KAWAN-KAWAN SAYA

06 December 2010

CENCARU SAMBAL & SAYUR PEDAS CEKOK MANIS + KELEDEK


cencaru masak sambal, Johorean style..

sayur pedas cekok manis/pucuk manis + keledek, versi Terengganu

Kombinasi masakan dua negeri. Ikan cencaru masak sambal dan sayur pedas pucuk cekok manis + keledek. Menu yang sangat ringkas tetapi menyelerakan. Saya namakan masakan dua negeri kerana, masa saya kat kampung di Besut, tak pernah masak ikan cencaru masak sambal. Biasanya ummi akan belah belakang dan sumbat dengan bawang lada, sebelum digoreng. Kalau bungkus dengan daun kunyit, lagi harum baunya. Kalau tidak pun, dipanggang tawar dan dicecah air asam atau sambal belacan. Huishhh... memang menyelerakan jika dimakan dengan nasi semasa masih panas... Bila dah berumah tangga dengan orang Jawa Johor ni, selalunya selain bakar, saya buat masak kicap atau asam pedas...Tapi kali ini, atas permintaan putera sulung kesayangan, saya buat masak sambal...

Sayur pedas daun cekok manis (pucuk manis laaa), adalah masakan tradisi orang kita, Pantai Timur.. dah lama tak makan sayur ni sebab kata orang tak begitu bagus kerana sayur ni bersifat "sejuk". Tapi sekali sekala, ok lah..

Kalau kami pulang ke rumah mentua di Yong Peng, biasanya mak akan masak tumis pucuk manis ni dengan kelapa parut. sedap juga, ala2 urap gitu..

IKAN CENCARU MASAK SAMBAL

Bahan-bahan
4 ekor ikan cencaru, saiz sedang dibersihkan, digaul garam kunyit dan digoreng
Bawang besar
Lada merah
garam gula secukup rasa
Air asam jawa
Sos cili dan sos tomato
Sedikit hirisan nenas dalam tin (saja taruk)

Bahan-bahan sambal (dikisar)
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1 biji buah keras
6 biji cili kering
minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan bahan2 kisar sampai garing. Masukkan air asam jawa, garam gula dan serbuk perasa. Kemudian tambahkan sos cili, sos tomato dan hirisan nenas. Sesuaikan rasa, masukkan cili merah dan bawang besar. Akhir sekali, masukkan ikan. Gaul rata dan angkat. Sedia untuk dihidangkan.

SAYUR PEDAS CEKOK MANIS

Bahan-bahan
1 ikat cekok manis / pucuk manis
1 biji keledek, kupas dan potong2
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1 sudu teh lada hitam
Segenggam ikan bilis
Air secukupnya
Garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa

Cara2
Tumbuk lada hitam, ikan bilis dan bawang. Masukkan ke dalam periuk dan tambah air secukupnya. Masukkan keledek dan didih sampai keledek empuk, baru dimasukkan pucuk manis. Tambah garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa. Sesuaikan rasa, bolehlah dihidangkan.


TUMIS PUCUK MANIS

Bahan-bahan
1 ikat daun pucuk manis/cekok manis
1 cawan kelapa parut
garam, gula dan serbuk perasa
minyak untuk menumis

Bahan-bahan tumbuk
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
Segenggam ikan bilis/udang kering

Cara-cara
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan tumbuk hingga garing. Masukkan kelapa parut, garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa. Akhir sekali, masukkan pucuk manis. Kacau rata2 hingga sayur layu, bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment