KAWAN-KAWAN SAYA

30 December 2010

MUFFIN LABU


dah masak pun muffin labu saya.. jap lagi nak makan dah...


muffin, sedang menunggu untuk dibakar..

Selalunya labu kuning, kalau tidak dimasak sayur lemak putih, biasanya saya buat sira labu atau jemput labu.. tapi kali ini saya cuba variasikan. Buat muffin.. Labu ini saya tidak rebus dahulu tetapi dikisar dan dicampurkan terus ke dalam adunan muffin. Alhamdulillah, menjadi juga muffin saya.. Resipinya mudah saja.. ikut bahan2 asas membuat muffin, cuma tambahkan labu saja.. yummy.. yummy...

Bahan-bahan
4 1/2 cawan tepung gandum
2 sudu teh baking powder
1 sudu teh bicarbonate soda
2 cawan gula halus (resipi ini kurang manis, next time tambah sedikit lagi gula)
2 biji telur gred A
1/2 tin susu cair
1 1/2 cawan marjerin
2 cawan isi labu yang dipotong kiub (kira2 1/4 biji labu saiz sedang)

Cara-cara membuatnya
Gaulkan tepung, baking powder dan bicarbonate of soda dan ayak 3 kali. Ketepikan. Dalam blender, campurkan marjerin, telur, gula, susu cair dan labu. Kisar sampai lumat. Campurkan ke dalam tepung tadi dan gaul rata2. Sudukan ke dalam acuan atau papercup muffin. Jangan terlalu penuh, cukup 3/4 acuan sahaja. Jika terlalu penuh, muffin yang sedangk dibakar akan membuak keluar... Bakar selama 25 - 30 minit dengan suhu 180 darjah Celcius.

BENDI REBUS + SAMBAL BELACAN


bendi rebus... sedap dimakan dengan sambal belacan, lawannya pulak ikan masak singgang dan nasi panas2.. wallaweh.... x sedar nasi dah bertambah!!



sambal belacan simple dari dapur saya, cuma campurkan 10 biji cili padi merah, 5-6 biji lada merah, 1/2 sudu kecil garam, 2 sudu gula, 2 sudu besar belacan dan 4 sudu cuka. Kisar sampai lumat. Tuangkan ke dalam mangkuk dan perahkan dua biji limau nipis. Kacau rata dan siap untuk dihidangkan.

PUDING NANGKA



Puding nangka ni sebenarnya saya buat dua malam yang lepas. Lagipun dah lama saya tak buat manis-manisan pencuci mulut ni. Ya lah, asik buat roti saja... Kebetulan ada kawan kat tempat kerja ada bawa buah nangka masak untuk dijual, jadi saya pun beli lah satu pack. Isinya besar2 dan manis pula.. Resipi puding nangka ni saya dapat masa tengok siaran TV singapore, rancangan Masak Apa yang dihoskan oleh Chef Wan..tapi saya ubahsuai sedikit resipinya ikut citarasa sendiri.. lagipun saya tak sempat nak catit apa bahan2 yang digunakan, cuma agak2 je lah..

Bahan-bahan
1 tahil agar-agar (30 gm sepeket)
1 1/2 gelas gula
6 gelas air
2 senduk tepung kastad
1 tin susu cair
2 sudu marjerin
2 biji telur ayam gred A
5 ulas nangka (buang biji)
sedikit pewarna hijau jika suka

Cara-cara
Masak agar2 dengan air sampai mendidih dan larut. Kemudian masukkan gula. Masak lagi hingga gula larut. Renehkan hingga larutan agar2 kembali ke sukatan asal (bila dah masuk gula, sukatan agar2 akan bertambah). Dalam blender, campurkan nangka, susu cair, telur, marjerin dan kastad dan kisar sampai lumat. Tuangkan ke dalam agar2 yang sedang dimasak dan dikacau hingga likat. Pastikan dikacau selalu supaya tidak meruap dan tidak berketul. Kemudian boleh dipadamkan api dan dituangkan ke dalam loyang. Titiskan sedikit pewarna hijau dan kacau. Sejukkan sebelum dipotong2 dan dihidangkan.

Nota :
Saya tidak menggunakan daun pandan sebab aroma nangka sudah wangi. Adunan puding ini boleh dimasukkan ke dalam gelas kecil2 dan dibentukkan seperti ulas nangka dengan jeraminya. Hasil gubahan ulas nangka ini sesuai dijadikan kuih untuk hantaran pengantin/bertunang.

Selamat mencuba.

28 December 2010

MEE MAGGI



Dah lama saya tak masak mee segera. Bukan apa, untuk menggalakkan anak2 makan nasi, jadi stok mee segera tak ada dalam almari dapur.. Sekali sekala bolehlaa.. Sebenarnya, mee segera ni jadi pembuka selera nombor satu.. Boleh dimakan bila2 masa saja dan menjadi penyelamat pada waktu2 tenat.. Bukan saja cepat dimasak, tetapi sedap dimakan.

