KAWAN-KAWAN SAYA

18 February 2011

NASI AYAM PENYET



Cuma dapat snap gambar ayam jer.. Mula2 memang nak snap satu set hidangan nasi ayam penyet, tapi ramai pulak yang memerhati.. Segan pulak rasanya.. almaklum, tempat awam.. Mahu tak mahu, terus makan jer lah..

Nasi ayam penyet ni asalnya dari negara seberang iaitu Indonesia. Hidangan nasi dengan ayam goreng berempah beserta sambal olek dan ulam2an seperti timun, kobis, kacang panjang, tauhu dan tempe goreng. Diberi nama ayam penyet ni sebab, selepas digoreng ayam tadi akan diketuk menggunakan pisau besar atau alu lesung supaya penyet. Tujuannya untuk mudah dimakan. Jadi, kalau ke negeri Johor ni, jangan lupa menjamah nasi ayam penyet.. Bukan saja ayam penyet, malah lele penyet (ikan keli penyet), ikan bilis penyet dan lain2. Pasti menambat selera semua.. Jemput makan.....

12 February 2011

SAYUR ASEM, IKAN GORENG DAN SAMBAL JAWA


sambal belacan jawa style atau dipanggil sambal toktok/sambal olek. gorengkan belacan, cili padi, lada merah, bawang putih, bawang merah, buah tomato dan ikan bilis secara berasingan. Campurkan semua bahan ke dalam blender, tambahkan garam secukup rasa. Blend hingga lumat. Sedia untuk dihidangkan. Ketika menghidang, perahkan limau kasturi. Lebih sedap sekiranya ditumbuk di dalam lesung.


tauhu tempe goreng ni, saya goreng begitu saja.. cuma masukkan sedikit garam ke dalam minyak panas untuk mengelakkan tauhu melekat di kuali semasa menggoreng.


Ikan kaci goreng ni saya cuma tumbukkan garam, kunyit, bawang putih, halia dan tambahkan cili kisar. Gaulkan pada ikan dan perap sebentar sebelum digoreng garing.


sayur asem, resipi popular orang2 jawa. percaya atau tidak..bila ditambah jagung, rasanya lebih sedap.

Sesekali kita kena mencuba kelainan dalam hidangan harian. Jadi takdelah rasa jemu dan buntu nak masak apa. Hari ini, saya buat sambal jawa atau setengah orang panggil sambal toktok. Ada ikan kaci goreng (saya buat versi Terengganu), tauhu tempe goreng dan sayur asem. Sayur asem ni, masakan jawa. Biasanya bendir, kacang panjang, labu siam dan pucuk belinjau digunakan dalam masakan ini. Tapi saya terjumpa resipi dalam internet (dah lupa siapa punya blog), ada menambahkan jagung dalam resipi masakan sayur asem.. Dan kebetulan saya ada membeli dua tongkol jagung, maka saya terus mencuba untuk memasak masakan ini. Tapi saya cuma menggunakan jagung dan sayur bayam merah..Haa.. jangan terperanjat.. Memang sedap!!!

Bahan2 untuk sayur asem

2 tongkol jagung, dipotong2
1 ikat bayam merah @ sayur2 lain spt kacang panjang, bendir, labu siam dan pucuk belinjau
air asam jawa atau asam keping'
air secukupnya untuk kuah
garam dan serbuk perasa

bahan2 kisar
2 biji buah keras
5 biji cili padi (boleh gantikan dengan cili kering)
2 biji bawang putih
3 biji bawang merah
1 batang serai
sedikit belacan
sehiris dua lengkuas dan halia
sedikit ikan bilis atau udang kering

Cara2 membuatnya
Campurkan bahan2 kisar ke dalam periuk bersama2 air secukupnya untuk kuah. Tambahkan air asam jawa atau asam keping. Didihkan. Masukkan jagung, bila jagung dan empuk, baru dimasukkan bayam. Tambahkan garam secukup rasa. Bila mendidih, sekali lagi, sesuaikan rasa, bolehlah diangkat.

Selamat mencuba.

MURTABAK DAN BAWANG JERUK


murtabak


bawang jeruk

Menu sarapan pagi tadi, murtabak daging dengan bawang jeruk/acar bawang. Murtabak ini ialah salah satu daripada makanan frozen yang ummi buat. Ada dua jenis iaitu murtabak daging dan juga ayam. Bawang jeruk kena buat sendiri. Nak membuatnya senang saja, cuma hiriskan bawang besar, campurkan dengan sedikit garam, gula dan cuka. Tambahkan sedikit air panas supaya tidak terlalu masam.

