25 November 2011

SUP KEPAK AYAM & AYAM GORENG BEREMPAH


sup kepak ayam campur kentang dan karot. Takde nak tumis2 bagai...Cuma renehkan bersama sup bunjut, halia dan bawang putih. Tambah sedikit lada sulah dan garam secukup rasa. Dah siap, taburkan daun sup. Sedia untuk dihidangkan.


ayam goreng berempah.. serdak2nya tu yang sedap dimakan dengan nasi panas2

Ayam goreng berempah.. style ayam penyet gitu.. cuma kisarkan halia, serai, bawang putih, lengkuas juga ketumbar jintan. Campur garam secukup rasa dan lumur pada ayam. Masukkan dalam kuali dan ungkepkan sampai kering. Kemudian digoreng garing, sebelum diketuk2 dan dipotong2 ketika menghidang. Siap..

Ada nasi putih, dua jenis lauk ni, sedikit ulam-ulaman dan sambal belacan.. Walaupun simple, tapi cukup untuk mengenyangkan perut...bagi orang yang sentiasa sibuk, seperti saya..

Selamat mencuba..

CEK MEK MOLEK



Kuih orang lama, dulu dipanggil cek mek je.. Ubi keledek rebus dilenyek dan dicampur sedikit tepung gandum. Jangan terlalu banyak guna tepung, nanti kuih jadi liat..Dibentukkan bulat2 dan leperkan. Diisi gula, kemudian dibentukkan bujur panjang. Digoreng sehingga kekuningan.

Tapi awas, kalau nak makan kena tunggu sejuk sedikit.. Kalau tidak, air gula panas dalam kuih ni akan melecurkan lidah.. huhu

Selamat mencuba..

UBI KAYU MASAK UNGKEP


Memang sedap nih.. dimakan panas2.

Ubi kayu memang sinonim dengan musim hujan. Direbus dan dimakan panas2 dengan kelapa parut atau sambal tumis. Kali ni, saya masak cara orang jawa, iaitu masak ungkep.

Nak masak pun senang, cuma sediakan bawang putih, bawang merah, sedikit halia, kunyit, lengkuas dan serai. Tambah juga sedikit ketumbar jintan dan ikan bilis (boleh juga guna udang kering). Kisar kesemua bahan hingga halus. Tumiskan sedikit rempah tumis iaitu kulit kayu manis, pelaga dan bunga lawang, kemudian masukkan bahan kisar. Bila dah garing kekuningan, masukkan air dan ubi yang telah dikupas. Tambah garam sesedap rasa dan sedikit air asam jawa. Masaklah seperti biasa sampai kering dan ubinya empuk.

Selamat mencuba

TELUR MASAM MANIS



Walaupun cuma telur rebus yang digoreng, kemudian disiram kuah masam manis.. tapi licin pinggan dikerjakan dek anak2.. Kata along, masak macam ni hari2 pun takpe..huhu..

GULAI IKAN MASIN CAMPUR PUCUK UBI



Ini lauk fevret abah dan seisi keluarga. Gulai pucuk ubi kayu campur ikan masin. Kalau ada lauk ni, abah makan tak ingat penyakit dah.. sebab tu Ummi tak nak masak lauk ni, kesian kat abah.. Tapi hari ni, atas permintaan anakandanya ni, Ummi masakkan lah juga...

Resipi lauk ni dah pernah saya postkan sebelum ni. Tapi takpe, saya tuliskan sekali lagi.. mungkin yang sebelum ni, lain kot..

GULAI PUCUK UBI IKAN MASIN

Bahan2
8 ekor ikan masin gelama (rendam air garam, untuk membuang masinnya)
Pucuk ubi, petik daunnya sahaja dan simpul2kan - ikut sukalah nak banyak mana
2-3 keping asam gelugur
santan satu biji kelapa - asingkan santan pekat dan cair secukup kegunaan
2 sudu makan serbuk kari ikan
Garam dan serbuk perasa jika perlu

Bahan-bahan kisar
10 tangkai cili kering - kalau tak suka pedas, boleh ditiadakan
1 biji bawang besar
3 biji bawang putih
sedikit kunyit, lengkuas dan halia
1 genggam ketumbar

Cara2
Campur bahan2 kisar dengan santan cair, serbuk kari dan asam gelugur dan masak sampai mendidih dan pecah minyak. Masukkan ikan masin, tunggu hingga ikan masak, baru dicampurkan pucuk ubi dan santan pekat. Masak lagi sampai pucuk ubi lembut. Jika suka, tambahkan sedikit serbuk perasa. Sesuaikan rasa, baru boleh diangkat dan dihidangkan.

nota : sebelum tambah garam, rasa dulu kuahnya.. sebab ikan masin tu dah masin..