ROTI NAN PUTERI MANJA DGN GULAI DAGING


roti nan dengan gulai daging, sedia untuk disantap

roti nan.. kali ini, ikut resipi puteri manja, rakan facebook

ROTI NAAN
BAHAN-BAHAN ( 8 KEPING SEDERHANA BESAR )

• 375 G TEPUNG GANDUM
• 125 G TEPUNG NAIK SENDIRI
• 125ML PLAIN YOGURT (LOW FAT PUN BOLEH)
• 1 SUDU KECIL SERBUK YEAST ( RENDAM DALAM 250ML AIR SUAM)
• 1 SUDU BESAR BUTTER/MARGERIN (OLIVE OIL LG SEDAP)
• 1 SUDU BESAR GULA PASIR
• SEDIKIT GARAM

CARA-CARA

1. RENDAM TERLEBIH DULU YIS DIDALAM CAWAN BERISI AIR SUAM2 KUKU. TUNGGU SEHINGGA YIS TIMBUL.

2. SEMENTARA ITU, DI DALAM MANGKUK BERASINGAN. CAMPURKAN TEPUNG GANDUM, TEPUNG NAIK SENDIRI, GULA GARAM DAN BUTTER DAN DIGAUL RATA.

3. MASUKKAN YEAST(YG DIRENDAM TADI) DAN YOGURT, ULI SEHINGGA SEBATI DAN LEMBUT.(SEKIRANYA LEMBIK BOLE TAMBAH TEPUNG SIKIT BEGITU JUGA SEBALIKNYA..BOLE TAMBAH AIR JIKA PERLU)

4. ULI SEHINGGA AGAK LEMBUT, DAN BAHAGIKAN ADUNAN KEPADA 8.. BULAT2KAN UNTUK DIPERAM SEKETIKA (SAMPAI KEMBANG DAN GEBU)

5. CANAI LEPER, DAN BAKAR ATAS KUALI (PREFERABLE NON STICK PAN) LEPER TANPA MINYAK, API KECIK, TUNGGU SAMPAI KEMBONG2 SIKIT, BARU TERBALIKKAN.

6. UNTUK YG SUKA MAKAN CHEESE…NI CARA2 BUAT NAAN CHEESE…

7. UNTUK NAAN CHEESE:

8. SETELAH CANAI LEPER, TABURKAN CHEESE DAN GULA

9. CANAI ANOTHER NAAN AND TINDIHKAN DAN CANAI SEMULA. SIAP UNTUK DIBAKAR DIATAS DAPUR.

SELAMAT MENCUBA!!!


gulai daging, saya buat gulai daging raja berangkat...

GULAI DAGING RAJA BERANGKAT

Bahan-bahan
750 gm daging, potong kecil
santan satu biji kelapa, secukup kegunaan
2 keping asam gelugur
1 batang serai
garam secukup rasa
2 sudu rempah kerutuk atau rempah kari
2 sudu kerisik

bahan-bahan kisar
3 biji bawang merah besar
5 biji bawang putih
5 biji cili kering
1 inci halia
1 inci kunyit
1 inci lengkuas

bahan2 ini hendaklah disangai tanpa minyak
segenggam ketumbar
1/2 sudu kecil jintan putih
1/2 sudu teh jintan manis
2 biji buah pelaga
1 cm kulit kayu manis
2 kelopak bunga lawang
2 kuntum cengkih

bahan2 untuk tumis darat
rempah 4 sekawan
2 biji bawang putih, dimayang
3 ulas bawang merah, dimayang
1 cm halia dimayang
sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya
Bahan kisar dan bahan2 yang disangai hendaklah dicampurkan dan dikisar lumat. Gaulkan dengan daging, masukkan ke dalam periuk bersama-sama serai dan rempah kari atau kerutuk, kecilkan api dan masak sampai kering. Tambahkan air secukupnya dan masak sampai daging empuk (kira2 1 1/2 jam). Baru dimasukkan santan, asam gelugur, dan kerisik. Masak hingga mendidih atas api perlahan. Sesuaikan rasa. Sementara itu, panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bahan2 untuk tumis darat hingga kekuningan dan wangi. Masukkan ke dalam gulai yang sedang dimasak tadi dan tutupkan periuk. Padamkan api. Selepas 5 minit, baru dibuka penutupnya. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba.

26 December 2010

MEE BANDUNG UDANG DI TANJUNG LANGSAT


mee bandung udang, kami makan kat restoran tepi laut di Tanjung Langsat..boleh tahan juga sedapnya..


dari jauh boleh nampak ada kapal berlabuh, kawasan tu terletak dekat dengan Pelabuhan Tanjung Langsat


saya sempat snap gambar dua buah kapal saja..

Begitulah suasana persekitaran kampung kecil tapi agak popular bagi penduduk Pasir Gudang. Suasana kampung yang aman damai, masih terasa hembusan udara yang segar. Kini, Tanjung Langsat dalam proses pembangunan. Tak lama lagi akan jadi kawasan perindustrian. Telah banyak kilang didirikan di kawasan ini. Ada yang masih dalam pembinaan, tak kurang juga banyak yang telah memulakan operasi. Cewah.. promote la pulak.. Takpe, sekali sekala jadi promoter tak diundang, apa salahnya.. untuk ekonomi negara sendiri..hehehe
Saya ke sana bukan untuk membina kilang, bukan juga untuk buat bisness.. tetapi saya dan family ke sana ke sana untuk menikmati mee bandung udang yang popular di kawasan itu.