11 February 2011

IKAN KEMBUNG MASAK PEDAS, KERABU SAGHAE , TELUR DADAR DAN KERABU MANGGA

Menu tengahari hujung minggu ini, 12hb Februari 2011. Ikan kembung masak pedas, kerabu saghae dan telur dadar.. Ringkas saja bukan... Ikan kembung masak pedas ni merupakan masakan orang Kelantan dan Terengganu. Sangat berbeza dengan asam pedas Johor atau Melaka. Tetapi, masakan inilah yang selalu Umi saya masak untuk hidangan keluarga masa saya kecil2 dulu dan memang menjadi kegemaran seisi keluarga. Bukan saja ikan kembung, tetapi juga ikan selayang, lolong, tongkol, aruan tasik dan sebagainya..


IKAN KEMBUNG MASAK PEDAS
Bahan-bahan
3 ekor ikan kembung, digaul garam kunyit dan digoreng
1 biji tomato, hiris nipis
1 biji bawang besar, dihiris nipis
1 biji cili merah, dihiris nipis

bahan-bahan tumbuk
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2 sudu cili kisar
garam, gula secukup rasa
serbuk perasa jika perlu.
1/2 cawan air
minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya
Panaskan minyak dan tumiskan bahan2 tumbuk hingga garing. Kemudian masukkan cili kisar. Bila cili dah garing, baru dimasukkan gula, garam dan serbuk perasa. Tambahkan air. BIla mendidih, masukkan tomato, cili dan bawang besar. Akhir sekali, masukkan ikan. Bila bawang besar dan cili merah setengah layu, bolehlah diangkat dan dihidangkan.
Kebetulan ada sedikit lagi stok saghae (rumpai laut) dalam almari dapur, dan lebihan sambal nyor dan tumis belacan yang saya buat nasi kerabu kemarin, jadi saya siapkan kerabu saghae. Cuma tambah perahan limau nipis dan sambal lada jeruk. Mudah bukan cara saya masak.. Tak perlu nak berpenat2 di dapur.. ubahsuai apa yang ada.. hehehe


kerabu saghae


telur dadar untuk sibujang yang tengah dan yang kecik..


kerabu mangga thai ni cuma wat ratah2 selepas makan.. kalau dimakan dengan nasi pun sedap juga...Bahan2 yang basic saja, ada mangga, cili padi, bawang putih, kacang tanah, udang geragau kering, tomato dan perahan limau. Tidak lupa garam gula secukup rasa...

Selamat mencuba

08 February 2011

PULUT IKAN MASIN



Pulut tanak gaul kelapa dan ikan masin goreng atau ikan goreng/ikan bilis goreng. Inilah juadah sarapan pagi bagi orang-orang di Pantai Timur. Selain pulut ikan masin, ada juga pulut pagi iaitu pulut yang ditanak dan dicampur dengan nissae (gula kabung/gula melaka), gula pasir pun boleh... lepas tu dimakan dengan kelapa parut.. Wallaweh...Teringat pulak kat kampung halaman... Masa balik kampung minggu lepas, tak sempat nak makan pulut ni. Pagi tadi ternampak kat gerai tepi jalan, terus beli dua kepal. Satu kepal cuma 50 sen. Satu untuk saya, satu lagi untuk suami..

NASI DAGANG


sedia untuk dimakan...


satu bungkus RM2.50

Hari ni, saya tak berapa sihat..Bila suami balik kerja, terus ajak pergi klinik.. Owh.. BP naik lagi...kali ni 160/100. Patutla sakit kepala semacam jer..Masa balik dari klinik tadi, singgah kat gerai tepi jalan, tujuan cuma satu...beli sarapan.. Dari jauh ingatkan Nasi Tumpang, bila dekat... oooo, nasi dagang rupanya.. laksam pun ada.. tapi, hati teringin nak makan nasi dagang. Saya pun beli satu bungkus.. Kemudian beli nasi lemak untuk suami dan dua kepal pulut gaul kelapa. Lepas sarapan, makan ubat dan tidur..

