KAWAN-KAWAN SAYA

20 November 2008

KUIH BUTIR NANGKA & ASAM GUPAL

Walaupun dipanggil kuih butir nangka, ia sebenarnya berkuah seperti pengat atau bubur. Hidangan lemak manis dan ringan ini sesuai untuk hidangan di waktu petang... Sangat mudah untuk disediakan.

KUIH BUTIR NANGKA

Bahan-bahan
1 paket tepung beras pulut
1 sudu teh air kapur
10 helai daun pandan, dikisar dan ambil patinya secukup kegunaan
1 biji kelapa, ambil santan pekat secukup kegunaan
Secubit garam
2 - 3 helai daun pandan, disimpulkan
2 - 3 sudu gula pasir
1 sudu besar halba

Cara membuatnya

Untuk kuahnya : Campur santan, garam, daun pandan yang disimpulkan, gula dan halba di dalam periuk. Ketepikan.

Dalam periuk yang lain, didihkan air secukupnya.

Dalam mangkuk lain, campurkan tepung pulut, air kapur dan pati pandan dan uli hingga kental dan tidak melekat ditangan. Gentelkan bulat-bulat kecil, kemudian bujurkan sedikit menjadi seperti biji buah nangka. Masak di dalam air mendidih hingga timbul. Toskan dan masukkan ke dalam kuah yang telah disediakan tadi. Jerang kembali di atas dapur dan tunggu hingga mendidih sebentar tapi jangan sampai pecah minyak. Padamkan api, sambil itu hendaklah dikacau selalu supaya suhunya turun sedikit untuk mengelakkan santan tidak berasingan dengan air. Hidangkan sejuk atau panas.

Nota :

Di dalam adunan pulut, boleh dimasukkan gula melaka sepertimana membuat onde-onde (buah melaka) tetapi di dalam kuahnya tidak perlu dicampur dengan gula.

Selamat mencuba.


Bahan-bahan yang sama untuk dibuat kuah, boleh dijadikan kuah asam gupal. Asam gupal adalah sagu biji yang dibubuh inti kacang hijau dan dimasukkan ke dalam kuah sepertimana kuih biji nangka. Boleh juga dibuat sagu yang kosong. Ada sesetengah orang mencampurkan sedikit hirisan halia di dalam kuah asam gupal, mungkin untuk membuang angin dan memanaskan badan sebab sagu adalah bahan bersifat sejuk kata orang tua-tua.

Walaubagaimanapun, tepuk dada, tanyalah selera..

ASAM GUPAL

Bahan-bahan
2 cawan sagu biji yang halus (mata ikan)
Air panas mendidih secukup kegunaan

Inti kacang hijau : Sangai 1 cawan kacang hijau, kemudian rebus hingga empuk bersama secubit garam dan daun pandan yang disimpulkan. Apabila telah empuk, campurkan gula melaka secukup manis dan masak sampai kering. Sejukkan dan gentelkan bulat-bulat.

Bahan-bahan untuk kuahnya : sama seperti membuat kuih butir nangka.

Cara menyediakannya

Cuci sagu biji di aliran air paip dalam tapis santan. Toskan. Masukkan dalam mangkuk dan tuangkan air panas. Kacau rata-rata agak-agak sehingga adunan boleh dikepal. Semasa masih panas, basahkan tangan dan kepal-kepalkan sagu tadi mengikut saiz yang dikehendaki. Masukkan inti ditengah-tengahnya dan bentukkan bulat. Masukkan ke dalam periuk kukus dan kukus hingga masak (sagu menjadi jernih) baru boleh diangkat. Kemudian masukkan ke dalam kuah dan masak lagi hingga mendidih tapi jangan sampai pecah minyak. Sesuaikan rasa dan angkat. Hidangkan sejuk atau panas.

Nota : Pastikan air untuk mengukus betul-betul mendidih ketika mengukus kuih ini.

1 comment:

  1. salam akak...
    sy copy resipi ni ye..
    nak masak utk buke puasa..
    halalkan ye..
    terima kasih..:)

    ReplyDelete