KAWAN-KAWAN SAYA

31 January 2009

KUIH TALAM PANDAN

Resipi dari tepung beras cap teratai

KUIH TALAM PANDAN

Bahan-bahan A

175gm tepung beras cap teratai
400gm gula pasir
1kg air
15 helai daun pandan, kisar ambil airnya
1 sudu teh air kapur

Bahan-bahan B

50 gm tepung beras cap teratai
50 gm tepung ubi
400 gm santan pekat
6 gm garam
100 gm air

Cara Membuatnya
Campurkan bahan-bahan A dan kacau rata-rata. Masukkan ke dalam loyang yang telah dipanaskan di dalam pengukus. Kacau selalu hingga pekat. Teruskan mengukus hingga 30 minit.

Dalam mangkuk lain, campurkan bahan-bahan B. Tuangkan ke atas lapisan pertama tadi dan teruskan mengukus selama 20 minit. Setelah masak, sejukkan sebentar. Kemudian bolehlah dipotong2 untuk dihidangkan.

Nota : Untuk memastikan kuih benar2 telah masak, cucukan dengan garpu atau lidi. Jika garpu atau lidi keluar bersih, menandakan kuih telah masak.

Selamat mencuba

KUIH APOM /APAM KUKUS

Resipi dari tepung beras Cap Teratai

KUIH APOM

Bahan-bahan
100gm tepung beras cap teratai
50 gm gula
100 gm air
30 gm air tuak
2 gm eno (paket biru)

atau
100 gm tepung beras cap teratai
130 gm air
2 gm yeast (mauripan)
2 gm eno

Cara Membuatnya
Campur semua bahan kecuali eno dan kacau hingga sebati. Perapkan selama 3-4 jam. Kemudian baru dicampurkan eno dan biarkan 5 minit. Tuangkan ke dalam acuan yang telah dipanaskan di dalam periuk mengukus dan kukus selama 15- 20 minit. Hidangkan panas-panas dengan kelapa parut putih yang dicampur secubit garam.

AIR CIKUNG

AIR CIKUNG

Bahan-bahan (disediakan berasingan)

Barli, direbus hingga kembang
Cincau, diracik halus
Sagu biji besar, direbus hingga kembang
Keladi, dipotong kiub dan direbus
Keledek, dipotong kiub dan direbus
Buah kembang semangkuk, direbus hingga kembang
Getah anggur, direbus hingga kembang
Halus pala, jika suka
Telur puyuh, direbus dan buang kulitnya
Kacang tanah besar tanpa kulit, disangai tanpa minyak
Sirap rempah secukupnya

Cara membuat air cikung

Sudukan serba sedikit bahan ke dalam mangkuk. Tuangkan sirap rempah secukup rasa dan tambahkan ketulan ais jika suka. Hidangkan.

Sirap rempah
1kg gula pasir + gula melaka
5 cawan air
10 helai daun pandan, disimpulkan
2 inci kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
2 kuntum cabe

Cara membuatnya
Campur semua bahan dan masak atas api sederhana hingga pekat. Sejukkan sebelum digunakan.

AIR LAICIKANG

AIR LAICIKANG

Bahan-bahan (disediakan berasingan)
Buah Laici dalam tin
Kordial laici atau sirap laici
Buah nenas, potong kiub kecil dan rebus (boleh guna nenas dalam tin)
Halwa kundur, potong kiub kecil
Halwa buah pala (halus)
Sagu biji besar (direbus hingga lembut)
Cincau, diracik halus
Keledek, dipotong kiub kecil dan rebus hingga empuk
Agar-agar kosong warna merah (warna lain pun boleh)
Buah kembang semangkuk, direbus hingga kembang (buangkan bijinya)
Getah anggur, direndam hingga kembang

Sirap gula atau gula merah secukup kegunaan
Kiub ais - jika suka

Cara Menyediakannya
Dalam mangkuk kecil, sudukan serba sedikit bahan-bahan untuk air laicikang. Tambahkan sirap gula atau sirap gula merah secukup rasa. Tambahkan ketulan air jika suka dan hidangkan.

SEKAYA

Sekaya adalah sejenis kuih tradisional Kelantan, sebagai kuih pencuci mulut atau kuih untuk hantaran pertunangan atau perkahwinan. Ada yang diperbuat dengan gula hangus, ada yang menggunakan gula kerek (nisan) sebagai pemanisnya. Ditambah santan kelapa atau susu cair untuk melemakkannya.

