KAWAN-KAWAN SAYA

19 October 2010

LONTONG




Satu lagi hidangan "trademark" Johor iaitu Lontong.. Ada dua variasi lontong iaitu, lontong berkuah dan lontong kering.. Lontong berkuah iaitu set lengkap nasi impit/ketupat dengan sayur lodeh dan sambal tumis dan telur rebus atau lain2, manakala lontong kering ialah set lengkap nasi impit/ketupat, sambal goreng jawa, serunding, sambal tumis atau rendang..

Selain ketupat daun kelapa atau ketupat segera, nasi impit yang biasa digunakan dalam penyediaan lontong yang original adalah dimasak dalam daun pisang, dan banyak dijual di pasar2 basah di sini.

Lontong bukan sahaja menjadi menu wajib bagi setiap rumah di negeri Johor apabila tiba musim perayaan, tetapi juga salah satu menu sarapan pagi di setiap warung2 di negeri ini.

Hari ni, teringin benar nak makan lontong.. Saya sebenarnya kurang gemar lontong berkuah lodeh, saya lebih suka lontong kering.. tapi, hari ini teringin benar.. Mungkin sebab kurang sihat citarasa pun berubah... hehehe.. Walaupun tengah sakit kepala (High BP), saya masuk dapur, terus tanak nasi impit..... siapkan bahan2 untuk kuah lodeh, sambal udang dan sambal kacang.. Ada pulak satay kat freezer, saya keluarkan.. terus call husband, supaya belikan bahan2 untuk masak sayur lodeh.. Walaupun tak complete, ok lah buat lepas kempunan...

LONTONG

Bahan-bahan
Nasi impit daun pisang (beli ready mix kat KipMart) atau nasi impit di tanak sendiri..
Sambal tumis ikan bilis / sambal udang (untuk resipi sambal tumis ikan bilis, boleh rujuk resipi saya sebelum ini)
Sambal kacang
Sayur lodeh
Telur rebus - jika suka

Bahan-bahan untuk sayur lodeh
4 batang kacang panjang
2 helai kobis
2 keping tempe, dipotong kecil dan digoreng
2 keping tauhu, dipotong kecil dan digoreng
1/2 batang karot, dipotong bulat2 atau bentuk bunga
1 biji terung bulat
sedikit fucuk dan suhun (direndam)
10 ekor udang basah
1 biji bawang besar
2 biji lada hidup
1 batang serai, diketuk
sedikit minyak untuk menumis
santan secukup kegunaan
garam secukup rasa

bahan-bahan tumbuk
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1cm lengkuas
1cm kunyit hidup

Cara-cara
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk hingga garing, masukkan udang dan serai, kacau sebentar, baru dimasukkan santan dan sayur-sayuran. Kacau selalu supaya tidak pecah minyak. Tambah garam secukup rasa.

Bahan-bahan untuk sambal kacang
1 cawan kacang tanah yang dikisar
1/2 cawan santan pekat
garam dan gula melaka secukup rasa
sedikit air asam jawa
minyak untuk menumis
setengah sudu teh jintan putih + jintan manis

Bahan-bahan kisar
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
2 sudu cili kering yang telah dikisar
2 biji buah keras
1 batang serai
sedikit lengkuas
2 sudu udang kering

Cara Membuatnya
Panaskan minyak, tumiskan jintan hingga naik bau. Masukkan bahan-bahan kisar dan kacau sampai garing. Masukkan garam dan gula dan terus kacau sampai naik minyak merah. Baru dimasukkan kacang, air asam jawa dan santan. Masak sampai pekat. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan.

Bahan-bahan untuk sambal udang
500 gm udang, dikopek kulit dan belah belakang (gaul sedikit garam kunyit)
2 labu bawang besar, dimayang
sedikit air asam jawa
garam, gula secukup rasa
minyak untuk menumis

Bahan-bahan kisar
5 biji bawang putih
10 biji bawang merah
1 senduk cili kisar
1 batang serai
2 biji buah keras
sedikit belacan - jika suka

Cara-cara
Panaskan minyak dan gorengkan udang sehingga masak. Ketepikan. Dalam minyak yang sama, gorengkanbawang besar hingga garing, masukkan bahan-bahan kisar. Kacau hingga garing dan naik minyak, kemudian tambahkan garam, gula dan air asam jawa. Akhir sekali, masukkan udang yang telah digoreng tadi. Kacau sebentar dan angkat. Sedia untuk dihidangkan.

Cara menyediakan lontong
Masukkan secukupnya ke dalam mangkuk, campurkan sayur lodeh, sedikit sambal kacang, sambal tumis dan telur rebus. Sedia untuk dihidangkan.

nota :
sebenarnya kita boleh hidangkan lontong dengan macam-macam jenis lauk yang kita suka seperti ayam masak kicap, masak merah , rendang dan sebagainya.. Tepuk dada tanya selera..
untuk hidangan lontong kering, tambahkan sedikit serunding kelapa dan gantikan sayur lodeh dengan sambal goreng jawa (sila rujuk resipi sambal goreng jawa di dalam resipi nasi ambeng)

Selamat mencuba..

2 comments: