KAWAN-KAWAN SAYA

23 November 2008

SAMBAL BELACAN KELANTAN, SAMBAL BELACAN SIMPLE, SAMBAL BELACAN JAWA , SAMBAL TOKTOK JAWA, SAMBAL ASAM DAN SAMBAL ULEK


sambal belacan ni cuma biasa2 aje..hanya campuran cili padi, belacan, garam, gula, air limau nipis..digaulkan dengan nenas cincang, tomato cincang dan bawang besar yang dimayang halus.. sesuai untuk cecahan ikan bakar atau pembuka selera semasa makan nasi..

Bila sebut sambal belacan, tak lengkap kalau tak ada ulam-ulaman. Setiap negeri ada kelebihan sendiri dalam menyediakan sambal. Di dalam majlis kenduri orang-orang Pantai Timur, sambal ini adalah satu kemestian. Satu kelainan sambal belacan ini ialah ia tidak digandingkan dengan ulam-ulaman seperti lazimnya tetapi ia hanyalah pelengkap hidangan atau pembuka selera di mana jika tidak ada sambal, tidak lengkaplah hidangan tersebut.

Walaupun sambal ini agak cair, tapi rasanya adalah unik dan tersendiri. Selain pelengkap hidangan majlis kenduri, ia juga boleh dijadikan cecahan untuk ikan bakar....

Di sini ingin saya kongsikan resipi sambal belacan istimewa tersebut.



SAMBAL BELACAN ISTIMEWA KELANTANESE STYLE

Bahan-bahan
20 biji lada kering, buang biji dan rendam dalam air panas
20 biji lada merah
20 biji cili padi & apa-apa jenis cili lagilah..
1/2 buku belacan, dibakar sekejap
5 biji bawang putih, dibakar hingga masak
10 biji bawang merah, dibakar hingga masak
2 sudu garam atau secukup kegunaan
1 cawan gula pasir atau secukup kegunaan
1/2 cawan cuka

Bahan-bahan lain
Limau nipis, perah airnya
Limau kasturi, ambil air dan kulitnya sekali dihiris halus
2 biji tomato, dihiris halus-halus
1/4 biji nenas, dicincang halus-halus
1 biji mempelam muda, dicincang halus
2 labu bawang besar, dihiris halus gaul dengan garam, ramas2kan dan cuci dengan air paip untuk membuang getahnya

Caranya:

Campurkan semua cili, belacan, garam, gula, cuka dan bawang-bawang yang telah dibakar dan kisar hingga lumat. Masukkan ke dalam mangkuk dan gaulkan dengan bahan-bahan lain. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan.

Nota : Sambal ini tahan disimpan di dalam peti ais selama sebulan kerana campuran cuka yang telah dicampurkan ke dalamnya. Jika tak suka bawang, tak perlu dimasukkan bawang.

SAMBAL BELACAN SIMPLE
(sesuai untuk ulam-ulaman seperti ulam raja, jantung pisang rebus, bendi rebus, kacang panjang rebus dll)

Bahan-bahan
5 biji cili merah
5 biji cili api
2 sudu belacan
1/4 sudu teh garam (bergantung kepada jenis belacan, jika belacan dah masin, kurangkan garam)
1 1/2 sudu gula
2 biji limau nipis
1 biji limau kasturi, dihiris dengan kuiit-kulitnya

Cara : Campurkan cili merah, cili api, belacan, garam dan gula ke dalam lesung. Tumbuk hingga lumat dan bergaul sebati. Keluarkan dari lesung dan masukkan ke dalam mangkuk. Perahkan limau nipis dan limau kasturi ke dalamnya. Sesuaikan rasa dan hidangkan.

Nota : Penggunaan gula dalam sambal belacan orang-orang pantai timur adalah satu kemestian kerana selera mereka lebih kepada manis dan pedas berbanding orang-orang negeri lain di Malaysia. Oleh itu, tepuk dada tanyalah selera.................

SAMBAL BELACAN JAVANESE STYLE
(maaf ye orang-orang jawa...... kalau salah ampun ya)

Bahan-bahan
5 biji cili merah
5 biji cili api
1 sudu belacan
2-3 biji bawang merah
1-2 ulas bawang putih
garam secukup rasa
sedikit minyak untuk menggoreng
Limau kasturi - jika suka

Cara :

Panaskan minyak dan gorengkan semua bahan-bahan satu persatu. Masukkan ke dalam lesung dan tumbuk lumat. Lebihan minyak dicampurkan ke dalam sambal yang telah ditumbuk tadi. Jika suka, perahkan air limau kasturi semasa menghidang.