SEKAYA NISAN

Bahan-bahan
50 biji telur ayam
2 1/2 cawan santan pekat dari 2 biji kelapa
2 cawan tepung beras
15 keret kecil nisan (dicairkan)
10 helai daun pandan, kisar ambil patinya
secubit garam
1 sudu teh air kapur

Cara membuatnya
Campurkan semua bahan, kacau rata dan tapiskan. Masukkan ke dalam loyang yang telah disapu minyak dan kukus hingga masak.

SEKAYA GULA HANGUS

Bahan-bahan
20 biji telur
1 cawan gula
1 tin susu cair
2 - 3 sudu tepung jagung
sedikit esen vanila

Bahan gula hangus
1 cawan gula, jadikan gula hangus + 1 cawan air dan masak lagi hingga tinggal 1 cawan dan sejukkan.

Cara membuatnya.
Campurkan semua bahan dan tapis. Tuang ke dalam loyang, kukus hingga masak.

CREAM PUFF

CREAM PUFF (Resipi Kak Ros, Dungun)

4 oz marjerin
10 oz air sejuk
6 oz tepung gandum + 1 camca teh baking powder, diayak 3 kali
5 biji telur ayam

Intinya
Susu pekat
2 sudu tepung kastad
2 cawan air sejuk

Cara Menyediakannya
Campurkan marjerin dan air dan masak hingga marjerin cair. Angkat dari api, masukkan tepung. Kacau rata-rata hingga licin. Masukkan telur sebiji demi sebiji hingga habis. Masukkan ke dalam piping bag bentuk bintang dan terap terus ke dalam dulang pembakar. Bakar sehingga keperangan. Semasa proses membakar, jangan sesekali membuka penutup oven. Sejukkan dan isikan inti kastad, hidangkan.

Cara Membuat Intinya
Campur tepung kastad dengan air dan kacau atas api kecil hingga pekat dan berkilat. Masukkan susu manis secukup rasa dan kacau rata-rata. Ketika masih panas, isikan ke dalam puff yang telah masak tadi. Sejukkan sebelum dihidang.

KEK COKLAT & TOPPING


KEK COKLAT (Respi dari majalah lama)


Bahan-bahan untuk kek
185 gm tepung gandum
60 gm serbuk koko
2 sudu teh baking powder
215gm mentega
150 gm gula halus
6 biji telur
2 sudu teh vanila

Bahan-bahan untuk aising coklat
250gm mentega
2 biji telur
80gm gula aising
200gm coklat masak
2 sudu minyak jagung

Cara membuat kek
Ayak tepung gandum, serbuk koko dan baking powder sebanyak 3 kali. Ketepikan. Pukul mentega dengan gula hingga kembang. Masukkan telur dan vanila. Kacau perlahan-lahan. Campurkan tepung dan kacau hingga sebati, masukkan dalam acuan dan bakar hingga masak. Sejukkan dan hias dengan aising coklat.

Cara membuat aising coklat
Coklat masak dicairkan secara double boiler hingga cair. Campurkan minyak jagung, kacau rata dan sejukkan. Dalam mangkuk lain, pukul mentega dengan gula aising hingga kembang. Masukkan telur, pukul lagi hingga gebu. Campurkan coklat yang dicairkan dan pukul lagi hingga gebu dan sebati. Bolehlah digunakan untuk menghias kek.

KEK COKLAT AIR PANAS (Resipi kawan)

Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbonat
1/2 cawan serbuk koko
1 cawan minyak jagung
1/2 cawan gula halus
1 cawan susu cair
1 cawan air panas
2 biji telur ayam

Hiasan
Topping coklat dan coklat rice secukupnya

Cara membuatnya
Ayak tepung, soda dan serbuk koko sebanyak 3 kali. Campurkan gula, susu, minyak jagung dan kacau rata-rata. Tuangkan air panas dan kacau sebati. Sejukkan sebentar, campurkan telur yang telah dipukul. Kacau rata2 dan tuangkan ke dalam acuan dan bakar hingga masak. Sejukkan sebelum disapu toppingnya dan taburkan coklat rice.

TOPPINGNYA
1 cawan susu pekat manis
1 cawan air
1 cawan serbuk koko
1 sudu minyak jagung

Caranya:
Cairkan serbuk koko dengan air. Campurkan susu pekat dan masak atas api kecil secara double boiler hingga sebati. Angkat dari api, masukkan minyak jagung. Kacau rata-rata hingga sejuk sedikit, baru dituangkan ke atas kek dan ratakan.

