KAWAN-KAWAN SAYA

11 January 2009

KUIH GULUNG

Kuih gulung atau kuih ketayap. Nama berbeza, tapi kuihnya sama. Berwarna hijau dan berinti manis, sama ada inti kelapa atau inti kacang hijau, semua sedap belaka, terpulang kepada cara pembuatannya.

Ada orang sukakan inti yang berempah, macam inti karipap .. Umi panggil kuih lipat atau kuih ropa. Tapi kuih ropa tidak diwarnakan hijau. Warna asli tepung gandum..Kalau nak makan terus pun boleh, nak goreng pun boleh.. Cara menggorengnya gunakan minyak yang sedikit, macam goreng roti canai. Hidangkan dengan sos. Sedap juga...

Apa-apapun, ini kuih tradisi orang lama.. tak luput ditelan zaman. Cuma cara pembuatannya berbeza sedikit.. Kebanyakan hari ini, semua nak segera, pakai pewarna dan perasa tambahan.. Nak cepat..... Kalau dulu2 mana ada perisa pandan, pewarna hijau.. Kena menumbuk daun pandan sampai lumat, perah dan tapis airnya.. sekarang ni dah senang, dah ada blender, kisar aje.. itupun masih MALAS!!

KUIH GULUNG

bahan-bahan untuk adunan bater
3 cawan tepung gandum
2 biji telur
secubit garam
7 helai daun pandan (blend dan ambil air secukupnya)
santan secukup kegunaan.

Cara :
Campur semua bahan dan tapis. Adunan jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Panaskan kuali dan dadarkan sesenduk demi sesenduk hingga habis. Isikan inti dan gulung.

Bahan-bahan untuk inti
1/2 biji kelapa parut putih
secubit garam
1 1/2 keping gula nisan
2 helai daun pandan, disimpulkan
1 cawan air

Cara :
Rebuskan kelapa dengan air, daun pandan dan secubit garam hingga lembut dan kering. Campurkan gula nisan dan kacau sampai kering. Sejukkan sebelum digunakan.


KUIH LIPAT/KUIH ROPA

Untuk adunan bater, guna resipi yang sama di atas


Bahan-bahan untuk inti kuih lipat/kuih ropa

3 biji kentang, potong dadu
2 biji bawang besar, potong dadu
1 helai daun sadri
250 gm daging kisar
3-4 sudu rempah kari daging
garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa

bawang putih, bawang merah dan halia dimayang
minyak untuk menumis

Cara Membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan yang dimayang hingga kekuningan. Masukkan daging kisar dan kacau hingga daging kelihatan masak. Kemudian masukkan rempah kari daging yang dibancuh dengan sedikit air. Kacau hingga pecah minyak, baru dimasukkan kentang, garam, gula dan serbuk perasa. Tambah sedikit air untuk mengempukkan kentang. Kacau hingga kering. Akhir sekali masukkan bawang besar dan daun sadri. Kacau rata-rata dan angkat. Sejukkan sebelum digunakan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment