KAWAN-KAWAN SAYA

17 November 2010

JUADAH DI PAGI HARI RAYA AIDIL ADHA 2010


Tahun ini, dah masuk tahun ke 15, saya sambut raya haji di perantauan. Rasa sedih juga, tapi nak wat camne kan.. Raya haji kat kampung halaman jatuh pada musim hujan/tengkujuh.. Lagi pula cuti raya haji cuma satu hari.. Saya korbankan masa saya dan sambut raya di sini.. Biasanya kami beraya di rumah mertua di Parit Yaani, Yong Peng, tapi pagi ini tak berkesempatan sebab suami bekerja.

Aidiladha kali ini, sambut raya di rumah kami sendiri, saya cuma siapkan sambal nyor, rendang dan sambal kacang je sebagai juadah hari raya.. tiada kuah lodeh, sepertimana kebiasaan juadah raya orang Johor.. Tetapi gabungan juadah dua negeri, melengkapkan hidangan pagi ini..

Semasa balik dari kampung pada Ahad lepas, kat Pekan Parit Yaani ada orang menjual pucuk daun kelapa. Jadi suami saya telah membelinya untuk dibuat ketupat. Suami saya orang Johor lebih pandai menganyam ketupat, berbanding saya yang hanya tahu menganyam ketupat bawang sahaja..
Sambal nyor @ kerisik, sedap dimakan dengan ketupat nasi atau nasi impit.. Sedap digandingkan dengan sambal kacang.. Masa saya kecil2 dulu ummi selalu sediakan sambal nyor ini setiap kali buat ketupat nasi atau nasi impit.. terutama pada hari raya. Tapi sekarang, ummi dah sibuk dengan bisnes dia.. Nasib baik saya pandai wat sendiri.. So, takde lah terkempunan sangat...

Bahan-bahan untuk sambal nyor

1 biji kelapa, digoreng tanpa minyak hingga kekuningan dan rapuh
4 batang serai, dihiris halus
1 cm halia
2 biji bawang merah besar
satu sudu kecil garam
1/2 keping besar nissae (gula melaka)
3 ekor ikan selayang (dibakar tawar, ambil isinya)

Cara Membuatnya
Mula2 tumbuk kelapa goreng sampai halus dan pecah minyak sedikit. Ketepikan. Tumbukkan serai, halia dan bawang sampai halus. Masukkan garam dan nissae. Tumbuk lagi sampai sebati, masukkan isi ikan dan tumbuk sampai bergaul rata. Keluarkan dari lesung, campurkan dengan kelapa goreng yang telah ditumbuk tadi. Gaul rata2 dan sesuaikan rasa. Sambal nyor ini jangan terlalu kering atau terlalu basah. Cukup sekadar nampak lembap2 saja. Sesuai untuk dicecah nasi impit dan juga boleh dijadikan sambal nasi dagang.

nota : Sambal nyor yang telah siap, boleh disangai sebentar atas api kecil untuk mengelakkan cepat basi.
Sambal kacang atau kuah kacang, dimasak jam 5.30 pagi tadi.. Kali ini saya tidak menggunakan udang kering atau belacan sebagai ramuan kuah kacang, sebab saya mahukan aroma kacang tanah goreng yang wangi itu.

Bahan-bahan
1 cawan kacang tanah, goreng tanpa minyak sampai garing, buangkan kulitnya.
2 batang serai
3 biji bawang putih
1 biji bawang merah besar
10 biji cili kering, direndam
sedikit lengkuas dan halia
garam, gula dan sedikit nissae (gula melaka)
minyak untuk menumis
sedikit air asam jawa

Cara membuatnya
Kacang tanah dikisar tapi jangan terlalu halus. Ketepikan. Serai, bawang putih, bawang merah cili kering, lengkuas dan halia dikisar lumat. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar sampai garing, masukkan garam, gula secukup rasa dan juga sedikit air asam jawa. Kacau sampai naik minyak merah. Masukkan kacang tanah yang dikisar, santan dan nissae. Masak sampai pekat. Sedia untuk dihidangkan.


Rendang ayam, dimasak jam 7.00 pagi tadi.

Bahan-bahan untuk rendang ayam

1 ekor ayam, potong kecil dan cuci bersih.
4 helai daun kunyit, dihiris halus
4 helai daun limau purut, disiat2
4 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
2 sudu kerisik
garam, gula melaka secukup rasa
2-3 keping asam gelugur
6 batang serai, diketuk
1 paket kecil rempah rendang adabi

Bahan-bahan untuk dikisar
4 biji bawang merah besar
5 biji bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit
10 biji cili padi
1 sudu besar ketumbar
1 sudu kecil jintan manis
1/2 sudu kecil jintan putih

Cara Membuatnya :
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar sampai garing. Masukkan serai, rempah rendang adabi, asam gelugur, garam dan sedikit gula. Kemudian masukkan ayam. Kacau rata-rata. Tutup kuali dan kecilkan api. Masak hingga ayam mengecut, baru dimasukkan santan dan masak sampai pekat. Akhir sekali, masukkan kerisik, hirisan daun kunyit dan daun limau purut. Sesuaikan rasa dan angkat. Sedia untuk dihidangkan.

Ketupat, direbus malam tadi. Saya rebus tak lama, cuma dua jam aje.. sebab dah mengantuk. Maklum, siang kerja.. jadi lepas makan malam, baru mula merebus ketupat ni..
KETUPAT DAUN KELAPA

Isikan beras yang telah dibasuh ke dalam sarung ketupat. Jangan isi penuh2, cukup sekadar kurang dari separuh sarung untuk mendapatkan ketupat yang elok dan tidak terlalu keras atau tidak terlalu lembik (bergantung pada jenis beras - saya guna beras cap ketupat). Rebuskan ketupat selama 2 jam atau lebih. Lebih elok apabila cukup satu jam, diganti air baru. Apabila telah masak, keluarkan dari periuk dan siram dibawah aliran paip air dan digantung supaya cepat sejuk dan mengelakkan cepat basi.

Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment