Himpunan Resipi Masakan Kampung, Mudah, Ringkas dan Eksotik. Air Tangan Bonda Pengerat Kasih Sayang Sekeluarga..
KAWAN-KAWAN SAYA
23 November 2008
SAMBAL BELACAN KELANTAN, SAMBAL BELACAN SIMPLE, SAMBAL BELACAN JAWA , SAMBAL TOKTOK JAWA, SAMBAL ASAM DAN SAMBAL ULEK
sambal belacan ni cuma biasa2 aje..hanya campuran cili padi, belacan, garam, gula, air limau nipis..digaulkan dengan nenas cincang, tomato cincang dan bawang besar yang dimayang halus.. sesuai untuk cecahan ikan bakar atau pembuka selera semasa makan nasi..
Bila sebut sambal belacan, tak lengkap kalau tak ada ulam-ulaman. Setiap negeri ada kelebihan sendiri dalam menyediakan sambal. Di dalam majlis kenduri orang-orang Pantai Timur, sambal ini adalah satu kemestian. Satu kelainan sambal belacan ini ialah ia tidak digandingkan dengan ulam-ulaman seperti lazimnya tetapi ia hanyalah pelengkap hidangan atau pembuka selera di mana jika tidak ada sambal, tidak lengkaplah hidangan tersebut.
Walaupun sambal ini agak cair, tapi rasanya adalah unik dan tersendiri. Selain pelengkap hidangan majlis kenduri, ia juga boleh dijadikan cecahan untuk ikan bakar....
Di sini ingin saya kongsikan resipi sambal belacan istimewa tersebut.
SAMBAL BELACAN ISTIMEWA KELANTANESE STYLE
Bahan-bahan
20 biji lada kering, buang biji dan rendam dalam air panas
20 biji lada merah
20 biji cili padi & apa-apa jenis cili lagilah..
1/2 buku belacan, dibakar sekejap
5 biji bawang putih, dibakar hingga masak
10 biji bawang merah, dibakar hingga masak
2 sudu garam atau secukup kegunaan
1 cawan gula pasir atau secukup kegunaan
1/2 cawan cuka
Bahan-bahan lain
Limau nipis, perah airnya
Limau kasturi, ambil air dan kulitnya sekali dihiris halus
2 biji tomato, dihiris halus-halus
1/4 biji nenas, dicincang halus-halus
1 biji mempelam muda, dicincang halus
2 labu bawang besar, dihiris halus gaul dengan garam, ramas2kan dan cuci dengan air paip untuk membuang getahnya
Caranya:
Campurkan semua cili, belacan, garam, gula, cuka dan bawang-bawang yang telah dibakar dan kisar hingga lumat. Masukkan ke dalam mangkuk dan gaulkan dengan bahan-bahan lain. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan.
Nota : Sambal ini tahan disimpan di dalam peti ais selama sebulan kerana campuran cuka yang telah dicampurkan ke dalamnya. Jika tak suka bawang, tak perlu dimasukkan bawang.
SAMBAL BELACAN SIMPLE
(sesuai untuk ulam-ulaman seperti ulam raja, jantung pisang rebus, bendi rebus, kacang panjang rebus dll)
Bahan-bahan
5 biji cili merah
5 biji cili api
2 sudu belacan
1/4 sudu teh garam (bergantung kepada jenis belacan, jika belacan dah masin, kurangkan garam)
1 1/2 sudu gula
2 biji limau nipis
1 biji limau kasturi, dihiris dengan kuiit-kulitnya
Cara : Campurkan cili merah, cili api, belacan, garam dan gula ke dalam lesung. Tumbuk hingga lumat dan bergaul sebati. Keluarkan dari lesung dan masukkan ke dalam mangkuk. Perahkan limau nipis dan limau kasturi ke dalamnya. Sesuaikan rasa dan hidangkan.
Nota : Penggunaan gula dalam sambal belacan orang-orang pantai timur adalah satu kemestian kerana selera mereka lebih kepada manis dan pedas berbanding orang-orang negeri lain di Malaysia. Oleh itu, tepuk dada tanyalah selera.................
SAMBAL BELACAN JAVANESE STYLE
(maaf ye orang-orang jawa...... kalau salah ampun ya)
Bahan-bahan
5 biji cili merah
5 biji cili api
1 sudu belacan
2-3 biji bawang merah
1-2 ulas bawang putih
garam secukup rasa
sedikit minyak untuk menggoreng
Limau kasturi - jika suka
Cara :
Panaskan minyak dan gorengkan semua bahan-bahan satu persatu. Masukkan ke dalam lesung dan tumbuk lumat. Lebihan minyak dicampurkan ke dalam sambal yang telah ditumbuk tadi. Jika suka, perahkan air limau kasturi semasa menghidang.
SAMBAL TOKTOK (JAWA)
Bahan-bahan
5 biji cili merah
3 biji cili padi
3 biji bawang merah
2 biji bawang putih
1 sudu belacan
1 genggam ikan bilis
Minyak untuk menggoreng
secubit garam
Cara :
Panaskan minyak dan goreng semua bahan satu persatu. Kemudian ditumbuk lumat. Campurkan garam secukup rasa. Hidangkan dengan nasi putih, ikan goreng dan sayur bening...
SAMBAL ASAM PUCUK UBI REBUS
(Resipi Chik Ros Kota Tinggi - favorite I tau!!)
sambal asam, sesuai untuk pucuk ubi rebus** atau sayur-sayuran celur yang lain spt kobis, kacang panjang, jantung pisang dan lain-lain
**Pucuk ubi - direbus dengan sedikit garam, kemudian diperah airnya
SAMBAL ASAM
1 genggam ikan bilis, digoreng
1 sudu belacan
1/2 cawan air asam jawa
10 biji cili padi
5 biji bawang merah
Garam gula secukup rasa
Caranya :
Mula-mula tumbukkan ikan bilis goreng, ketepikan. Kemudian tumbukkan cili dan bawang merah hingga halus, masukkan ke dalam ikan bilis tumbuk tadi. Campurkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Sambal asam ini jangan terlalu pekat atau cair. Hendaklah secukup rasa pedas, masam dan manisnya. Hidangkan dengan pucuk ubi dan juga lauk asam pedas ikan mayong serta ikan kembung goreng.
SAMBAL ULEK (sesuai dimakan dengan ulam-ulaman, ikan goreng, ayam goreng berempah dan lain-lain)
Bahan-bahan
5 biji cili merah
Segenggam cili api
2 sudu makan terasi (belacan)
1 biji tomato
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
minyak untuk menggoreng
Garam secukup rasa dan secubit gula
Limau kasturi - jika suka
Cara Membuatnya
Panaskan minyak dan gorengkan semua bahan. Masukkan kedalam lesung dan tumbuk lumat. Tambahkan garam dan gula secukup rasa. Boleh dihidang begitu saja atau dicampur limau kasturi jika suka rasa lebih masam.
Selamat mencuba
Labels :
SAMBAL DAN AIR ASAM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment