KAWAN-KAWAN SAYA

18 November 2008

KUIH HASIDAH

Kuih ini adalah kuih tradisi orang Pantai Timur.. saya pun tak pasti negeri mana...Kelantan, Terengganu atau Pahang. Yang saya ingat, saya mula makan kuih ini ketika menetap di Dungun, Terengganu.. beli kat Pasar Minggu Sura Gate.. Sejak itu, mula merisik rahsia membuat kuih ini sehingga terhasil resipi di bawah. Sehingga sekarang, kuih ini menjadi kuih kegemaran saya. Walaupun rasanya pelik bagi sesetengah orang, saya tetap sukakan kuih ini terutamanya pada bulan puasa..

Nak buatnya pun tak susah, cuma perlukan sedikit masa...

KUIH HASIDAH (HIJAU)

Bahan-bahan
3 cawan tepung gandum
5 biji telur ayam
5 - 7 helai daun pandan (dikisar, ambil patinya)
5 cawan santan (siap campur pati pandan)
secubit garam
2 cawan gula
4 sudu minyak sapi

10 biji bawang merah (jadikan bawang goreng)

Cara :-
Tepung gandum disangai tanpa minyak sehingga kekuningan. Sejukkan. Kemudian campurkan santan, telur dan secubit garam dan kacau rata-rata. Masukkan dalam kuali dan kacau atas api perlahan hingga kental. Masukkan gula. Kacau lagi hingga air gulanya kering. Kemudian masukkan minyak sapi dan kacau lagi hingga betul-betul kental dan keluar minyak. Proses memasak adalah selama 1 1/2 - 2 jam. Kemudian bolehlah dipadamkan api dan dikeluarkan dari kuali. Boleh diratakan dalam loyang dan garis-gariskan dengan garpu. Taburkan bawang goreng ketika menghidang.

Nota :
Asalnya kuih ini berwarna kekuningan dan menggunakan daun pandan yang disiat-siat sahaja. Tetapi untuk lebih aroma, saya suka menggunakan pati pandan. Ada orang menggantikan santan dengan susu cair dan melebihkan kandungan telur dan mengurangkan kuantiti tepung gandum.. Terpulang kepada selera masing-masing..

Kalau tak ada atau tidak suka menggunakan minyak sapi, boleh ganti dengan minyak jagung atau minyak masak. Tapi rasanya tak "kick", macam tak menjadi kuih tu..

Kuih ini asalnya dikepalkan bulat-bulat dan disepit menggunakan sepit kuih untuk dibuat corak ataupun menggunakan gunting untuk dibentuk menjadi bunga teratai. Terpulang kepada citara rasa masing-masing.

Selamat mencuba

No comments:

Post a Comment

Post a Comment