POHON KADUK

Inilah rupa pokok kaduk.. Sekali tengok macam daun sirih, tapi bukan. Kalau nak tahu perbezaannya, pokok sirih ada junjung tempat dia naik menjalar.. tapi pokok kaduk tumbuh melata dan mudah membiak.. Daun kaduk selain dibuat ulam dan kerabu, biasanya dicampur ke dalam masakan gulai siput sedut (siput sawah). Boleh juga dicampurkan ke dalam masakan singgang asam pedas (bagi orang-orang Kelantan/Terengganu). Mieng Kham juga satu hidangan istimewa pembuka selera, cukup popular di kalangan orang-orang Thai, juga disedikan dengan daun kaduk.


Pokok kaduk yang ditanam dalam pasu, oleh bonda mentuaku... aku cuma petik je..


hidangan mieng kham, saya bawa ke office untuk berkongsi rasa dengan kawan-kawan. supplier daun kaduk ialah Kak Zie, kakak senior kat ofis.. thanks Kak Zie

25 December 2010

ASAM PEDAS IKAN PATIN & KACANG PANJANG GORENG


asam pedas ikan patin, sedia untuk disantap



kacang panjang + karot goreng kering

Menu tengahari ini, asam pedas ikan patin dan juga kacang panjang + karot yang digoreng kering. Plan asal beli ikan patin, nak buat masak tempoyak, tapi disebabkan suami tak suka tempoyak dan masa dah suntuk nak masak lauk lain untuknya, saya tukar jadi masak asam pedas. Alhamdulillah, berselera dia makan. Resipi asam pedas saya dah pernah masukkan dalam entry yang lepas. Tapi kali ini ada ubahsuai sikit, yalah jemu juga kan kalau rasa asam pedas tu sama je.. Mesti nak try lain-lain resipi.

Bahan-bahannya
1 ekor ikan patin, dibersihkan dan dipotong2
1 kuntum bunga kantan - dibelah 4
Daun kesum secukup kegunaan
1 sudu besar asam jawa, diambil airnya
garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis

Bahan-bahan untuk dikisar
15 biji cili kering
10 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1 biji buah keras
1 batang serai
sedikit halia, kunyit dan lengkuas

Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar hingga garing. Masukkan air asam jawa,bunga kantan ikan dan tutup sebentar. Agak2 ikan setengah masak, tambahkan air secukupnya untuk kuah, garam dan serbuk perasa. Akhir sekali, masukkan daun kesum. Renehkan atas api kecil selama 10 minit sebelum dihidangkan.

KACANG PANJANG GORENG KERING

Bahan-bahan
10 batang kacang panjang, dihiris serong
1/2 batang karot, dipotong bentuk bunga
2 biji lada hijau, dimayang
1/2 biji bawang besar, dimayang
garam secukup rasa
minyak untuk menumis

Bahan-bahan untuk ditumbuk
3 biji bawang merah
2 biji bawang putih
segenggam udang kering, direndam

Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak, tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk hingga garing. Masukkan garam secukup rasa. Kemudian masukkan kacang panjang dan karot. Tutup kuali selama 5 minit. Buka penutup dan kacau. Tambahkan hirisan cili hijau dan bawang besar. Kacau sebentar dan angkat.

Sedia untuk dihidangkan.

MUFFIN PISANG TANDUK


muffin pisang tanduk

muffin baru keluar oven, dalam proses penyejukan...

Ada sebiji pisang tanduk yang dah masak, nak dibuat pisang goreng nampaknya dah lembik sangat. Nak dibuat jemput2, rasanya dah selalu sangat makan jemput2 pisang.. Nak dibuat kek pisang, takut tak menjadi.. sebenarnya dah fobia buat kek pisang, sebab selalu bantat.. Kebetulan ada papercup muffin yang saya baru beli, jadi saya ubahsuai resipi, jadi muffin..

Resipi muffin ni adalah insipirasi dari resipi Wan iaitu Banana Chocolate Chip Muffins, tapi memandangkan coklat cip dah kehabisan stok, saya ubahsuai sedikit resipi, alhamdulillah...menjadi juga muffin pisang tanduk saya..

MUFFIN PISANG TANDUK

Bahan-bahan
3 cawan pisang tanduk yang telah dihaluskan + secubit garam
2 cawan gula halus
1/4 cawan air gula hangus
1 1/2 cawan marjerin
3 biji telur (saya guna gred A)
4 1/2 cawan tepung gandum + 3 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh esen vanila
coklat rice untuk hiasan

papercup untuk muffin

Cara-cara membuatnya
Campur gula dengan marjerin, pukul sampai kembang. Masukkan telur sebiji-sebiji dikuti dengan pisang dan esen vanila. Kemudian masukkan tepung diselang seli dengan air gula hangus. Kaup balikkan hingga rata. Masukkan ke dalam acuan muffin (paper cup)3/4 penuh. Tabur coklat rice dan bakar dengan suhu 180 darjah C, selama 25-30 minit atau hingga masak.

nota : sukatan gula dalam resipi ini agak manis, so bolehlah kurangkan sedikit untuk mendapatkan rasa yang seimbang.