Selamat mencuba.

23 November 2011

SAYUR KELADI


Sayur pedas keladi dimasak dalam kawah (sepupu kawin)

Sekarang dah jadi trend di tempat saya ni.. kalau wat kerja kawin, lauk utama selain gulai kawah ialah sayur keladi.. Pastu pulak ada ayam goreng berempah, kerabu atau teresek, ikan masin dan sambal belacan.. Kadang2 ada disediakan budu dan ulam petai jering (ikut musim)..Siap disediakan ikan bakar tawar lagi.. Kiranya dah jadi macam makan kat rumah sendiri..

Sebenarnya masak sayur keladi ni ada macam2 versi.. Paling saya suka masak sayur pedas campur lada hitam. Kalau Ummi saya suka sayur keladi masak lemak campur udang sungai atau ikan bakar tawar. Tapi saya pernah makan, kawan saya orang Thai, masak singgang sayur keladi campur udang besar. Semuanya sedaplah...

Disini saya kongsikan resipi sayur keladi yang saya suka

SAYUR PEDAS KELADI

Isi keladi beserta batangnya yang lembut, dipotong2, celur sebentar dan tos
garam gula secukup rasa
Air secukupnya untuk kuah
Isi ikan bakar atau udang halus

bahan2 tumbuk
lada hitam, bawang putih dan bawang merah

Cara2
Campurkan bahan2 tumbuk dengan air secukupnya, isi ikan atau udang dan masak sampai mendidih. Campurkan keladi dan garam secukup rasa. Masak sampai keladi lembut. Sesuaikan rasa, bolehlah diangkat untuk dihidangkan.

SINGGANG KELADI
Isi keladi beserta batangnya yang lembut, dicelur dan toskan
Udang hidup yang besar, kupas kulitnya
garam secukup rasa
Air secukupnya untuk kuah
Asam gelugur

bahan2 tumbuk
sedikit ketumbar, bawang putih, bawang merah, kunyit hidup dan lengkuas.

Cara2
Didihkan air, campurkan bahan2 tumbuk, udang dan asam keping. Masukkan keladi dan perasakan dengan garam secukupnya. Bila telah masak, bolehlah diangkat untuk dihidangkan.

nota :
Kalau nak buat masak lemak keladi cara Mak Usu saya, gunakan bahan yang sama untuk masak singgang keladi, cuma tambahkan santan secukup kegunaan, sedikit lada hitam dan ketepikan asam gelugur. Sama ada nak guna ikan bilis, isi ikan atau udang, terpulang kepada selera masing2.

Selamat mencuba.

SINGGANG ASAM PEDAS IKAN PULUTAN



Ikan pulutan ni spesis ikan duri atau mayong. Rupanya pun sama je.. tapi kata Ummi ada bezanya, tengok pada warna dan juga siripnya.. Kata Ummi, ikan ni sedap dimasak gulai lemak cili api campur pucuk daun gelugur. Oleh kerana stok santan dah kehabisan, saya cuma masak singgang asam pedas campur daun kesum. Di tempat saya, dipanggil singgang asam pedas, tempat lain mungkin dipanggil asam rebus walaupun ada sedikit perbezaan bahan2 yang digunakan.

Sedap juga.. takde beza rasanya antara ikan duri atau ikan mayong..

Bahan2
1 ekor ikan pulutan (anggaran sekilo)
secekak daun kesum
3 -4 keping asam gelugur
garam secukup rasa
Air secukupnya untuk kuah

Bahan2 kisar
10 tangkai lada kering
3 biji bawang putih
1 biji bawang merah besar
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 batang serai

Cara2

Campur bahan2 kisar dengan air secukupnya dan didihkan. Masukkan asam keping dan juga ikan. Bila ikan dah masak, tambah garam secukup rasa. Akhir sekali, masukkan daun kesum. Sesuaikan rasa, bolehlah diangkat. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba..

22 November 2011

PIZZA SEPANG

Resipi pizza ni, saya dapat masa pergi kursus Frozen Food dan lawatan sambil belajar ke bengkel membuat kuih frozen di Sepang, Selangor pada 11-14 November 2011 yang lepas. Agak berbeza daripada resipi-resipi pizza yang pernah saya pelajari sebelum ni. Walaupun tak cukup bahan, nampak adalah juga rupa pizza walaupun tak setanding dengan Pizza Hut.. Sebab tu saya bagi nama Pizza Sepang..

Terima kasih kepada Cikgu Ita yang mengajar kami buat pizza frozen ni.. Bukan saja dapat ilmu, tapi dapat makan juga..

