasa secukup rasa
1 tin besar kacang panggang
2 cawan air

Cara Membuatnya
Cairkan mentega dan goreng ayam yang diperap setengah masak. Ketepikan. Dalam kuali yang sama, masukkan bawang besar dan kacau sampai bawang layu.. Masukkan kacang panggang, tomato, karot, serbuk lada hitam, oregano dan air. Masak sampai mendidih, masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Tambahkan tomato puree, sos tomato, garam dan serbuk perasa. Masak sampai pekat dan sesuaikan rasa, baru dimasukkan sayur-sayuran. Bila sayuran masak, angkat dari api dan sedia untuk dihidangkan. (Gambar akan diupload kemudian, sebab gambar yang saya snap tidak begitu jelas...)

Roti perancis (siap beli kat Tesco), dipotong2, sapu dgn mentega, taburkan cincangan bawang putih, taruk sedikit mayonis dan renjiskan rempah oregano.. Bakar dalam oven selama 5 minit. Siap untuk dihidangkan..

Selamat Mencuba..

30 September 2010

MEE REBUS JOHOR


Kalau berkunjung ke Johor, tidak lengkap sekiranya tidak menjamah mee rebus johor dan mee jawa. Kedua-dua hidangan mee ini berlainan nama tetapi ramuan yang digunakan tidak banyak perbezaan. Boleh dimakan dikala sarapan, dijadikan hidangan tengahari, petang dan juga malam.. Salah satu yang istimewa ialah mee rebus tulang.. (di dalam gambar ialah mee rebus tulang gearbox kambing, tetapi tidak menggunakan keropok rangup)

Di sini saya sertakan resipi mee rebus yang diolah sendiri, mengikut citarasa sendiri.. setelah mencuba beberapa kali maka terhasillah resipi mee rebus ini..
MEE REBUS TULANG

Bahan-bahan
1kg mee kuning, direndam di dalam air mendidih hingga lembut dan toskan (lalukan di bawah air paip untuk mengelakkan mee melekat)
4 - 5 biji telur rebus atau telur pindang
5 keping tauhu, digoreng dan potong nipis
5 biji telur ayam, direbus dan dibelah 2 (pilihan)
daun sup dan daun bawang, dihiris halus
5 biji cili hijau, dipotong nipis
5 biji limau kasturi, dibelah 2
RM1.00 bawang goreng
RM1.00 taugeh, buang ekor dan celur dalam air panas
keropok rangup (adunan keropok sepertimana membuat rempeyek atau tumpi, tetapi tidak menggunakan kacang dan digoreng menjadi keropok. Hancurkan ke dalam mee apabila hendak dimakan)

Bahan-bahan untuk kuah
500gm - 1kg tulang gearbox kambing (dicuci bersih dan rebus dengan 1.5 liter air + serai dan halia yang diketuk dan rempah sup bunjut selama 2 jam atau hingga empuk)
500 gm tetel/daging, direbus bersama tulang gearbox kambing
500 gm keledek oren, dikupas, potong dadu dan direbus sampai lembut, kemudian dikisar lumat
garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa
4 sudu besar rempah kari (pilihan sendiri) + air panas
3 sudu besar asam jawa, perah ambil air
1 cawan minyak untuk menumis

bahan-bahan kisar (anggaran, boleh dilebihkan atau dikurangkan ikut citarasa sendiri)
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
2 batang serai
1 senduk taucu (dicuci dan toskan airnya)
1 cm halia
1 cm lengkuas
10 biji cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas

Cara menyediakan kuahnya
Panaskan minyak dan tumiskan bahan2 kisar sampai garing dan pecah minyak. Masukkan rempah kari, air asam jawa, garam, gula dan serbuk perasa. Kacau sebati, masukkan keledek yang dikisar, tetelan atau hirisan daging yang telah direbus dan juga tulang kambing yang direbus beserta air rebusannya.. Masak sampai mendidih dan renehkan setengah jam sebelum sedia dihidangkan. Kuah jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Sesuaikan rasa masam manis dan pedas mengikut citarasa sendiri. Hidangkan dengan mee dan bahan2 lain. Selamat mencuba.

nota :
Kuah mee rebus ini juga sedap jika menggunakan udang kering atau udang geragau kering dengan cara mengisar udang kering atau udang geragau kering dan dimasukkan sebaik sahaja bahan-bahan tumisan telah garing.

Selamat mencuba

26 September 2010

MEE BANDUNG

Jauh berjalan, luas pandangan..juga banyak ilmu saya perolehi.. dari utara ke selatan, macam2 dah saya belajar, memasak dan juga adat resam sesuatu tempat.. tapi saya tak nak bercerita pasal adat resam, sebab blog saya ialah blog resipi masakan... Ke mana saja saya pergi, saya mesti dapatkan satu resipi untuk saya kumpul jadikan koleksi..jika berkesempatan, pasti saya akan cuba memasak resipi tersebut.
Saya belajar memasak mee bandung dengan Kak Ana, iaitu kakak ipar adik saya, orang Muar, Johor.. Resipi yang ringkas dan cukup mudah disediakan, sesuai dihidangkan pada bila-bila masa sahaja.. Nama aje resipi ringkas, tapi sebenarnya banyak persediaan perlu dibuat... tak mengapa, asalkan berbaloi.. Resipi ini boleh diubah suai ikut selera sendiri..