SAMBAL TOKTOK (JAWA)

Bahan-bahan
5 biji cili merah
3 biji cili padi
3 biji bawang merah
2 biji bawang putih
1 sudu belacan
1 genggam ikan bilis
Minyak untuk menggoreng
secubit garam

Cara :

Panaskan minyak dan goreng semua bahan satu persatu. Kemudian ditumbuk lumat. Campurkan garam secukup rasa. Hidangkan dengan nasi putih, ikan goreng dan sayur bening...

SAMBAL ASAM PUCUK UBI REBUS
(Resipi Chik Ros Kota Tinggi - favorite I tau!!)


sambal asam, sesuai untuk pucuk ubi rebus** atau sayur-sayuran celur yang lain spt kobis, kacang panjang, jantung pisang dan lain-lain

**Pucuk ubi - direbus dengan sedikit garam, kemudian diperah airnya

SAMBAL ASAM
1 genggam ikan bilis, digoreng
1 sudu belacan
1/2 cawan air asam jawa
10 biji cili padi
5 biji bawang merah
Garam gula secukup rasa

Caranya :

Mula-mula tumbukkan ikan bilis goreng, ketepikan. Kemudian tumbukkan cili dan bawang merah hingga halus, masukkan ke dalam ikan bilis tumbuk tadi. Campurkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Sambal asam ini jangan terlalu pekat atau cair. Hendaklah secukup rasa pedas, masam dan manisnya. Hidangkan dengan pucuk ubi dan juga lauk asam pedas ikan mayong serta ikan kembung goreng.

SAMBAL ULEK (sesuai dimakan dengan ulam-ulaman, ikan goreng, ayam goreng berempah dan lain-lain)

Bahan-bahan
5 biji cili merah
Segenggam cili api
2 sudu makan terasi (belacan)
1 biji tomato
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
minyak untuk menggoreng
Garam secukup rasa dan secubit gula

Limau kasturi - jika suka

Cara Membuatnya
Panaskan minyak dan gorengkan semua bahan. Masukkan kedalam lesung dan tumbuk lumat. Tambahkan garam dan gula secukup rasa. Boleh dihidang begitu saja atau dicampur limau kasturi jika suka rasa lebih masam.


Selamat mencuba

KERUTUK DAGING/AYAM

Hidangan ini sangat popular di negeri Kelantan. Hidangan istimewa ini selalu dihidangkan di majlis-majlis kenduri samada kenduri kesyukuran atau perkahwinan. Pekat atau cair kuahnya bergantung kepada citarasa masing-masing. Saya lebih suka lauk ini berkuah pekat, sbb kalau cair jadi gulai lah pulak...

Hidangan ini sesuai dihidangkan dengan nasi minyak atau nasi putih, gulai ayam atau daging, acar dan sambal belacan. Kalau ada gulai kawah lagi lah sedapnya..

KERUTUK DAGING/AYAM

Bahan-bahan
1kg daging/ayam, potong besar-besar
2 biji bawang besar, dibelah 4
4 biji lada merah dan hijau, belah 2
4 biji kentang, dibelah 4
2 sudu besar kerisik
Santan satu biji kelapa
1/2 tin susu cair + 1 biji limau nipis
garam dan serbuk perasa
Sedikit gula merah
3 keping asam gelugur
2-3 sudu rempah kerutuk
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan untuk menumis
3 biji bawang putih, dimayang
5 biji bawang merah, dimayang
1 inci halia, dimayang
rempah 4 sekawan (kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan cengkih)
2 batang serai, dititik

Bahan-bahan kisar
6 biji bawang merah
3 biji bawang putih
10 biji lada kering atau secukupnya
sedikit lengkuas, kunyit dan halia

Cara :
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan untuk menumis. Apabila naik bau dan garing, masukkan bahan-bahan kisar diikuti dengan rempah kerutuk. Kemudian masukkan daging. Tutup sebentar hingga daging mengecut di dalam rempah tumis tadi. Masukkan santan dan masak hingga daging empuk. Bila daging empuk, baru dimasukkan garam, asam gelugur, gula merah dan kentang. Tunggu hingga kentang empuk, baru dimasukkan susu cair dan kerisik. Masak hingga pekat. Sesuaikan rasa. Akhir sekali, masukkan bawang besar dan lada yang telah dibelah tadi. Bila bawang besar setengah masak, bolehlah dipadamkan api. Sedia untuk dihidangkan.

