KAWAN-KAWAN SAYA

03 November 2008

NASI KHAO MOK A.K.A BERIANI THAI


Nasi kaumok ialah salah satu makanan yang popular bagi orang2 Thailand dan juga sempadan Thailand iaitu Kelantan. Nasi ini bolehlah disamakan dengan nasi ayam berempah di mana pelengkap hidangan ialah kuah sup, ulam-ulaman segar seperti daun salad, timun, tomato, daun bawang dan juga cili padi. Tetapi ayamnya tidak digoreng atau dikukus, tetapi dimasak sekali bersama-sama nasi.

Mungkin ada sesetengah orang akan merebus dulu ayam ini sebelum dimasak bersama-sama nasi dan air rebusannya boleh dijadikan sup. Tetapi bagi saya, rasa manis ayam akan hilang. Lagipun resipi original memang terus dimasak dengan nasi..

Nasi ini disertakan juga dengan sos yang pedas diperbuat daripada cili padi, bawang putih dan cuka. Nasi ini juga boleh dimakan begitu saja tanpa sos kerana aroma rempahnya yang wangi dan sangat sedap.. Rempah untuk nasi ini ada dijual di Pusat Bebas Cukai, Pengkalan Kubor, Kelantan. Tempat lain saya tak pasti ada dijual atau tidak.. Warnanya kekuningan, ada aroma ketumbar tapi sangat wangi... Nama lain atau kegunaan lain bagi rempah ini saya tak pastilah pulak..

Sebelum saya berkongsi resipi di sini, marilah sama-sama kita sedekahkan alfatihah kepada sahabat baik saya, seorang warga thailand yg telah sudi mengajar saya memasak nasi kaumok ini. beliau telah kembali ke rahmatullah pada tahun lepas kerana penyakit asma semasa balik bercuti di kampungnya di selatan thailand.

Berikut adalah resipinya

Bahan-bahan
1 ekor ayam, potong 8
4 pot beras siam, dibersihkan dan ditos
4 pot air
2 helai daun pandan, disimpulkan
1 pokok daun ketumbar, dihiris
garam secukup rasa
2 -3 sudu besar rempah kaumok - boleh digantikan dengan rempah kurma
2 sudu minyak kacang
2 sudu minyak sapi
rempah 4 sekawan (kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bunga cengkih)

bahan-bahan dimayang halus
20 biji bawang merah
1 labu bawang putih
1/2 inci halia

garam secukup rasa

Bahan-bahan hiasan
Daun ketumbar yang dihiris halus
Bawang goreng
Daun salad, tomato, timun dan batang daun bawang
Cili padi sebiji sebiji - jika suka

Sos (ditumbuk kasar dan dicampurkan)
10 biji cili padi
1 labu bawang putih
1/2 cawan cuka
garam dan gula secukup rasa

Kuah Sup (optional - boleh buat sendiri)
saya gunakan sedikit pati ayam tumix, campur air dan masak hingga mendidih. Taburkan bawang goreng dan daun ketumbar ketika menghidang.

Cara Menyediakannya
Panaskan minyak sapi dan minyak kacang. Masukkan rempah 4 sekawan dan kacau hingga naik bau. Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah dimayang halus dan kacau hingga kekuningan. Baru dimasukkan rempah yang telah dibancuh dengan sedikit air. Kacau hingga naik minyak, masukkan ayam dan garam secukup rasa. Tutup sebentar hingga ayam mengecut. Tambahkan air, masak hingga ayam empuk. Kemudian, masukkan daun ketumbar, daun pandan dan juga beras. Tambah air jika perlu. Apabila mendidih dan kering airnya, kecilkan api dan tutup periuk. Masak lagi selama 15 minit atau hingga nasi betul-betul tanak. Taburkan bawang goreng dan hirisan daun ketumbar ketika menghidang nasi.

Hidangkan nasi dengan bahan-bahan hiasan, kuah sup dan juga sos cili padi.

No comments:

Post a Comment