Bubur.. satu hidangan ringkas yang boleh dimakan bila-bila masa. Ada yang dibuat sarapan, makan tengah hari dan juga makan malam. Bagi yang nak berdiet, bubur menjadi pilihan. Walaubagaimanapun, kena pandai pilih lauk pauknya. Silap hari bulan, habis diet!!
Bermacam-macam cara orang masak bubur. Berikut adalah resipi bubur-bubur yang senang dan mudah disediakan. Sesuai untuk bila-bila masa.
BUBUR BERLAUK
2 cawan beras, dimasak hingga menjadi bubur dan hidangkan dengan bahan pelengkap bubur sepertimana berikut.
Hidangan pelengkap bubur
Telur masin, direbus
Ikan tenggiri masin, digoreng dan perahkan limau
Ikan bilis goreng campurbawang besar dan lada hidup yang dihiris
Kacang tanah goreng
Lobak masin goreng campur bawang besar dan lada hidup yang dihiris
Sambal tumis
Kangkung goreng belacan
BUBUR AYAM DENGAN CENDAWAN
Bahan-bahan
Bubur nasi, cukup untuk seorang
1 biji telur
Hirisan isi ayam secukupnya
Sedikit kiub stok ayam atau maggi cukup rasa
2-3 keping cendawan putih, disiat halus
beberapa biji cendawan butang, dihiris nipis
2 ulas bawang putih, diketuk
minyak untuk menumis
garam, lada sulah dan serbuk perasa
bahan-bahan hiasan
daun sup dan daun bawang yang dihiris
bawang goreng
halia, dimayang halus dan digoreng
hirisan cili merah
Cara membuatnya
Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bawang putih hingga kekuningan. Masukkan isi ayam, kacau sebentar dan masukkan bubur dan tambahkan sedikit kiub stok ayam atau maggi cukup rasa. Tambahkan juga, garam dan lada sulah jika perlu. Apabila mendidih, masukkan cendawan dan pecahkan telur sambil dikacau. Kemudian padamkan api. Biar telur masak dalam bubur yang panas. Taburkan bahan-bahan hiasan dan hidangkan panas-panas.
BUBUR AYAM
2 cawan beras
air secukupnya untuk memasak bubur
1 keping isi ayam
1 inci halia, dimayang halus
5 ulas bawang putih, dimayang halus
garam dan lada sulah secukup rasa
sedikit minyak bijan
bahan-bahan hiasan
daun bawang dan daun sup dimayang halus
bawang goreng
lobak masin goreng secukup kegunaan
Cara Menyediakannya
Rebus ayam hingga empuk dengan halia dan bawang putih. Keluarkan ayam dan siat-siatkan. Gunakan air rebusan untuk memasak bubur. Masukkan kembali isi ayam yang telah disiat-siatkan dan tambahkan garam dan lada sulah secukup rasa. Renjiskan sedikit minyak bijan. Sesuaikan rasa dan angkat. Taburkan bahan-bahan hiasan dan hidangkan begitu saja atau dengan lauk pauk pilihan.
BUBUR KANJI SIMPLE
2 cawan beras
air secukupnya untuk memasak bubur
santan pekat
1 bungkus rempah sup bunjut
sedikit lada hitam dan garam secukup rasa
bawang putih dan bawang merah dimayang
sedikit minyak untuk menumis
sedikit isi udang hidup, sotong, hirisan ayam dan daging.
2 ekor ikan, bakar dan ambil isinya dan hancurkan.
sayur-sayuran : kacang panjang, pucuk paku, putik jagung, dan lain-lain.
bahan-bahan hiasan
daun sup, daun bawang, cili merah
bawang goreng
ikan bilis goreng
sambal tumis udang kering - jika suka (blendkan bawang putih, bawang merah, cili kering dan udang kering, kemudian masak seperti sambal tumis yang biasa)
Cara membuatnya.
Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih dan bawang merah hingga kuning. Masukkan hirisan daging, ayam, rempah sup bunjut dan air secukupnya. Masukkan beras dan masak hingga menjadi bubur. Baru dimasukkan bahan-bahan lain. Tambahkan garam dan lada hitam secukup rasa. Sesuaikan rasa dan angkat. Taburkan bahan-bahan hiasan dan hidang dengan sambal tumis udang kering.
NASI AIR SUP TULANG/SUP AYAM ALA THAI
Bahan-bahan
4 - 6 cawan beras, dimasak nasi lembik
bahan-bahan pelengkap (disediakan berasingan)
Kuah sup tulang, lihat resipi di bawah
Hirisan daging/paru/babat yang telah dimasak
Telur masin, direbus
ikan bilis goreng
bawang goreng
daun sup + daun bawang dihiris halus
kacang tanah goreng
taugeh - jika suka
Air lada (cili padi ditumbuk kasar, campurkan garam dan sedikit cuka)
Limau nipis, dipotong-potong
Cara menyediakan sup tulang (boleh gantikan dengan ayam)
1kg tulang lembu
1/2 kg daging lembu, dipotong buku besar
1/2 kg babat
1/2 kg paru
Air secukupnya untuk kuah
2 paket rempah sup bunjut
2 inci halia, diketuk
1 labu bawang putih, diketuk
2 batang serai, diketuk
sedikit lada hitam
garam dan serbuk perasa
bahan-bahan tumisan darat
rempah tumis (kulit kayu manis, pelaga dan bunga cengkih)
5 biji bawang putih, dimayang
10 biji bawang merah, dimayang
1 inci halia, dimayang
minyak untuk menumis
Cara membuatnya
Rebuskan tulang, daging dengan air secukupnya, bawang putih, serai dan halia hingga daging empuk. Baru dimasukkan rempah sup bunjut, garam dan lada hitam. Sesuaikan rasa dan kecilkan api. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan tumisan darat hingga naik bau dan bawang kekuningan. Masukkan ke dalam kuah yang sedang mendidih dan tutupkan periuk. Padamkan api, selepas 5 minit baru dibuka tudung periuk untuk mendapatkan aroma sup yang wangi. Hidangkan dengan nasi lembik dan bahan-bahan pelengkap yang lain.
Selamat mencuba
No comments:
Post a Comment