KAWAN-KAWAN SAYA

17 January 2009

JERUK MAMAN


Jeruk Maman (saya guna maman liar berbunga ungu)

Kalau di negeri lain, maman biasanya dibuat masak lemak atau dicampurkan ke dalam gulai. Tetapi di negeri-negeri di Pantai Timur, maman dibuat jeruk. Rasanya yang unik dan tersendiri, berkuah agak masam, memancing selera penggemar ulam-ulaman.

Mungkin ada yang tidak mengetahui apa itu jeruk maman. Tapi bagi orang Pantai Timur, makanan eksotik ini tidak asing lagi bagi mereka. Dihidangkan sebagai pembuka selera sebagai hidangan tambahan, atau pengganti sayur-sayuran. Sedap dimakan dengan ikan bakar dan nasi panas. Selain maman, bunga pokok dala yang pahit juga boleh dijadikan jeruk seperti ini.

Cara membuat jeruk maman/bunga dala (mungkin tempat lain dipanggil lemuni)

Pokok maman/bunga dala secukupnya, diambil daunnya sahaja.
Segenggam beras + Air secukupnya untuk merebus dijadikan air didih nasi (saya guna nasi impit yang dipotong kiub kecil)
Beberapa biji cili padi
Garam secukup rasa

Cara menyediakannya
Bersihkan maman dan jemur sebentar di bawah panas matahari hingga layu. Cuci dan toskan. Masukkan ke dalam botol bersama-sama dengan cili padi. Masukkan air didih nasi yang masih suam ke dalam botol yang berisi daun maman dan campurkan garam secukup rasa. Tutup botol tadi dan simpan selama 3 hari. Selepas 3 hari barulah boleh dimakan. Ketika menghidang, patah2kan cili padi ke dalam kuah jeruk maman dan hidangkan dengan dengan nasi panas2 dan juga ikan bakar tawar.


Nota :
kuah jeruk maman kekal jernih untuk mengekalkan keenakan rasanya. Sekiranya kuahnya bertukar menjadi keruh, menandakan kuahnya kurang garam dan tidak tahan disimpan lama.

Ada beberapa jenis maman iaitu maman pasir (berbunga kuning, bunga warna ungu dan berbunga putih). Maman yang sesuai dibuat jeruk adalah maman berbunga putih, daunnya lembut dan tidak begitu pahit.

Sesetengah orang mencampurkan bayam merah ke dalam jeruk maman

Selamat mencuba

No comments:

Post a Comment