KAWAN-KAWAN SAYA

31 October 2008

NASI KERABU

Nasi kerabu adalah hidangan popular di negeri Kelantan dan juga Terengganu.. boleh dijadikan sarapan pagi, hidangan makan tengah hari dan juga makan malam.. untuk hidangan sarapan pagi, biasanya nasi kerabu adalah sangat simple.. tak ada lauk-pauk sepertimana hidangan untuk tengah hari dan malam.. cukup sekadar nasi, sambal kelapa, air lada dan budu juga ulam-ulaman.. kalau ada pun mungkin ikan bilis dan kacang tanah goreng, atau keropok goreng....

Manakala untuk hidangan tengah hari dan malam, biasanya lebih banyak lauk pauk disediakan seperti telur masin, ikan goreng celup tepung, solok lada, ayam percik, keropok goreng, daging bakar, kerabu sare (sejenis rumpai laut) dan bermacam-macam lagi...

Ada berbagai-bagai jenis warna nasi kerabu... ada yang hanya menggunakan nasi putih, warna kuning, biru dan kelabu.. Ada yang dimakan dengan tumis budu atau belacan, ada yang dihidang cuma dengan budu mentah yang diperah limau dan juga cili padi jeruk.. Terpulang kepada selera masing-masing bagaimana nak mengolahnya.

Pada kebiasaanya ulam-ulaman yang digunakan berbagai-bagai jenis yang boleh dipetik disekitar rumah dikampung seperti pucuk samak (serai kayu), pucuk mata ayam, pucuk balik adat, daun kunyit muda, daun halia muda, daun temu, serai muda, pucuk ketereh (gajus), kangkung, kangkung bangkok (selom), daun kesum, bunga kantan, daun kemangi, pegaga, kaduk, pucuk bunga siantan, pucuk petai belalang, pucuk jering, pucuk daun tukar benang (tak pasti tempat lain sebut apa), daun cekur, kacang panjang, taugeh (buat sendiri) bunga halia, bunga kunyit, bunga lengkuas (kurangkan sikit penggunaannya sebab terlalu pedas) dan apa-apa saja daun-daun ulam yang boleh dimakan mentah.. Kesemua pucuk daun ini dihiris halus.. sebab itu dipanggil kerabu. Tidak seperti di bandar2 besar, pucuk-pucuk daun ini susah didapati, sebab itu kebanyakan orang hanya menggunakan daun kesum, bunga kantan, taugeh, kobis dan kacang panjang sahaja.. kalau ada pun pucuk tenggek burung, itupun tak semua yang pandai makan.. sbb rasanya yang lemak2 kelat.

Berikut diturunkan resipi nasi kerabu yang paling simple..

Bahan-bahan untuk nasi:-

Beras
Air secukupnya
Daun limau purut
Serai diketuk2
Bunga telang secukupnya (untuk warna biru)


Cara :
Beras dibasuh bersih, masukkan air secukupnya, campur daun limau, bunga telang dan serai. Masak seperti memasak nasi biasa hingga masak. Hidangkan dengan dengan bahan-bahan hidangan yang lain.

Nota : Untuk nasi berwarna kuning, gunakan kunyit hidup dan isi cekur secukupnya diblender dan tapis airnya untuk memasak nasi. Untuk warna kelabu, gunakan daun mengkudu yang telah dikisar dan tapis airnya. Gunakan untuk memasak nasi. Walaupun daun mengkudu itu pahit, tetapi bila digunakan untuk memasak nasi, akan menghasilkan aromanya yang tersendiri dan tidak pahit.

Sambal kelapa
1/2 biji kelapa parut
1/2 sudu teh garam
1 sudu gula
3 ekor ikan selayang/tamban dll, dibakar dan ambil isinya dan ditumbuk
2-3 hiris halia, ditumbuk
sedikit lada hitam ditumbuk
5 biji bawang merah, ditumbuk
2 batang serai, ditumbuk

Cara :-
Semua bahan digaul rata dan sangai atas api sederhana hingga garing.

Ulam-ulaman
Semua jenis daun-daun yang telah disebutkan di atas, dihiris halus kecuali taugeh

Budu
Budu mentah, diperahkan limau

Lada jeruk
Tumbuk beberapa tangkai cili padi, campur sedikit garam dan cuka


Bahan-bahan untuk solok lada
Beberapa biji lada hidup, dibelah tapi jangan putus, korek keluar bijinya
2 ekor isi ikan mentah
2-3 ulas bawang merah
beberapa biji lada hitam
sehiris dua halia
1 batang serai muda, ambil umbut sahaja - jika suka
sesudu air asam jawa
sesudu kerisik - jika perlu
garam dan gula secukup rasa
kelapa parut putih secukup kegunaan
1/4 cawan santan pekat

Cara :-
Tumbuk bawang, lada hitam dan halia. Masukkan isi ikan dan tumbuk lagi sampai lumat. Campurkan bahan-bahan lain. Sesuaikan rasa. Agak-agak bahan boleh dikepal, sumbatkan ke dalam lada tadi. Susunkan solok ke dalam periuk dan tuangkan santan pekat. Gunakan api kecil untuk memasak. Masak hingga santannya kering.

Daging bakar
Daging batang pinang, tak perlu dipotong.. basuh bersih dan gaulkan garam kunyit. Bakar menggunakan api arang hingga masak. Setelah itu dipotong nipis-nipis.

Ayam percik

Bahan-bahan
1 ekor ayam, potong 4
gaulkalkan dengan garam, kunyit, bawang putih dan halia yang ditumbuk. Campur sedikit air dan masak sebentar di dalam kuali bertutup sehingga masak. Kemudian dibakar hingga garing, baru direnjiskan kuah percik beberapa kali hingga kuahnya garing di atas bara api.

Kuah percik
2 cawan santan pekat
5 biji bawangmerah
1/4 inci halia
sedikit kunyit
5-6 biji cili kering, buang biji dan rendam
garam dan gula secukup rasa
1 sudu tepung beras
sedikit air asam jawa
1 batang serai - dihiris halus
1 sudu tepung beras

Campur semua bahan dan kisar lumat. Masak atas api sederhana hingga pekat. Digunakan untuk menyediakan ayam/daging percik.

Hidangkan ayam percik ini bersama-sama nasi kerabu...Selamat Mencuba

2 comments:

  1. salam, kak

    akak makan ke ulam daun tenggek burung tu?

    safrina_upm@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. untuk pengetauan GaDiss HeRbA, semua ulam akak makan..kalau takde ulam, tak lalu makan nasi..ulam daun tenggek burung salah satu jenis ulam yang jadi favorite akak sejak menetap dijohor ni..ni rasanya lemak2 kelat.. gandingkan dgn sambal belacan atau budu..ikan bakar..

    ReplyDelete