Bahan-bahan doh pizza
750gm tepung gandum
secubit garam
lada sulah
oregano
2 camt doh softener
2 camt bread improver

bahan-bahan larutan yis
1 bungkus kecil mauripan (11gm)
2 sudu makan susu pekat manis
2 sudu makan gula
1 gelas air suam

Bahan2 sos pizza
4 biji bawang besar dicincang
1 tin sos prego
1 tin tomato puree
garam secukup rasa
oregano dan serbuk lada hitam
minyak untuk menumis

Cara-cara buat sos pizza :
Panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang besar sampai layu. Masukkan sos prego dan tomato puree diikuti garam, serbuk lada hitam dan oregano secukup rasa. Masak sampai pekat dan sejukkan.

Bahan-bahan topping dihiris halus
Buah tomato
oblong burger
sosej
cendawan butang
nenas dalam tin
keju parut

Cara ;
Campurkan larutan yis dan biarkan naik. Gaulkan tepung dengan bahan2 lain dan campurkan larutan yis. Uli sampai jadi doh yang lembut dan tidak melekat kat tangan. Bahagikan kepada 6 ketulan kecil dan peram sampai naik. Canai nipis2 dan sapukan sos pizza. Kemudian tambahkan topping yang dikehendaki dan taburkan keju parut. Bakar sampai masak. Siap untuk dihidangkan atau dibuat frozen.


pizza dah siap taruk topping, tunggu masa untuk dibakar

Selamat Mencuba

KUIH KAYU KERAMAT



Memang pelik kan?? Tapi pelik cuma pada nama, dari segi rasa.. memang tak pelik, malah sedap sangat...Sebenarnya, orang Terengganu panggil kuih ni kayu keramat, orang Kelantan pula panggil roti kkabu atau roti manis goreng. Ada setengah pulak panggil kuih ni Cakoi... tapi sebenarnya ada perbezaan antara Cakoi dengan kuih ni.. Kuih ni lebih padat teksturnya dan rasanya lebih manis dan sedap dimakan begitu saja, berbanding Cakoi yang agak berongga perlu ada sos cecahan untuk dimakan.

Kuih kayu keramat juga dipanggil kayu kamat atau roti kamat disesetengah tempat di Terengganu ini merupakan salah satu produk frozen yang terlaris yang Ummi saya jual selain karipap ikan (temosa), roti canai segera dan lain-lain. Ini adalah kerana kuih ni tidak mudah basi dan sesuai untuk perjalanan jauh. Di sini saya kongsikan resipi dan cara2 membuatnya.

KAYU KERAMAT

Bahan-bahannya
1kg tepung gandum
1/2 cawan minyak jagung
1 biji telur ayam gred B
1 cawan gula - lebihkan jika suka lebih manis
1 paket yis (Mauripan)
1 1/4 cawan air suam - bergantung pada jenis tepung gandum yang digunakan
secubit garam

Cara-cara membuatnya
Campurkan semua bahan ke dalam mixer dan uli sampai jadi doh yang sebati. Peram sampai naik. Bentukkan adunan menjadi bebola kecil dan gelekkan menjadi panjang, macam bentuk sosej. Taburkan tepung gandum ke dalam dulang dan aturkan kuih tadi. Biar mengembang sekali lagi sebelum digoreng dalam minyak yang sederhana panas hingga kekuningan dan garing. Sedap dimakan semasa masih panas.

Selamat mencuba.

PUTERI MANDI PANDAN



Kuih ni Ummi buat atas permintaan Angah, anak kedua saya. Kebetulan Tok Umminya tengah sibuk membuat kuih kat bengkel, dia datang bawak majalah Saji keluaran November dan tunjukkan gambar kuih buah melaka pada Tok Ummi.. dan suruh buat masa tu juga...katanya dah lama Tok Ummi tak buat kuih.. siap amikkan daun pandan lagi..

Cucu punya pasal, Tok Ummi pun buatlah kuih...dan kebetulan ada sedikit inti kelapa yang dah siap, maka menjadilah kuih puteri mandi ni..sekali tengok sama dalam gambar, kira OK lah.. Berbaloi juga, sebab siap masak je... Angah makan habis sepiring..

CUCUR BADAK



Kebetulan ada ubi keledek dan lebihan serunding yang dimakan dengan pulut hari tu. Jadi saya buatkan kuih cucur badak. Sedap juga dimakan panas2.

PISANG GORENG



Pisang goreng ni Ummi yang buat untuk sarapan pagi kami. Banyak serdak2 yang rangup. Dimakan panas2 cecah sambal kicap.

Bahan2
Pisang, kupas dan belah2 - Ummi guna pisang kelat lego (boleh guna pisang kepok/nipah, nangka, berangan, tanduk dll
Minyak untuk menggoreng

Adunan tepung goreng pisang
1 1/2 cawan tepung beras
1 sudu makan air kapur
sebiji kuning telur
secubit garam
setitis dua esen ros
sedikit pewarna kuning
Air secukupnya

Cara Membuatnya
Campur semua bahan untuk adunan tepung dan kacau rata2. Adunan jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Cukup untuk menyalutkan pisang yang akan digoreng. Celupkan pisang dan goreng dalam minyak yang cukup panas hingga kekuningan dan garing. Angkat dan toskan. Hidangkan dengan sambal kicap.



Bahan2 untuk sambal kicap
1 cawan kicap kipas udang (lemak manis)
6 biji cili padi
6 ulas bawang putih
sedikit gula

Cara-cara
Panaskan sedikit minyak dan goreng cili padi dan juga bawang putih sampai masak. Kemudian ditumbuk halus bersama gula. Keluarkan dari lesung, campurkan dengan kicap. Siap untuk disajikan.
Selamat mencuba

PULUT SERUNDING



Pulut serunding ni sedap dimakan waktu sarapan pagi. Lepas tu minum kopi 'O' pekat, barulah segar biji mata. Maklumlah kata orang tua2, kalau makan pulut...nanti badan jadi lemau masuk angin.. Entah la ya, mungkin bagi sesetengah orang je kot. Saya OK je, sebab dah biasa makan pulut. Lagi pulak, makan pulut ni mengenyangkan... boleh skip waktu makan tengah hari..

Bahan-bahan
4 cawan pulut
4 cawan air

Cara : Bersihkan pulut dan tanak seperti memasak nasi biasa.


Bahan-bahan serunding (untuk 2kg pulut)
1 biji kelapa parut
1/2 cawan udang kering (boleh ganti ikan bilis)
1 sudu besar ketumbar
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
10 tangkai cili kering
4 batang serai
1 biji bawang besar
3 biji bawang putih
sedikit halia dan lengkuas
sedikit minyak untuk menumis
garam gula secukup rasa
sedikit air asam jawa

Cara-cara menyediakan serunding
Kisar udang kering dan ketepikan. Ketumbar jintan dikisar kering. Kemudian kisarkan serai, bawang besar, bawang putih, halia dan lengkuas. Panaskan minyak dan tumiskan bahan2 kisar sampai garing dan wangi. Masukkan garam, gula, sedikit air asam secukup rasa dan akhir sekali masukkan kelapa parut. Kacau selalu atas api kecil hingga kering dan garing. Siap untuk dihidangkan dengan pulut yang telah ditanak.

Selamat mencuba.

21 November 2011

PUTU HALBA UBI KAYU


Putu halba ubi kayu ni saya beli kat pasar malam.. murah jer..3 keping RM1.00. Sedap dimakan ketika masih panas.

Mungkin ada yang tak tahu, selain putu piring, ada satu lagi kuih istimewa diperbuat menggunakan ubi kayu iaitu putu halba ubi kayu. Lebih kurang macam kuih lopis la jugak, cuma lopis dihidangkan dengan air gula melaka, manakala putu halba ni dah diisi dengan gula melaka di dalamnya dan dicecah kelapa parut dan sedap dimakan sewaktu masih panas.

Saya tak pandai sangat bab2 nak membuatnya, cuma selalu tengok orang buat. Bahan2 lebihkurang macam di bawah.

1kg ubi kayu diparut, diperah airnya hingga kering. Simpan air perahan ubi dan dapatkan patinya. Gaulkan kembali ke dalam ubi yang telah diparut tadi.
1 sudu makan halba
gula melaka secukupnya diracik halus
Kelapa parut bergaram

Peralatan lain
Periuk kukus khas untuk membuat putu piring
Kain kasa yang dipotong kecil
Daun pandan
Air secukupnya

Cara2
Didihkan air dalam periuk kukus. Campurkan daun pandan. Gaulkan ubi kayu yang telah diparut dengan halba. Alaskan acuan putu halba dengan kain kasa dan letakkan sedikit ubi parut, gula melaka dan tutupkan lagi dengan ubi dan bungkuskan. Letakkan di atas corong pengukus dan tutup dengan penutupnya. Kukus sampai masak. Kemudian hidangkan dengan kelapa parut bergaram.

Nota : Putu halba ni sedap dimakan ketika masih panas. Kalau dah sejuk, dah kurang sedap sebab dah liat sedikit.