Selamat Mencuba

SOTONG KANGKUNG



kuah sotong kangkung, campuran petis, cili, belacan, air asam, gula melaka, kicap dan kacang tumbuk


aksesori untuk sotong kangkung.. ada kangkung, taugeh, sotong kembang yang telah direbus dan timun..

Sebenarnya, ini menu makan malam dua hari lepas.. Tapi baru post hari ini sebab terlupa.. Resipi untuk sotong kangkung ni saya dah masukkan dalam entry yang lepas, jadi tengok gambar je lah ya..

24 December 2010

MENU TENGAH HARI YANG SIMPLE



ini pelengkap hidangan, home made budu dengan ulam daun celom fevret suami



ikan selar kuning goreng, menu wajib untuk along dan angah



ini pula, pucuk paku goreng kicap, permintaan suami.. (musim2 hujan gini, pucuk paku pun naik harga...)



Ikan aya singgang, versi Terengganu yang menjadi kesukaan sikecik..

ROTI OH ROTI


roti tikar (saja bagi nama sbb adunan roti dicanai nipis dan dipotong, kemudian susun selang seli, jd mcm tikar), sebelahnya pulak caterpillar bun..


yg ini pulak, bun kacang merah.. saja bagi nampak inti, masa roti belum kembang, nampak cam kiut je, lepas dh masak, alamak aii.. x cantik rupanya... tak abis belajar maa...


caterpillar bun...hasil kerastangan ku..hehehe


roti bantal ni saja buat, mana tahu kot2 esok angah mintak roti marjerin.. boleh potong2 je, sapu marjerin & gula.. klu wat roti telur pun ok..

Malam ni, buat roti lagi.. satu adunan roti, macam2 saya bentukkan, ada roti bantal, roti kacang merah, caterpillar bun dan juga roti tikar (betul ke saya bagi nama ni???) tapi roti saya tak cantik sangat sebab buat roti tak pernah berguru.. cuma belajar dengan ummi, melalui internet dan buku2 resipi yang berlambak dlm koleksi.. dari segi rasa, alhamdulillah... dah sedap.. cuma bentuknya tu... nak pergi kursus buat roti, masa tidak mengizinkan.. Insya Allah, suatu masa nanti hasratku tercapai jua..

23 December 2010

IKAN TAMBAN BELURU GORENG



Dah lama betul tak makan ikan tamban beluru goreng.. bila ke pasar hari tu, nampak ikan tamban, saya terus belilah sekilo.. mula2 plan nak wat keropok lekor, tapi sagu dah habis, jadi saya goreng ajelah.. Saya tumbukkan kunyit hidup, garam dan bawang putih. Kemudian lumur pada ikan dan goreng garing.. Ikan tamban beluru ni, kalau tak digoreng garing, nanti tulang banyak tulang keluar, susah nak makan..

SINGGANG JAWA



Saya panggil singgang jawa sebab selalu tengok mak mentua yang masak. Mungkin orang lain, lain pulak nama diberi.. Selalunya ikan selar kuning jadi pilihan dan resepinya mudah saja..

Bahan-bahannya
500 gm Ikan selar kuning
1 labu bawang putih ditumbuk kasar2
Kunyit hidup dan halia, ditumbuk kasar2
1 batang serai, diketuk
Air asam jawa secukupnya (saya guna asam keping)
Garam secukup rasa
Lada merah dan cili api, dihiris2 (saya guna sebiji2 sebab takut anak2 pedas)

Cara :
Susunkan ikan selapis2 diselang seli dengan bawang putih, halia, serai dan lada merah/cili padi. Taburkan garam secukup rasa dan tambahkan air asam jawa. Jangan terlalu banyak, nanti ikan jadi hancur. Masak atas api kecil hingga kuah pekat.

Versi saya lain sikit, saya tak tumbuk bawang2 dan halia/kunyit. Tapi dimayang saja. Saya tak guna air asam jawa, tapi gunakan asam keping dan berkuah. Sedap juga dimakan panas2 dengan nasi putih.

Selamat mencuba.

SAMBAL GORENG JAWA



Malam ni, saja nak perabiskan tauhu tempe dalam peti ais.. kebetulan ada kacang panjang dan sedikit udang basah, jadi saya masak sambal goreng jawa..versi terengganu.. hehehe

Bahan-bahan
5 batang kacang panjang, potong serong
1/2 batang karot, dimayang halus
2 keping tempe, dihiris nipis dan goreng
2 keping tempe, hiris nipis dan goreng
1 biji kentang (didadu kecil dan digoreng) - yg ni saya tak taruk, sbb kentang dah habis
hati dan mempedal ayam, digoreng dan potong kecil - saya tak taruk
sedikit udang basah
sedikit suhun, direndam
sedikit fucuk, direndam
kicap manis, ajinomoto
bawang besar dan lada hidup yang dimayang halus

bahan-bahan untuk menumis (dimayang halus)
3 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1 inci halia
1 batang serai
3 biji cili padi
sedikit udang kering, ditumbuk

Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak, tumiskan bahan2 menumis hingga garing. Masukkan udang diikuti kacang, karot, fucuk dan suhun. Tambahkan garam, ajinomoto dan sedikit air. Tutup kuali dan tunggu hingga kacang setengah masak, baru dimasukkan bahan-bahan lain dan kacau sampai masak dan kering. Sesuaikan rasa dan angkat.

nota : untuk lebih sedap lagi, tambahkan pati santan dan jika ada babat yang telah direbus, boleh dicampurkan sekali..