KEK KOKO MASAK (Resipi Kak Ros, Dungun)

Bahan-bahan A
2 oz serbuk koko
1 oz gula pasir
1 cawan air sejuk

Semua bahan di atas dimasak hingga pekat dan sejukkan

Bahan-bahan B
6 biji telur ayam, asingkan kuning dan putih
8 oz mentega
12 oz gula pasir
8 oz tepung gandum, diayak 3 kali
1 camca teh baking powder
1 camca teh esen vanila

Cara Membuatnya
Mentega dan vanila dikacau hingga putih. Pukul putih telur dan esen vanila hingga kembang dan pekat. Masukkan gula sedikit demi sedikit sehingga habis. Kemudian masukkan kuning telur sebiji demi sebiji sambil dipukul sehingga habis. Campurkan dengan adunan mentega tadi, kacau rata. Masukkan tepung dan kaup balikkan hingga rata. Tuangkan ke dalam acuan dan bakar selama 45 minit hingga satu jam atau sehingga masak.

29 January 2009

BUBUR BERLAUK, BUBUR AYAM CENDAWAN, BUBUR KANJI & NASI AIR SUP TULANG ALA THAI

Bubur.. satu hidangan ringkas yang boleh dimakan bila-bila masa. Ada yang dibuat sarapan, makan tengah hari dan juga makan malam. Bagi yang nak berdiet, bubur menjadi pilihan. Walaubagaimanapun, kena pandai pilih lauk pauknya. Silap hari bulan, habis diet!!

Bermacam-macam cara orang masak bubur. Berikut adalah resipi bubur-bubur yang senang dan mudah disediakan. Sesuai untuk bila-bila masa.

BUBUR BERLAUK

2 cawan beras, dimasak hingga menjadi bubur dan hidangkan dengan bahan pelengkap bubur sepertimana berikut.


Hidangan pelengkap bubur
Telur masin, direbus
Ikan tenggiri masin, digoreng dan perahkan limau
Ikan bilis goreng campurbawang besar dan lada hidup yang dihiris
Kacang tanah goreng
Lobak masin goreng campur bawang besar dan lada hidup yang dihiris
Sambal tumis
Kangkung goreng belacan

BUBUR AYAM DENGAN CENDAWAN

Bahan-bahan
Bubur nasi, cukup untuk seorang
1 biji telur
Hirisan isi ayam secukupnya
Sedikit kiub stok ayam atau maggi cukup rasa
2-3 keping cendawan putih, disiat halus
beberapa biji cendawan butang, dihiris nipis

2 ulas bawang putih, diketuk
minyak untuk menumis
garam, lada sulah dan serbuk perasa

bahan-bahan hiasan
daun sup dan daun bawang yang dihiris
bawang goreng
halia, dimayang halus dan digoreng
hirisan cili merah

Cara membuatnya

Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bawang putih hingga kekuningan. Masukkan isi ayam, kacau sebentar dan masukkan bubur dan tambahkan sedikit kiub stok ayam atau maggi cukup rasa. Tambahkan juga, garam dan lada sulah jika perlu. Apabila mendidih, masukkan cendawan dan pecahkan telur sambil dikacau. Kemudian padamkan api. Biar telur masak dalam bubur yang panas. Taburkan bahan-bahan hiasan dan hidangkan panas-panas.

BUBUR AYAM

2 cawan beras
air secukupnya untuk memasak bubur
1 keping isi ayam
1 inci halia, dimayang halus
5 ulas bawang putih, dimayang halus
garam dan lada sulah secukup rasa
sedikit minyak bijan

bahan-bahan hiasan
daun bawang dan daun sup dimayang halus
bawang goreng
lobak masin goreng secukup kegunaan

Cara Menyediakannya
Rebus ayam hingga empuk dengan halia dan bawang putih. Keluarkan ayam dan siat-siatkan. Gunakan air rebusan untuk memasak bubur. Masukkan kembali isi ayam yang telah disiat-siatkan dan tambahkan garam dan lada sulah secukup rasa. Renjiskan sedikit minyak bijan. Sesuaikan rasa dan angkat. Taburkan bahan-bahan hiasan dan hidangkan begitu saja atau dengan lauk pauk pilihan.

BUBUR KANJI SIMPLE

2 cawan beras
air secukupnya untuk memasak bubur
santan pekat
1 bungkus rempah sup bunjut
sedikit lada hitam dan garam secukup rasa
bawang putih dan bawang merah dimayang
sedikit minyak untuk menumis

sedikit isi udang hidup, sotong, hirisan ayam dan daging.
2 ekor ikan, bakar dan ambil isinya dan hancurkan.
sayur-sayuran : kacang panjang, pucuk paku, putik jagung, dan lain-lain.

bahan-bahan hiasan
daun sup, daun bawang, cili merah
bawang goreng
ikan bilis goreng
sambal tumis udang kering - jika suka (blendkan bawang putih, bawang merah, cili kering dan udang kering, kemudian masak seperti sambal tumis yang biasa)

Cara membuatnya.

Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih dan bawang merah hingga kuning. Masukkan hirisan daging, ayam, rempah sup bunjut dan air secukupnya. Masukkan beras dan masak hingga menjadi bubur. Baru dimasukkan bahan-bahan lain. Tambahkan garam dan lada hitam secukup rasa. Sesuaikan rasa dan angkat. Taburkan bahan-bahan hiasan dan hidang dengan sambal tumis udang kering.

NASI AIR SUP TULANG/SUP AYAM ALA THAI

Bahan-bahan
4 - 6 cawan beras, dimasak nasi lembik

bahan-bahan pelengkap (disediakan berasingan)
Kuah sup tulang, lihat resipi di bawah
Hirisan daging/paru/babat yang telah dimasak
Telur masin, direbus
ikan bilis goreng
bawang goreng
daun sup + daun bawang dihiris halus
kacang tanah goreng
taugeh - jika suka
Air lada (cili padi ditumbuk kasar, campurkan garam dan sedikit cuka)
Limau nipis, dipotong-potong


Cara menyediakan sup tulang (boleh gantikan dengan ayam)

1kg tulang lembu
1/2 kg daging lembu, dipotong buku besar
1/2 kg babat
1/2 kg paru
Air secukupnya untuk kuah
2 paket rempah sup bunjut
2 inci halia, diketuk
1 labu bawang putih, diketuk
2 batang serai, diketuk
sedikit lada hitam
garam dan serbuk perasa

bahan-bahan tumisan darat
rempah tumis (kulit kayu manis, pelaga dan bunga cengkih)
5 biji bawang putih, dimayang
10 biji bawang merah, dimayang
1 inci halia, dimayang
minyak untuk menumis

Cara membuatnya
Rebuskan tulang, daging dengan air secukupnya, bawang putih, serai dan halia hingga daging empuk. Baru dimasukkan rempah sup bunjut, garam dan lada hitam. Sesuaikan rasa dan kecilkan api. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan tumisan darat hingga naik bau dan bawang kekuningan. Masukkan ke dalam kuah yang sedang mendidih dan tutupkan periuk. Padamkan api, selepas 5 minit baru dibuka tudung periuk untuk mendapatkan aroma sup yang wangi. Hidangkan dengan nasi lembik dan bahan-bahan pelengkap yang lain.

Selamat mencuba

25 January 2009

KERABU


Kerabu adalah hidangan pembuka selera, sama seperti acar atau salad. Lain orang, lain caranya membuat kerabu. Contohnya kalau orang utara, biasanya menggunakan cili padi, udang kering, udang basah atau udang geragau selain belacan. Manakala di selatan tanah air, mereka lebih suka menggunakan udang kering atau ikan bilis, ditambah pula dengan cekur bagi masyarakat jawa dan dinamakan urap.

Tetapi lain pula bagi mereka yang tinggal di Pantai Timur, mereka lebih suka menggunakan ikan bakar atau ikan rebus digandingkan dengan lada hitam. Macam-macam jenis sayur-sayuran atau buah-buahan yang boleh dijadikan kerabu. Selain itu, ayam, telur masin, daging, babat, ikan bilis, sotong, udang, ikan, dan kaki ayam juga sedap dibuat kerabu. Di dalam gambar ialah kerabu buah kuini campur kulat gelam.....

SAYUR-SAYURAN ATAU BUAH-BUAHAN YANG BOLEH DIBUAT KERABU
1) Taugeh, celur sebentar (boleh campur kerang atau perut lembu)
2) Pucuk paku campur kerang atau babat/perut lembu
3) Timun, dibuang empulur dan hiris halus
4) Nangka muda yang telah direbus
5) Bacang muda atau kuini muda (disagat kasar dan rendam ke dalam air garam sebelum dicuci dan toskan)
6) Betik muda, disagat halus
7) Pegaga, ceylom, bunga kantan dan lain-lain ulam kampung
8) Kulat gelam (mana nak carik sekarang ya)
9) Terung, dibakar atau direbus dan carik2 isinya
10) Buah beko (dibakar, hiris nipis dan rendam dalam air garam. Kemudian diperahkan airnya)
11) Pucuk buah beko (direbus)
12)Buah peria (dihiris nipis dan rendam dalam air garam, kemudian perahkan airnya)


KERABU CITARASA PANTAI TIMUR (sesuai untuk sayur-sayuran yang disebutkan di atas)