Untuk menyediakan putu piring, tepung beras yang hendak digunakan mestilah direnjiskan dengan sedikit air supaya lembap dan dikukus sebanyak dua kali sebelum dicampur halba dan dijadikan putu. Sekiranya menggunakan beras kisar, beras yang hendak digunakan mestilah dicuci dan direndam sekurang2nya satu malam sebelum dikisar, diayak dan kisar lagi hingga betul2 halus bagi mendapatkan tekstur putu yang lembut dan gebu.


Kakak ni jual dua jenis putu, iaitu putu piring (beras) dan putu halba ubi kayu

Selamat mencuba.

20 November 2011

JUS PEGAGA



Air pegaga ni, walaupun nampak kurang menarik, tapi kalau ditambah ketulan ais... sangat menyegarkan dan boleh menghilangkan dahaga....

Mengikut petua orang tua2, kalau diamalkan selalu minum jus pegaga ni, Insya Allah, boleh mengurangkan tekanan darah tinggi.. Tapi tak boleh diminum setiap hari, sekali seminggu pun dah cukup. Wallahuaklam!

Bagi mereka yang ingin mencuba minum air pegaga ni, mudah je. Sediakan seikat pegaga yang telah dicuci bersih. Bagi memastikan khasiatnya terpelihara, akar pegaga tak perlu dibuang, kisar sekali dengan batang dan daunya sampai lumat. Gunakan dua cawan air panas suam serta secubit garam. Kemudian, tapis dan campurkan gula sesedap rasa. Jika suka, tambahkan ketulan ais sebelum diminum.

Selamat mencuba.

16 November 2011

PENGAT KELEDEK CAMPUR LABU



Teringin nak makan manis-manisan.. Yang ada kat dapur cuma keledek dan labu... Santan pulak tak ada, tapi susu cair ada lagi satu tin.. Gula melaka dan sagu biji pun ada, daun pandan petik aje kat pohon... Maka, siaplah pengat labu dan keledek buat hidangan petang kami seisi keluarga..

MAKAN NASI LEMAK KAT SEPANG


sedia untuk disantap..



Ketka melawat bengkel frozen food di Sepang, semua peserta kursus dihidangkan dengan nasi lemak untuk sarapan pagi...Sambal tumisnya boleh tahan sedap.. bila dirisik2, resipinya menggunakan belacan bintulu.. harga belacan tu mahal wooo.. RM40/kg..

LEMPENG


siap dicecah dengan susu pekat manis....



Permintaan anak2, nak makan lempeng.. siap mintak dibuatkan kaler pink.. Mudah aje, cuma bancuh 2 cawan tepung dengan 2 biji telur, 4 sudu susu tepung, secubit garam dan air secukupnya. Tambah setitis dua esen vanila dan berikan warna pink.. Gunakan whisk, kacau sampai sebati dan rata. Panaskan kuali leper, dan sendukkan adunan ke dalam kuali, ratakan supaya nipis. Dah nampak menggelembung, terbalikkan dan biar masak kedua2 belah.. Dah jadi pun lempeng saya... Sedap dicecah dengan kari... Tapi anak2 saya cuma suka cecah dengan susu pekat.

Selamat mencuba..

08 November 2011

SOSEJ BAKAR



gambar ni dah lama, masa pergi piknik kat La Hot Spring hari tu.. tapi baru dipos ke blog... sebabnya.. masa tu line tenet, slow giler.. huhuh.. malas rasanya nak berblogging... bila time rajin datang, barulah terpikir nk tepek gambar ni kt blog...

Sosej ni saya perap dengan kicap, halia, bawang putih dan lada hitam yang dikisar.. Masak dulu sekejap sampai pekat baru digaulkan dengan sosej. Perapkan kira2 setengah jam baru boleh dibakar.. Lagi lama perap lagi bagus.. Campuran kicap ni boleh digunakan untuk memerap daging atau ayam untuk BBQ. Sedap dimakan begitu saja atau dicecah sos...

Selamat mencuba..

LAKSA PENANG



Saje je tepek gambar kat sini.. Almaklum, saya ni memang penggemar laksa.. Bukan laksa penang aje...tapi laksa2 negeri lain juga..So, selamat menjamu mata ya.. Resipinya dah ada kat dalam blog ni.. Pandai2 lah google ye..

Selamat mencuba..

AIR ASAM CILI PADI KAMPUNG



Air asam ni sedap kalau dicecah dengan ikan bakar.. Lebih2 lagi kalau dapat ikan yang segar, seperti ikan cencaru, selayang, pari tuka, ikan siakap atau ikan haruan.. Nak makan dengan daging bakar pun ok.. Hidangan sihat kan.. takde lemak, tak ada kolestrol.. Tapi kalau makan nasi bertambah2.. sendiri mau hengat lah ya..hihi..

