KAWAN-KAWAN SAYA

03 November 2008

ASAM PEDAS DAN PUCUK UBI REBUS DENGAN AIR ASAM



Lauk asam pedas ini ialah lauk kegemaran suami. dulu saya tak suka lauk, almaklum kita orang pantai timur, lebih kepada lauk singgang.. ini tapi sekarang oklah.. tekak dah boleh terima.

Saya tak berapa pandai sangat masak lauk ni, tapi bolehlah.. itupun saya belajar dari isteri pakcik saya (makcik saya lah juga), orang johor... lauk asam pedas dia memang sedap..Tak kira lah asam pedas ikan ke, ayam ke.. malah sardin masak asam pedas pun sedap!!

Ha, kalau ada asam pedas, gandingannya ialah pucuk ubi air asam dan ikan goreng atau ikan masin goreng. Fuh!! memang menyelerakan. Rugi kalau tak makan.. Di dalam gambar ialah asam pedas ikan nangka campur daun kesum dan bunga kantan....

ASAM PEDAS
Bahan-bahannya
1kg ikan terubuk/kembung/parang dll atau 2 tin sardin (sekali dengan kuah)
1 cekak daun kesum

Bahan-bahan untuk dikisar
segenggam cili kering, belah dan buang biji
5-6 biji bawang putih
10 biji bawang merah
1/4 keping belacan
sedikit halia dan kunyit hidup

1-11/2 sudu besar asam jawa, ambil air secukup kegunaan
1/2 cawan minyak untuk menumis
garam dan serbuk perasa secukup rasa

Cara Memasaknya

Panaskan minyak, tumiskan bahan-bahan kisar hingga garing dan pecah minyak. Masukkan ayam atau ikan yang telah dibersihkan. Tutup sebentar hingga ikan mengecut. Tambahkan air asam jawa sedikit demi sedikit hingga cukup untuk dijadikan kuah. Tambahkan garam secukup rasa dan juga serbuk perasa jika suka. Masak hingga mendidih dan ikannya masak. Akhir sekali masukkan daun kesum.

Nota : Sekiranya menggunakan sardin, kurangkan penggunaan asam jawa. Resipi ini juga boleh menggunakan ayam. Dan boleh tambah sayur-sayuran kegemaran seperti bendi, terung atau tomato atau kobis jeruk (cuci bersih dulu) Boleh juga guna daun limau purut, tapi tak perlu daun kesum. Terpulang kepada citarasa masing-masing.


PUCUK UBI AIR ASAM

Bahan-bahan
Pucuk ubi secukupnya - yang masih lembut
Air dan garam

Cara :
Rebus pucuk ubi di dalam air mendidih bercampur secubit garam hingga lembut. Kemudian tos dan perah airnya.

AIR ASAM
Segenggam ikan bilis digoreng
1/4 keping belacan, digoreng
5-6 biji bawang merah
10 biji cili padi
1 cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

Cara : Campur semua bahan dan kisar hingga lumat. Sesuaikan rasa dan hidangkan.

No comments:

Post a Comment