KAWAN-KAWAN SAYA

25 January 2009

KERABU


Kerabu adalah hidangan pembuka selera, sama seperti acar atau salad. Lain orang, lain caranya membuat kerabu. Contohnya kalau orang utara, biasanya menggunakan cili padi, udang kering, udang basah atau udang geragau selain belacan. Manakala di selatan tanah air, mereka lebih suka menggunakan udang kering atau ikan bilis, ditambah pula dengan cekur bagi masyarakat jawa dan dinamakan urap.

Tetapi lain pula bagi mereka yang tinggal di Pantai Timur, mereka lebih suka menggunakan ikan bakar atau ikan rebus digandingkan dengan lada hitam. Macam-macam jenis sayur-sayuran atau buah-buahan yang boleh dijadikan kerabu. Selain itu, ayam, telur masin, daging, babat, ikan bilis, sotong, udang, ikan, dan kaki ayam juga sedap dibuat kerabu. Di dalam gambar ialah kerabu buah kuini campur kulat gelam.....

SAYUR-SAYURAN ATAU BUAH-BUAHAN YANG BOLEH DIBUAT KERABU
1) Taugeh, celur sebentar (boleh campur kerang atau perut lembu)
2) Pucuk paku campur kerang atau babat/perut lembu
3) Timun, dibuang empulur dan hiris halus
4) Nangka muda yang telah direbus
5) Bacang muda atau kuini muda (disagat kasar dan rendam ke dalam air garam sebelum dicuci dan toskan)
6) Betik muda, disagat halus
7) Pegaga, ceylom, bunga kantan dan lain-lain ulam kampung
8) Kulat gelam (mana nak carik sekarang ya)
9) Terung, dibakar atau direbus dan carik2 isinya
10) Buah beko (dibakar, hiris nipis dan rendam dalam air garam. Kemudian diperahkan airnya)
11) Pucuk buah beko (direbus)
12)Buah peria (dihiris nipis dan rendam dalam air garam, kemudian perahkan airnya)


KERABU CITARASA PANTAI TIMUR (sesuai untuk sayur-sayuran yang disebutkan di atas)

Bahan-bahan asas perencah kerabu (boleh diubahsuai ikut citarasa masing-masing)
1/4 biji kelapa, sangai hingga kuning dan ditumbuk lumat
2 ekor ikan bakar kosong (tawar) , diambil isinya sahaja
5 biji bawang merah
Belacan - jika suka
2 batang serai muda, jika suka
1 sudu lada hitam (boleh ganti dengan cili padi atau cili merah)
sedikit halia
garam, gula secukup rasa
cuka atau limau nipis secukup kegunaan

1/2 cawan santan pekat (didihkan tapi jangan sampai pecah minyak)

Cara Membuatnya :
Tumbukkan lada hitam, halia, serai, bawang dan belacan. Masukkan isi ikan bakar,garam, gula secukup rasa. Campurkan dengan kerisik dan pati santan. Perahkan limau nipis ke dalamnya. Gaulkan dengan sayur-sayuran yang dikehendaki. Sesuaikan rasa dan hidangkan.

KERABU ALA THAI

Bahan-bahan yang sesuai untuk kerabu ala thai
1) Daging atau babat yang telah direbus, dihiris nipis
2) kaki ayam yang telah direbus dan dibuang tulangnya
3) Udang, dicelur sebentar
4) Sotong, dicelur atau bakar sekejap
5) Isi ayam yang telah direbus
6) Ikan bakar atau ikan bilis goreng


Perencah kerabu
Bawang putih
Cili padi
Limau nipis (ambil airnya)
Sos nampla
Kacang tanah goreng
Daun ketumbar

Bahan-bahan lain (dihiris halus)
Daun limau purut
Serai
Sayur-sayuran seperti kacang panjang, timun,tomato, salad)

Cara menyediakan kerabu
Titikkan seulas dua bawang putih dan beberapa biji cili padi. Campurkan sos nampla. air limau nipis dan serbuk perasa. Gaulkan dengan bahan-bahan yang telah dihiris dan sesuaikan rasa. Campurkan dengan daging atau bahan-bahan lain mengikut citarasa. Taburkan daun ketumbar dan kacang tanah goreng. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba

No comments:

Post a Comment