Nak buat air asam ni mudah aje, tak perlu nak sukat atau timbang.. pakai agak2 sendiri ikut citarasa...cuma gunakan air asam jawa, belacan, garam dan sedikit gula.. Lepas tu, campurkan hirisan bawang besar dan cili padi kampung.. Perahkan limau nipis untuk bangkitkan baunya.. Ada orang campurkan hirisan daun kesum ke dalam air asam ni. Terpulanglah ya...tepuk dada, tanya selera!!

Selamat mencuba..

ACAR SENGKUANG



Jangan tak tau.. selain dicampur ke dalam rojak petis atau rojak jawa, dihidang dengan kuah pechel bersama daun ubi dan lain2nya, sengkuang juga sesuai dibuat acar. Jangan tak percaya!! Cuba dulu, baru tau! cara membuatnya sama seperti membuat acar timun atau acar2 mentah yang lain..

Selamat mencuba

PACERI NENAS



Paceri nenas ni merupakan salah satu hidangan pembuka selera yang selalu dihidangkan dengan nasi minyak atau nasi beriani.. Ada dua versi, yang berempah atau yang tidak berempah.. Walaubagaimanapun, kedua2nya sedap dan sesuai dihidangkan dengan apa jua lauk kegemaran..

Cara membuat paceri nenas ni mudah aje.. Cuma kupaskan nenas, potong2 ikut suka dan rebus untuk buangkan air masamnya.. Toskan.. Kemudian panaskan sedikit minyak dan tumiskan kulit kayu manis, pelaga, cengkih dan bunga lawang.. Masukkan juga biji sawi, bawang putih dan bawang merah yang dimayang. Tambah juga sedikit serbuk kunyit. Kemudian, tambahkan sedikit air, garam dan gula secukup rasa. Agak2 dah mendidih dan pekat, masukkan nenas. Kacau rata2, masak sampai kuahnya pekat. Sesuaikan rasa, bolehlah dipadamkan api dan sedia dihidangkan.

Selamat mencuba..

07 November 2011

PULUT PISANG



Resipi ni, kawan saya berbangsa Kemboja yang ajar. Memang sangat mudah. Selalunya sebelum ni kalau nenek atau Ummi saya buat, kemain lagi leceh.. dari mencuci beras pulut, merendam dan kukus. Lepas tu bungkus dalam daun pisang dan ikat ketat2. Macam buat ketupat dakap. Lepas tu nak kena rebus lagi. Tak ke leceh namanya.

Kali ni, senang dan mudah. Makan pun, cepat je habis..hehe

Cara2 membuatnya
3 cawan pulut, cuci dan rendam sekurang2nya 2 jam (bergantung pada jenis pulut), kemudian ditoskan
3 cawan santan pekat
secubit garam
Daun pandan, siat2 (saya potong kecil2)
1 sisir pisang "kelat lego" - kat tempat lain dipanggil pisang awak/abu (tak pasti)
Daun pisang secukupnya untuk membungkus

Bahan hiasan
Kelapa parut muda
secubit garam dan gula secukup manis

Cara2
Dalam periuk, campurkan santan, garam dan daun pandan. Didihkan, masukkan pulur yang telah ditoskan. Kacau2 sampai pekat dan sebati. Bila setengah masak, angkat dan sejukkan.

Pisang dibuang kulit dan dibelah dua. Ambil sehelai daun pisang, letak secamca pulut dan sekeping pisang. Timbuskan dengan secamca lagi pulut dan bungkus kemas2. Ulangi proses sampai habis. Kemudian dikukus sampai masak. Dah masak, bolehlah dimakan begitu saja atau dengan kelapa parut bergaram yang dicampur sedikit gula.

Selamat mencuba..

KACANG PANJANG GORENG KUNYIT



Orang lain mungkin tak masak macam ni. Tapi biasa bagi keluarga saya. Dari kecil sampai sekarang, Ummi selalu masak macam ni kalau ada kacang panjang.

Mula2 potong kacang panjang dan gaulkan dengan garam kunyit. Kemudian panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang putih, bawang merah yang dihiris, ikan bilis dan kacau sampai garing. (Dalam resipi ni, ikan bilis saya gantikan dengan hirisan isi ayam). Kemudian masukkan kacang panjang dan tutupkan kuali. Agak2 kacang panjang dah layu sedikit, pecahkan telur dan kacau. Akhir sekali tambahkan hirisan bawang besar dan cili hidup (Saya gantikan dengan lada benggala kuning) Tambah juga sedikit serbuk perasa. Kacau sebentar dan angkat.
Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba.

