Kalau di negeri Johor dipanggil botok-botok, orang Pantai Timur menamakannya Pais. Bezanya, botok-botok dicampur dengan pelbagai jenis ulam dan dikukus dalam daun pisang, manakala pais pula hanya diwangikan dengan daun kesum dan dibakar dalam daun pisang. Kedua-duanya sangat istimewa bagi saya dan menjadi salah satu hidangan favorite saya.
Berikut adalah resipi ikan pais yang sudah lama saya tidak sediakan kerana waktu yang tidak mengizinkan. Tetapi, resipi ibunda saya tetap saya simpan untuk rujukan apabila diperlukan. Di sini saya abadikan untuk tatapan semua. Resipi botok-botok saya dapat dari salah satu rancangan masakan di televisyen... dah lupa apa nama rancangan tu..
PAIS IKAN
Bahan-bahan (anggaran sendiri)
Ikan segar (apa-apa sajalah), dipotong kecil atau dibiar seekor (jika saiznya kecil)
Daun kesum, petik daunnya sahaja
Daun kunyit, dihiris halus
Garam secukup rasa
Sedikit air asam jawa
Kerisik secukup kegunaan
Kelapa parut, ditumbuk
Rempah kari ikan
Garam, gula dan serbuk perasa
Daun pisang untuk membungkus
Bahan-bahan untuk ditumbuk
Bawang merah
Bawang putih
Halia, kunyit, lengkuas, serai
Cili kering
Cara menyediakannya
Gaulkan kelapa parut dengan bahan-bahan yang ditumbuk, air asam jawa, rempah kari, garam, gula, serbuk perasa, kerisik, daun kesum dan daun kunyit.
Bentangkan beberapa lapis daun pisang dan letakkan sedikit ramuan tadi, diikuti ikan dan timbuskan dengan baki ramuan. Bungkus kemas-kemas dan panggang atas bara api sehingga masak. Hidangkan panas-panas.
Nota : Selain ikan, udang dan sotong juga boleh dibuat pais
BOTOK-BOTOK IKAN TENGGIRI
Bahan-bahan anggaran sendiri
Ikan tenggiri (dipotong-potong)
Daun pisang untuk membungkus
Kelapa parut
Rempah kari ikan
Santan pekat
Kerisik
Air asam jawa
Garam secukup rasa
Bahan-bahan ditumbuk halus
Cili kering
Bawang putih
Bawang merah
Halia, kunyit, lengkuas
Serai
Daun-daun ulam, dihiris halus
Pucuk ubi kayu
Pucuk daun mangkuk
Pucuk daun puding
Daun kesum
Bunga kantan
Pucuk bebuas
Daun kunyit
Daun mengkudu
Daun cekur
Kacang panjang
Kacang botor
Cara membuatnya
Campurkan semua bahan kecuali santan, ikan, daun pisang dan ulam-ulaman hingga rata. Bentangkan daun pisang dan letakkan sedikit ramuan tadi, diikuti dengan ulam-ulaman dan ikan. Timbus dengan baki ramuan dan ulam-ulaman. Siramkan santan pekat dan bungkus. Sematkan dengan lidi. Kukus hingga masak.
Selamat mencuba
No comments:
Post a Comment