22 November 2008

IKAN KEMBUNG MASAK ASAM

Hidangan ini saya belajar dari seorang teman yang saya kenali semasa saya terlantar kat hospital. Tunggu masa nak bersalin anak kedua. Almaklum tak sakit pun masa tu, jadi kitorang selalu borak2lah ..citer pasal bisnes, hobi...pasal masak.. Pasal makanan kegemaran.. Jadi dapatlah resipi ni.. Kata teman saya tu (dah lupa namanya.. kalau dia ada terbaca blog ini, harap dapat maklumbalas) hidangan ini adalah favorite dia sekeluarga..

Saya pun dah cuba, masa dalam pantang.. tapi saya tak gunakan cili, tapi saya makan nasi dengan lada hitam tumbuk.. dengan lauk ini, menyelerakan juga.

IKAN MASAK ASAM

Bahan-bahan
5 ekor ikan kembung atau selar yang besar
sedikit garam dan kunyit hidup (ditumbuk halus)
Minyak untuk menggoreng dan menumis

2-3 biji bawang besar
3-4 biji cili merah + campur cili padi, jika suka pedas
1 cawan air asam jawa (secukup rasa)
garam dan serbuk perasa

Cara :-

Ikan dibersihkan, kelar-kelar dan gaul garam kunyit. Kemudian digoreng hingga garing. Ketepikan. Mayang bawang besar dan cili merah/cili padi. Panaskan minyak dan masukkan bawang dan cili tadi, tapi jangan sampai garing. cukup sekadar layu sahaja. Masukkan air asam jawa, garam dan serbuk perasa. Kemudian masukkan ikan. Balik-balikkan sekejap, bolehlah diangkat. Masakan ini hendaklah berkuah, terpulang banyak atau sedikit. Hidangkan panas-panas.

LAWA IKAN

Satu lagi hidangan tradisi orang Pantai Timur.. tapi tak semua tempat lah. Bagi mereka yang gemarkan ulam-ulaman atau kerabu, inilah dia.. tapi jangan pelik pulak.. Lawa ikan ini diperbuat daripada isi ikan mentah, tak perlu dimasak!! Kalau kat Sabah, diorang namakan hidangan ini umai atau hinava ikan atau udang...

Biasanya lawa ikan diperbuat daripada ikan tamban, tapi saya pernah juga cuba gunakan ikan jenis lain yang segar.. sedap jugalah..

Bahan-bahan
5-6 ekor ikan tamban segar, dibersihkan dan tos
4-5 biji limau nipis, perah airnya
garam secukup rasa

Bahan-bahan untuk dihiris halus
3 batang kacang panjang
1 kuntum bunga kantan
sedikit daun pucuk serai kayu (samak/salam)
10 tangkai daun kesum
10-15 biji cili padi
5-6 biji cili merah
2 batang serai - jika suka

Cara-caranya
Ikan tamban diambil isinya sahaja dan dicincang halus-halus. Perahkan air limau dan campurkan sedikit garam. Kacau rata-rata. Perap sebentar atau sehingga isi ikan berubah menjadi putih. Campurkan bahan-bahan lain, sesuaikan rasa, bolehlah dimakan begitu sahaja atau bersama nasi.

TOM YAM & KERABU SUHUN

Kalau pergi ke kedai-kedai tomyam, macam-macam ada... ada tomyam yang kuahnya berwarna putih dan ada juga yang merah.. Yang tak best nya tu, banyak sangat bawang.. Dah jadi tomyam bawang pulak..

Tak susah pun nak masak tomyam.. tak payah nak guna kiub2 atau perencah siap... buat sendiri lagi senang.. Dah siap masak tomyam, boleh buat kerabu suhun. Dihidang bersama nasi putih, telur dadar dan juga sambal belacan dan ulam-ulaman.