TELUR BISTIK



Menu kegemaran anak2 dan juga tatkala mau cepat. Cuma gorengkan telur dadar dan tuangkan kuah bistik. Cara menyediakan kuah bistik, saya tumiskan bawang putih dan cili kisar. Kemudian campur sedikit hirisan daging ayam, cendawan butang, sos cili dan sos tomato. Tambahkan sedikit air, garam dan gula secukup rasa. Akhir sekali bawang besar dan cili yang dihiris. Sesuaikan rasa, siap untuk dihidangkan.

Selamat mencuba.

KERISI GORENG BELAH BELAKANG



Musim2 hujan ni kalau makan nasi putih dengan ikan goreng panas2 memang sedap. Kali ni ikan kerisi belah belakang, tak perlu buang sisik, cuma belah belakang dan keluarkan isi perutnya. Dah cuci bersih, lumurkan garam kunyit. Gorenglah sampai garing.

Ikan kerisi goreng belah belakang ni cuma boleh dapat kat Terengganu atau Kelantan je.. Goreng dengan sisik2nya sekali.. Orang negeri lain mungkin tak tahu, sisik ikan kerisi goreng ni sedap terutamanya jika dimakan semasa masih panas...

Selamat mencuba..

NASI LEMAK



Menu sarapan pagi Sabtu lepas. Nasi lemak sambal, sambal tumis ikan bilis dan telur rebus. Plan asal nak bungkus dalam daun pisang, tapi hari hujan. Maka tak dapatlah nak cantas daun pisang...

Saya masak nasi lemak biasa2 aje.. Cuma cuci beras, taruk santan, garam secubit, daun pandan dan hirisan bawang merah. Masak seperti biasa. Untuk sambal tumis, gorengkan ikan bilis dan ketepikan. Kemudian tumiskan bawang besar hiris diikuti cili kisakering r, bawang merah dan bawang putih. Tambah sedikit air asam, garam secukup rasa. Kemudian masukkan ikan bilis goreng. Masak sampai pekat. Sedia untuk dihidangkan dengan nasi lemak dan juga telur rebus.

Selamat mencuba.

TEPUNG BUNGKUS



Kebetulan pergi ke pasar tani dan ada sorang makcik tu jual kuih ni. Dibungkus dalam daun pinang. Apalagi, saya belilah.. Resipinya nanti saya share kemudian. Line tenet tengah laju, so, download gambar dulu.. Hehe

ROJAK BETIK


Hanya orang2 Terengganu saja yang tahu akan keistimewaan rojak betik. Sama juga di Thailand yang terkenal dengan som tam nya. Walaupun menggunakan betik, tapi resipi dan bahan2nya berbeza.

Bahan2 untuk menyediakan rojak betik
Betik, kalau boleh yang masih mengkal kekuningan - disagat panjang2
Buah jambu air, jambu batu, nenas dan timun - dipotong kecil
Keropok ikan yang telah digoreng

Bahan2 untuk kuah
4 ekor ikan selayang, dibakar ambil isinya dan tumbuk halus
1 senduk cili kering yang telah dikisar
2 keping gula melaka
2 sudu belacan
1 cawan air asam jawa pekat
garam secukup rasa
2 cawan air

Cara2
Campurkan semua bahan dan masak atas api sederhana hingga mendidih. Pekat cairnya ikut kesesuaian. Tidak terlalu pekat atau cair. Kuah rojak ini hendaklah ada rasa masam, manis dan pedas. Ambik sedikit betik yang telah disagat dan letak ke dalam piring, tambahkan buah2 lain dan jirus sedikit kuah di atasnya. Sedap dimakan dengan keropok goreng.

Selamat mencuba

01 November 2011

JERING REBUS


Jering rebus cecah kelapa ni mungkin pelik bagi sesetengah orang, tapi tidak di negeri Kelantan. Kalau di daerah kelahiran suami saya di Johor, selain dibuat ulam, jering atau dalam loghat jawa disebut "Jengkol" dimasak sambal tumis campur ikan bilis.

Untuk membuat jering rebus biasanya jering yang telah tua menjadi pilihan, manakala jering muda yang masih lembut isinya dibuat ulam. Banyak pantang larang dalam penyediaan jering rebus dan banyak pula bahan2 pelik dicampurkan bertujuan untuk mengelakkan "kena kapit jering", kata orang tua2. Kena kapit jering ialah satu masalah di mana seseorang yang makan jering rebus secara berlebihan akan menyebabkan mereka tidak dapat membuang air kecil ataupun merasa sakit apabila membuang air. Dan penawarnya ialah dengan meminum air batu kosong. Itu petua orang dulu2 lah..

