KAWAN-KAWAN SAYA

26 September 2010

MEE BANDUNG

Jauh berjalan, luas pandangan..juga banyak ilmu saya perolehi.. dari utara ke selatan, macam2 dah saya belajar, memasak dan juga adat resam sesuatu tempat.. tapi saya tak nak bercerita pasal adat resam, sebab blog saya ialah blog resipi masakan... Ke mana saja saya pergi, saya mesti dapatkan satu resipi untuk saya kumpul jadikan koleksi..jika berkesempatan, pasti saya akan cuba memasak resipi tersebut.
Saya belajar memasak mee bandung dengan Kak Ana, iaitu kakak ipar adik saya, orang Muar, Johor.. Resipi yang ringkas dan cukup mudah disediakan, sesuai dihidangkan pada bila-bila masa sahaja.. Nama aje resipi ringkas, tapi sebenarnya banyak persediaan perlu dibuat... tak mengapa, asalkan berbaloi.. Resipi ini boleh diubah suai ikut selera sendiri..

Perencah Mee Bandung (Untuk 1kg Mee Kuning)

20 - 25 tangkai cili kering
1 labu bawang putih
5 biji bawang merah besar
250gm udang kering (boleh ganti udang geragau untuk save budget, maklumlah udang kering, mahal harganya...)
garam secukup rasa
1 cawan minyak untuk menumis atau secukupnya

bahan2 untuk dikisar berasingan
1 cawan kacang tanah goreng, dikisar jangan terlalu halus
5 keping biskut marie/cream crackers, dikisar halus

cara menyediakan perencah
Panaskan minyak, tumiskan bahan2 kisar hingga garing, masukkan kacang tanah dan serbuk biskut marie, tambahkan sedikit air, garam secukup rasa dan masak sampai pekat. Gunakan secukup kegunaan.

AIR REBUSAN UNTUK MEE BANDUNG (boleh juga diguna untuk memasak masakan lain)
1kg tulang / gearbox lembu atau kambing
1 kg daging tanpa lemak
Air secukup kegunaan
2 batang serai, dititik
3 inci halia, dititik
1 labu bawang putih
1 sudu lada sulah

Campurkan semua bahan dalam periuk dan rebus hingga empuk. Daging yang telah empuk dipotong nipis2.

nota : boleh juga gunakan rangka ayam


MEE BANDUNG

Bahan2
Mee kuning secukup kegunaan
Sayur sawi/kobis/bunga kobis dan lain2 dipotong (apa2 sayur yang sesuai)
Buah tomato dan cili merah, dipotong2
air rebusan daging secukup kegunaan
sedikit hirisan daging rebus, kerang, udang hidup, hirisan sotong segar, fish cake, fish ball, ayam dan lain-lain (ikut pilihan sendiri)
bawang putih, diketuk dan minyak untuk menumis
perencah mee bandung secukupnya
Telur secukupnya
garam secukup rasa

Bahan-bahan hiasan
Tauhu digoreng dan dihiris nipis
Daun sup, daun bawang, dihiris halus
Bawang goreng
Hirisan cili merah/hijau atau cili jeruk, jika suka

Cara Membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih hingga naik bau. Masukkan perencah mee bandung, hirisan daging, udang, kerang, sotong, fishball dan fishcake. Kacau hingga udang dan sotong setengah masak, tambahkan air rebusan daging/tulang. Kuah jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Tambahkan garam secukup rasa dan perencah jika perlu. Sesuaikan rasa, baru dimasukkan mee dan juga sayur-sayuran, pecahkan telur sebiji-sebiji tapi jangan dikacau. Bila telur setengah masak, sendukkan ke dalam mangkuk untuk menghidang. Hiaskan dengan tauhu goreng, daun sup, daun bawang, bawang goreng dan hirisan cili. Sedia untuk dihidangkan. Sedap dimakan panas-panas.

Selamat mencuba.. Gambar akan diupload kemudian..

No comments:

Post a Comment