BAHAN-BAHAN PERENCAH
150 gm udang kering
100 gm bawang merah
100 gm bawang putih
50 gm cili kering
1 cawan air asam jawa
1 cawan minyak masak
1/2 cawan susu segar
Sos nampla

Campur semua bahan dan kisar halus. Masukkan dalam kuali dan kacau atas api kecil sehingga garing dan pecah minyak. Sejukkan sebelum diguna. Bakinya boleh disimpan dalam peti sejuk.

TOMYAM AYAM

Bahan-bahannya
1/2 ekor ayam, potong kecil-kecil
2 1/2 mangkuk air
2 inci halia, diketuk
1 labu bawang putih, diketuk
Sos nampla (sos ikan /sotong)
1 - 2 sudu perencah tomyam (resipi di atas)
1 batang akar ketumbar, bersihkan dan ketuk
4 batang serai, diketuk
3-4 helai daun limau purut
3 biji buah tomato
sedikit bunga kobis, bawang besar dan lada hidup
10 biji cili padi diketuk-ketuk (ikut citarasa)
2-3 biji limau nipis, diperah airnya 1/2 cawan

Cara membuatnya
Didihkan air, masukkan ayam, halia, bawang putih dan akar ketumbar yang diketuk. Masak hingga empuk, Baru dicampur bahan-bahan lain. Kurangkan penggunaan garam sekiranya menggunakan sos nampla.

TOM YAM SEAFOOD

Bahan-bahan
10 ekor udang sedang, buang kepala & dibelah belakang, buang urat hitamnya
5 ekor sotong, dipotong gelang
5 keping kupang
2 ekor ketam, dipotong 2
2 mangkuk air rebusan ayam/rangka ayam
1 tangkai daun ketumbar, akarnya dibersihkan dan diketuk, daunnya dihiris halus
4 batang serai, diketuk
5 ulas bawang putih diketuk
1 inci lengkuas, dihiris-hiris
10 cili api, diketuk
2 biji tomato, dibelah 4
1 labu bawang besar, dihiris
sedikit bunga kobis/brocoli
2 sudu perencah tomyam
2-3 sudu jus limau (ikut citarasa)
5 helai daun limau purut, dikoyak2
sos nampla atau garam secukup rasa

Cara Membuatnya
Didihkan air rebusan, masukkan serai, lengkuas, bawang putih, akar ketumbar dan cili padi. Kemudian masukkan bahan-bahan lain satu persatu kecuali daun ketumbar diakhiri dengan bawang besar yang dihiris. Sesuaikan rasa dan angkat. Taburkan daun ketumbar ketika menghidang.

nota : kuah tomyam hendaklah cukup rasa pedas, masam tetapi jangan terlalu masin. penggunaan sos nampla adalah pengganti garam. Gunakan dalam kuantiti yang sedikit kerana sos nampla sangat masin.

KERABU SUHUN
1 mangkuk kecil udang hidup, buang kulit dan belah belakang
2 ekor sotong, potong kecil-kecil
100 gm suhun
1 cawan air + secubit garam
100 gm kacang tanah, goreng tanpa minyak dan tumbuk kasar

Bahan-bahan perencah (dicampur sekali)
1 biji bawang putih, ditumbuk kasar-kasar
5-6 biji cili padi, ditumbuk kasar
1/2 cawan sos nampla
2-3 biji limau nipis

Bahan-bahan sayur (dihiris halus)
1/2 batang karot
1/2 batang timun
2 batang kacang panjang
1-2 helai kobis
1 pokok daun ketumbar
2 biji tomato
2 batang serai
2-3 helai daun limau purut

Cara-cara
Didihkan air + garam. Celurkan sotong dan udang. Masukkan ke dalam ramuan perencah yang telah dicampurkan tadi. Dalam air yang sama, celurkan suhun hingga kembang. Masukkan ke dalam ramuan udang dan sotong tadi. Kacau rata-rata baru dicampur bahan-bahan lain. Sesuaikan rasa, bolehlah dihidangkan.

SAYUR PEDAS, SAYUR BENING, SAYUR ASEM



Bagi orang disebelah Pantai Timur, dipanggil sayur pedas iaitu sayur-sayuran yang dimasak secara rebus dan tidak ditumis. Bagi orang jawa dipanggil sayur masak bening, manakala orang Indon pulak mungkin sayur asem..Apa-apalah.. Tetapi dari segi bahan-bahannya ada sedikit perbezaan.

