KAWAN-KAWAN SAYA

20 November 2008

KETUPAT SOTONG

Bagi sesetengah orang, mungkin hidangan ini adalah pelik bagi mereka.. Tidak kurang yang juga yang mencemuh, sotongpun dibuat ketupat??? Apa rasanya ?? eeiii... taknaklah..... Tapi bagi orang-orang di Pantai Timur, hidangan ini adalah sangat istimewa dan "mahal".

Walaupun apa orang nak kata, pendirian saya tetap satu.. iaitu saya sangat menghargai masakan ibunda saya... ke mana saja saya pergi, saya tidak akan dapat melupakannya. Sebabnya ??? kerana saya dibesarkan dengan air tangan ibu dan saya mengenali masakan ibunda juga melalui ibu saya.. Sekiranya orang Kelantan makan nasi berlaukkan ikan singgang dengan ulam dan budu, sama juga orang-orang jawa yang makan nasi berlaukkan tempe atau lauk berkuah kicap.. Moral of the story, setiap negeri ada budaya masing-masing, jadi hormatilah budaya mereka...

Sebenarnya ada dua versi untuk menyediakan ketupat sotong ini. Ada yang rasanya lemak-lemak masin, banyak kuah dan ada juga yang lemak manis dan berkuah pekat. Apa juga perbezaan mungkin sesetengah tempatlah.. Walaubagaimanapun, saya suka kedua-duanya..

KETUPAT SOTONG (MANIS)

Bahan-bahan
20 ekor sotong saiz besar
1 cawan beras pulut, cuci dan rendam 1/2 jam
1 biji kelapa, ambil santan pekat secukup kegunaan
Secubit garam
Gula melaka secukup manis
Lidi untuk menyemat

Cara Menyediakannya

Kepala sotong dicabut dan dibuang tulang dan giginya. Cuci bersih dan toskan.
Campurkan sedikit santan dan garam ke dalam pulut dan gaul rata. Dengan menggunakan sudu, masukkan sedikit pulut bercampur santan ke dalam perut sotong. Anggarannya adalah 1/2 penuh. Masukkan kepada sotong dan sematkan dengan lidi. Masukkan ke dalam periuk dan tuangkan baki santan. Campur secubit garam (jika perlu) dan masak hingga mendidih dan agak-agak pulut dah masak, masukkan gula melaka. Masak lagi hingga kuahnya pekat dan pecah minyak. Sesuaikan rasa dan angkat.


KETUPAT SOTONG LEMAK MANIS

Bahan-bahan
20 ekor sotong saiz besar
1 cawan beras pulut, dicuci bersih dan rendam 1/2 jam
secubit garam
1 biji kelapa, ambil santan pekat secukup kegunaan
2 batang serai, diketuk
1 sudu besar halba
5 biji bawang merah, dimayang halus
1 inci halia, dimayang halus
gula pasir atau gula melaka secukup rasa
Lidi untuk menyemat

Cara-cara

Cabut kepala sotong, buang tulang dan giginya. Cuci bersih dan toskan. Toskan pulut dan campurkan dengan sedikit santan pekat juga secubit garam. Dengan menggunakan sudu, masukkan pulut bersantan tadi ke dalam perut sotong anggaran 1/2 penuh. Masukkan kepala dan semat dengan lidi. Masukkan ke dalam periuk dan tuangkan baki santan dan bahan-bahan lain. Masak hingga mendidih dan sotong serta pulut telah masak. Sambil itu hendaklah dikacau selalu supaya tidak pecah minyak. Sesuaikan rasa dan angkat. Kuahnya jangan terlalu manis.

Selamat mencuba..

No comments:

Post a Comment