KAWAN-KAWAN SAYA

04 October 2010

SOTO AYAM

Soto ialah satu hidangan yang popular di negeri Johor.. Satu hidangan yang tidak begitu berat, boleh dimakan pada bila-bila masa sahaja.. Dihidangkan bersama-sama nasi impit, mee atau mihun.. Bahan-bahan dan cara membuat soto adalah seperti berikut:-

Bahan untuk kuah soto
1 ekor ayam, dibelah empat dan dibersihkan
1 liter air
1/2 cawan pati santan
garam dan serbuk perasa secukup rasa
minyak untuk menumis
rempah empat sekawan : kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan cengkih

Bahan-bahan untuk dikisar
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
2 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai
2 sudu ketumbar
1 sudu jintan manis
1 sudu jintan putih
1 sudu lada hitam
2 - 3 biji buah keras
segenggam udang kering

Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan hingga wangi, masukkan bahan-bahan dan tumis hingga garing. Masukkan ayam, santan pekat garam dan serbuk perasa. Tutup periuk dan kecutkan ayam, tunggu hingga ayam berubah warna. Gunakan api yang kecil. Tambahkan air secukupnya dan masak sampai mendidih dan ayam empuk. Keluarkan ayam, siatkan isinya. Tulang2 dimasukkan kembali ke dalam kuah, teruskan mereneh selama 1/2 hingga satu jam. Sesuaikan rasa dan hidangkan.

Bahan-bahan pelengkap soto
Nasi Impit / Mee atau Mihun
Daun sup dan daun bawang yang dimayang halus
kacang tanah goreng
Suhun - digoreng
Bawang goreng
Taugeh atau kobis yang disagat halus
Limau kasturi
Sambal kicap
Bergedil

Cara-cara menyediakan sambal kicap
20 biji cili padi - boleh digunakan mentah atau digoreng dahulu
1 labu bawang putih - boleh digunakan mentah atau goreng dahulu
1/2 botol kicap manis
gula sekiranya perlu

Satukan semua bahan dalam blender, dan kisar hingga lumat.

Bergedil
1/2 kg kentang, kupas kulit dan potong dadu, dan digoreng. ketika panas, lenyekkan hingga halus
450 gm daging kisar, direbus hingga kering airnya
3 biji bawang besar, dimayang halus dan digoreng
2 sudu bawang merah goreng
2 tangkai daun sup dan daun bawang, dimayang halus
2 biji cili merah dan hijau, dimayang halus
1 sudu teh lada sulah
garam dan serbuk perasa
2 sudu tepung jagung

2 biji telur dipukul
minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya
Campurkan semua bahan kecuali telur. Bentukkan bulat dan leperkan. Sejukkan dalam peti ais selama setengah jam sebelum digoreng untuk mengelakkan bergedil hancur ketika digoreng. Panaskan minyak untuk menggoreng. Celupkan bergedil ke dalam telur dan goreng dalam minyak tenggelam hingga kekuningan.

Selamat mencuba..

No comments:

Post a Comment