Kebiasaanya sayur-sayuran yang bersifat sejuk (kata orang tua-tua)seperti petola, labu air, sayur pucuk midin + keledek, sayur pucuk manis + keledek, jagung muda dan sayur keladi yang sesuai dimasak cara begini dan penggunaan lada hitam dan isi ikan bakar adalah sangat penting. Kalau tak ada lada hitam, tidaklah namanya sayur pedas. Isi ikan bakar pula boleh diganti dengan isi ikan rebus atau isi ikan mentah. Boleh juga dicampur ikan bilis atau udang baring (geragau kering). Terpulang kepada citarasa masing-masing.


SAYUR PEDAS

Bahan-bahan
Sayur-sayuran (ikut pilihan yang sesuai seperti di atas)
Isi ikan bakar atau ikan rebus secukupnya/udang geragau/ikan bilis
Air secukupnya untuk kuah
Garam dan serbuk perasa

Bahan-bahan tumbuk
1 sudu lada hitam
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih


Cara
Bersihkan sayur-sayuran dan tos. Didihkan air, masukkan bahan-bahan tumbuk dan isi ikan/udang geragau/ikan bilis. Apabila mendidih masukkan sayur, garam dan serbuk perasa. Apabila sayur telah masak, sesuaikan rasa dan angkat. Hidangkan panas-panas.

Nota : Kalau nak senang, ikan tu tak payah bakar atau rebus, gunakan saja isi ikan yang baru disiang dan dibersihkan. potong kecil-kecil, tak payah tumbuk. Kalau ada udang geragau fresh pun ok juga, atau apa-apa sajalah, remis, lokan dsb... Kita yang nak makan, taruk aje lah..


SAYUR MASAK BENING

Bahan-bahan
Sayur-sayuran ikut pilihan (bayam, sawi, taugeh, kobis, petola, jagung muda dll)
bawang merah dan bawang putih dihiris
Lada hidup dihiris
Ikan bilis atau udang kering, ditumbuk kasar-kasar
Garam dan serbuk perasa
Sedikit suhun - direndam

Cara :-

Bersihkan sayur-sayuran dan toskan. Didihkan air bersama-sama bawang merah, bawang putih yang dimayang, lada hidup, ikan bilis atau udang kering. Masukkan sayur-sayuran, suhun, garam dan serbuk perasa. Masaklah seperti biasa, tapi jangan sampai terlampau layu.. Nanti hilang zatnya. Padamkan api dan bolehlah diangkat. Hidangkan panas-panas dengan nasi putih, lauk-pauk kegemaran dan sambal belacan.

Nota : Hidangan ini, orang jawa yang masak.. Cepat dan senang.. tapi kalau nak ditumis campur apa-apa ke, terpulanglah.. Tapi namanya kena tukar, jadi bening tumis.

SAYUR ASAM (ASEM)
(Ini resipi import, kalau ada kesilapan, mohon maaf ya..)

Bahan-bahan
Kacang bendir
Kacang panjang
Jagung muda/jagung tongkol (buah)
Buah labu siam
Bayam hijau atau merah/pucuk belinjau

Bahan-bahan kisar (secukup kegunaan)
Cili padi, serai, bawang putih, bawang merah, halia, serai, kunyit, lengkuas, udang kering, belacan, buah keras.

Air secukupnya + Asam jawa secukup kegunaan (tapis dan buang biji)
Garam dan serbuk perasa


Cara :
Bersihkan sayur-sayuran dan potong ikut citarasa. Didihkan air asam jawa, campur bahan-bahan kisar, garam dan serbuk perasa. Masukkan sayur -sayuran satu persatu iaitu dimulakan dengan sayur-sayuran yang lambat empuk dahulu sebelum dimasukkan sayur-sayur lain. Masak seperti biasa tapi jangan sampai terlampau layu. Sesuaikan rasa dan angkat. Hidangkan panas-panas dengan nasi putih, sambal belacan dan ikan masin goreng... (Cadangan je, lauk lain pun boleh laa...)

Ok, selamat mencuba

SOTONG REBUS KATOK SERAI


Kalau orang Johor, sotong masak asam adalah hidangan yang simple dan paling mudah untuk disediakan. Tetapi bagi orang Pantai Timur, sotong rebus katok serai menjadi pilihan selain masak sambal, goreng kunyit, masak kari atau dibuat ketupat. Sengaja dipanggil rebus katok serai untuk mengekalkan nama tradisionalnya....Katok bererti ketuk atau titik dalam bahasa masakan.

SOTONG REBUS KATOK SERAI

Bahan-bahannya
1kg sotong segar (cabut kepala, buang tulang dan giginya)
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
2 keping asam gelugur
2-3 batang serai
Air secukupnya untuk kuah
Garam secukup rasa dan sedikit gula melaka
Beberapa biji lada hidup atau cili padi - jika mahu pedas

Cara membuatnya
Sotong dibersihkan dan tos. Bawang merah dan bawang putih dimayang halus, serai diketuk2. Didihkan air, campur bawang, serai dan asam keping. Masukkan sotong, garam dan sedikit gula melaka. Masaklah seperti biasa hingga sotong masak tapi jangan terlalu lama, kerana sotong akan liat. Akhir sekali, masukkan lada hidup dan cili padi. Sesuaikan rasa dan angkat. Sedap dimakan panas-panas bersama nasi putih.

Nota : Setengah orang mencampurkan sedikit dakwat sotong di mana kuahnya berwarna hitam. Walaubagaimanapun, terpulang kepada citarasa masing-masing.

Selain sotong, ikan juga boleh dimasak cara begini, contohnya ikan kekek... tapi sekarang dah tak jumpa lagi ikan kekek ni... Kalau ada pun ikan kekek jawa (ikan kapak(kering)). Sesekali kalau teringin, ikan selar atau selar kuning atau ikan cermin pun sedap juga.. Nak cuba ikan lain, apa salahnya..

SOTONG MASAK ASAM

Bahan-bahan
1kg sotong, cuci dan toskan. Jika suka dipotong-potong.
5-6 biji bawang merah
3 biji bawang putih
5- 6 biji cili padi
1 inci halia
1 sudu besar asam jawa + 1/2 cawan air (buang bijinya dan tapis)
Minyak untuk menumis
Garam dan serbuk perasa secukup rasa.

Bawang besar dan cili merah, dihiris-hiris

Cara menyediakannya

Mayang bawang merah, bawang putih, halia dan cili padi. Panaskan minyak, tumiskan hingga layu. Masukkan sotong diikuti dengan air asam jawa, garam dan serbuk perasa. Kacau hingga sotong masak. Akhir sekali masukkan bawang besar dan cili merah yang telah dihiris-hiris. Sesuaikan rasa dan angkat. Hidangkan panas-panas.

20 November 2008

PAIS IKAN TERENGGANU & BOTOK-BOTOK JOHOR

Kalau di negeri Johor dipanggil botok-botok, orang Pantai Timur menamakannya Pais. Bezanya, botok-botok dicampur dengan pelbagai jenis ulam dan dikukus dalam daun pisang, manakala pais pula hanya diwangikan dengan daun kesum dan dibakar dalam daun pisang. Kedua-duanya sangat istimewa bagi saya dan menjadi salah satu hidangan favorite saya.

Berikut adalah resipi ikan pais yang sudah lama saya tidak sediakan kerana waktu yang tidak mengizinkan. Tetapi, resipi ibunda saya tetap saya simpan untuk rujukan apabila diperlukan. Di sini saya abadikan untuk tatapan semua. Resipi botok-botok saya dapat dari salah satu rancangan masakan di televisyen... dah lupa apa nama rancangan tu..

PAIS IKAN

Bahan-bahan (anggaran sendiri)
Ikan segar (apa-apa sajalah), dipotong kecil atau dibiar seekor (jika saiznya kecil)
Daun kesum, petik daunnya sahaja
Daun kunyit, dihiris halus
Garam secukup rasa
Sedikit air asam jawa
Kerisik secukup kegunaan
Kelapa parut, ditumbuk
Rempah kari ikan
Garam, gula dan serbuk perasa
Daun pisang untuk membungkus

Bahan-bahan untuk ditumbuk
Bawang merah
Bawang putih
Halia, kunyit, lengkuas, serai
Cili kering

Cara menyediakannya
Gaulkan kelapa parut dengan bahan-bahan yang ditumbuk, air asam jawa, rempah kari, garam, gula, serbuk perasa, kerisik, daun kesum dan daun kunyit.

Bentangkan beberapa lapis daun pisang dan letakkan sedikit ramuan tadi, diikuti ikan dan timbuskan dengan baki ramuan. Bungkus kemas-kemas dan panggang atas bara api sehingga masak. Hidangkan panas-panas.