Bahan-bahan asas perencah kerabu (boleh diubahsuai ikut citarasa masing-masing)
1/4 biji kelapa, sangai hingga kuning dan ditumbuk lumat
2 ekor ikan bakar kosong (tawar) , diambil isinya sahaja
5 biji bawang merah
Belacan - jika suka
2 batang serai muda, jika suka
1 sudu lada hitam (boleh ganti dengan cili padi atau cili merah)
sedikit halia
garam, gula secukup rasa
cuka atau limau nipis secukup kegunaan

1/2 cawan santan pekat (didihkan tapi jangan sampai pecah minyak)

Cara Membuatnya :
Tumbukkan lada hitam, halia, serai, bawang dan belacan. Masukkan isi ikan bakar,garam, gula secukup rasa. Campurkan dengan kerisik dan pati santan. Perahkan limau nipis ke dalamnya. Gaulkan dengan sayur-sayuran yang dikehendaki. Sesuaikan rasa dan hidangkan.

KERABU ALA THAI

Bahan-bahan yang sesuai untuk kerabu ala thai
1) Daging atau babat yang telah direbus, dihiris nipis
2) kaki ayam yang telah direbus dan dibuang tulangnya
3) Udang, dicelur sebentar
4) Sotong, dicelur atau bakar sekejap
5) Isi ayam yang telah direbus
6) Ikan bakar atau ikan bilis goreng


Perencah kerabu
Bawang putih
Cili padi
Limau nipis (ambil airnya)
Sos nampla
Kacang tanah goreng
Daun ketumbar

Bahan-bahan lain (dihiris halus)
Daun limau purut
Serai
Sayur-sayuran seperti kacang panjang, timun,tomato, salad)

Cara menyediakan kerabu
Titikkan seulas dua bawang putih dan beberapa biji cili padi. Campurkan sos nampla. air limau nipis dan serbuk perasa. Gaulkan dengan bahan-bahan yang telah dihiris dan sesuaikan rasa. Campurkan dengan daging atau bahan-bahan lain mengikut citarasa. Taburkan daun ketumbar dan kacang tanah goreng. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba

24 January 2009

MIENG KHAM (SIRIH KADUK)

Hidangan ini adalah sangat popular bagi orang-orang dari Negara Gajah Putih (Thailand)hailand, namun begitu, tetap juga menjadi kegemaran saya seisi keluarga. Ada yang menyebut sirih kaduk, ada pula colek daun kaduk. Mungkin cara memakannya umpama memakan sirih, maka sirih kaduk ini diberi nama... Mmm.... sedap sangat!!! Mula-mula macam tak percaya, tapi sekali mencuba..wow!!! pantang jumpa daun kaduk, mesti nak kena buat Mieng Kham..Bagi masyarakat thai, mereka menggunakan gula kabung cair yang berwarna putih sebagai sosnya, tapi sekarang, resipi tersebut telah dipelbagaikan. Apa yang saya pelajari dari seorang kawan baik yang berasal dari Takbai, Thailand, beginilah resipinya.. Agak cerewet, tapi berbaloi-baloi..



Bahan-bahan untuk sirih kaduk (Mieng Kham)

Daun kaduk, dibersihkan dan dilap hingga kering, susunkan ke dalam dulang

Bahan-bahan intinya (disediakan berasingan)
Udang kering, cuci bersih dan sangai
Kacang tanah, digoreng tanpa minyak dan buangkan kulitnya
Isi kelapa, dibuangkan kulit arinya dan hiris nipis, kemudian disangai hingga kuning. Boleh juga dibakar dalam oven.
Limau nipis, dihiris nipis dengan kulit-kulitnya
Halia muda, kikis kulitnya dan potong dadu kecil-kecil
Bawang merah, dipotong dadu kecil
Cili padi, dihiris halus-halus

Untuk sosnya :-
2-3 ketul gula melaka, dicairkan dengan 1 cawan air
2 sudu tepung gandum
Sos nampla, jika suka atau boleh ganti dengan udang kering yang dikisar lumat

Cara menyediakan sosnya
Masukkan tepung gandum ke dalam kuali dan goreng tanpa minyak hingga kekuningan. Sejukkan sebentar. Campurkan dengan gula melaka yang dicairkan tadi, sos nampla atau udang kering. Masak kembali atas api kecil hingga pekat. Sejukkan sebelum diguna.

Cara Menyediakannya
Ambil sehelai daun kaduk. Calitkan sedikit manisan cair dan bubuh bahan-bahan intinya mengikut keperluan dan citarasa masing-masing. Lipatkan dan terus dimakan.

Nota :-
Daun kaduk boleh digantikan dengan daun salad, tapi tidaklah sesedap daun kaduk yang unik itu.