Selamat mencuba

22 December 2010

KUE TIAW GORENG & LADA JERUK


plan nak masak char kuetiaw, tapi banyak bahan takde, so jadilah kuetiaw goreng..

lada jeruk ni, buat pembuka selera, takde lada jeruk, tak kick rasanya...

Preparation last minute, alkisahnya, kuetiaw ni beli semalam.. dah plan nak masak char kue tiaw, tp suami pulak nak makan nasi... tu sebab postpone hari ni.. Kuetiaw goreng yang simple sangat.. dah terlupa plan asal, lepas makan baru teringat...

Bahan-bahan
500gm kuetiaw, basuh dan toskan
sedikit isi udang, fishcake, fishball dan lain2 ikut kegemaran
5 biji bawang putih, diketuk
1 sudu cili kisar
kicap manis, sos tiram dan sos cili
minyak untuk menumis
garam secukup rasa
2 keping tauhu, digoreng dan dipotong2
2 biji telur
1 mangkuk kecil taugeh
4 pokok kucai, dipotong satu inci
4 helai sawi
2 helai kubis

Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak, masukkan garam (utk mengelakkan percikan minyak) Kemudian masukkan bawang putih dan tumiskan bawang putih hingga kuning. Kemudian masukkan cili kisar. Bila cili dah garing, masukkan udang, fishcake, fishball, kacau rata hingga udang berubah warna, masukkan sos cili, kicap dan sos tiram. Masukkan sawi dan kobis. Kemudian pecahkan telur, kacau sebentar, baru dimasukkan kuetiaw dan kacau rata2. Akhir sekali kucai dan taugeh. Kacau sebentar dan angkat. Hidangkan panas2 dengan lada jeruk.

cara membuat lada jeruk
5 biji lada hijau dipotong2 tapi jangan terlalu tebal atau nipis. boleh dicampurkan dengan cili padi jika suka lebih pedas. Masukkan lada ke dalam mangkuk atau botol kaca. Tuangkan cuka hingga lada tenggelam. Masukkan secubit garam. Seelok2nya lada jeruk disediakan dua jam lebih awal supaya lebih sedap dimakan.

Selamat mencuba.

19 December 2010

ROTI NAN DENGAN SUP TULANG MERAH + KACANG POOL




Hari ini, 19hb Disember 2010.. 2 kali saya buat roti nan.. Mau taknya, bangun pagi je, anak sulong dan mintak roti tempayan.. Katanya sedap....Bila saya cakap, lauk kari dah habis, dia cakap tak kesah laa.. ada sambal tumis pun takpe.. Jadi saya buat lah setengah kilo tepung.. dan masak sedikit sambal tumis..Kali ni saya buat kecik2 aje.. Ngam2 siap masak dan makan sorang sebiji, adik saya pulak sampai satu keluarga.. Jadi selamatlah riwayat roti yang ada tu..

Pukul 3 petang tadi, saya buat lagi satu kilo tepung.. Memang banyaklah dapat, tapi takpe, tengok anak2 makan.. hilang rasa penat... Pendek kata, takde nasi hari ni.. Tapi saya sempat siapkan sup tulang merah + kacang pool. Lagipun, pagi tadi suami saya x sempat menjamah, bolehlah dia makan balik kerja petang nanti..

Kali ni, saya cuma tepek gambar je, sebab resipi roti dan kacang pool saya dah masukkan dalam entry yang lepas..

SOM TAM a.k.a KERABU BETIK THAI


Kalau dulu, som tam atau kerabu betik ni selalu saya order setiap kali makan kat luar dengan family. Sekarang ni tak lagi, sebab dah pandai buat sendiri.. Itupun pun belajar dari jiran juga kawan baik saya, seorang warga Thailand. Sekarang, kalau dapat betik mengkal je, jadi som tam lah.. Bukan dimakan dengan nasi, tapi dimakan begitu saja.. Som Tam ni, saya buat malam tadi, sebiji betik habis saya kerjakan... Pastu simpan dalam peti ais.. sejuk dan sedap dimakan.. Bahan-bahan untuk menyediakan som tam ni ringkas dan mudah didapati.

Bahan-bahan
1 biji betik mengkal (kekuningan tapi masih keras isinya, disagat memanjang)
2 biji buah tomato, potong nipis
4 batang kacang panjang, potong pendek2
3 ulas bawang putih
8 biji cili padi
1/2 cawan jus limau nipis/cuka
1/2 cawan kacang tanah goreng
1/2 cawan udang kering
5 sudu gula
1/2 sudu teh garam
sedikit sos nampla

Cara-cara membuatnya
Cili padi dan bawang putih ditumbuk kasar2. Masukkan kacang, udang kering, garam dan gula. Tumbuk lagi tapi jangan terlalu lumat. Masukkan tomato dan kacang tanah. Penyet2kan biar separuh hancur. Campurkan ke dalam betik, tambahkan jus limau/cuka dan sos nampla. Gaul rata-rata dan sesuaikan rasa. Sedia untuk untuk dihidangkan.