Nota : Selain ikan, udang dan sotong juga boleh dibuat pais

BOTOK-BOTOK IKAN TENGGIRI

Bahan-bahan anggaran sendiri
Ikan tenggiri (dipotong-potong)
Daun pisang untuk membungkus
Kelapa parut
Rempah kari ikan
Santan pekat
Kerisik
Air asam jawa
Garam secukup rasa

Bahan-bahan ditumbuk halus
Cili kering
Bawang putih
Bawang merah
Halia, kunyit, lengkuas
Serai

Daun-daun ulam, dihiris halus
Pucuk ubi kayu
Pucuk daun mangkuk
Pucuk daun puding
Daun kesum
Bunga kantan
Pucuk bebuas
Daun kunyit
Daun mengkudu
Daun cekur
Kacang panjang
Kacang botor


Cara membuatnya
Campurkan semua bahan kecuali santan, ikan, daun pisang dan ulam-ulaman hingga rata. Bentangkan daun pisang dan letakkan sedikit ramuan tadi, diikuti dengan ulam-ulaman dan ikan. Timbus dengan baki ramuan dan ulam-ulaman. Siramkan santan pekat dan bungkus. Sematkan dengan lidi. Kukus hingga masak.

Selamat mencuba

KETUPAT SOTONG

Bagi sesetengah orang, mungkin hidangan ini adalah pelik bagi mereka.. Tidak kurang yang juga yang mencemuh, sotongpun dibuat ketupat??? Apa rasanya ?? eeiii... taknaklah..... Tapi bagi orang-orang di Pantai Timur, hidangan ini adalah sangat istimewa dan "mahal".

Walaupun apa orang nak kata, pendirian saya tetap satu.. iaitu saya sangat menghargai masakan ibunda saya... ke mana saja saya pergi, saya tidak akan dapat melupakannya. Sebabnya ??? kerana saya dibesarkan dengan air tangan ibu dan saya mengenali masakan ibunda juga melalui ibu saya.. Sekiranya orang Kelantan makan nasi berlaukkan ikan singgang dengan ulam dan budu, sama juga orang-orang jawa yang makan nasi berlaukkan tempe atau lauk berkuah kicap.. Moral of the story, setiap negeri ada budaya masing-masing, jadi hormatilah budaya mereka...

Sebenarnya ada dua versi untuk menyediakan ketupat sotong ini. Ada yang rasanya lemak-lemak masin, banyak kuah dan ada juga yang lemak manis dan berkuah pekat. Apa juga perbezaan mungkin sesetengah tempatlah.. Walaubagaimanapun, saya suka kedua-duanya..

KETUPAT SOTONG (MANIS)

Bahan-bahan
20 ekor sotong saiz besar
1 cawan beras pulut, cuci dan rendam 1/2 jam
1 biji kelapa, ambil santan pekat secukup kegunaan
Secubit garam
Gula melaka secukup manis
Lidi untuk menyemat

Cara Menyediakannya

Kepala sotong dicabut dan dibuang tulang dan giginya. Cuci bersih dan toskan.
Campurkan sedikit santan dan garam ke dalam pulut dan gaul rata. Dengan menggunakan sudu, masukkan sedikit pulut bercampur santan ke dalam perut sotong. Anggarannya adalah 1/2 penuh. Masukkan kepada sotong dan sematkan dengan lidi. Masukkan ke dalam periuk dan tuangkan baki santan. Campur secubit garam (jika perlu) dan masak hingga mendidih dan agak-agak pulut dah masak, masukkan gula melaka. Masak lagi hingga kuahnya pekat dan pecah minyak. Sesuaikan rasa dan angkat.


KETUPAT SOTONG LEMAK MANIS

Bahan-bahan
20 ekor sotong saiz besar
1 cawan beras pulut, dicuci bersih dan rendam 1/2 jam
secubit garam
1 biji kelapa, ambil santan pekat secukup kegunaan
2 batang serai, diketuk
1 sudu besar halba
5 biji bawang merah, dimayang halus
1 inci halia, dimayang halus
gula pasir atau gula melaka secukup rasa
Lidi untuk menyemat

Cara-cara

Cabut kepala sotong, buang tulang dan giginya. Cuci bersih dan toskan. Toskan pulut dan campurkan dengan sedikit santan pekat juga secubit garam. Dengan menggunakan sudu, masukkan pulut bersantan tadi ke dalam perut sotong anggaran 1/2 penuh. Masukkan kepala dan semat dengan lidi. Masukkan ke dalam periuk dan tuangkan baki santan dan bahan-bahan lain. Masak hingga mendidih dan sotong serta pulut telah masak. Sambil itu hendaklah dikacau selalu supaya tidak pecah minyak. Sesuaikan rasa dan angkat. Kuahnya jangan terlalu manis.

Selamat mencuba..

KUIH BUTIR NANGKA & ASAM GUPAL

Walaupun dipanggil kuih butir nangka, ia sebenarnya berkuah seperti pengat atau bubur. Hidangan lemak manis dan ringan ini sesuai untuk hidangan di waktu petang... Sangat mudah untuk disediakan.

KUIH BUTIR NANGKA

Bahan-bahan
1 paket tepung beras pulut
1 sudu teh air kapur
10 helai daun pandan, dikisar dan ambil patinya secukup kegunaan
1 biji kelapa, ambil santan pekat secukup kegunaan
Secubit garam
2 - 3 helai daun pandan, disimpulkan
2 - 3 sudu gula pasir
1 sudu besar halba

Cara membuatnya

Untuk kuahnya : Campur santan, garam, daun pandan yang disimpulkan, gula dan halba di dalam periuk. Ketepikan.

Dalam periuk yang lain, didihkan air secukupnya.

Dalam mangkuk lain, campurkan tepung pulut, air kapur dan pati pandan dan uli hingga kental dan tidak melekat ditangan. Gentelkan bulat-bulat kecil, kemudian bujurkan sedikit menjadi seperti biji buah nangka. Masak di dalam air mendidih hingga timbul. Toskan dan masukkan ke dalam kuah yang telah disediakan tadi. Jerang kembali di atas dapur dan tunggu hingga mendidih sebentar tapi jangan sampai pecah minyak. Padamkan api, sambil itu hendaklah dikacau selalu supaya suhunya turun sedikit untuk mengelakkan santan tidak berasingan dengan air. Hidangkan sejuk atau panas.

Nota :

Di dalam adunan pulut, boleh dimasukkan gula melaka sepertimana membuat onde-onde (buah melaka) tetapi di dalam kuahnya tidak perlu dicampur dengan gula.

Selamat mencuba.


Bahan-bahan yang sama untuk dibuat kuah, boleh dijadikan kuah asam gupal. Asam gupal adalah sagu biji yang dibubuh inti kacang hijau dan dimasukkan ke dalam kuah sepertimana kuih biji nangka. Boleh juga dibuat sagu yang kosong. Ada sesetengah orang mencampurkan sedikit hirisan halia di dalam kuah asam gupal, mungkin untuk membuang angin dan memanaskan badan sebab sagu adalah bahan bersifat sejuk kata orang tua-tua.

Walaubagaimanapun, tepuk dada, tanyalah selera..

ASAM GUPAL

Bahan-bahan
2 cawan sagu biji yang halus (mata ikan)
Air panas mendidih secukup kegunaan

Inti kacang hijau : Sangai 1 cawan kacang hijau, kemudian rebus hingga empuk bersama secubit garam dan daun pandan yang disimpulkan. Apabila telah empuk, campurkan gula melaka secukup manis dan masak sampai kering. Sejukkan dan gentelkan bulat-bulat.

Bahan-bahan untuk kuahnya : sama seperti membuat kuih butir nangka.

Cara menyediakannya

Cuci sagu biji di aliran air paip dalam tapis santan. Toskan. Masukkan dalam mangkuk dan tuangkan air panas. Kacau rata-rata agak-agak sehingga adunan boleh dikepal. Semasa masih panas, basahkan tangan dan kepal-kepalkan sagu tadi mengikut saiz yang dikehendaki. Masukkan inti ditengah-tengahnya dan bentukkan bulat. Masukkan ke dalam periuk kukus dan kukus hingga masak (sagu menjadi jernih) baru boleh diangkat. Kemudian masukkan ke dalam kuah dan masak lagi hingga mendidih tapi jangan sampai pecah minyak. Sesuaikan rasa dan angkat. Hidangkan sejuk atau panas.

Nota : Pastikan air untuk mengukus betul-betul mendidih ketika mengukus kuih ini.