Perencah Mee Bandung (Untuk 1kg Mee Kuning)

20 - 25 tangkai cili kering
1 labu bawang putih
5 biji bawang merah besar
250gm udang kering (boleh ganti udang geragau untuk save budget, maklumlah udang kering, mahal harganya...)
garam secukup rasa
1 cawan minyak untuk menumis atau secukupnya

bahan2 untuk dikisar berasingan
1 cawan kacang tanah goreng, dikisar jangan terlalu halus
5 keping biskut marie/cream crackers, dikisar halus

cara menyediakan perencah
Panaskan minyak, tumiskan bahan2 kisar hingga garing, masukkan kacang tanah dan serbuk biskut marie, tambahkan sedikit air, garam secukup rasa dan masak sampai pekat. Gunakan secukup kegunaan.

AIR REBUSAN UNTUK MEE BANDUNG (boleh juga diguna untuk memasak masakan lain)
1kg tulang / gearbox lembu atau kambing
1 kg daging tanpa lemak
Air secukup kegunaan
2 batang serai, dititik
3 inci halia, dititik
1 labu bawang putih
1 sudu lada sulah

Campurkan semua bahan dalam periuk dan rebus hingga empuk. Daging yang telah empuk dipotong nipis2.

nota : boleh juga gunakan rangka ayam


MEE BANDUNG

Bahan2
Mee kuning secukup kegunaan
Sayur sawi/kobis/bunga kobis dan lain2 dipotong (apa2 sayur yang sesuai)
Buah tomato dan cili merah, dipotong2
air rebusan daging secukup kegunaan
sedikit hirisan daging rebus, kerang, udang hidup, hirisan sotong segar, fish cake, fish ball, ayam dan lain-lain (ikut pilihan sendiri)
bawang putih, diketuk dan minyak untuk menumis
perencah mee bandung secukupnya
Telur secukupnya
garam secukup rasa

Bahan-bahan hiasan
Tauhu digoreng dan dihiris nipis
Daun sup, daun bawang, dihiris halus
Bawang goreng
Hirisan cili merah/hijau atau cili jeruk, jika suka

Cara Membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih hingga naik bau. Masukkan perencah mee bandung, hirisan daging, udang, kerang, sotong, fishball dan fishcake. Kacau hingga udang dan sotong setengah masak, tambahkan air rebusan daging/tulang. Kuah jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Tambahkan garam secukup rasa dan perencah jika perlu. Sesuaikan rasa, baru dimasukkan mee dan juga sayur-sayuran, pecahkan telur sebiji-sebiji tapi jangan dikacau. Bila telur setengah masak, sendukkan ke dalam mangkuk untuk menghidang. Hiaskan dengan tauhu goreng, daun sup, daun bawang, bawang goreng dan hirisan cili. Sedia untuk dihidangkan. Sedap dimakan panas-panas.

Selamat mencuba.. Gambar akan diupload kemudian..

MEE ATAU MIHUN BAKSO



Bebola atau Bakso dalam bahasa Indonesia.. satu lagi juadah yang sangat simple dan sedap.. Sesuai dihidangkan bila-bila masa sahaja.. Boleh dihidangkan dengan mee, mihun atau dimakan dengan nasi.. Juadah ini saya pelajari dari jiran, orang Boyan yang berasal dari Indonesia.. Terima kasih Kak Siah..

MEE /MIHUN BAKSO

1 bungkus bakso sapi (600gm bebola daging)
1 ekor ayam, potong kecil
garam dan serbuk perasa secukup rasa
Air secukupnya untuk kuah
minyak untuk menumis

Bahan-bahan bumbu (dihaluskan)
20 biji bawang merah
2 labu bawang putih
3 inci halia
1 senduk merica bubuk
4-5 biji kemiri

Bahan-bahan hidangan bakso
2 kg mee kuning atau 2 paket mihun
Kubis dihiris halus
Taugeh - jika suka
Daun sup, daun bawang, dihiris halus
Bawang goreng
Limau kasturi, dibelah 2
Sambal cili (cili padi + kacang tanah goreng, ditumbuk halus)

Bahan2 pelengkap bakso (import khas dari Indonesia, kalau susah nak dapat, gunakan aje kicap dan sos kegemaran)
Kicap manis ABC
Sambal cili ABC
Sambal tomat ABC

Cara Menyediakannya
Panaskan minyak dan tumiskan bumbu yang telah dihaluskan sehingga garing dan pecah minyak. Masukkan ayam dan gaul rata.. Tunggu hingga ayam kecut dan separuh masak, baru dimasukkan air secukupnya untuk kuah. Tambahkan garam dan serbuk perasa.. Apabila mendidih, masukkan bebola daging.. Masak hingga bebola timbul, teruskan mereneh selama setengah jam. Sesuaikan rasa dan boleh disajikan dengan mee, mihun atau nasi putih.

nota : kalau nak lagi sedap rasa bakso ni, boleh gunakan air rebusan tulang lembu atau kambing, tambahkan juga udang kering.. terpulang kepada selera dan citarasa masing-masing..


Selamat mencuba.