Selamat Mencuba.

17 December 2010

SAMBAL BELACAN TOMATO



Saya ni, kalau makan nasi tak ada yang pedas, sambal belacan lah yang jadi pilihan. Sambal belacan cili padi. Lagi pedas, lagi sedap.. Semalam saya buat sambal belacan campur tomato. Makan dengan nasi panas berlaukkan kari ikan mackerel dan ulam timun. Cara saya wat sambal belacan ni ringkas saja. Tumbuk semua sekali, 15 biji cili padi, 1 biji tomato, 1 sudu besar belacan, garam dan gula. Akhir sekali perahkan dua biji limau nipis. Gaul rata dan hidangkan.

KARI IKAN MACKEREL




Pertama kali jumpa ikan mackerel segar. Harga pun tak mahal sangat, cuma RM6.90/kg. Saya pun belilah seekor, saja nak cuba.. Mula2 plan nak masak berlada/sardin. Tapi teringat pulak, saya ada beli rempah kari ikan Idaman Suri keluaran Amway. Jadi, masak kari aje lah. Guna rempah tu senang, cuma bancuh dan tumis sahaja, ikut sukatan dalam resipinya. Masukkan air dan ikan. Tambahkan bendi dan tomato. Itu saja..

IKAN SIAKAP MASAK STEAM




Ikan siakap steam ni lauk malam kemarin. Tapi baru hari ini, saya post kat blog ni.. Sebenarnya malam tu, lepas makan malam, saya penat betul.. sebab tu malas nak update blog.. Mana tak penatnya, balik kerja dah plan nak singgah kedai, beli beras.. tp budak2 pulak merengek nak ke Tesco.. Dah sampai Tesco, bukan je beras tp macam2 pulak.. Kebetulan ikan siakap dijual dengan harga murah, saya pun beli la seekor..

balik rumah, terus masak.. Kalau nak dimasukkan ke dalam freezer, nanti tak tau bila pulak ikan tu nak jadi lauk..

Jadi malam tu, saya cuma masak stim ikan siakap dan masak nasi putih. Ada sedikit daun salad, wat ulam..Itu saja.. Dah masak ikan siakap satu ekor, tak boleh buat lauk lain dah.. sebab nanti jadi makanan cik tong pulak.. Resipi stim ikan siakap pun simple banget.. Campak2 apa yang ada kat peti ais..

Bahan-bahan
1 ekor ikan siakap, disiang, buang sisik dan cuci bersih. Gaulkan garam halus dan perap 10 minit. kemudian bilas balik.

5 biji bawang putih, dimayang halus
2 inci halia muda, dimayang halus
3 biji cili padi, dimayang halus
5 helai daun limau purut, dimayang halus
1 batang serai, dimayang halus
1 biji bawang besar, dimayang halus
1 biji tomato, dibelah2
kicap cair secukupnya
2 - 3 biji limau nipis, ambil airnya sahaja
2 inci karot, dipotong nipis bentuk bunga
sedikit bunga kubis dan cendawan (saya tak taruk)

untuk hiasan
daun sup dan daun bawang, dihiris halus (lebih sedap jika diguna daun ketumbar)

Sos pencecah (dicampurkan) - untuk dibuat cecah ikan
1/2 biji bawang besar kuning, dihiris
3 biji cili padi, dihiris
jus limau dan kicap cair

Cara-cara membuatnya
Letakkan ikan dalam pinggan untuk mengukus. Taburkan bahan-bahan yang dimayang dan renjiskan kicap cair dan jus limau nipis. Susunkan karot, cendawan dan bunga kubis. Kukus selama 20 minit atau hingga masak.
Hidangkan panas2.

ROTI NAN a.k.a ROTI TEMPAYAN




Tengah hari semalam, saya dan kawan2 ofis lunch kat warung Kak Wan.. makan nasi lauk gulai kawah... erm, boleh tahan, sedap... teringat kat kampung.. Jadi, saya pun beli sedikit lauk untuk dibawa pulang.. yalah, takkan makan sorang2 kot.. Balik dari kerja, saya buat roti nan dan panaskan lauk gulai tu.. Kami makan malam dengan roti nan dan gulai tu aje...Alhamdulillah, kenyang. Anak2 pun suka..

Resipi roti nan saya agak2 jer lah.. itupun belajar dari saudara juga, suami dia orang Pakistan.. dia tak bagi sukatan tepat, cuma beritahu bahan2nya aje.

bahan-bahan untuk roti nan

500 gm tepung gandum
1 sudu mauripan - resipi asal tak taruk, saya saja tambah
1/2 sudu teh garam
1 cawan yoghurt (saya guna bancuhan 5 sudu susu tepung + 1 biji limau nipis dan secawan air)
2 sudu minyak sapi (saya guna marjerin jer)

Cara-cara membuatnya
Campur semua bahan ke dalam mangkuk dan uli sampai lembut. Peram hingga adunan naik. Kemudian uli sekali lagi dan bahagikan kepada beberapa bahagian kecil. Bentukkan bulat2 dan canai nipis2. Panaskan kuali dan letakkan sekeping roti. Tutup. Agak2 roti dah naik menggelembung, terbalikkan. Bakar hingga masak kedua2 belah roti. Angkat dan hidangkan panas2 dengan gulai pilihan.

nota : roti ni sebenarnya di bakar dalam tempayan / tandoor.. tapi kalau kat rumah, mana ada benda alah tu.. jadi pandai2 la ya..