Di sini, saya kongsikan petua memasak jering rebus sepertimana yang Ummi saya ajarkan kepada saya.. Dah ingat2 lupa nih.. tapi takpe, kalau dah dapat refresh balik, saya edit balik...

Bahan2
Jering, dibuang kulit, ambil isinya sahaja dan belah 2 (pastikan jering tua yang digunakan)
Air secukupnya untuk merebus
1 atau 2 helai daun kunyit
sedikit akar pokok kelapa
1 batang paku
sedikit abu dapur (jika kita memasak menggunakan dapur kayu, akan ada abu yang berwarna putih, yang terhasil dari proses pembakaran kayu api)


Cara2
Masak air secukupnya hingga mendidih, masukkan jering. Rebus hingga isinya lembut. Tukar air rebusan 2 atau 3 kali. Dalam air rebusan terakhir, masukkan daun kunyit, akar pokok kelapa, paku dan abu dapur. Masak lagi hingga mendidih. Ambil sekeping jering rebus dan rasa, jika bau jering dah hilang, dan terasa lunak dan lemak bolehlah diangkat dan toskan. Hidangkan jering rebus dengan kelapa parut yang telah dicampur sedikit garam dan gula.

Selamat mencuba.

KARI IKAN BARAT


Saya tak tahu apa nama komersil untuk ikan ni, tapi kata Ummi dipanggil ikan "bbarat" dalam loghat Kelantan.. Cuma sedap dimasak kari. Kalau tengok pada rupanya, macam ikan jebon atau ikan ayam2, cuma takde kulit keras macam ikan ayam.

Oleh kerana, cuma sedap dimasak kari.... saya pun masak kari lah.. Saya campurkan beberapa biji belimbing buluh dalam masak kari ni.. Sedap juga. Saya ni bukan lah pandai sangat masak kari ni, cuma rajin dok bertanya kawan2.. menjadilah kot lauk kari saya...

Bahan2
3 ekor ikan Bbarat, anggaran 1 1/2kg, dipotong 3
satu cawan pati santan + air secukupnya
air asam jawa
1 sudu rempah campur (halba, biji sawi, ketumbar, jintan putih dan jintan manis)
1 sudu makan serbuk cili
garam secukup rasa
minyak untuk menumis

2 bungkus rempah kari Adabi (pek kecil) + air panas
3 biji buah tomato, dibelah 4
3 biji belimbing buluh

bahan2 kisar
3 ulas bawang putih
2 biji bawang bombay besar
1 inci halia

bahan2 dimayang halus
sedikit halia, bawang putih dan bawang merah

Cara2
Panaskan minyak, tumiskan rempah campur hingga naik bau. Masukkan bahan2 mayang dan goreng sampai kuning. Kemudian masukkan bahan2 kisar, cili serbuk dan rempah kari yang telah dicampur air panas. Kecilkan api, tumiskan hingga naik minyak dan rempah garing. Kemudian campur air asam jawa diikuti santan secukupnya. Bila mendidih, masukkan ikan dan garam secukup rasa. Akhir sekali, masukkan tomato dan belimbing buluh. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.

Selamat mencuba.

PUCUK UBI AIR ASAM



Pertama kali saya makan pucuk ubi rebus cecah air asam ni kat rumah Mak Cik di Kota Tinggi, Johor.. memang sedap... dari situ, saya belajar cara2 menyediakan air asamnya. Kalau sebelum ni, yang Ummi selalu dok buat, cuma rebus cecah budu ataupun dicampurkan ke dalam gulai ikan pelata kering.. Tapi sekarang, dah macam2 hidangan boleh dibuat menggunakan pucuk ubi seperti urap, pechel, masak lemak dan sebagainya.

Disini saya kongsikan cara menyediakan pucuk ubi air asam, kegemaran suami saya....orang Jawa...

Bahan2

Pucuk ubi kayu
Air secukupnya
Sedikit garam

Bahan2 untuk air asam
Ikan bilis
Bawang merah atau bawang besar
Belacan
Cili padi kampung
Garam dan gula
Air asam jawa

Cara2

Masak air secukupnya hingga mendidih. Campurkan sedikit garam. Kemudian, masukkan pucuk ubi rebus hingga lembut. Apabila telah lembut, rendamkan ke dalam air sejuk dan diperah hingga kering. Untuk menyediakan air asam, gorengkan segenggam ikan bilis, satu sudu belacan dan masukkan ke dalam blender bersama satu biji bawang besar, 10-15 biji cili padi kampung dan perahkan satu cawan air asam jawa pekat. Tambahkan 3 sudu gula dan satu sudu kecil garam. Kisar sampai lumat. Sedia untuk dihidangkan dengan pucuk ubi yang telah direbus tadi.