Nasi ambeng adalah hidangan masyarakat jawa yang selalu disediakan apabila diadakan kenduri kesyukuran atau doa selamat.. Dihidangkan di dalam dulang besar dan dimakan sedikit sebelum dibungkus untuk dibawa pulang..Hampir sama dengan nasi kerabu...dengan lauknya yang berbagai-bagai.. Ada serunding kelapa, sambal goreng atau urap pucuk ubi atau pegaga dll, ikan masin bulu ayam, ikan goreng, tauhu goreng, tempe goreng, ayam pechel atau ayam ungkep atau masak kicap dan sedikit sambal tumis. Tidak lupa juga mee goreng.
Hari ini, nasi ambeng dijual di mana-mana saja dan dihidangkan bila-bila masa.. Dah popular bukan saja direstoren2 malah dihotel2 besar juga ada diperkenalkan nasi ambeng ini...sama macam nasi lemak, nasi dagang dll.
Sekarang, bukan hanya masyarakat jawa yang menggemari nasi ambeng... saya orang Terengganu pun sangat suka dengan nasi ambeng ini.. sedap!!!
Di dalam gambar ialah nasi ambeng bungkus, untuk sarapan pagi.. harganya RM2.00.. tidak banyak aksessori, yang ada cuma sambal goreng jawa, ayam masak sambal, ikan masin, serunding kelapa dan sedikit mee goreng..
Berikut ialah resipi nasi ambeng yang saya belajar dari makcik2 sebelah suami serta sahabat handai yang berketurunan jawa...
NASI AMBENG
Nasi yang digunakan ialah nasi putih dan dihidangkan dengan sambal goreng, serunding kelapa, sambal tumis ikan bilis, ikan kering bulu ayam digoreng, ayam masak kicap dan mee goreng.
Walaubagaimanapun, ada juga yang menyediakan pecel ikan keli atau ikan pari. Ada juga ayam pecel/engkong (ayam golek seekor), kari ayam atau ayam tua masak ungkep untuk hidangan nasi ambeng. Terpulang kepada citarasa masing-masing.
SERUNDING KELAPA
1/2 biji kelapa parut
Bahan-bahan kisar
***segenggam ikan bilis atau udang kering
4-5 biji bawang merah
2-3 biji bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 batang serai
1 sudu ketumbar biji
1/2 sudu jintan manis dan 1/2 sudu jintan putih
sedikit air asam jawa, gula merah dan garam secukup rasa
1/2 cawan santan pekat
*** boleh guna daging /ayam rebus yang telah dihiris halus
Cara :
Campur semua bahan dengan kelapa parut dan sangai atas api kecil sehingga garing dan kelihatan berminyak. Sesuaikan rasa dan angkat.
Nota : Bahan-bahan kisar boleh ditumis dulu sehingga garing sebelum dicampur bahan-bahan lain.
SAMBAL GORENG JAWA
segenggam udang kering atau ikan bilis
1 mangkuk kecil udang hidup, dibuang kulit
2 pasang hati dan mempedal ayam, potong kecil dan direbus
5-6 batang kacang panjang, dihiris nipis serong
1/2 batang lobak merah, dipotong seperti batang mancis
2 biji kentang, potong dadu kecil dan goreng
2 keping tauhu, dipotong dadu dan goreng
2 keping tempe, dipotong dadu dan goreng
2 lembar fucuk, direndam dan dihiris
1 mangkuk kecil suhun direndam dan dipotong pendek
1 biji bawang besar, dimayang halus
2 biji lada merah, dihiris nipis serong
2 biji lada hijau, dihiris nipis serong
bahan-bahan kisar untuk menumis
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1/2 inci halia
1 batang serai
2 hiris lengkuas
garam dan serbuk perasa secukup rasa
minyak untuk menumis
sedikit air asam jawa
Cara menyediakannya
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan hiris hingga garing. Campurkan udang kering atau ikan bilis, tambahkan garam dan serbuk perasa. Kemudian masukkan hati dan mempedal ayam, udang hidup dan kacau sebentar hingga udang masak. Kemudian masukkan bahan-bahan lain. Akhir sekali masukkan bawang besar dan cili yang telah dihiris-hiris tadi. Kacau sebentar dan angkat. Sedia untuk dihidangkan.
URAP PUCUK UBI/PEGAGA/TAUGEH
Bahan-bahan
Pucuk ubi secukupnya, direbus dan diperah airnya lalu dihiris halus
satu ikat pegaga, dihiris halus
1 mangkuk taugeh, dicelur dalam air panas
1 ikat daun cekur, dimayang halus
Bahan-bahan urap
1/2 biji kelapa parut
10 biji cili padi, lebihkan jika suka pedas
segenggam ikan bilis
5-6 biji bawang merah
3-4 biji bawang putih
10 biji ubi cekur
sedikit kunyit hidup
garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak untuk menggoreng
Cara
Panaskan minyak dan gorengkan cili padi, ikan bilis dan bawang. Angkat dan toskan. Tumbukkan bahan-bahan yang digoreng tadi bersama-sama isi cekur dan juga kunyit. Campurkan ke dalam kelapa parut dan tambahkan garam dan gula secukup rasa. Masukkan ke dalam kuali dan goreng tanpa minyak hingga garing. Kemudian gaulkan dengan sayur-sayuran tadi. Sesuaikan rasa dan hidangkan.