Selamat mencuba

GULAI KAWAH



Gulai Kawah ni memang terkenal di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu (Terengganu pun tak semua tempat) Kalau dulu, nak makan nasi lauk gulai kawah, kena tunggu musim cuti sekolah..sebab banyak walimatul urus/majlis orang kahwin.. Dipanggil gulai kawah sebab dimasak dalam kawah.. Biasanya kalau satu ekor kambing atau lembu/kerbau yang disembelih, semua bahagian daging/tulang/perut dan lain2 organ dalaman akan dicampur sekali dan dimasak gulai dalam kawah besar. Ada juga yang mencampurkan dengan buah ara, ubi-ubian seperti keledek, kemili dan kentang. Ada juga yang mencampurkan dengan umbut kelapa atau mumbang kelapa..Lain tempat, lain cara mereka memasak gulai kawah..

Sekarang, kat mana2 ceruk, asal ada orang Pantai Timur berniaga, boleh dikatakan ada menjual nasi lauk gulai kawah. Trade mark gulai kawah kat kedai makan atau restoran telah menambahkan lagi populariti kedai mereka..

14 December 2010

HOME MADE SARDIN


Malam ini masak sardin. Home made sardin. Resipi diperolehi dari Riezanie's Recipe Collection, tapi ada ubahsuai sikit, ikut citarasa orang kampung.. macam saya..

Bahan-bahan
10 ekor ikan (saya guna ikan selayang jer)
4 sudu tomato puree

bahan-bahan kisar
4 biji bawang merah besar
4 biji lada merah
4 biji bawang putih
4 biji tomato masak
1cm halia
1 batang serai

1/2 sudu kecil cuka
garam dan gula secukup rasa
1 cawan minyak masak
2 cawan air

Cara-cara membuatnya
Ikan dipotong kepala dan ekor, kemudian dibelah dan dikelurkan isiperutnya. Cuci bersih dan toskan. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga masak, tapi jangan sampai garing. Toskan. Keluarkan separuh minyak, tumiskan bahan-bahan kisar hingga garing dan pecah minyak. Kemudian tambahkan tomato puree, garam, gula dan cuka secukup rasa. Kacau rata2. Akhir sekali masukkan ikan yang telah digoreng tadi. Masukkan ke dalam periuk tekanan (saya guna periuk tanah), tuangkan dua cawan air dan tutup. Masak atas api kecil selama satu jam atau sehingga kuah pekat. Sesuaikan rasa dan diangkat. Hidangkan panas2 dengan nasi putih.

Resipi asal macam ni (copypaste dari Riezanie's Recipe Collection)

BAHAN-BAHANNYA :-)

* 700 g ikan tuna ( zanie guna ikan sardin ) kali ini guna ikan selayang
* 1/2 cawan tomato puree
* 1/2 cawan minyak masak
* 25 g bawang putih*
* 80 g bawang merah*( zanie guna bwg kecil)
* 20 g halia*(dikisar halus)
* Garam dan gula secukup rasa
* 2 1/2 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)

1. Ikan tuna dibersihkan, potong sederhana besar, buang kepalanya. Perap dengan sedikit garam dan jus limau nipis selama 10 minit. Cuci bersih dan toskan.
2. Dalam periuk tekanan, panaskan minyak masak, masukkan bahan kisar halus dan tumis hingga harum, masukkan tomato puree dan masak hingga terbit minyak. Tuang air dan masukkan sedikit garam dan gula secukup rasa.
3. Bila mendidih, masukkan ikan tadi, kacau rata dan tutup periuk tekanan. Pasangkan injapnya dan bila periuk mengeluarkan wap dan bunyi "berdesir", kecilkan api dan biar masak perlahan selama 1 jam (ikut cara guna pada periuk tekanan masing2)...
4. Cukup waktu, bawa periuk tadi dalam sinki dan alirkan air paip atasnya sehingga wap dalam periuk habis, buka tudungnya dan periksa keadaan ikan, selalunya pada masa ini ikan masih kekal dalam bentuk asal, tapi tulang2nya menjadi lembut seperti sardine dalam tin.
5. Boleh lah dimasak mengikut kreativiti masing2. Nak buat sandwich pun boleh, nak cicah dengan roti pun boleh..atau goreng macam kita masak sardine biasa.

Selamat mencuba

13 December 2010

DONUT


donat baru digoreng, belum taruk bedak lagi.. tp sebenarnya saya tak suka donat yang berbedak.. suka makan gitu aje.. panas2 syiok wooo..

Dah macam2 resipi donat yang dicuba, kali ini resipi lain pulak. Biasanya saya mencampurkan kentang rebus yang dilenyek untuk melembutkan adunan, tetapi kali ini saya tidak campurkan kentang sebab dah malam2 ni, malas pula nak merebus kentang. Alhamdulillah, donat jadi lembut dan sedap. Resipinya mudah saja.

