KAWAN-KAWAN SAYA

01 August 2009

KERABU SAGHAE (SARER)

Bagi masyarakat di pantai timur terutamanya negeri Cik Siti Wan Kembang, kerabu saghae adalah hidangan yang sangat popular. Saghae adalah sejenis rumpai laut dari Thailand. Rasanya yang unik menjadikan kerabu saghae ini menjadi pilihan terutamanya pelengkap hidangan kenduri kendara dan majlis perkahwinan selain dari acar, teresek dan solok lada..

Berbagai-bagai versi dan cara penyediaan kerabu saghae.. Berikut adalah resipi kerabu saghae yang Ummi saya selalu sediakan.. Ada satu lagi versi, iaitu resipi kerabu saghae special yang saya pelajari dari almarhumah Lisa, jiran dan juga sahabat baik saya yang berasal dari thailand..

Kerabu Saghae, resipi Ummi

Bahan-bahan
Saghae - dibersihkan dan direndam hingga lembut.. Toskan dan perah sampai kering

Sambal kelapa (dicampur semua bahan dan digaul sebati)
1/4 biji kelapa parut, digoreng tanpa minyak sampai kuning dan ditumbuk lumat
4 biji bawang merah
sedikit halia
garam dan gula secukup rasa
2 ekor ikan selayang, dipanggang tawar dan diambil isinya sahaja..

Tumis kerabu saghae
Santan pekat 1/2 biji kelapa

Bahan2 ditumbuk halus
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
5 tangkai cili kering
1 batang serai
2 keping asam gelugur
sedikit belacan atau budu
garam dan gula melaka secukup rasa

Cara : Masak santan sampai pecah minyak, campurkan bahan2 tumbuk, budu atau belacan, gula melaka dan masak sampai pekat. Sesuaikan rasa dan angkat.

Jika tidak suka tumis kerabu, boleh gantikan air lada. Caranya ialah : tumbuk cili padi sampai lumat dan dicampur cuka, gula dan garam secukup rasa.

Cara menyediakan kerabu : Campurkan saghae, sambal kelapa dan tumis kerabu atau air lada secukup rasa. Siap untuk dihidangkan.


Kerabu saghae, resipi almarhumah Lisa

1/4 biji kelapa parut, digoreng sampai kuning dan tumbuk sampai lumat dan pecah minyak

Bahan-bahan tumbuk
2 batang serai, ambil umbut sahaja
5 biji bawang merah
sedikit halia
beberapa biji cili padi
2-3 ekor ikan panggang, diambil isinya sahaja
sedikit garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan lain
Bunga kantan dihiris halus
Limau nipis, diperah airnya
Sedikit pati santan
Sedikit budu

Caranya
Gaulkan bahan-bahan tumbuk dengan kelapa goreng yang telah ditumbuk tadi. Sesuaikan rasa dan gaulkan dengan saghae. Tambahkan pati santan, air limau, bunga kantan dan budu. Siap untuk dihidangkan dengan nasi putih dan lauk2 pilihan yang lain.. ATau.. Sedap dimakan begitu saja..