AYAM MASAK KICAP
Bahan-bahan
1 ekor ayam, potong 4 dan gaul dengan garam kunyit kemudian digoreng hingga garing
Bahan-bahan untuk dimayang
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1 inci halia
2 batang serai, diketuk
sedikit kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga
sedikit ketumbar jintan, jika suka
Minyak untuk menumis
sedikit lada sulah serbuk atau lada hitam yang telah ditumbuk
sedikit cuka makan
1/2 botol kicap atau secukup kegunaan
2 labu bawang besar, belah 6
4 biji lada hidup, belah 2
Cara Menyediakannya
Panaskan minyak dan tumiskan kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang. Masukkan bahan-bahan hiris dan kacau hingga kekuningan. Tuangkan kicap, sedikit air dan cuka dan sedikit sedikit serbuk lada sulah atau lada hitam yang ditumbuk. Sesuaikan rasa, baru dimasukkan ayam yang telah digoreng, bawang besar dan lada hidup. Bila bawang setengah masak, bolehlah diangkat dan dihidangkan.
Nota :
Setengah orang menambahkan sedikit sos untuk memekatkan kuah dan ada juga yang menambahkan kerisik dan juga santan pekat. Rasanya agak berbeza, tapi keenakkannya tetap terasa.
AYAM MASAK UNGKEP
Bahan-bahannya
1 ekor ayam, dipotong2 dan dibersihkan
2 labu bawang besar, dibelah2
4 biji lada hidup, dibelah2
1 cawan air atau secukupnya untuk mengempukkan ayam
bahan-bahan kisar
1 sudu besar ketumbar biji
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
2 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
rempah tumis 4 sekawan
2 batang serai, diketuk
minyak untuk menumis
sedikit air asam jawa, garam dan serbuk perasa
Cara Membuatnya
Panaskan minyak. Tumiskan rempah 4 sekawan, serai dan bahan-bahan kisar hingga naik bau dan garing kekuningan. Masukkan ayam, garam, serbuk perasa dan sedikit air asam jawa. Kacau rata-rata. Tutupkan kuali dan masak atas api kecil hingga ayam kecut dan kering airnya. Baru ditambahkan satu cawan air dan masak lagi hingga ayam empuk dan kuahnya agak kering. Akhir sekali, campurkan lada hidup dan bawang besar. Kacau sebentar dan angkat.
Nota : Jika menggunakan ayam tua, proses memasaknya lebih lama dan untuk mempercepatkan proses memasak, sebaiknya ayam direbus terlebih dahulu dengan halia, serai, lengkuas, bawang putih. Apabila telah empuk, baru ditumis darat bahan2 tumis dan dimasukkan ayam rebus tadi dan juga bahan-bahan lain. Masak hingga kering.
PECEL IKAN KELI
1kg ikan keli, dibersihkan tapi jangan dipotong
sedikit garam dan kunyit hidup ditumbuk
daun cekur secukupnya, dihiris halus
Bahan-bahan kuah
2 biji kelapa, ambil santan pekat sahaja
10 biji cili padi atau mengikut pedas yang dikehendaki
10 biji isi cekur
5 biji bawang merah
sedikit air asam jawa
garam secukup rasa
Cara membuatnya
Ikan keli digaul garam kunyit dan dibakar hingga masak. Campurkan semua bahan kuah dan kisar halus-halus. Masak sebentar atas api sederhana hingga mendidih, tapi jangan sampai pecah minyak. Sesuaikan rasa dan angkat. Ketika menghidang, baru dituangkan ke atas ikan keli dan taburkan hirisan daun cekur. Hidangkan.
MEE GORENG
1 kg mee kuning
1 ikat daun kucai, potong 1 inci
1 mangkuk taugeh, buang ekornya
2 helai kobis, dipotong kecil
1 pokok sawi, dipotong kecil
2 keping fishcake, dihiris nipis
10 biji fishball, dibelah dua
2 keping tauhu, dihancurkan
1 mangkuk udang basah, dibuang kulit dan belah belakang
2 biji telur
Bahan-bahan kisar
10 biji cili kering
5-6 biji bawang merah
1 labu bawang putih
segenggam udang kering
Sedikit kicap pekat, sos cili dan sos tomato
sedikit serbuk perasa
Minyak untuk menumis
Bahan-bahan hiasan
2 keping tauhu goreng, dihiris nipis
1 pokok daun sup dan daun bawang, dihiris halus
2 biji cili merah, dihiris nipis
Cara-caranya
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau dan garing. Masukkan udang basah, fishball, fishcake dan pecahkan telur ke dalamnya. Kemudian masukkan tauhu yang dihancurkan, kicap pekat, sos cili dan sos tomato juga serbuk perasa. Kacau rata, masukkan mee, sayur sawi dan kobis. Agak-agak dah bergaul sebati , baru dimasukkan taugeh dan kucai. kacau sebentar, jangan sampai taugeh layu dan angkat. Taburkan bahan-bahan hiasan dan hidangkan.
SAMBAL TUMIS
Bahan-bahan kisar
segenggam cili kering, dibuang biji dan rendam dalam air panas
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
sedikit belacan
segenggam ikan bilis
air asam jawa
garam dan gula secukup rasa
1 mangkuk ikan bilis, belah dibuang perutnya
Minyak untuk menumis
Cara-caranya
Panaskan minyak dan masukkan ikan bilis dan goreng hingga garing. Keluarkan dan tos. Dalam minyak yang sama, tumiskan bahan-bahan kisar hingga garing. Masukkan garam, gula dan air asam jawa secukup rasa. Kemudian masukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi. Kacau rata-rata dan angkat.
IKAN MASIN BULU AYAM GORENG
Ikan masin bulu ayam, bersihkan dan tos. Gaulkan dengan sedikit tepung, baru digoreng hingga garing.
Selamat mencuba..
No comments:
Post a Comment