Bahan-bahan

1kg tepung gandum
1 mug air suam (saya guna mug hadiah ubat gigi darlie) + 1 sudu kecil garam
1 1/2 sudu besar mauripan
4 sudu marjerin
4 sudu susu tepung
2 biji telur
1 cawan gula

untuk saduran : gula halus/gula kisar secukupnya

Cara-cara membuatnya
Campur semua bahan dan uli sampai sebati. Tutup adunan dengan tuala lembap dan perap hingga naik dua kali ganda. Uli sekali lagi dan dicanai, terap bentuk donat. Biarkan kembang, baru digoreng dengan api sederhana hingga kuning keemasan. Taburkan gula halus ketika menghidang.

Selamat mencuba.

BOKO UBI KAYU a.k.a TALAM UBI



Tepung boko ubi kayu adalah salah satu kuih tradisional orang2 Kelantan. BOKO bermaksud talam/dulang bagi rakyat di negeri Kelantan/Terengganu. Sebut saja kuih talam, kita akan terbayang2 keenakan kuih2 lemak manis dan biasanya mempunyai sekurang-kurangnya dua lapisan. Lapisan bawah biasanya manis dan lapisan atas mempunyai rasa lemak santan kelapa.

Kuih ini juga merupakan kuih kegemaran saya dari dulu sampai sekarang. Dan kerana kuih ini juga sikecil saya "Ngecess" (kata orang jawa). Di sini saya kongsikan resipi kuih ini yang saya buat malam tadi.

Bahan-bahan lapisan bawah
3 cawan ubi kayu yang telah diparut dan diperah airnya.
5 cawan air daun pandan (kisar 10 helai daun pandan)
1 1/2 cawan gula atau secukup manis (boleh guna nisae atau gula melaka)

Bahan-bahan lapisan atas
1 cawan santan pekat
2 cawan air
3/4 cawan tepung beras
secubit garam
2 helai daun pandan disimpulkan

Cara-cara membuat lapisan atas.
Masukkan ubi, gula dan air daun pandan ke dalam kuali. Air perahan ubi dimendapkan dan ambil patinya. Airnya hendaklah dibuang. Gaulkan rata2 dan masak atas api sederhana hingga pekat. Angkat dari api dan masukkan ke dalam loyang yang telah disapu minyak dan kukus selama 40 minit atau hingga masak.

Cara-cara membuat lapisan bawah.
Campurkan kesemua bahan dan masak atas api sederhana hingga pekat. Boleh dituangkan ke atas lapisan atas atau dihidangkan berasingan.

Selamat mencuba.

11 December 2010

LAKSA PENANG FEVRETKU..


laksa lengkap dengan aksesori dan kuah..sedia untuk disantap...


aksesori laksa, tak lengkap sbb takde daun pudina, pucuk gajus dan nenas.. tapi.. selesai jugak hari ni.. suka tengok anak2 makan bertambah2..


kuah laksa, tak begitu pedas


guna laksa rebus aje.. klu laksa beras/laksa kebok.. mesti lagi syiok..

Aduhai, tengok kawan2 facebook masak laksa, saya pun terkecur la pulak. Jadi hari ini, saya ke pasar dan beli bahan-bahan untuk masak laksa penang kegemaran keluarga. Cuba juga mencari ulam pucuk gajus, tetapi tiada dipasaran. Nasib baik ada daun ceylom, bolehlah merasa laksa penang yang dimasak hari ini.. Berbaloi2 jugalah tengok anak2 dan suami makan bertambah2...termasuklah saya.. hihihi..

Bahan-bahan
1 bungkus laksa panjang, dicelur dengan air panas dan toskan

bahan2 ulam (dihiris halus)
1 pokok daun salad
1 biji timun
1 biji cili merah
10 biji cili padi
2 biji limau nipis
5 batang daun ceylom
1 biji bawang besar
4 biji telur rebus

bahan-bahan untuk kuah
750 gm ikan kembung
5 keping asam gelugur
garam secukup rasa
2 sudu petis
1 sudu besar asam jawa, ambil airnya
1 kuntum bunga kantan, dibelah 2
10 batang daun kesum, ambil daun sahaja

bahan-bahan kisar
6 biji cili padi
5 biji cili kering
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
1 batang serai
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
2 sudu belacan

Air secukupnya.

Cara-cara membuatnya
Ikan direbus dengan asam keping dan garam hingga masak. Gunakan air secukupnya sahaja untuk mengelakkan isi ikan hancur. Setelah masak, asingkan isi ikan dari tulangnya. Air rebusan hendaklah ditapis dan diasingkan. Tulang ikan hendaklah dikisar dan ditapis untuk diambil airnya. Isi ikan dikisar, tapi jangan terlalu lumat.

Dalam periuk lain, masukkan air rebusan ikan, air tulang ikan, air asam jawa, bahan-bahan kisar, daun kesum dan bunga kantan. Masak hingga mendidih. Kemudian masukkan isi ikan, petis, garam dan serbuk perasa. Kuah jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Renehkan sekurang2nya setengah jam sebelum dihidang dengan laksa dan bahan-bahan ulaman. Sedap dimakan panas-panas.

Selamat mencuba.