KAWAN-KAWAN SAYA

04 November 2008

AYAM MASAK LEMAK CILI API & URAP PUCUK UBI CAMPUR TAUGEH JAVANESE STYLE..

Ketika pertama kali bertandang ke rumah salah seorang saudara di Batu Pahat, hidangan makan tengah hari yang disediakan adalah nasi putih, ayam masak lemak cili api, urap pucuk ubi campur taugeh, sambal belacan dan ikan masin bulu ayam.

Mula-mula memang rasa pelik, sbb tak pernah makan lauk tu.. Semuanya ada rasa cekur. Lepas tu kelapa yang digunakan untuk urapnya pula tidak disangai sepertimana untuk dibuat kerabu bagi orang Terengganu.. Yalah lain padang, lain belalang.. Lain orang, lain pula caranya...

Walaubagaimanapun, rasanya boleh diterima tekak...sangat sedap dan jadi kegemaran sehingga kini.. Apa lagi, mulalah aku merisik-risik apa bahan yang dicampurkan.. Hasilnya seperti mana di bawah ini:


AYAM MASAK LEMAK CILI API

Bahan-bahannya
1 ekor ayam, dipotong 8
10 helai daun cekur, dihiris halus
2 helai daun kunyit, disiat-siat
sedikit air asam jawa
santan satu biji kelapa (asingkan pekat dan cair)
garam secukup rasa
3 batang serai diketuk
minyak untuk menumis

bahan-bahan untuk dikisar
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inci halia hidup
10 biji isi cekur

Cara :
Panaskan minyak, tumiskan bahan-bahan kisar hingga wangi bersama-sama serai. Masukkan ayam , garam secukup rasa dan sedikit air asam jawa. Tutup periuk dan kecilkan api sehingga ayam mengecut dan kuahnya agak kering. Kemudian masukkan santan cair. Masak hingga ayam empuk. Bila ayam telah empuk, baru dimasukkan santan pekat dan daun kunyit serta hirisan daun cekur. Kacau-kacau selalu sehingga masak. Sesuaikan rasa dan angkat. Sedia untuk dihidangkan.

URAP PUCUK UBI CAMPUR TAUGEH

Bahan-bahan
Pucuk ubi secukupnya, direbus hingga lembut.
Taugeh secukupnya, dicelur dalam air panas sebentar
5 keping tauhu goreng, dipotong kecil
10 helai daun cekur, dihiris halus
Segenggam ikan bilis halus yang putih, direndam sekejap supaya lembut

Bahan-bahan bumbunya
10 biji cili api, digoreng
5 biji bawang merah, digoreng
3 biji bawang putih, digoreng
10 biji isi cekur

1/4 biji kelapa parut putih
garam secukup rasa

Cara Menyediakannya
Tumbukkan bahan-bahan bumbu hingga lumat. Campurkan dengan ikan bilis halus, garam dan kelapa parut. Sesuaikan rasanya dan gaulkan dengan pucuk ubi, taugeh, tauhu dan juga daun cekur tadi. Urap ini hendaklah dimakan segera kerana kelapa parut yang digunakan tidak disangai terlebih dahulu.

Selamat Mencuba.

No comments:

Post a Comment