KAWAN-KAWAN SAYA

11 January 2009

NASI LEMAK INDIA

Nama lemak adalah hidangan popular orang-orang di Malaysia. Walau bagaimanapun, setiap orang ada cara tersendiri untuk menyediakannya. Resipi ini aku perolehi semasa mendengar salah satu program masakan di radio Kota Bahru. Jurumasaknya sangat terkenal pada masa itu dan kalau tak silap aku dipanggil "Ayah Aji". Nama sebenar dah lupa. Cuma sempat mencatit resipi dan pernah mencubanya beberapa kali, ternyata tidak mengecewakan. Terima kasih pada Ayah Aji kerana resipi yang sangat eksotik ini.

NASI LEMAK INDIA

Bahan-bahan
4 tin beras panjang/beras basmati (dicuci dan toskan)
4 tin santan
1 tangkai daun kari
2 sudu minyak sapi
5 biji bawang merah, dimayang
2 biji bawang putih, dimayang
sedikit kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bunga cengkih.
1 helai daun pandan, disimpulkan.
secubit garam

Cara menyediakannya

Panaskan minyak sapi, tumiskan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bunga cengkih diikuti dengan bawang merah, bawang putih, daun kari dan daun pandan hingga kekunigan dan wangi. Tuangkan santan, apabila mendidih, masukkan beras dan masaklah seperti memasak nasi biasa hingga tanak. Hidangkan nasi lemak ini bersama-sama dengan ayam masak jaffna dan raita timun.

AYAM MASAK JAFFNA

1 ekor ayam, dipotong 8 dan bersihkan
4 biji kentang, dibelah 4
1 tangkai daun kari
minyak untuk menumis
2-3 sudu besar rempah kari
1 sudu lada hitam atau secukup rasa (ditumbuk)
2 cawan air
garam secukup rasa

Cara menyediakannya
Gaulkan ayam dengan rempah kari, lada hitam dan garam secukup rasa. Perapkan selama 1 jam. Kemudian panaskan minyak dan tumiskan daun kari. Bila naik bau dan wangi, masukkan ayam yang telah diperap tadi dan kacau. Tutupkan periuk dan kecilkan api. Apabila ayam telah mengecut dan airnya kering, baru dimasukkan 2 cawan air dan kentang. Masak lagi hingga ayam dan kentang empuk serta kuahnya kering. Sesuaikan rasa dan angkat.

RAITA TIMUN
2 biji timun, potong dadu panjang dan buang empulurnya
2 biji tomato, dipotong dadu dan buang bijinya
1 biji lada benggala merah/ cili merah, buang bijinya dan mayang halus
garam gula secukup rasa
1 cawan yogurt asli (boleh ganti dengan santan pekat)

Cara menyediakannya
Gaulkan semua bahan dan sejukkan di dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.

SELAMAT MENCUBA

No comments:

Post a Comment