IKAN PEKASAM



Sebenarnya takde niat pun nak buat pekasam tapi ikan lampam yang saya beli hari tu dah tak berapa segar, kalau dimasak pun mungkin rasanya tak sedap. Jadi fikir punya fikir, lebih baik buat pekasam je. Setelah dibelek2 koleksi resipi dan cara2 membuat ikan pekasam, maka menjadilah ikan pekasam saya. Nak tahu bagaimana?? Jom lihat kat bawah.. (terlupa lak nak amik gambar step by step.. sebab sikecik dah mula buat hal) tapi takpe, janji ikan pekasam dah jadi... Resipinya agak2 jer, sebab saya ni tak reti bab2 sukat menyukat ni...

CARA MEMBUAT IKAN PEKASAM

Bahan-bahan
Ikan darat/sungai - puyu, sepat dll (saya guna ikan lampam)
Garam kasar - agak2 la, jangan sampai masin sangat
Asam keping (kalau besar sangat, bolehla dipotong2)
Beras, dicuci bersih dan disangai hingga kekuningan dan dikisar lumat

Untuk mencuci ikan
Tepung gandum, asam jawa, garam dan cuka makan

Ikan disiang dan cuci bersih. Kemudian lumurkan dengan tepung dan air asam jawa. Perap 10 minit. Kemudian cuci sekali lagi dan toskan. Dalam sebuah besen, bancuh sedikit air, garam dan sedikit cuka. Agak2 cukup nak merendam ikan tadi. Masukkan ikan dan rendamkan selama 15 minit (ini adalah proses untuk menghilangkan hanyir ikan sungai). Kemudian cuci sekali lagi dan toskan kering2.

Sediakan balang dan garam kasar secukupnya, taburkan sedikit garam kasar di dasar balang. Ikan yang telah ditoskan tadi, digolek2kan ke dalam garam kasar dan selitkan sekeping asam keping di bahagian perut ikan. Susun dalam balang selapis2 dengan bahagian perut ikan menghala ke atas. Setelah selesai, tutup balang rapat2 dan peram sekurang2nya dua minggu. Lagi lama, lagi sedap.. kata orang lah, saya tak pernah cuba lagi..

Selepas dua minggu, toskan ikan dan buangkan garam yang lebih, supaya tidak terlalu masin. Asam keping juga kena keluarkan supaya apabila digaulkan dengan beras goreng, beras tu tak jadi masam. Toskan kering2 sebelum digaul dengan beras goreng dan masukkan ke dalam balang yang telah dikeringkan. Selepas dua minggu, bolehlah digoreng mengikut resipi masing-masing. Simpan ikan pekasam di dalam peti ais supaya lebih tahan lama..

Saya lebih suka menggoreng hirisan bawang dan cili dulu sampai garing, baru dimasukkan ikan pekasam. Goreng dengan api kecil supaya masak sekata. Semasa menghidang, perahkan limau ke atas ikan dan dimakan dengan nasi semasa masih panas.

Selamat mencuba.

BUAH KABUNG



Buah kabung ni biasanya dicampurkan ke dalam air batu campur (ABC) atau cikung. Tapi saya suka makan begitu saja. Sedap.....

07 February 2011

SARDIN TUMIS DAN KERABU KACANG BOTOR


kerabu kacang botor campur sotong


menu cincai dan express, tumis sardin

Beginilah rutin harian saya...semua nak kena cepat.. balik keje terus ke pasar, beli lauk pauk dan sayur mayur... Hari ni memang kena ke pasar, peti ais dah kosong setelah cuti seminggu...Huh!! penat betul..bila sampai rumah, dah tak larat nak masak, tapi perut perlu diisi. penyudahnya, masak nasi berlaukkan sardin dan buat sedikit kerabu kacang botor campur sotong.. Alhamdulillah, along makan sampai bertambah tiga kali..

Saya tak nak kongsi cara masak lauk sardin, tapi nak kongsikan resipi kerabu.. Saya buat kerabu ala thai.. Cuma celurkan sotong dalam air mendidih, gaulkan dengan semua bahan2 yang dihiris iaitu kacang botor, bawang besar, bawang putih, cili padi, serai, daun limau purut, lada merah. Tambahkan jus limau, garam dan sedikit gula. Gaul rata2 dan sedia untuk dihidangkan. Walaupun resipi ini cuma ringkas saja, tapi inilah makanan pembuka selera.

Selamat mencuba..

BUDU, BUNGA TELANG & PUCUK SERAI KAYU


budu


serai kayu a.k.a samak


bunga telang

Kombinasi lengkap untuk menyediakan juadah nasi kerabu. Bunga telang sebagai pewarna nasi dan pucuk serai kayu atau samak merupakan bahan utama yang membangkitkan aroma sebenar nasi kerabu disamping ulam-ulaman lain dan juga budu..